Sunday, July 28, 2024

Doa Masuk Dan Keluar Masjid

dari Abu Usaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang kalian masuk ke masjid,hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ افْتَحْ لي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Allahum-maftaẖ lii abwaaba roẖmatik
(Ya Allah,bukalah pintu-pintu rahmat-Mu)

Apabila dia keluar,hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ 
Allahumma innii as-aluka min fadh-lik
(Ya Allah,sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kurniaan-Mu).”
(HR. Muslim,no.713)

Sunday, July 21, 2024

Jangan Melihat Handphone Atau Gadjet Ketika Orang Berbicara Kepada Kita

dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mempunyai sebuah cincin dan memakainya,baginda bersabda: ‘Cincin ini telah menyibukkanku dari (memperhatikan) kalian sejak hari ini (aku memakainya). Sesaat aku melihatnya dan sesaat aku melihat kalian’. kemudian baginda melempar cincin tersebut.”
(HR. an-Nasaie,no.5289. Ahmad,no.2960. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam al-Silsilah as-Sahihah,no.1192)

Pahala Bagi Orang Yang Ibadahnya Terhalang Kerana Sakit Atau Musafir

dari Abu Musa,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir maka dituliskan kepadanya  pahala sama seperti yang dia kerjakan ketika mukim dalam keadaan sihat.”
(HR. Bukhari,no.2996)

Sunday, July 14, 2024

Zikir Yang Pahalanya Seperti Memerdekakan Hamba Dari Keturunan Nabi Ismail

dari Abu Ayyub al-Ans̄ari,dia berkata,(Nabi ﷺ bersabda),
“Sesiapa yang membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهْوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
La ilaha illallah,wahdahu laa syarikalah,lahul mulku walahul hamd,wa huwa ‘ala kulli syai-in qodir
(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,tiada sekutu bagi-Nya,bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian,dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)
sebanyak 10 kali,baginya (pahala) seperti memerdekakan seorang hamba dari keturunan (Nabi) Isma’il.”
(HR. Bukhari,no.6404. Muslim,no.2693. Dan ini lafaz Bukhari)

Friday, July 5, 2024

3 Golongan Yang Tidak Dicatat Dosa Dan Pahalanya

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ali,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Diangkat pena daripada tiga golongan,iaitu: orang yang tidur sehingga dia terjaga,kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh),dan orang yang gila sehingga dia berakal.”
(HR. Abu Daud,no.4403. at-Tirmidzi,no.1423. Ahmad,no.956. Dinilai 'Hasan Gharib' oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Qatadah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah dianggap meremehkan solatnya bagi seseorang yang tidur itu. Adapun orang yang meremehkan solat itu adalah orang yang tidak solat dengan satu solat sehingga datangnya waktu solat yang seterusnya.”
(HR. Muslim,no.681. Abu Daud,no.441. at-Tirmidzi,no.177. an-Nasaie,no.615. Ibnu Majah,no.698)

Thursday, July 4, 2024

Makhluk Pertama Yang Diciptakan Allah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ubadah bin as̄-S̄omit,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya pertama kali yang diciptakan Allah adalah al-Qalam (pena). Kemudian Allah berfirman: ‘Tulislah!’ Pena tersebut bertanya: ‘Apa yang perlu aku tulis?’ Allah menjawab: ‘Tulislah takdir (semua makhluk); Apa yang telah terjadi dan akan terjadi sehingga akhir zaman (hari Kiamat)’.”
(HR. Abu Daud,no.4700. at-Tirmidzi,no.2155 & 3319. Hadis ini dinilai 'Hasan Sahih Gharib' oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As̄,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah telah menulis segala takdir makhluk-Nya sebelum penciptaan langit dan bumi sejak 50,000 tahun. Baginda bersabda: ‘Sedangkan Arasy-Nya di atas air’.”
(HR. Muslim,no.2653)

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Allah ‘azza wa Jalla telah ciptakan empat perkara dengan tangan-Nya: Adam ‘alaihissalam,‘Arasy,Qalam dan Syurga ‘Adn. Kemudian Firman Allah kepada sekalian makhluk: ‘Jadilah’. Maka,terjadilah semua makhluk mengikut kehendak dan ilmu-Nya.”
(HR. al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak,no.3244]. al-Ajurri [rujuk: al-Syari’ah,no.750]. Dinilai ‘sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Mukhtasar al-‘Uluw,75])

Friday, June 21, 2024

Kelebihan Solat Dhuha

:: Hadis 1 ::
dari Abu Dzar,Nabi ﷺ bersabda,
“Pada pagi hari,setiap sendi dari seseorang daripada kamu (perlu ke atasnya) sedekah. Maka setiap tasbih (Subẖanallah) adalah sedekah,dan setiap tahmid (Alẖamdulillah) adalah sedekah,dan setiap tahlil (Laa ilaaha illallah) adalah sedekah,dan setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah,dan menyeru berbuat baik itu adalah sedekah,dan melarang dari perkara yang mungkar itu adalah sedekah,dan sedekah ke atas sendi-sendi itu memadai dengan dua rakaat yang dikerjakan pada waktu Dhuha.”
(HR. Muslim,no.720)

:: Hadis 2 ::
dari Nu’aim bin Hammar al-Ghathafani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tuhan kamu ‘azza wa jalla berfirman: ‘Wahai anak Adam,solatlah kerana-Ku empat rakaat (Dhuha) pada awal hari,nescaya Aku akan cukupkan bagimu hingga akhir hari tersebut’.”
(HR. Ahmad,no.22471 [21434]. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.466]. Ini lafaz riwayat Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau. Adapun tentang cara melaksanakan solat Dhuha empat rakaat ini,kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi,yang lebih utama adalah dengan dua rakaat-dua rakaat,bukan empat rakaat dengan satu tasyahud sebagaimana yg beliau sebut dalam video beliau yg lain kerana ianya tidak tsabit dari rasulullah ﷺ.
Wallahua’lam.

Wednesday, June 19, 2024

Musibah Dan Nikmat Adalah Ujian

Allah ﷻ berfirman:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati,dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
(al-Anbiya' [21]: ayat 35)

Saturday, June 15, 2024

Dialog Iblis Dan Allah

dari Abu Sa'id al-Khudri,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya iblis berkata kepada Tuhannya: ‘Demi kemuliaan-Mu wahai Tuhanku,aku tidak akan pernah berhenti menyesatkan hamba-hamba-Mu selama nyawa mereka berada di tubuhnya’. Lalu Allah menjawab: ‘Demi kemuliaan dan keagungan-Ku,Aku tidak akan henti-hentinya memaafkan mereka,selama mereka memohon ampun kepada-Ku’.”
(HR. Ahmad,no.11367. Dinilai 'Hasan' oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth [rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,11367])

Monday, June 3, 2024

Doa Selepas Wudhu’

dari ‘Uqbah bin ‘Amir,dia berkata,
”Dahulu kami ada giliran menjaga unta,apabila datang giliranku,aku mengembalikan unta-unta tersebut ke kandangnya pada akhir siang (waktu petang). Setelah itu aku pergi kepada Rasulullah ﷺ,dan aku dapati baginda sedang berdiri berbicara kepada orang ramai,aku dapati dari perkataan baginda ialah: ‘Tiada seorang muslim yang berwudhu dan memperelokkan wudhunya,kemudian berdiri dan menunaikan solat sunat dua raka’at dengan dihadirkan jantung hati dan wajahnya,melainkan akan dimasukkannya ke dalam syurga’.” Kata ’Uqbah: “lalu aku berkata: ‘Alangkah baik (hebat) perkara ini’. Tiba-tiba seseorang di hadapanku berkata: ‘Yang sebelumnya adalah lebih baik (hebat)’. Lalu aku melihat orang itu,rupanya beliau adalah ’Umar, lalu ’Umar berkata: ‘Sesungguhnya aku melihat ketika engkau datang sebentar tadi,sebelum itu (sebelum kehadiranmu),baginda bersabda: Tiada seorang dari kalanganmu yang berwudhu’,dan memperelokkan wudhunya,kemudian membaca:

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
Asyhadu alla ilaha illAllah,waẖdahu laa syarikalah,wa asyhadu anna Muẖammadan ‘abduhu wa rosuluh
(Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah)

melainkan dibuka untuknya kelapan-lapan pintu Syurga,dia boleh memasukinya dari mana-mana pintu yang dia mahu.”
(HR. Muslim,no.234)

Sunday, June 2, 2024

Doa Ruqyah Untuk Diri Sendiri

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ustman bin Abi al-‘As̄ yang pernah mengadu kepada Rasulullah ﷺ perihal sakit yang ada pada jasadnya semenjak dia memeluk Islam. Lalu Rasulullah ﷺ berkata kepadanya: “Letakkan tanganmu di tempat sakit kemudian baca 3 kali:

بِاسْمِ اللَّهِ
Bismillah
(Dengan nama Allah)

Dan baca 7 kali:

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
A’udzu billahi wa qudrotihi min syarri maa ajidu wa uẖaadzir
(Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan/keburukan yang aku dapati dan aku takuti)”.
(HR. Muslim,no.2202)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa’id,dia berkata,
“Jibril datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Ya Muhammad,apakah engkau sakit?’ Jawab Baginda: ‘Ya’. Lalu Jibril membacakan:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
Bismillahi arqika, min kulli syai-in yukdzika, min syarri kulli nafsin aw ‘aini hasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika
(Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyahmu).”
(HR. Muslim,no.2186)

NOTA:
Jika ingin meruqyah diri sendiri,maka kata ganti namanya ditukar menjadi:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِ نَفْسِ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِينِ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِينِ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِ نَفْسِ
Bismillahi arqi nafsi, Min kulli syai-in yuk-dzini, Min syarri kulli nafsin aw 'aini ẖasidin, Allahu yasyfiini, Bismillaahi arqi nafsi
(Dengan nama Allah aku meruqyah diriku dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyah diriku)

Thursday, May 30, 2024

Doa Kesembuhan: “Tuhanku Allah Yang Di Langit...”

dari Abu Darda’,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengadu sakit di antara kamu atau saudaranya,hendaklah ia membaca:

رَبُّنَا اللَّهُ الَّذِي فِي السَّمَاءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ أَمْرُكَ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِي السَّمَاءِ فَاجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِي الأَرْضِ اغْفِرْ لَنَا حُوبَنَا وَخَطَايَانَا أَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِينَ أَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَائِكَ عَلَى هَذَا الْوَجَعِ
RobbanAllahul-ladzi fissama', taqod-dasas-muka, amruka fissamaa-i wal ardh, kamaa roẖmatuka fissama', faj’al roẖmataka fil ardh, aghfirlana ẖubanaa wa khothoyana, anta robbuth thoyyibiin. Anzil roẖmatan min roẖmatika, wa syifaa-an min syifaa-ika ‘ala hadzal waja-‘i (Tuhanku Allah yang di langit, Maha Suci nama-Mu, takdir-Mu yang di langit dan di bumi, sepertimana rahmat-Mu di langit, jadilah rahmat-Mu juga di bumi. Ampunkanlah dosa kami dan kesalahan kami, Engkau adalah Tuhan yang baik. Turunkanlah rahmat daripada rahmat-Mu dan kesembuhan daripada ksembuhan-Mu atas penyakit ini)

maka ia akan sembuh.”
(HR. Abu Daud,no.3892)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh para ulama’ hadis,kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Ziyadah bin Muhammad,yang mana dia dinilai Dhaif oleh imam ‘Ibn ‘Adiy (rujuk: al-Kamil,4/145) dan imam ibnu Hibban (rujuk: al-Majruhin,1/308). Imam adz-Dzahabi menukilkan bahawa imam al-Bukhari dan an-Nasaie menilainya sebagai “Munkar al-Hadis”. Imam adz-Dzahabi juga menyebut: “Dia bersendiri dalam hadis ruqyah” (rujuk: al-Mizan,2/98).

Wednesday, May 29, 2024

Zikir Yang Pahalanya Seperti Memerdekakan 10 Hamba,Dapat 100 Pahala Dan 100 Dosa Dihapuskan

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengucapkan:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Laa ilaha illAllah,wahdahu laa syarikalah,lahul mulku wa lahul hamdu,wa huwa ‘ala kulli syai-in qodiir (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah,tiada sekutu bagi-Nya,bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian,dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)
sebanyak 100 kali dalam sehari,maka baginya pahala seperti pahala orang yang memerdekakan 10 hamba sahaya dan dituliskan baginya 100 kebaikan,dihapus darinya 100 keburukan,dan baginya pelindung daripada syaitan pada hari itu hingga petang hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya melainkan yang mengamalkan lebih dari itu.”
(HR. Bukhari,no.3293. Muslim,no.2691. at-Tirmidzi,no.3468)

Saturday, May 25, 2024

Allah Memberi Syafa’at-Nya Di Akhirat Kelak

dari Abu Sa’id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Demi Tuhan yang diriku di tangan-Nya. Manusia-manusia beriman akan memohon dengan bersungguh-sungguh kepada Allah untuk memperjuangkan hak saudara mereka yang berada di neraka. Mereka berkata: ‘Tuhan kami,mereka berpuasa,solat dan mengerjakan haji bersama kami’. Lalu dijawab kepada mereka: ‘Keluarkan dari neraka sesiapa yang kalian kenal’. Lalu diharamkan mereka daripada neraka. Orang beriman itu pun mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai,yang mana mereka telah dimakan neraka sedalam separuh betis hingga ke lutut. Kemudian orang beriman akan berkata: ‘Tuhan kami,sudah tiada seorang pun lagi yang kalian suruh kami keluarkan’. Lalu Allah menjawab: ‘Kembalilah lagi,sesiapa yang kalian dapati pada hatinya terdapat sebesar dinar kebaikan,keluarkan dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai,kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami,kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan’. Kemudian Allah berkata: ‘Kembalilah lagi,sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya terdapat separuh dinar kebaikan,keluarkanlah dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah ramai manusia,kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami,kami tidak meninggalkan seorang pun yang engkau suruh kami keluarkan’. Kemudian Allah berkata: ‘Kembalilah,sesiapa yang kalian dapati dalam hatinya ada sebesar zarah kebaikan,keluarkanlah dia’. Lalu mereka mengeluarkan sejumlah manusia yang ramai. Kemudian mereka berkata: ‘Tuhan kami,kami tidak meninggalkan langsung sesiapa yang ada kebaikan di sana’...Maka berkata Allah Ta’ala: ‘Malaikat telah memberi Syafa’at,para Nabi telah memberi Syafa’at,dan kaum mukminin telah memberi Syafa’at dan tiada yang tinggal (untuk memberi Syafa’at) kecuali Yang Maha Mengasihani (Allah)’. Lalu Dia menggenggam segenggam daripada neraka dan dikeluarkan daripadanya kaum yang tiada amal kebaikan langsung (namun beriman) dan mereka menjadi arang. Kemudian Allah melempar mereka ke dalam sungai yang berada di tepi syurga yang disebut sebagai sungai kehidupan...”
(HR. Muslim,no.183)

Thursday, May 23, 2024

Rasulullah Tidak Boleh Mengubah Ajaran Islam

Allah ﷻ berfirman:
“(al-Quran itu) diturunkan dari Tuhan sekalian alam. Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta,sudah tentu Kami akan menyentapnya,dengan kekuasaan Kami,kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.”
(al-Haqqah [69]: ayat 43 - 47)