Wednesday, May 15, 2024

Menasihati Orang Dengan Cara Yang Baik

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Pergilah kamu berdua (Nabi Musa dan Nabi Harun) kepada Fir’aun,sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya,dengan kata-kata yang lemah-lembut,semoga ia beringat atau takut.”
(Taha [20]: ayat 43 - 44)

:: Hadis 1 ::
dari Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami,dia berkata,
“Ketika aku sedang menunaikan solat bersama Rasulullah ﷺ,tiba-tiba seorang lelaki bersin. Aku pun ucapkan kepadanya: ‘Yarhamukallah’. Lalu semua orang melihat kepadaku. Aku pun bertanya: ‘Mengapa kamu semua melihatku?’ Mereka pun menepuk tangan mereka ke pehaku. Aku lihat mereka semua menghendaki aku diam. Apabila selesai solat,sungguh aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas baginda yang lebih baik pengajarannya daripada baginda. Demi Allah,baginda tidak memasamkan muka kepadaku,tidak memukul dan tidak mengata padaku. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bagi solat itu,tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia,sebaliknya hanyalah untuk tasbih,takbir dan bacaan al-Quran’.”
(HR. Muslim,no.537)

:: Hadis 2 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Sekumpulan orang Yahudi meminta izin kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assaamu'alaika (maut ke atasmu)’. Aku menjawab: ‘Bal 'alaikum assamu wal la'nah (Bahkan untuk kamu maut dan juga laknat)’. Maka Nabi bersabda: ‘Wahai 'Aisyah,sesungguhnya Allah itu lunak dan mencintai kelunakkan di dalam semua urusan’. Aku menjawab: ‘Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?’ Baginda menjawab: ‘Aku menjawab ‘wa'alaikum (ke atas kamu juga)’.”
(HR. Bukhari,no.6927. Muslim,no.2165)

Saturday, May 11, 2024

Orang Kafir Yang Baik Dibalas Kebaikannya Oleh Allah Ketika Di Dunia Sahaja

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam,maka tidak akan diterima daripadanya,dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”
(Ali ‘Imran [3]: ayat 85)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Perumpamaan orang yang ingkar kepada Tuhannya,perbuatan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin keras pada suatu hari yang berangin kencang. Mereka tidak kuasa (mendatangkan manfaat) sama sekali dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.”
(Ibrahim [14]: ayat 18)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik),lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.”
(al-Furqan [25]: ayat 23)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Wahai Rasulullah,ibn Jud’an adalah seorang yang menghubungkan silaturrahim pada zaman Jahiliyyah,dia banyak memberi makan pada orang miskin,apakah amalannya bermanfaat buatnya di sisi Allah?’ Rasulullah lalu menjawab: ‘Tidak. Tidak ada manfaat buatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan: Wahai Tuhanku,ampunkan dosaku pada hari akhirat nanti’.”
(HR. Muslim,no.214)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seorang mukmin yang membuat amalan kebaikan kerana dia akan diberi balasan kebaikan di atas dunia,dan akan dibalas juga di akhirat kelak. Ada pun orang kafir mereka akan diberi ganjaran kebaikan di atas dunia terhadap perbuatan mereka tetapi di akhirat kelak tiada ganjaran yang akan diberikan.” Dalam riwayat lain: “Sesungguhnya orang kafir jika dia melakukan amalan kebaikan,maka dia akan dibalas dengan kebaikan di atas dunia. Ada pun orang yang beriman,Allah Ta’ala akan membalas amalan kebaikannya di akhirat kelak,dan menyediakan ganjaran rezeki di atas dunia kerana ketaatannya.”
(HR. Muslim,no.2808)

Friday, May 10, 2024

Allah Makbulkan Doa Dengan 3 Cara

dari Abu Sa’id,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim berdoa yang tidak mengandungi dosa dan tidak bertujuan memutus silaturrahim,melainkan Allah akan mengabulkannya dengan tiga cara: Allah akan mengabulkan doanya dengan segera,Allah akan menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak,Allah akan memalingkan darinya keburukan seumpamanya’. Mereka (para sahabat) berkata: ‘Kalau begitu,kami akan memperbanyak berdoa’. Baginda bersabda: ‘Allah akan banyak mengabulkan doa-doa kamu’.”
(HR. Ahmad,no.10709. Dinilai ‘sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,547])

Tuesday, May 7, 2024

Tiada Orang Yang Bujang Dalam Syurga

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya orang yang awal masuk ke dalam syurga ialah atas rupa bulan purnama dan yang mengiringinya pula atas rupa seperti bintang yang sangat terang sinarnya di langit. Bagi setiap ahli syurga dari mereka itu dua isteri yang mana dapat dilihat dari belakang daging akan sumsum dua betisnya dan tiadalah di dalam syurga itu orang yang bujang.”
(HR. Muslim,no.2834)

Allah Merahmati Suami Isteri Yang Membangunkan Pasangannya Untuk Menunaikan Solat Malam (Qiyamullail)

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah memberi rahmat kepada lelaki yang bangun pada malam hari,lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Kemudian isterinya pula bangun menunaikan solat. Jika isterinya enggan bangun,dia merenjiskan air ke wajah isterinya. Allah juga memberi rahmat kepada wanita yang bangun pada malam hari,lalu dia menunaikan solat dan mengejutkan suami. Kemudian suaminya bangun menunaikan solat. Jika suaminya enggan bangun,dia merenjiskan air ke wajah suaminya.”
(HR. Abu Daud,no.1308. an-Nasaie,no.1610. Ibnu Majah,no.1336)

NOTA:
Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah meriwayatkan hadis ini,dan diamnya imam Abu Daud bermaksud hadis itu ‘Soleh’ (sahih) disisi beliau. Hadis ini juga dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Sunday, May 5, 2024

Perkara Yang Disukai Banyak Menjerumus Ke Neraka

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Neraka diselaputi perkara-perkara yang disukai, manakala syurga diselaputi perkara-perkara yang tidak disukai.”
(HR. Bukhari,no.6487)

Doa Yang Rasulullah Simpan Untuk Umatnya Di Akhirat Kelak

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap nabi mempunyai satu doa yang akan diperkenankan, dan setiap nabi bersegera untuk berdoa dengannya. Dan sesungguhnya aku ingin menyimpan doaku sebagai syafaat (pertolongan) untuk umatku di akhirat nanti, dan ia diperolehi, dengan izin Allah, bagi sesiapa yang mati di kalangan umatku dalam keadaan tidak menyekutukan Allah dengan suatu apa pun.”
(HR. Bukhari,no.6304. Muslim,no.199)

Saturday, May 4, 2024

Memberi Hadiah Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menerima hadiah dan baginda membalasnya.”
(HR. Bukhari,no.2585)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya kamu akan saling mengasihi.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.594])

NOTA:
Hadis ini sanadnya dinilai ‘Jayyid’ (baik: Sahih) oleh imam al-‘Iraqi (rujuk: Takhrij al-Ihya’,2/53). Sanad hadis ini juga dinilai ‘Hasan’ oleh imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuj: Talkhis al-Habir,3/1047).

Menipu Itu Haram Kecuali...

dari Ummu Kultsum binti ‘Uqbah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah dikira orang yang banyak berdusta,siapa yang mahu mendamaikan antara dua orang yang berselisih,lalu diterbitkan daripadanya segala yang baik-baik atau dia berkata apa yang baik.”
(HR. Bukhari,no.2692. Muslim,no.4724)

NOTA:
Kata Ibnu Syihab: “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah membolehkan orang berdusta melainkan dalam 3 keadaan: Ketika dalam peperangan,dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya” (rujuk: Sahih Muslim,no.2605)

Wajah Wanita Bukan Aurat

dari ‘Abdullah bin ‘Abbas,dia berkata,
“Pernah suatu ketika al-Fadhl membonceng Rasulullah ﷺ lalu ada seorang wanita dari Khats’am datang. al-Fadhl memerhatikan wanita itu (yang diriwayatkan sebagai cantik) dan wanita itu pun melihat ke arah al-Fadhl. Nabi ﷺ pun memalingkan wajah al-Fadl ke arah lainnya. Lalu wanita itu berkata: ‘Wahai Rasulullah,sesungguhnya Allah mewajibkan ke atas para hamba-Nya untuk menunaikan haji. Aku mendapati bapaku seorang yang sudah tua,sehingga tidak mampu untuk menunggang haiwan tunggangan. Adakah aku boleh melaksanakan haji untuknya?’ Baginda bersabda: ‘Ya (boleh)’. Demikian (perkara ini) berlaku ketika baginda melaksanakan haji wada’.”
(HR. Bukhari,no.1513. Muslim,no.1334. an-Nasaie,no.2642)

Thursday, May 2, 2024

Ganjaran Bagi Orang Yang Menyebarkan Ilmu Yang Bermanfaat Dan Kesan Mengajar Perbuatan Buruk Kepada Orang Lain

:: Hadis 1 ::
dari Jarir bin ‘Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah (amalan) yang baik,lalu diamalkan orang selepasnya,dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya,dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun. Dan barangsiapa yang memulakan dalam Islam suatu sunnah (amalan) yang buruk,lalu diamalkan orang selepasnya,dituliskan baginya dosa sesiapa yang beramal dengannya,tanpa berkurang dengan satu dosa suatu apa pun.”
(HR. Muslim,no.1017)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Mas’ud al-Ans̄ari,Nabi ﷺ bersabda,
“..Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”
(HR. Muslim,no.1893)

Saturday, April 27, 2024

Berpegang Teguh Dengan Sunnah Nabi Dan Sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin

dari Abu Najih al-Irbadh bin Sariah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ memberi nasihat kepada kami yang  membuatkan hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata: ‘Ya Rasulullah,seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan,maka berilah kami wasiat’. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Aku wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah,tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada dalam kalangan kamu yang hidup  (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk,gigitlah (peganglah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada-adakan,kerana semua perkara bid’ah adalah sesat’.”
(HR. Abu Daud,no.4607. at-Tirmidzi,no.2676. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

Allah Mencipta 100 Rahmat: 1 Diturunkan Ke Bumi,99 Disimpan Di Akhirat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah telah menciptakan 100 rahmat. Allah simpan di sisi-Nya 99 rahmat dan menurunkan satu rahmat pada semua makhluk-Nya. Seandainya orang kafir tahu tentang semua rahmat yang ada di sisi Allah,mereka tidak akan berputus asa daripada memasuki syurga. Seandainya orang beriman tahu semua azab yang ada di sisi Allah,dia tidak akan berasa selamat daripada neraka.”
(HR. Bukhari,no.6469)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Allah menurunkan satu rahmat untuk jin,manusia,haiwan dan serangga. Dengan satu rahmat tersebut terhasilnya perasaan saling mengasihi sesama makhluk. Dengan satu rahmat tersebut juga seekor haiwan liar bersikap lunak kepada anaknya. Allah menyimpan 99 rahmat lagi dan dengan 99 rahmat tersebut Allah akan mengasihi para hamba-Nya (yang beriman) di hari kiamat.”
(HR. Muslim,no.2752)

:: Hadis 3 ::
dari Salman al-Farsi,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah memiliki 100 rahmat. Daripadanya terdapat 1 rahmat yang mana dengannya makhluk-makhluk saling berkasih sayang antara mereka. 99 rahmat lagi adalah untuk hari Kiamat.”
(HR. Muslim,no.2753)

Saturday, April 20, 2024

Ketika Seorang Nabi Yang Dipukul Sehingga Berdarah

dari ‘Abdullah bin Mas'ud,dia berkata,
“Aku seakan masih melihat Rasulullah ﷺ menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah,sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: ‘Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu’.”
(HR. Bukhari,no.3477. Muslim,no.1792)

Friday, April 19, 2024

Sunnah Ketika Bersin

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawasanya apabila Nabi ﷺ bersin,baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suara.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2745. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang daripada kamu bersin,maka hendaklah ia menyebut الْحَمْدُ لِلَّهِ (Alẖamdulillah: Segala puji bagi Allah). Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya يَرْحَمُكَ اللَّهُ (Yarẖamukallah: Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadamu). Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) يَرْحَمُكَ اللَّهُ,maka hendaklah menyebut يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ (Yahdikumullah wa yus̄lihu balakum: Semoga Allah memberikan petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).”
(HR. Bukhari,no.6224)

NOTA:
Syarat untuk mengamalkan sunnah ini adalah orang yang bersin hendaklah mengucapkan “Alhamdulillah” terlebih dahulu. Jika orang yang bersin tidak mengucapkan “Alhamdulillah”,maka tidak disunatkan untuk mengucapkan “Yarhamukallah” sebagaimana yang disabdakan Rasulullah dalam hadis-hadis sahih:

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima,iaitu: Menjawab salam,menziarahi orang yang sakit,mengiringi jenazah,memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”
(HR. Bukhari,no.1240. Muslim,no.5778)

:: Hadis 4 ::
dari Anas,dia berkata,
“Dua orang lelaki telah bersin di sisi Nabi ﷺ,lalu baginda hanya mendoakan kepada salah seorang daripada mereka,dan baginda tidak mendoakan kepada yang seorang lagi. Maka lelaki yang tidak didoakan oleh Nabi itu bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Kamu mendoakan lelaki ini dan tidak mendoakan kepadaku’. Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya lelaki ini memuji Allah,sedangkan kamu tidak memuji Allah’.”
(HR. Bukhari,no.6225)

NOTA:
Jika sedang melaksanakan solat,tidak disunatkan bahkan dilarang untuk menyebut “Yarhamukallah” kerana di dalam solat tidak dibenarkan berkata-kata kecuali menyebut bacaan-bacaan yang khusus untuk solat sahaja,kerana terdapat dalam hadis sahih tentang larangannya:

:: Hadis 5 ::
dari Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami,dia berkata,
“Ketika aku sedang menunaikan solat bersama Rasulullah ﷺ,tiba-tiba seorang lelaki bersin. Aku pun ucapkan kepadanya: ‘Yarhamukallah’. Lalu semua orang melihat kepadaku. Aku pun bertanya: ‘Mengapa kamu semua melihatku?’ Mereka pun menepuk tangan mereka ke pehaku. Aku lihat mereka semua menghendaki aku diam. Apabila selesai solat,sungguh aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas baginda yang lebih baik pengajarannya daripada baginda. Demi Allah,baginda tidak memasamkan muka kepadaku,tidak memukul dan tidak mengata padaku. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bagi solat itu,tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia,sebaliknya hanyalah untuk tasbih,takbir dan bacaan al-Quran’.”
(HR. Muslim,no.537)