Friday, September 27, 2024

Hati-Hati Bila Berkata-Kata!

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sungguh, boleh jadi seorang hamba itu mengucapkan tentang satu perkataan tanpa diteliti, maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur.”
(HR. Bukhari,no.6477)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Dan sungguh, boleh jadi seorang hamba itu mengucapkan suatu kalimah yang dimurkai oleh Allah tanpa dia peduli (akan implikasi atau baik buruk)nya, dia akan jatuh ke dalam neraka Jahannam (kerana perkataannya itu).”
(HR. Bukhari,no.6478)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: “Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda.” Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencaci maki, menuduh, serta memakan harta orang lain serta membunuh dan menyakiti orang lain.” “Setelah itu diberikan kepadanya sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil sebahagian dosa-dosa mereka tadi untuk dibebankan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa).”
(HR. Muslim,no.2581)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam.”
(HR. al-Bukhari,no.6475. Muslim,no.47)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Cukuplah untuk engkau, Sofiyyah itu begitu dan begini’. (Dalam riwayat lain: Beliau maksudkan Sofiyyah itu pendek). Lalu baginda membalas: ‘Sesungguhnya engkau telah menyatakan satu kalimah yang jika dicampurkan dengan air lautan, nescaya ia akan mencemarkannya’.”
(HR. Abu Daud,no.4875. at-Tirmidzi,no.2505. Dan ini lafaz Abu Daud. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Jami’,no.5140])

:: Hadis 6 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah ditanya berkaitan sebab kebanyakan orang dimasukkan ke dalam syurga. Baginda menjawab: ‘Bertaqwa kepada Allah dan baik akhlaknya’. Dan baginda turut ditanya berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka. Baginda menjawab: ‘Mulut dan kemaluan’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2004. Ibnu Majah,no.4246. Dinilai ‘sahih gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 7 ::
dari Sahl bin Sa‘ad,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang memberikan jaminan kepadaku terhadap apa yang ada di antara dua rahangnya (yakni lidah) dan apa yang ada di antara kedua kakinya (yakni kemaluan), maka aku akan menjaminkan syurga baginya.”
(HR. Bukhari,no.6474)

No comments:

Post a Comment