Friday, March 15, 2024

Sahur Dan Kelebihannya

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Bersahurlah,kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”
(HR. Bukhari,no.1923)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Said al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Maka,janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air,kerana sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla dan para malaikat-Nya mendoakan ke atas orang yang bersahur.”
(HR. Ahmad,no.10664 & 10969)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi tentang kesahihannya. Syaikh al-Albani menilai hadis ini sebagai ‘Hasan’ (rujuk: Sahih al-Jami',no.3683). Namun,Syaikh Musthofa al-'Adawi menilai hadis ini sebagai ‘Dhaif’ dalam video beliau.

:: Hadis 3 ::
dari ‘Amr bin al-‘As,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”
(HR. Muslim,no.1096)

:: Hadis 4 ::
dari Anas,bahawa Zaid bin Tsabit berkata,
“Kami bersahur bersama Nabi ﷺ. Kemudian Baginda berdiri untuk solat”. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.”
(HR. Bukhari,no.1921)

NOTA:
Ibnu Hajar al-'Asqalani berkata bahawa anggaran bacaan 50 ayat adalah kadar bacaan sederhana,tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat (rujuk: Fath al-Bari,4/139). Anggarannya dalam 15 - 20 minit sebelum masuk waktu Subuh.

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: ‘Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku,nescaya Aku perkenankan baginya. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku,nescaya Aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku,nescaya Aku akan mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.1145)

NOTA:
Walaupun hadis ini secara umum (bukan khusus tentang Sahur),tetapi secara tidak langsung hadis ini menunjukkan bahawa waktu Sahur itu waktu yang dimakbulkan doa,kerana waktu sahur termasuk di dalam “sepertiga malam terakhir”.
Wallahua'lam.

Bumi Dijadikan Sebagai Tempat Sujud

dari Abu Dzar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Di mana saja kamu menemui solat,maka solatlah kerana bumi dijadikan sebagai tempat sujud.”
(HR. Bukhari,no.3425. Muslim,no.520)

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Solat ditempat tinggal syaitan adalah makruh dengan persepakatan ulama’,seperti tempat minum arak,bar,tempat najis dan seumpamanya daripada tempat-tempat maksiat dan dosa yang besar,gereja,tempat perniagaan,tempat perjudian,dan sebagainya. Jika dia solat di salah satu daripada tempat-tempat ini tanpa menyentuh najis dengan tangan atau pakaian,solatnya adalah sah tetapi hukumnya makruh” (rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab,3/162).

Kelebihan Solat Tarawih

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yg melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan,maka akan diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.”
(HR. Bukhari,no.37. Muslim,no.759)

NOTA:
Kata imam an-Nawawi: “yang dimaksudkan dengan “Qiyam Ramadhan” adalah “Solat Tarawih” (rujuk: Syarah Sahih Muslim,6/39).

Tuesday, March 12, 2024

Azab Orang Yang Meninggalkan Solat Fardhu,Ada Ilmu al-Quran Tapi Tidak Mengamalkannya,Suka Menipu,Berzina & Pemakan Riba

Samurah bin Jundab,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ sering bertanya kepada sahabat-sahabatnya: ‘Adakah ada daripada kamu yang bermimpi?’ Lalu sesiapa yang dikehendaki Allah akan menceritakan (mimpinya) kepada baginda ﷺ. Pada satu pagi,baginda ﷺ berkata: “Sesungguhnya malam tadi,datang dua (malaikat) kepada ku (di dalam mimpi). Mereka berdua mengejutkan aku. Mereka berkata kepada aku: ‘Bergeraklah’. Maka aku bergerak bersama mereka. Kami bertemu dengan seseorang lelaki yang sedang berbaring,dan ada seorang lelaki lagi sedang berdiri sambil memegang batu yang besar. Lelaki yang memegang batu itu menjatuhkan batu besar itu ke atas kepala lelaki yang berbaring tadi. Lalu berkecailah kepalanya. Batu itu bergolek dan lelaki yang menjatuhkan batu itu mengikut batu itu dan mengambilnya kembali. Apabila lelaki yang mengambil itu kembali kepada lelaki yang berbaring tersebut,keadaan kepalanya sudah kembali pulih seperti sedia kala. Lelaki itu mengulangi perbuatannya seperti yang dia lakukan pada kali pertama (iaitu menjatuhkan batu besar itu ke kepala lelaki yang berbaring itu). Aku bertanya kepada mereka berdua: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang lelaki tadi?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehinggalah kami menemui seorang lelaki yang sedang terlentang di atas tengkuknya,dan ada seorang lagi lelaki sedang berdiri di atasnya dengan memegang pencangkuk yang diperbuat daripada besi. Lelaki yang memegang pencangkuk tadi pergi ke satu bahagian wajah lelaki yang berbaring tadi,lalu dia mencarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuknya,mencarik dari lubang hidungnya hingga ke tengkuknya,dan mencarik dari matanya hingga ke tengkuknya. Kemudian lelaki itu beralih pula sisi wajah yang satu lagi,lalu dia melakukan seperti mana yang dia lakukan pada sisi wajah yang tadi. Tidaklah dia selesai melakukan hal tersebut pada sisi wajah itu melainkan bahagian wajah yang pertama dicarik tadi sudah pulih seperti asalnya. Kemudian lelaki itu akan kembali ke bahagian wajah yang sudah pulih itu lalu melakukan sebagaimana yang dia lakukan pada kali pertama tadi. Aku berkata: ‘Maha suci Allah. Siapakah dua orang ini?’ Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Bergeraklah’. Lalu kami pun bergerak sehingga kami sampai ke satu tempat yang bentuknya seperti tempat membakar roti. Kedengaran di dalam tempat tersebut jeritan suara. Kami meninjau ke dalamnya lalu kami dapati di dalam tempat tersebut terdapat lelaki dan wanita yang dalam keadaan bertelanjang. Api datang menjamah mereka dari arah bawah mereka. Apabila api itu datang ke arah mereka,maka mereka akan menjerit. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: (Tempat seperti bekas membakar roti itu) bahagian atasnya sempit dan bawahnya luas. Dinyalakan di bawahnya api. Apabila api itu marak menjulang ke atas,penghuni di dalamnya naik ke atas sehingga hampir-hampir keluar darinya,apabila api itu telah reda,maka mereka kembali ke dalam tempat tersebut). Aku bertanya kepada dua malaikat: ‘Siapakah mereka (iaitu orang-orang yang di dalam tempat seperti pembakar roti)?’ Kedua-dua malaikat menjawab: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami sampai di sebatang sungai yang merah seperti darah. Di dalam sungai itu terdapat seorang lelaki yang sedang berenang,manakala di tebing sungai terdapat seorang lelaki yang mengumpulkan banyak batu bersamanya. Apabila lelaki yang berenang itu terus berenang sehinggalah dia sampai ke tempat lelaki yang mengumpulkan banyak batu tadi,lalu perenang itu membukakan mulutnya,dan lelaki yang di tebing sungai itu mencampakkan batu ke dalam mulut perenang tadi. Lalu perenang tadi terus berenang,kemudian datang kembali ke tempat lelaki di tebing sungai itu. Setiap kali dia kembali ke lelaki itu,dia akan membuka mulutnya dan lelaki itu mencampakkan batu ke dalam mulutnya. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah dua orang tersebut?’ Kedua-dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu dengan seorang lelaki yang sangat hodoh wajahnya,seolah-olah itu adalah manusia paling hodoh yang pernah engkau lihat. Bersama dengan lelaki itu adalah api,dia menyalakannya dan mengelilingi api itu. Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat lagi: ‘Siapakah lelaki ini?’ Mereka berkata: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga kami bertemu kami sampai ke satu taman yang sangat rimbun pokok-pokoknya dengan segala jenis warna bunga-bunganya. Di tengah-tengah taman tersebut terdapat seorang lelaki yang tinggi,hampir-hampir aku tidak dapat melihat kepalanya kerana tingginya sehingga ke langit. Di sekeliling lelaki itu terdapat kanak-kanak yang sangat ramai yang pernah aku lihat. Aku bertanya kepada dua malaikat itu: ‘Siapakah lelaki ini,dan siapa pula kanak-kanak itu?’ Dua malaikat itu menjawab: ‘Bergeraklah,bergeraklah’. Lalu kami bergerak sehingga sampai ke taman yang sangat besar. Tidak pernah aku lihat taman yang lebih besar dan lebih cantik daripada taman itu. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Panjatlah taman itu’. Lalu kami memanjatnya sehingga kami sampai ke satu bandar yang dibina daripada batu-bata yang diperbuat daripada emas dan perak. Kami pergi ke pintu bandar itu lalu meminta agar pintu itu dibuka. Maka dibukakan pintu itu untuk kami. Kami masuk dan kami bertemu dengan sekelompok manusia yang separuh daripada tubuh badan mereka adalah secantik-cantik yang pernah engkau lihat,manakala separuh daripada tubuh badan mereka pula adalah sehodoh-hodoh yang pernah engkau lihat. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada mereka: ‘Pergilah dan masuk ke dalam sungai itu’. Sungai itu adalah sungai yang mengalir dan airnya putih seolah-olah susu yang asli. Mereka pergi dan masuk ke dalam sungai tersebut. Kemudian mereka kembali kepada kami dalam keadaan telah hilang rupa yang hodoh daripada tubuh mereka, dan mereka berubah menjadi sebaik-baik bentuk. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Kedua malaikat itu menaikkan aku ke atas pokok itu, dan memasukkan aku ke dalam rumah yang paling indah yang pernah aku lihat. Di dalamnya terdapat kaum lelaki tua dan muda, wanita dan kanak-kanak. Kemudian kedua malaikat itu mengeluarkan aku dari tempat itu dan menaikkan aku ke atas pokok dan memasukkan aku ke dalam satu rumah yang lain pula. Rumah itu lebih indah dan baik. Di dalamnya terdapat lelaki tua dan muda). Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah syurga ‘Adn. Ini pula adalah rumah engkau’. Lalu aku pun mengangkat pandangan ku ke atas. Aku melihat terdapat sebuah istana seperti awan-awan yang putih. Kedua-dua malaikat itu berkata kepada ku: ‘Ini adalah rumah engkau’. Aku berkata kepada mereka berdua: ‘Semoga Allah memberkati kamu. Tinggalkanlah aku supaya aku dapat masuk ke dalamnya’. Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Sekarang tidak boleh,akan tetapi engkau akan memasukinya jua (selepas mati nanti). Aku bertanya kepada kedua-dua malaikat itu: ‘Sesungguhnya sejak malam tadi aku telah melihat perkara-perkara yang pelik. Apakah perkara-perkara yang telah aku lihat itu?’ Kedua-dua malaikat itu berkata: ‘Kami akan beritahu kepada mu. Lelaki yang pertama yang engkau datang kepadanya,lalu kepalanya dipecahkan dengan batu. Sesungguhnya dia adalah lelaki yang mengambil al-Quran lalu menolaknya,dan dia tidur daripada menunaikan solat fardhu. (Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Dia adalah seorang lelaki yang telah Allah berikan ilmu tentang al-Quran,akan tetapi dia tidur daripadanya pada waktu malam,dan tidak beramal dengannya di waktu siang). Lelaki yang engkau lihat dicarik hujung mulutnya sehingga ke tengkuk,lubang hidungnya hingga ke tengkuk,dan matanya hingga ke tengkuk,adalah lelaki yang keluar dari rumahnya lalu banyak menipu. Lelaki dan perempuan yang bertelanjang di dalam tempat seperti tempat membakar roti ialah wanita dan lelaki yang berzina. Lelaki yang engkau lihat berenang di sungai dan diberi makan batu,dia adalah pemakan riba. Lelaki yang hodoh wajahnya yang bersama api yang dia nyalakan dan mengelilinginya,itu adalah malaikat Malik,penjaga neraka. Lelaki yang tinggi di taman itu adalah Nabi Ibrahim. Kanak-kanak yang ada di sekelilingnya adalah setiap kanak-kanak yang mati dalam keadaan fitrah’. Sebahagian sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah,bagaimana pula dengan anak orang Musyrikin? Baginda menjawab: ‘Begitu juga anak-anak orang musyrikin (mereka akan berada di situ seperti anak-anak orang Islam)’. Kelompok manusia yang separuh tubuhnya elok,dan separuhnya rosak. Mereka adalah kelompok yang mencampurkan amal soleh mereka dengan amal kejahatan,akan tetapi Allah telah mengampuni mereka.(Dalam riwayat Jarir bin Hazim: Rumah yang pertama yang aku masuki adalah rumah kebanyakan orang beriman,manakala rumah yang kedua adalah rumah mereka yang mati syahid). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim,kedua-dua malaikat itu akhirnya memperkenalkan diri mereka: ‘Aku adalah Jibril,dan ini Mikail). (Dalam riwayat Jarir bin Hazim juga disebutkan: ‘Dilaksanakan (azab itu) sehingga hari kiamat’).”
(HR. Bukhari,no.7047 & 1386)

Wednesday, March 6, 2024

Aduan Wanita Yang Didengari Oleh Allah Dari Atas Langit Ketujuh

dari Abu Zaid,dia berkata,
“Bahawa Umar melintasi seorang wanita tua,lalu wanita itu memintanya berhenti,maka Umar pun
berhenti lalu berbicara dengannya,maka seorang lelaki berkata kepada Umar: ‘Wahai amirul mukminin,engkau menahan orang-orang kerana perempuan tua ini’. Umar pun berkata: ‘Celaka kau,tahukah engkau,siapa dia? Dia adalah wanita yang Allah mendengarkan pengaduannya dari atas langit ke tujuh,inilah Khaulah yang berkenaan dengannya Allah menurunkan ayat: ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya’ (al-Mujadilah [58]: ayat 1)”
(HR. Bukhari [rujuk: at-Tarikh,7/245]. ‘Ustman ad-Darimi [rujuk: Radd 'ala al-Jahmiyyah,274]. adz-Dzahabi [rujuk: al-'Uluw,63])

NOTA:
Atsar ini dinilai 'Dhaif' oleh Imam Ibnu Hatim dengan katanya: “Ini munqothi' (terputus sanad) antara Abu Zaid dan Umar,dan ia telah diriwayatkan dari wajah yang lain” (rujuk: Ibnu Katsir,Tafsir Ibnu Katsir,8/60-61). Imam adz-Dzahabi juga berkata sanad hadis ini terputus,kerana Abu Zaid tidak bertemu Umar (rujuk: al-'Uluw,63).

Tuesday, March 5, 2024

Rasulullah ﷺ Suka Manisan Dan Madu

dari 'Aisyah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menyukai manisan dan madu”
(HR. Bukhari,no.5614)

Monday, March 4, 2024

“Umatku,Umatku” Bukan Ucapan Rasulullah ﷺ Sebelum Wafat

dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat nanti akan bersesak-sesak antara satu sama lain seperti ombak. Mereka akan datang kepada Nabi Adam dan berkata: ‘Syafaatilah kami kepada tuhan mu’. Nabi Adam menjawab: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian berjumpa Nabi Ibrahim. Dia adalah Khalil Ar-Rahman’. Mereka datang kepada Nabi Ibrahim,lalu baginda berkata: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian kepada Musa,sesungguhnya dia Kalimullah’. Lalu mereka pergi kepada Nabi Musa,lalu baginda menjawab: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Pergilah kalian kepada Isa,sesungguhnya dia adalah ruh yang Allah ciptakan dan kalimah-Nya’. Lalu mereka datang kepada Nabi Isa lalu baginda berkata: ‘Aku tidak boleh melakukannya. Akan tetapi pergilah kalian kepada Muhammad ﷺ’. Lalu mereka datang kepada baginda,dan baginda berkata: ‘Aku akan melakukannya’. Baginda berkata: “Aku akan memohon keizinan tuhan ku,dan Dia akan memberikan keizinan kepada ku. Kemudian Allah akan mengilhamkan kepada aku pujian-pujian yang akan aku memuji-Nya yang sekarang aku tidak tahu tentangnya. Aku akan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut dan aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Lalu diseru: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada sebiji gandum keimanan’. Aku pun pergi dan melakukan hal itu. Kemudian aku kembali dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada sebesar biji sawi keimanan’. Aku pun pergi dan melakukan hal itu. Kemudian aku kembali dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepada-Nya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi. Berilah syafaat nescaya syafaat itu akan diberi’. Lalu aku pun berkata: ‘Tuhan ku,umat ku,umat ku’. Lalu disebut: ‘Pergilah dan keluarkanlah sesiapa yang dalam hatinya ada keimanan yang lebih kecil daripada biji sawi’. Keluarkan dia dari neraka. Aku pun pergi dan melakukannya.”

Apabila kami (iaitu orang-orang yang bertanya kepada Anas tadi tentang hadis syafaat) pulang daripada menemui Anas,aku (iaitu Ma'bad) berkata kepada sahabat-sahabat kami: “Apa kata jika kita pergi menemui al-Hasan. Dia berada di rumah Abu Khalifah lalu kita sampaikan kepada al-Hasan tentang apa yang Anas sampaikan kepada kami. Lalu kami pun menemui beliau dan memberi salam kepadanya. Dia mengizinkan kami dan kami berkata kepadanya: ‘Wahai Abu Said,kami baru tiba dari menemui saudara mu Anas bin Malik. Kami tidak pernah mendengar seperti apa yang dia baru sampaikan kepada kami tentang syafaat’.
Al-Hasan berkata: ‘Teruskan kata-kata engkau. Lalu kami pun menyampaikan hadis tersebut dan berhenti (pada apa yang telah Anas sampaikan)’. Al-Hasan berkata: ‘Teruskan lagi’. Kami menjawab: ‘Dia tidak menyampaikan kepada kami lebih daripada ini. Sesungguhnya dia telah menyampaikan kepada aku kisah ini secara penuh sejak 20 tahun yang lain. Aku tidak tahu adakah dia lupa atau tidak suka nanti kamu akan bertawakkal sahaja’. Kami berkata: ‘Wahai Abu Sa'id,sampaikanlah kepada kami’. Beliau ketawa dan berkata: ‘Manusia diciptakan tergesa-gesa. Aku tidak akan menyebutkannya kecuali aku memang mahu menceritakannya kepada kamu’. Anas menyampaikan kepada aku sebagaimana dia sampaikan kepada kamu”. al-Hasan berkata,(Rasulullah ﷺ bersabda): “Kemudian aku kembali untuk kali yang keempat dan memuji Allah dengan pujian-pujian tersebut. Kemudian aku tersungkur bersujud kepadaNya. Kemudian disebutkan: ‘Ya Muhammad,angkatlah kepala mu. Sebutlah nescaya apa yang engkau sebut akan didengari. Mintalah nescaya apa yang engkau minta akan dipenuhi’. Aku meminta: ‘Ya Allah,izin kan aku memberi syafaat kepada sesiapa yang menyebut Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’. Allah menjawab: ‘Demi kekuasaan,kemuliaan-Ku,keagungan-Ku. Sungguh akan Aku keluarkan sesiapa sahaja yang menyebut Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’.”
(HR. Bukhari,no.7510. Muslim,no.193)

Ucapan Terakhir Rasulullah ﷺ Sebelum Wafat

:: Hadis 1 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya tidak seorang Nabi pun yang dicabut nyawanya melainkan diperlihatkan tempatnya dalam syurga’. Apabila Rasulullah ﷺ dalam kesakitan dan menghampiri maut,kepala baginda atas pehaku dalam keadaan pitam. Apabila baginda sedar,matanya memandang ke arah bumbung rumah lalu menyebut: Allahumma ar-rafiq al-a'la (Ya Allah,teman yang tertinggi).”
(HR. Bukhari,no.6509. Muslim,no.2444)

:: Hadis 2 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Ketika Nabi ﷺ bersandar di pangkuanku,aku dengar baginda mengucapkan: Allahummaghfirlii warhamnii wa-alhiqnii bir-rafiqil a'la (Ya Allah,ampunkanlah aku,rahmatilah aku,dan himpunkanlah aku bersama ar-Rafiq al-A’la”. 
(HR. Bukhari,no.5674. Muslim,no.2191)

NOTA:
Yang dimaksudkan dengan "teman yang tertinggi" adalah para Nabi,orang-orang siddiqin,orang-orang syahid dan orang-orang soleh,sebagaimana yang disebutkan dip dalam al-Quran:

:: Qur'an ::
Allah berfirman:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya,maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka,iaitu Nabi-nabi,dan orang-orang Siddiqiin,dan orang-orang yang Syahid,serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(an-Nisa' [4]: ayat 69)

Sunday, March 3, 2024

Rasulullah ﷺ Terlupa Surah

dari 'Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mendengar seorang lelaki membaca satu surah dari al-Qur’an pada suatu malam,dan bersabda: ‘Moga Allah merahmatinya,dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Qur’an yang telah dilupakan daripada aku’.”
(HR. Bukhari,no.5038. Muslim,no.788)

Islam Itu Bersifat Mudah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Biarkan aku sepertimana aku membiarkan kamu. Sesungguhnya yang membinasakan manusia sebelum kamu ialah pertanyaan dan perselisihan mereka terhadap nabi-nabi mereka. Apabila aku melarang kamu daripada sesuatu,maka jauhilah ia dan jika aku memerintahkan kamu dengan sesuatu,maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”
(HR. Bukhari 7288. Muslim,no.1337)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah,dan tidaklah sama sekali seseorang yang terlalu ketat dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya (jauh daripada manhaj beragama yang sebenar),oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam.”
(HR. Bukhari,no.39. an-Nasaie,no.5034)

Friday, March 1, 2024

Diazab Kerana Menyelisihi Sunnah

dari Abi Rabah,dia berkata,
“Bahawasanya beliau (Sa’id Ibnul Musayyab) melihat seseorang solat setelah terbitnya fajar lebih dari dua rakaat,orang tersebut memperbanyak ruku’ dan sujudnya. Maka beliau (Sa’id Ibnul Musayyab) pun melarangnya. Lalu orang tersebut berkata: ‘Wahai Abu Muhammad (Sa’id bin Al-Musayyab),adakah Allah mengazabku kerana mengerjakan solat?’ Sa’id Ibnul Musayyab menjawab: ‘Tidak,akan tetapi (Allah) mengazab engkau kerana menyelisihi Sunnah’.”
(HR. ‘Abdurrazzaq,no.4755. al-Baihaqi [rujuk: Sunan al-Kubra,2/466,no.4621]. Sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/236])

Saturday, February 24, 2024

Doa Agar Diberi Ilmu Yang Bermanfaat,Rezeki Yang Baik Dan Amalan Yang Diterima

dari Ummu Salamah,dia berkata,
“Bahawasanya Nabi ﷺ apabila selesai solat subuh baginda berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Allahumma inni as-aluka ‘ilman naafi’aa,wa rizqon thoyyibaa,wa ‘amalan mutaqabbalaa
(Ya Allah,aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat,rezeki yang baik dan amalan yang diterima).”
(HR. Ibn Majah,no.925. an-Nasaie [rujuk: al-Sunan al-Kubra,no.9930]. Ahmad,no.26602)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh 'Abdul 'Aziz ath-Thorifi dalam video beliau. walaupun hadis ini Dhaif,namun boleh diamalkan kerana makna hadis ini tidak bercanggah dengan syara'.

Wednesday, February 21, 2024

Mengucapkan Salam Kepada Orang Yang Tidak Diketahui Sama Ada Islam Atau Tidak

dari 'Abdullah bin Amru,dia berkata,
“Seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: ‘Islam manakah yang paling baik?’ Baginda bersabda: ‘Kamu memberi makan dan mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan kepada orang yang kamu tidak kenal’.”
(HR. Bukhari,no.12 & 6236. Muslim,no.39)

Tuesday, February 20, 2024

Berterima Kasih Kepada Manusia Tanda Bersyukur Kepada Allah

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.”
(HR. Abu Daud,no.4811. at-Tirmidzi,no.1954. Dinilai 'Hasan Sahih' oleh Imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Imam al-Khattabi berkata: Hadis ini ditafsirkan dengan dua makna. [1] Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka,maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya. [2] Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya,jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka (rujuk: Ma’alim al-Sunan,4/113).

Malaikat Yang Menjaga Manusia Dari Bahaya Dengan Perintah Allah

Allah ﷻ berfirman:
“Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya,yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri),maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu,dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”
(ar-Ra'd [13]: ayat 11)