Tuesday, September 3, 2024

Boleh Berwudhu’ Satu Kali-Satu Kali Atau Dua Kali-Dua Kali Atau Tiga Kali-Tiga Kali

● SATU KALI-SATU KALI ●

dari Ibn ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah berwudhu’ dengan membasuh setiap anggota wudhu’nya sekali demi sekali sahaja.”
(HR. Bukhari,no.157)


● DUA KALI-DUA KALI ●

dari Abdullah bin Zaid,dia berkata,
“Nabi ﷺ berwudhu’ dua kali-dua kali (dalam membasuh setiap anggota wudhu’).”
(HR. Bukhari,no.158)


● TIGA KALI-TIGA KALI ●

:: Hadis 1 ::
dari Humran maula ‘Ustman,dia beritahu,
bahawa dia melihat ‘Ustman bin ‘Affan meminta bekas air dan menuangkan air ke atas dua tapak tangannya sebanyak tiga kali lalu beliau membasuh kedua belah tapak tangannya. Kemudian beliau memasukkan tangan kanannya ke dalam bekas itu, lalu berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung. Kemudian beliau membasuh mukanya tiga kali dan kedua belah tangannya hingga ke siku tiga kali. Setelah itu beliau menyapu kepala. Kemudian beliau membasuh pula kedua belah kakinya hingga ke buku lali sebanyak tiga kali. (Setelah selesai melakukan semua itu) beliau berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesiapa yang berwudhu’ seperti wudhu’ku ini, kemudian melakukan solat dua rakaat dalam keadaan dia tidak menyibukkan hatinya dengan perkara-perkara lain, nescaya akan diampunkan dosanya yang telah lalu’.”
(HR. Bukhari,no.159)

:: Hadis 2 ::
dari Yahya bin ‘Umarah,dia berkata,
“Seorang lelaki berkata kepada ‘Abdullah bin Zaid: ‘Bolehkah engkau tunjukkan kepada aku bagaimana Rasulullah ﷺ berwudhu’?’. Lalu ‘Abdullah bin Zaid berkata: ‘Ya, boleh’. Lalu beliau meminta dibawakan air lalu beliau menuangkan ia ke atas pergelangan tangan sebanyak dua kali, kemudian berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung sebanyak tiga kali, kemudian membasuh muka tiga kali, kemudian membasuh kedua tangan hingga ke siku sebanyak dua kali, kemudian beliau mengusap kepalanya dengan kedua-dua tangannya, bermula dari bahagian hadapan kepala digerakkan ke belakang kepala, kemudian digerakkan kembali ke tempat ia bermula, kemudian beliau membasuk kedua kakinya.”
(HR. Bukhari,no.185)

NOTA:
Kecuali kepala dan telinga. Kerana kepala dan telinga hanya disapu dengan satu kali sapuan walaupun seseorang itu memilih untuk melakukan wudhu’ dua kali basuhan atau tiga kali basuhan untuk setiap anggota wudhu’ (berdasarkan kebanyakkan hadis).
(HR. Bukhari,no.159. Muslim,226. Abu Daud,no.111,121 & 134. an-Nasaie,no.92. at-Tirmidzi,no.37. Dan beberapa hadis yang lain)

NOTA (2):
Yang berpendapat bahawa kepala dan telinga disapu hanya satu kali adalah pendapat sebahagian Tabi‘in dan ulama’ mazhab. Kata imam Ibnu Qudamah: “Tidak disunatkan mengulang sapuan kepala (dalam wudhu’) menurut pendapat yang sahih dalam mazhab. Ini juga merupakan pendapat Abu Hanifah dan Malik, serta diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar, anaknya Salim, an-Nakha‘i, Mujahid, Thalhah bin Mus̄arrif, dan al-Hakam.  
at-Tirmidzi berkata: ‘Inilah amalan kebanyakan ulama dari kalangan sahabat Rasulullah ﷺ dan generasi selepas mereka’..” (rujuk: al-Mughni,1/178). Imam an-Nawawi juga berkata bahawa ini adalah pendapat kebanyakkan ulama'. Kata imam an-Nawawi: “Kebanyakan ulama' berpendapat bahawa sapuan kepala dalam wudhu’ hanya disunatkan sekali sahaja. Inilah yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan ulama' lain daripada majoriti ulama'. Ibnu al-Mundzir berkata bahawa antara mereka yang berpendapat demikian ialah ‘Abdullah bin ‘Umar, Thalhah bin Mus̄arrif, al-Hakam, Hammad, An-Nakha‘i, Mujahid, Salim bin ‘Abdullah, al-Hasan al-Basri, Ashabur Ra’yi, Ahmad, dan Abu Tsaur رضي الله عنهم. Selain Ibnu al-Mundzir, ulama' lain juga meriwayatkan pendapat yang sama daripada selain mereka. Ini juga merupakan mazhab Malik, Abu Hanifah serta para pengikut mereka, Sufyan ast-Tsauri, dan Ishaq bin Rahuyah. Ibnu al-Mundzir sendiri memilih pendapat ini.” (rujuk: Syarh al-Muhadzzab,1/496). Imam al-Baihaqi ketika membahaskan hadis sapuan kepala sebanyak satu kali atau tiga kali, beliau berkata: “..Telah diriwayatkan melalui jalur yang ganjil daripada ‘Utsman رضي الله عنه bahawa beliau menyebut tentang pengulangan sapuan kepala (dalam wudhu’). Namun, kerana riwayat ini bertentangan dengan para perawi yang kuat dan terpercaya, ia tidak dianggap sebagai hujah oleh ahli ilmu. Walaupun sebahagian sahabat kami (ulama Syafi‘iyyah) ada yang berpegang dengannya” (rujuk: Sunan al-Kubra,1/62). Imam an-Nawawi juga menyebut tentang pendapat imam al-Baihaqi berkaitan hadis-hadis tersebut, kata imam an-Nawawi: “Abu Dawud dalam Sunan-nya dan para imam yang lain telah berkata bahawa riwayat yang sahih daripada ‘Ustman dan selainnya menyebut bahawa sapuan kepala (dalam wudhu’) dilakukan sekali sahaja. al-Baihaqi sendiri menerima dan mengakui hal ini serta tidak membantahnya, walaupun beliau terkenal sebagai pembela mazhab Syafi‘i رضي الله عنه...” (rujuk: al-Majmu’,1/497).
Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment