Wednesday, March 6, 2024

Aduan Wanita Yang Didengari Oleh Allah Dari Atas Langit Ketujuh

dari Abu Zaid,dia berkata,
“Bahawa Umar melintasi seorang wanita tua,lalu wanita itu memintanya berhenti,maka Umar pun
berhenti lalu berbicara dengannya,maka seorang lelaki berkata kepada Umar: ‘Wahai amirul mukminin,engkau menahan orang-orang kerana perempuan tua ini’. Umar pun berkata: ‘Celaka kau,tahukah engkau,siapa dia? Dia adalah wanita yang Allah mendengarkan pengaduannya dari atas langit ke tujuh,inilah Khaulah yang berkenaan dengannya Allah menurunkan ayat: ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya’ (al-Mujadilah [58]: ayat 1)”
(HR. Bukhari [rujuk: at-Tarikh,7/245]. ‘Ustman ad-Darimi [rujuk: Radd 'ala al-Jahmiyyah,274]. adz-Dzahabi [rujuk: al-'Uluw,63])

NOTA:
Atsar ini dinilai 'Dhaif' oleh Imam Ibnu Hatim dengan katanya: “Ini munqothi' (terputus sanad) antara Abu Zaid dan Umar,dan ia telah diriwayatkan dari wajah yang lain” (rujuk: Ibnu Katsir,Tafsir Ibnu Katsir,8/60-61). Imam adz-Dzahabi juga berkata sanad hadis ini terputus,kerana Abu Zaid tidak bertemu Umar (rujuk: al-'Uluw,63).

Tuesday, March 5, 2024

Rasulullah ﷺ Suka Manisan Dan Madu

dari 'Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menyukai manisan dan madu”
(HR. Bukhari,no.5614)

Monday, March 4, 2024

“Umatku,Umatku” Bukan Ucapan Rasulullah ﷺ Sebelum Wafat

dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat nanti akan bersesak-sesak antara satu sama lain seperti ombak. Mereka akan datang kepada Nabi Adam dan berkata: ‘Syafaatilah kami kepada tuhan mu’. Nabi Adam menjawab: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian berjumpa Nabi Ibrahim. Dia adalah Khalil Ar-Rahman’. Mereka datang kepada Nabi Ibrahim,lalu baginda berkata: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian kepada Musa,sesungguhnya dia Kalimullah’. Lalu mereka pergi kepada Nabi Musa,lalu baginda menjawab: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian kepada Isa,sesungguhnya dia adalah ruh yang Allah ciptakan dan kalimah-Nya’. Lalu mereka datang kepada Nabi Isa lalu baginda berkata: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Akan tetapi pergilah kalian kepada Muhammad ﷺ’. Lalu mereka datang kepada baginda,dan baginda berkata: ‘Aku akan melakukannya’. Baginda berkata: “Aku akan memohon keizinan tuhan ku,dan Dia akan memberikan keizinan kepada ku. Kemudian Allah akan mengilhamkan kepada aku pujian-pujian yang akan aku memuji-Nya yang sekarang aku tidak tahu tentangnya. Aku akan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut dan aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Lalu diseru: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada sebiji gandum keimanan’. Aku pun pergi dan melakukan hal itu. Kemudian aku kembali dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada sebesar biji sawi keimanan’. Aku pun pergi dan melakukan hal itu. Kemudian aku kembali dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada keimanan yang lebih kecil daripada biji sawi’. Keluarkan dia dari neraka. Aku pun pergi dan melakukannya.”

Apabila kami (iaitu orang-orang yang bertanya kepada Anas tadi tentang hadis syafaat) pulang daripada menemui Anas,aku (iaitu Ma'bad) berkata kepada sahabat-sahabat kami: “Apa kata jika kita pergi menemui al-Hasan. Dia berada di rumah Abu Khalifah lalu kita sampaikan kepada al-Hasan tentang apa yang Anas sampaikan kepada kami. Lalu kami pun menemui beliau dan memberi salam kepadanya. Dia mengizinkan kami dan kami berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Said,kami baru tiba dari menemui saudara mu Anas bin Malik. Kami tidak pernah mendengar seperti apa yang dia baru sampaikan kepada kami tentang syafaat’.
Al-Hasan berkata: ‘Teruskan kata-kata engkau. Lalu kami pun menyampaikan hadis tersebut dan berhenti (pada apa yang telah Anas sampaikan)’. Al-Hasan berkata: ‘Teruskan lagi’. Kami menjawab: ‘Dia tidak menyampaikan kepada kami lebih daripada ini. Sesungguhnya dia telah menyampaikan kepada aku kisah ini secara penuh sejak 20 tahun yang lain. Aku tidak tahu adakah dia lupa atau tidak suka nanti kamu akan bertawakkal sahaja’. Kami berkata: ‘Wahai Abu Sa'id,sampaikanlah kepada kami’. Beliau ketawa dan berkata: ‘Manusia diciptakan tergesa-gesa. Aku tidak akan menyebutkannya kecuali aku memang mahu menceritakannya kepada kamu’. Anas menyampaikan kepada aku sebagaimana dia sampaikan kepada kamu”. al-Hasan berkata,(Rasulullah ﷺ bersabda): “Kemudian aku kembali untuk kali yang keempat dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepadaNya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi’. Aku meminta: ‘Ya Allah,izin kan aku memberi syafaat kepada sesiapa yang menyebut Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’. Allah menjawab: ‘Demi kekuasaan,kemuliaan-Ku,keagungan-Ku. Sungguh akan Aku keluarkan sesiapa sahaja yang menyebut Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’.”
(HR. Bukhari,no.7510. Muslim,no.193)

Ucapan Terakhir Rasulullah ﷺ Sebelum Wafat

:: Hadis 1 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga’. Apabila Rasulullah ﷺ dalam kesakitan dan menghampiri maut,kepala baginda atas pehaku dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar,matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: Allahumma ar-rafiq al-a'la (Ya Allah,teman yang tertinggi).”
(HR. Bukhari,no.6509. Muslim,no.2444)

:: Hadis 2 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Ketika Nabi ﷺ bersandar di pangkuanku,aku dengar baginda mengucapkan: Allahummaghfirlii warhamnii wa-alhiqnii bir-rafiqil a'la (Ya Allah,ampunkanlah aku,rahmatilah aku,dan himpunkanlah aku bersama ar-Rafiq al-A’la”. 
(HR. Bukhari,no.5674. Muslim,no.2191)

NOTA:
Yang dimaksudkan dengan "teman yang tertinggi" adalah para Nabi,orang-orang siddiqin,orang-orang syahid dan orang-orang soleh,sebagaimana yang disebutkan dip dalam al-Quran:

:: Qur'an ::
Allah berfirman:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya,maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka,iaitu Nabi-nabi,dan orang-orang Siddiqiin,dan orang-orang yang Syahid,serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(an-Nisa' [4]: ayat 69)

Sunday, March 3, 2024

Rasulullah ﷺ Terlupa Surah

dari 'Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Qur’an pada suatu malam,dan bersabda: ‘Moga Allah merahmatinya,dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Qur’an yang telah dilupakan daripada aku’.”
(HR. Bukhari,no.5038. Muslim,no.788)

Islam Itu Bersifat Mudah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Biarkan aku sepertimana aku membiarkan kamu. Sesungguhnya yang membinasakan manusia sebelum kamu ialah pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila aku melarang kamu daripada sesuatu,maka jauhilah ia dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu,maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
(HR. Bukhari 7288. Muslim,no.1337)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah,dan tidaklah sama sekali seseorang yang terlalu ketat dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya (jauh daripada manhaj beragama yang sebenar),oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam.”
(HR. Bukhari,no.39. an-Nasaie,no.5034)

Friday, March 1, 2024

Diazab Kerana Menyelisihi Sunnah

dari Abi Rabah,dia berkata,
“Bahawasanya beliau (Sa’id Ibnul Musayyab) melihat seseorang solat setelah terbitnya fajar lebih dari dua rakaat,orang tersebut memperbanyak ruku’ dan sujudnya. Maka beliau (Sa’id Ibnul Musayyab) pun melarangnya. Lalu orang tersebut berkata: ‘Wahai Abu Muhammad (Sa’id bin Al-Musayyab),adakah Allah mengazabku kerana mengerjakan solat?’ Sa’id Ibnul Musayyab menjawab: ‘Tidak,akan tetapi (Allah) mengazab engkau kerana menyelisihi Sunnah’.”
(HR. ‘Abdurrazzaq,no.4755. al-Baihaqi [rujuk: Sunan al-Kubra,2/466,no.4621]. Sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/236])

Saturday, February 24, 2024

Doa Agar Diberi Ilmu Yang Bermanfaat,Rezeki Yang Baik Dan Amalan Yang Diterima

dari Ummu Salamah,dia berkata,
“Bahawasanya Nabi ﷺ apabila selesai solat subuh baginda berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Allahumma inni as-aluka ‘ilman naafi’aa,wa rizqon thoyyibaa,wa ‘amalan mutaqabbalaa
(Ya Allah,aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat,rezeki yang baik dan amalan yang diterima).”
(HR. Ibn Majah,no.925. an-Nasaie [rujuk: al-Sunan al-Kubra,no.9930]. Ahmad,no.26602)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh 'Abdul 'Aziz ath-Thorifi dalam video beliau. walaupun hadis ini Dhaif,namun boleh diamalkan kerana makna hadis ini tidak bercanggah dengan syara'.

Wednesday, February 21, 2024

Mengucapkan Salam Kepada Orang Yang Tidak Diketahui Sama Ada Islam Atau Tidak

dari 'Abdullah bin Amru,dia berkata,
“Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: ‘Islam manakah yang paling baik?’ Baginda bersabda: ‘Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal’.”
(HR. Bukhari,no.12 & 6236. Muslim,no.39)

Tuesday, February 20, 2024

Berterima Kasih Kepada Manusia Tanda Bersyukur Kepada Allah

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”
(HR. Abu Daud,no.4811. at-Tirmidzi,no.1954. Dinilai 'Hasan Sahih' oleh Imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Imam al-Khattabi berkata: Hadis ini ditafsirkan dengan dua makna. [1] Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka,maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya. [2] Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya,jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka (rujuk: Ma’alim al-Sunan,4/113).

Malaikat Yang Menjaga Manusia Dari Bahaya Dengan Perintah Allah

Allah ﷻ berfirman:
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya,yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri),maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu,dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
(ar-Ra'd [13]: ayat 11)

Monday, February 19, 2024

Sedekah Kepada Ahli Keluarga Yang Memerlukan Lebih Afdhal Daripada Orang Luar

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat,tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah,dan hari akhirat,dan segala malaikat,dan segala Kitab,dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat,dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan,dan kepada orang-orang yang meminta...”
(al-Baqarah [2]: ayat 177)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dinar (harta) yang engkau nafkahkan di jalan Allah,dinar yang engkau nafkahkan untuk membebaskan hamba,dinar yang engkau sedekahkan untuk orang miskin,dan dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu; maka yang paling besar pahalanya adalah yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.”
(HR. Muslim,no.995. Ahmad,no.9786)

:: Hadis 2 ::
dari Sa'ad bin Abi Waqqas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya engkau tidaklah memberikan nafkah yang dengannya engkau mengharapkan wajah Allah kecuali pasti diberi pahala atasnya,sehinggakan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu.”
(HR. Bukhari,no.56. Muslim,no.1628)

:: Hadis 3 ::
dari Jabir bin 'Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mulakanlah dari dirimu sendiri dan bersedekahlah (menabung) untuk dirimu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk keluargamu (anak dan isterimu). Jika ada lebihan dari itu,maka ianya untuk kerabat dekatmu. Jika ada lebihan dari itu,maka ianya untuk tujuan ini dan itu,yang ada di hadapanmu,di kanan dan di kirimu.”
(HR. Muslim,no.997. an-Nasaie,no.2546)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki telah datang bertemu Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah,aku ada satu dinar.’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Jadikan nafkah untuk dirimu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada anakmu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada Isterimu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada pembantu kamu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Engkau lebih tahu (ia untuk siapa)’.”
(HR. Abu Daud,no.1691. an-Nasaie,no.2535. Ibnu Hibban,no.3337. Dinilai 'Hasan' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa' al-Ghalil,no.895])

NOTA:
Imam al-Nawawi mengatakan,pemberian infaq kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula,ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim sekalipun pertalian tersebut jauh. Ini kerana,Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya,maka beliau memberikannya kepada Ubai bin Ka‘ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7 (rujuk: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim,7/86).

Sunday, February 18, 2024

Kisah Pengumpulan al-Quran

dari Zaid bin Tsabit,dia berkata,
“Abu Bakar mengirim (utusan) kepadaku setelah peristiwa perang ahli Yamamah,dan Umar bin al-Khattab berada di sisinya”. Abu Bakar berkata: “Umar datang kepadaku dan berkata: ‘Sesungguh peperangan pada peristiwa Yamamah telah memanaskan (mengorbankan) para penghafal al-Quran,dan sesungguhnya aku khuatir sekiranya peperangan terus mengorbankan para penghafal al-Quran di berbagai tempat,maka sebahagian besar daripada al-Quran akan hilang,dan aku berpendapat sebaiknya engkau perintahkanlah untuk mengumpulkan al-Quran’. Aku berkata kepada Umar: ‘Bagaimana kamu hendak melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan Rasulullah SAW?’ Umar berkata: ‘Demi Allah,ini adalah perkara baik’. Maka Umar terus-menerus mengajukan pandangannya kepadaku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk perkara ini (mengumpulkan al-Quran),dan aku pun berpandangan dalam hal itu seperti pandangan Umar’.” Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang cerdas dan kami tidak pernah mengesyakimu (melakukan pendustaan). Dan dahulu engkau menulis wahyu untuk Rasulullah ﷺ. Jejakilah al-Quran dan kumpulkanlah ia”. Demi Allah,sekiranya mereka pertanggungjawabkan kepadaku untuk memindahkan salah satu gunung,maka itu tidak lebih berat (yakni itu lebih mudah) bagiku daripada apa yang dia perintahkan kepadaku,iaitu mengumpulkan al-Quran. Aku berkata: “Bagaimana kamu melakukan sesuatu yang tidak dilakukan Rasulullah?” Dia berkata: “Demi Allah,ia adalah perkara yang baik”. Abu Bakar terus menerus mengajukan (mengusuli) pandangannya kepadaku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk perkara yang dilapangkan dada Abu Bakar dan Umar melakukannya. Maka aku pun menjejak al-Quran,mengumpulkannya dari pelepah kurma,hamparan batu-batu,dan dada-dada (yakni hafalan) orang. Sehingga aku menemui akhir surah al-Taubah bersama Abu Khuzaimah al-Ansari,dan aku tidak mendapatinya ada pada orang lain (ayat al-Quran): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad ﷺ),yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu,yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu,(dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman (at-Taubah [9]: ayat 128)”,sehingga akhir surah Bara’ah. Maka lembaran-lembaran itu berada pada Abu Bakar sehingga Allah mewafatkannya,kemudian berada pada Umar selama hidupnya. Setelah itu berada pada Hafsah binti Umar.”
(HR. Bukhari,no.4986)

Ahli Syurga Masih Ingat Buah-Buahan Ketika Di Dunia Dahulu

Allah ﷻ berfirman:
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh,sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu,mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu’,dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya),dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan,isteri-isteri yang sentiasa bersih suci,sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(al-Baqarah [2]: ayat 25)

Pandanglah Orang Yang Di Bawah Pada Perkara Dunia, Jangan Pandang Orang Yang Di Atas

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu melihat kelebihan seseorang pada hartanya dan fizikalnya,maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripada dirinya.”
(HR. Bukhari,no.6490)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pandanglah orang yang berada dibawah kamu,jangan memandang yang ada di atas kamu,itu lebih baik membuat kamu tidak mengkufuri nikmat Allah.”
(HR. Muslim,no.2963)