Monday, June 10, 2013

Memperbanyak Puasa Sunat Di Bulan Sya'ban?

dari Usamah bin Zaid,ia berkata,
“Aku pernah bertanya: ‘Wahai Rasulullah,aku belum pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan daripada bulan-bulan yang lain,seperti mana engkau berpuasa dalam bulan Sya’ban’. Baginda menjawab: ‘Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai,ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Maka aku suka amalanku diangkat,ketika itu aku sedang berpuasa’.”
(HR. an-Nasaie,no.2357. dinilai 'Hasan' oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah as-Sahihah,4/522)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Tsabit bin Qais Abu al-Ghusn,yg mana imam al-Baihaqi berkata,dia bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadis ini (rujuk: al-Shu'ab,5/352). Kata Ibnu Hibban,dia banyak waham (kesilapan) dalam riwayat dan khabar (hadis)nya tidak dijadikan hujjah apabila dia tidak disokong oleh perawi yg lain (rujuk: al-Majruhin,1/256). Hadis ini juga dinilai Dhaif Khafif (Dhaif ringan) oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau,ketika beliau ditanyakan tentang memperbanyakkan puasa sunat di bulan Rajab dan Sya'ban. Akan tetapi,memperbanyakkan puasa sunnah dibulan Sya'ban adalah digalakkan,kerana terdapat hadis Sahih tentang Rasulullah ﷺ banyak berpuasa sunat di bulan Sya'ban: 

:: Hadis ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan,dan aku tidak pernah melihat baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Sya’ban.”
(HR. Bukhari,no.1969. Muslim,no.1156)

Orang Islam Tidak Kekal Dalam Neraka

dari Abu Dzar,dia berkata,
“Aku pernah menemui Nabi ﷺ sementara baginda sedang tidur sambil mengenakan baju putih,lalu aku datang menemuinya dan baginda pun terbangun. Baginda bersabda: ‘Tidaklah seorang hamba yang mengucapkan “La ilaaha illallah” kemudian mati kerana itu melainkan dia akan masuk syurga’. Tanyaku selanjutnya: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri?’ Baginda mengulangi: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri’. Tanyaku lagi: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?’ Baginda menjawab: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri’. Tanyaku lagi: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?’ Baginda menjawab: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri’.” Walaupun sepertinya Abu Dzar kurang puas. Apabila Abu Dzar menceritakan hal ini,maka dia akan mengatakan: “Walaupun” sepertinya Abu Dzar kurang puas. Abu ‘Abdullah mengatakan: “Hal ini jika terjadi ketika seorang hamba itu meninggal atau sebelum dia meninggal lalu bertaubat dan menyesali perbuatannya serta mengucapkan “Laa ilaaha illallah”,maka dosa-dosanya akan terampuni.”
(HR. Bukhari,no.5827. Muslim,no.94)

Monday, June 3, 2013

Doa Tolak Bala: "Bismillahil Ladzi Laa Yadhurru.."

dari Aban bin Utsman,dia berkata,
“Aku mendengar Utsman bin ‘Affan berkata,Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesiapa sahaja yang membaca setiap pagi dan petang:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Bismillahil Ladzi Laa Yadhurru Ma‘asmihi Syai-un Fiil Ardhi Walaa Fissamaa-i Wa Huwas Sami‘ul ‘Aliim
(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya,segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan lagi memudharatkan,Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali,nescaya tiada sesuatu pun yang dapat memudharatkannya’.” Aban pernah mengalami lumpuh,lalu seorang lelaki melihat kepadanya. Aban berkata kepada lelaki itu: ‘Apa tengok-tengok? Sesungguhnya hadis (di atas) sebagaimana yang aku telah ceritakan kepada engkau. Tetapi aku tidak membacanya pada hari tersebut,lalu Allah menimpakan takdir-Nya ke atas diri ku’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3388. Ibnu Majah,no.3859. at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai 'Hasan Sahih Gharib')

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama ‘Abdurrahman bin Abi az-Zanad ‘Abdullah bin Dzakwan,yg mana kata Imam Ahmad bin Hanbal (tentangnya): “Mudhtharib al-Hadis (berbolak-balik hadisnya)”. Kata Yahya Ibn Ma'in & an-Nasaie: “Tidak boleh berhujjah dengan hadisnya”. Kata Abu Hatim: “Hadisnya ditulis namun tidak boleh berhujjah dengannya” (rujuk: Tahdzib at-Tahdzib,6/172). Walaupun hadis ini Dhaif,akan tetapi ia boleh diamal sebagai Fadhail A‘mal dengan syarat: tidak mempercayai secara pasti bahawa Doa ini dari Nabi ﷺ dan tidak mengatakan kepada orang lain bahawa “Doa ini Sunnah”,“Doa ini dari Nabi ﷺ” dan sewaktu dengannya.
Wallahua'lam bissowab.

Besar Pahala Solat Sunat 2 Rakaat Sebelum Solat Subuh

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Dua rakaat fajar itu lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.725)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Tidak pernah dilihat Nabi ﷺ begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana baginda ﷺ mengambil berat tentang dua rakaat fajar.”
(HR. Bukhari,no.1163/1169)

Perbanyak Menyebut 'Ya Dzal Jalali Wal Ikram' Ketika Berdoa

:: Hadis 1 ::
dari Anas,Nabi ﷺ bersabda,
“Berdoalah kamu dengan menyebut:
يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ya dzal jalali wal ikram
(Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3525 & 3524. at-Tirmidzi menilai hadis ini 'Gharib')

:: Hadis 2 ::
dari Rabi'ah bin Amir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Berdoalah kamu dengan menyebut:
يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ya dzal jalali wal ikram
(Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”
(HR. Ahmad,no.16935)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Hasan' (sahih) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi di dalam video beliau,ketika beliau ditanyakan tentang status hadith ini.

Kisah Pelacur Yang Masuk Syurga Kerana Seekor Anjing

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang lalu berhampiran seekor anjing berdekatan telaga sambil ia menjelirkan lidahnya. Hampir-hampir ia mati kerana rasa haus,lalu wanita itu menanggalkan kasutnya dan mengikatnya dengan selendangnya lantas mengambil air untuk anjing tersebut,maka pelacur itu diampuni kerana perkara tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3321)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika seekor anjing sedang mengelilingi sebuah perigi dan hampir sahaja kehausan membunuhnya. Seorang wanita pelacur daripada Bani Israel melihatnya. Wanita itu membuka kasutnya dan memberi anjing itu minum. Dosanya diampuni kerana hal tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3467)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum,maka telah diampunkan dosanya.”
(HR. Muslim,no.2245)

Jangan Ambil Semula Barang Yang Diberi

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu 'Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Yang mengambil semula apa dihibahkannya adalah seperti menjilat semula muntahnya.”
(HR. Bukhari,no.2621)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu 'Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu,iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”
(HR. Bukhari,no.2622)

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu 'Abbas dan Ibnu 'Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali,kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Bandingan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan,maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.”
(HR. Abu Daud,no.3539. at-Tirmidzi,no.2132. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

Jangan Berbisik Dua Orang

dari ‘Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu berada seramai tiga orang,maka janganlah berbisik-bisik berdua-duaan tanpa mengajak sekali orang ketiga,sehingga kamu bercampur gaul dengan manusia (bertambah jumlah). Hal ini kerana berbisik boleh membuat orang yang ketiga bersedih.”
(HR. Bukhari,no.6290. Muslim,no.2184)

Semua Kejahatan Akan Diadili Di Akhirat Nanti

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak,hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.”
(HR. Muslim,no.2582)

Doa Agar Allah Tetapkan Hati Diatas Agama Islam

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Mereka berdoa dengan berkata):
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِن أَنتَ الوَهّابُ
Robbana Laa Tuzigh Qulu Bana, Ba’Daidz Hadaitana, Wa Hablana Mil-Ladun Karoẖmah, Innaka Antal Wahhab
(Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yg melimpah-limpah pemberian-Nya)’.”
(Ali 'Imran [3]: ayat 8)

:: Hadis ::
dari Anas,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ selalu membanyakkan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ya Muqollibal Quluub,Tsabbits Qolbii ‘Alaa Diinik
(Wahai Yang membolak-balikkan hati! Teguhkan aku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: ‘Wahai Rasulullah,kami beriman kepadamu dan risalah yang kau bawa. Jadi,apakah engkau masih risau kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Ya,kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua jari dari jari-jari Allah yang mana Dia membolak-balikkan sesuai kehendak-Nya’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2140. Ibnu Majah,no.3824. Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau)

Larangan Berkata 'Aku Ini Jahat'

dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Jangan sekali-kali kamu mengatakan ‘khobutsat nafsi’ (diriku sangat buruk),akan tetapi hendaknya dia mengatakan ‘laqisat nafsi’ (diriku ada kekurangan).”
(HR. Bukhari,no.6179. Muslim,no.2250)

Dapat Nikmat Syurga Sesuai Yang Kita Inginkan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Sesungguhnya salah seorang lelaki ahli syurga meminta kepada Allah untuk bercucuk tanam. Lalu Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah kamu bebas melakukan apa sahaja yang kamu hendaki?’ Dia berkata: ‘Benar. Akan tetapi aku sangat suka bercucuk tanam’. Nabi ﷺ bersabda: Kemudian lelaki itu pun menyemai benih lalu tumbuh dengan subur dan apabila menuai,hasilnya seperti sebuah gunung. Lalu Allah berfirman: ‘Ambillah,wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada yang memuaskan hati kamu (kenyang)’. Lelaki Badwi itu pun berkata: ‘Demi Allah,tidak akan ditemui seperti itu melainkan kaum Quraisy atau Ansar. Ini disebabkan mereka golongan petani,sedangkan kami bukan golongan petani’. Lalu Nabi ﷺ tertawa.”
(HR. Bukhari,no.2348)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa orang ramai bertanya: ‘Ya Rasulullah,adakah kami akan melihat tuhan kami pada hari kiamat?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat bulan purnama ketika ia penuh?’ Sahabat menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat matahari ketika tiadanya kabus?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Kamu akan melihat Allah seperti itu. Allah akan mengumpulkan manusia pada hari Kiamat lalu berkata: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu,hendaklah dia mengikut apa yang dia sembah. Maka sesiapa yang menyembah matahari akan mengikut matahari,sesiapa yang menyembah bulan akan mengikut bulan,sesiapa yang menyembah thaghut-thaghut akan mengikut thaghut-thaghut. Tinggallah pada umat ini orang-orang yang baik’. Allah datang kepada mereka dan berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu. Mereka (iaitu orang beriman mengingkari lalu) berkata: ‘Kami akan tetap di tempat ini sehingga datang kepada kami tuhan kami. Apabila datangnya tuhan kami,kami akan mengenalinya’. Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka ketahui lalu berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu’. Mereka menjawab: ‘Engkau adalah tuhan kami’. Lalu mereka mengikutnya. Dibentangkan al-Sirath melintasi neraka. Aku dan umat ku akan menjadi yang awal melintasinya. Tiada sesiapa yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul,dan doa para rasul pada hari itu ialah: ‘Ya Allah,selamatkan, selamatkan’. Di neraka terdapat cangkuk-cangkuk seperti duri Al-Sa’dan. Adakah kamu pernah melihat pokok Al-Sa’dan?’ Sahabat menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya cangkuk ini seperti duri pokok Al-Sa’dan,tiada siapa yang tahu besarnya saiz dia kecuali Allah. Cangkuk-cangkuk itu akan menarik manusia berdasarkan amalan mereka.  Ada yang terjatuh ke dalam neraka dan kekal di dalamnya,sebahagian lagi dipotong dan dicampak ke dalam neraka,dan selainnya. Sehingga apabila Allah selesai memutuskan qadha untuk hamba-hambaNya,dan Dia mahu mengeluarkan dengan rahmat-Nya sesiapa yang Dia kehendaki. Lalu Allah menyuruh malaikat mengeluarkan dari neraka sesiapa yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun,dan sesiapa yang Allah kehendaki dengan rahmat-Nya daripada mereka yang bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Malaikat mengenali mereka di neraka dengan tanda sujud mereka. Api neraka akan membakar manusia kecuali pada bahagian sujud mereka. Allah mengharamkan ke atas neraka daripada membakar kesan sujud. Mereka keluar dari neraka dalam keadaan sudah terbakar. Disiram ke atas mereka air kehidupan,lalu mereka tumbuh di bawahnya sebagaimana tumbuhnya biji benih pada aliran sungai. Kemudian Allah selesai memutuskan nasib hamba-hambaNya. Lalu tinggal seorang lelaki yang wajahnya menghadap neraka,dan dia adalah penghuni neraka terakhir akan masuk ke syurga. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,palingkanlah wajah ku dari neraka. Sesungguhnya udaranya menggangguku dan kepanasannya membakarku’. Dia meminta kepada Allah apa yang dia kehendaki. Kemudian Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak,demi kemuliaan-Mu,aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Kemudian dia akan memberikan kepada tuhannya janji sebagaimana yang Allah kehendaki. Lalu Allah memalingkan wajahnya dari api neraka. Apabila dia menghadap ke arah syurga,dia melihatnya,lalu dia mendiamkan diri selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,hampirkanlah aku ke pintu syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku’,dia terus berdoa kepada Allah sehingga Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak,demi kemuliaan-Mu,aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Lalu dia berjanji kepada tuhannya,lalu dia digerakkan ke pintu syurga. Apabila dia berdiri di pintu syurga,terbuka untuknya syurga dan dia melihat kesenangan yang ada di dalamnya. Lalu dia mendiamkan diri selama yang Allah kehendaki,kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,masukkanlah aku ke dalam syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku,janganlah aku menjadi makhluk yang paling sengsara’. Dia terus berdoa sehingga Allah ketawa kepadanya. Selepas mentertawakannya,Allah berkata kepadanya: ‘Masuklah ke syurga’. Apabila dia telah masuk ke syurga,Allah berkata kepadanya: ‘Berharaplah untuk apa-apa sahaja’. Lalu lelaki itu memohon kepada Allah dan berharap untuk apa-apa yang dia mahu sehingga Allah mengingatkannya untuk mengharap perkara tertentu sehingga selesailah semua permintaannya. Allah berkata: ‘Itu semua untuk engkau dan yang semisalnya bersamanya’.”
(HR. Bukhari,no.7437)

Allah Mengampuni Dosa walaupun berkali-kali

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: ‘Ya Tuhan,aku telah berdosa. Ampunilah diri ku’. Lalu Allah menjawab: ‘Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku’. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: ‘Tuhan ku,aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini’. Lalu Allah menjawab: ‘Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku’. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: ‘Tuhan-ku,aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini’. Lalu Allah menjawab: ‘Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku (sebanyak tiga kali). Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki’.”
(HR. Bukhari,no.7507. Muslim,no.2758)

NOTA:
maksud kata Allah 'biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki' ialah buatlah apa yang dia mahu selagi dia terus meminta ampun apabila melakukan dosa,kerana meminta ampun dapat menghapus dosa yang dilakukan.

Jangan Mencela Demam

dari Jabir,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menjenguk Ummu al-Saib (atau Ummu al-Musayyib),kemudian baginda bertanya: ‘Apa yang terjadi denganmu wahai Ummu al-Sa’ib (atau wahai Ummu al-Musayyib),kenapa kamu menggigil?’ Beliau menjawab: ‘Sakit demam yang tidak ada keberkatan Allah padanya’. Maka baginda bersabda: ‘Janganlah kamu mencela demam kerana ia menghilangkan dosa anak Adam,sebagaimana alat pemanas besi mampu menghilangkan karat’.”
(HR. Muslim,no.2575)

Monday, April 15, 2013

Allah Turun Satu Pertiga Malam Untuk Makbulkan Doa

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam terakhir,lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku,nescaya Aku akan mengabulkannya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku nescaya Aku akan memberinya,sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya’.”
(HR. Bukhari,no.1145. Muslim,no.758)