Monday, February 19, 2024

Sedekah Kepada Ahli Keluarga Yang Memerlukan Lebih Afdhal Daripada Orang Luar

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta...”
(al-Baqarah [2]: ayat 177)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.”
(HR. Muslim,no.995)

:: Hadis 2 ::
dari Sa‘ad bin Abi Waqqas̄,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya engkau tidaklah memberikan nafkah yang dengannya engkau mengharapkan wajah Allah kecuali pasti diberi pahala atasnya, sehinggakan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu.”
(HR. Bukhari,no.56. Muslim,no.1628)

:: Hadis 3 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mulakanlah dari dirimu sendiri dan bersedekahlah (menabung) untuk dirimu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk keluargamu (anak dan isterimu). Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk kerabat dekatmu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk tujuan ini dan itu, yang ada di hadapanmu, di kanan dan di kirimu.”
(HR. Muslim,no.997. an-Nasaie,no.2546)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki telah datang bertemu Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ada satu dinar’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Jadikan nafkah untuk dirimu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada anakmu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada Isterimu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada pembantu kamu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Engkau lebih tahu (ia untuk siapa)’.”
(HR. Abu Daud,no.1691. an-Nasaie,no.2535. Ibnu Hibban,no.3337. Dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa’ al-Ghalil,no.895])

:: Hadis 5 ::
dari Sulaiman bin ‘Amir,Nabi ﷺ bersabda,
“Sedekah kepada orang miskin adalah (sekadar) sedekah, sedangkan sedekah kepada kaum kerabat mengandungi dua ganjaran: (pahala) sedekah dan (pahala) silaturahim.”
(HR. Ahmad,no.16232. at-Tirmidzi,no.658. an-Nasaie,no.2582. Ibnu Majah,no 1844. Ini lafaz at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Riyadhussolihin,332). Dinilai sahih oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).

KESIMPULAN:
Imam al-Nawawi mengatakan, pemberian infaq kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim sekalipun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya, maka beliau memberikannya kepada Ubai bin Ka‘ab dan Hassan bin Tsabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7 (rujuk: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim,7/86).

No comments:

Post a Comment