:: Hadis 1 ::
dari Jabir,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menjenguk Ummu al-Saib (atau Ummu al-Musayyib), kemudian baginda bertanya: ‘Apa yang terjadi denganmu wahai Ummu al-Sa‘ib (atau wahai Ummu al-Musayyib), kenapa kamu menggigil?’ Beliau menjawab: ‘Sakit demam yang tidak ada keberkatan Allah padanya’. Maka baginda bersabda: ‘Janganlah kamu mencela demam kerana ia menghilangkan dosa anak Adam, sebagaimana alat pemanas besi mampu menghilangkan karat’.”
(HR. Muslim,no.2575)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Tidak ada penyakit yang menimpa diriku yang lebih aku sukai daripada demam, kerana ia masuk ke setiap anggota badanku, dan sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla memberikan kepada setiap anggota bahagiannya daripada pahala.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.503]. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,no.388])
:: Hadis 3 ::
dari Jabir,dia berkata,
“Demam datang menemui Nabi ﷺ dan meminta izin untuk masuk. Baginda bertanya: ‘Siapa kamu?’ Ia menjawab: ‘Aku adalah Ummu Mildam (demam)’. Baginda berkata: ‘Pergilah ke Quba' dan temui mereka’. Maka, ia pergi kepada mereka dan mereka mengalami demam yang sangat kuat. Mereka berkata: ‘Wahai Rasulullah, apa pendapatmu tentang apa yang kami alami dengan demam ini?’ Baginda menjawab: ‘Jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah untuk menyembuhkan kalian, dan jika kamu mahu, ia akan menjadi penebus dosa bagi kalian’. Mereka menjawab: ‘Biarlah ia menjadi penebus dosa’.”
(HR. Ibnu Hibban,no.2935. Ahmad,no.14393. Abu Ya’la,no.1892. al-Hakim,no.1280. Dengan sedikit perbezaan-perbezaan lafaz)
NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Mawarid azh-Zhaman,no.581). Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth: “Isnadnya sahih menurut syarat (sahih) Muslim” (rujuk: Takhrij Sahih Ibn Hibban,no.2935).
:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Telah masuk seorang lelaki Arab Badwi kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepadanya: ‘Adakah kamu pernah terkena Ummu Mildam?’ Dia bertanya: ‘Apa itu Ummu Mildam?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Panas yang berlaku di antara kulit dan daging (demam)’. Dia berkata: ‘Aku tidak pernah mengalami itu’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu pernah mengalami sakit kepala?’ Dia bertanya: ‘Apa itu sakit kepala?’ Baginda menjawab: ‘Ia adalah urat-urat yang berdenyut di kepala seseorang’. Dia berkata: ‘Aku tidak pernah mengalami itu’. Kemudian, apabila lelaki itu berlalu pergi, baginda bersabda: ‘Sesiapa yang ingin melihat (contoh) seorang lelaki daripada penghuni neraka, maka lihatlah kepada orang ini’.”
(HR. Ahmad,no.8395. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubro,7491]. al-Hakim,no.1283. Dan ini lafaz Ahmad)
NOTA:
Hadis ini dinilai hasan oleh imam al-Haitsami, dengan katanya: “Isnadnya hasan” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,2/297). Dinilai hasan oleh Syaikh Muqbil al-Wadi‘i (rujuk: al-Sahih al-Musnad,1265), dinilai hasan sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Mawarid azh-Zhaman,no.580). Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth: “Isnadnya hasan, namun terdapat nakarah (kejanggalan) pada matannya” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.8395).
:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang Badwi datang, lalu Nabi ﷺ bertanya: ‘Adakah engkau pernah mengalami Ummu Mildam?’ Dia bertanya: ‘Apakah Ummu Mildam itu?’ Baginda menjawab: ‘Panas antara kulit dan daging (demam)’. Lelaki itu menjawab: ‘Tidak pernah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah engkau pernah mengalami sakit kepala?’ Dia bertanya: ‘Apa itu sakit kepala?’ Baginda menjawab: ‘Angin yang berlegar di kepala dan memukul urat-urat’. Lelaki itu menjawab: ‘Tidak pernah’. Setelah lelaki itu pergi, Nabi ﷺ bersabda: ‘Sesiapa yang ingin melihat (contoh) seorang lelaki dari kalangan ahli neraka, maka lihatlah dia’.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.495]. al-Bazzar,no.7981. Ibnu Hibban,no.2916. Dan ini lafaz Bukhari. Dinilai hasan sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,no.381])
No comments:
Post a Comment