Tuesday, August 27, 2013

Allah Suka Orang Yang Pemaaf

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Oleh itu, biarkanlah golongan kafir yg mendustakanmu itu wahai Muhammad. Layan mereka dengan cara yang elok.”
(al-Hijr [15]: ayat 85)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Tidakkah kamu suka Allah mengampuni kamu? Dan ingatlah, Allah itu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.”
(an-Nur [24]: ayat 22)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
 “Dan (jika kamu hendak membalas maka) balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya; dalam pada itu, sesiapa yang memaafkan (kejahatan orang) dan berbuat baik (kepadanya), maka pahalanya tetap dijamin oleh Allah (dengan diberi balasan yang sebaik-baiknya). Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berlaku zalim.”
(asy-Syura [42]: ayat 40)

:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
 “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiaya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.”
(an-Nisa' [4]: ayat 148 - 149)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan pemberian maafnya (kepada saudaranya), kecuali kemuliaan (di dunia dan akhirat), serta tidaklah seseorang merendahkan diri kerana Allah kecuali Allah akan meninggikan (darjat)nya (di dunia dan akhirat).”
(HR. Muslim no. 2588)

7 Golongan Yang Mendapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Pemimpin yang adil, (2) Seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) Seorang yang hatinya selalu terikat dengan masjid, (4) Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, (5) Seorang lelaki yang diajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi dia menolaknya sambil berkata: ‘Aku takut kepada Allah’, (6) Seseorang yang bersedekah dengan menyembunyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diinfaqkan oleh tangan kanannya, serta (7) Seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga menitis air matanya basah kerana menangis.”
(HR. Bukhari,no.660. Muslim,no.1031)

Saturday, August 24, 2013

4 Ciri-Ciri Munafik

dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Nabi ﷺ bersabda,
“Empat perkara, barangsiapa yang ada padanya keempat perkara tersebut maka dia seorang munafiq yang sebenar, jika ada padanya satu di antara sifat tersebut bererti ada padanya satu sifat kemunafikan sehinggalah dia meninggalkannya, iaitu: seorang apabila berbicara ia dusta, apabila berjanji tidak ditepatinya, apabila berselisih melampaui batas dan apabila melakukan perjanjian ingkar.”
(HR. Bukhari,no.34 & 2459. Muslim,no.117,8 & 106)

Azab Orang Yang Sum'ah

dari Tharif bin Abi Tamimah,dia berkata,
“Aku pernah menyaksikan Sofwan dan Jundab serta para sahabat Sofwan ketika dia (Jundab) sedang memberi wasiat kepada mereka. Mereka bertanya: ‘Adakah engkau ada mendengar sesuatu daripada Rasulullah ﷺ?’ Dia (Jundab) menjawab: ‘Aku pernah mendengar baginda bersabda: ‘Sesiapa yang memperdengarkan amalannya (kepada orang lain dengan tujuan untuk menunjuk-nunjuk), maka Allah akan memperdengarkannya (menzahirkan tujuannya itu) pada hari kiamat’. Baginda juga bersabda: ‘Dan barangsiapa yang menyusahkan (orang lain), maka Allah akan menyusahkan dirinya pada hari kiamat’. Mereka berkata: ‘Berilah kami nasihat’. Dia berkata: ‘Sesungguhnya anggota yang mula-mula akan menjadi busuk daripada seseorang ialah perutnya. Barangsiapa yang mampu untuk tidak makan kecuali yang baik-baik, maka hendaklah dia melakukannya. Barangsiapa yang tidak mahu dihalangi antara dirinya dengan syurga dengan sebab sepenuh tapak tangan yang ditumpahkan darah yang ditumpahkannya, maka hendaklah dia melakukannya.” Dia (al-Firabri) berkata: “Aku bertanya kepada Abu ‘Abdillah: ‘Siapa yang mengatakan: ‘Aku (al-Firabri) mendengar Rasulullah ﷺ, adakah Jundab?’ Dia menjawab: ‘Benar, Jundab yang mengatakannya’.”
(HR. Bukhari,no.7152)

Tentang Wali Allah

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah berfirman: ‘Barangsiapa yang memusuhi wali-Ku, maka Aku telah isytiharkan perang terhadapnya. Dan tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan sesuatu yang Aku cintai daripada amalan-amalan yang Aku fardhukan kepadanya; dan apabila dia sentiasa mendekati-Ku dengan perkara-perkara sunat sehingga Aku suka. Apabila Aku mencintainya, maka Aku akan menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar, matanya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memegang, kakinya yang dengannya dia berjalan dan jika dia meminta kepada-Ku, pasti akan Aku perkenankan permintaannya dan jika dia meminta perlindungan kepada-Ku, pasti Aku melindunginya. Aku tidak pernah bimbang dalam melakukan sesuatu sebagaimana kebimbangan-Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya’.” 
(HR. Bukhari,no.6502)

NOTA:
hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam adz-Dzahabi, kerana di dalamnya terdapat perawi bernama Khalid bin Makhlad yg mana Imam Ahmad menilai hadisnya ‘Munkar’ dengan katanya: “Lahu Ahadith Manakir”. Ibn Sa‘ad juga menilainya Munkar kerana dia (Khalid bin Makhlad) seorang Syiah & Munkar al-Hadith (rujuk: al-Mizan,2/426).

Jangan Menafikan Kebaikan Orang Lain

dari ‘Umar al-Khattab,dia berkata,
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (keldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah ﷺ ketawa. Juga pernah Nabi ﷺ menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: ‘Ya Allah! Laknatlah dia, alangkah kerap dia ditangkap’. Lantas Nabi ﷺ pun bersabda: ‘Jangan kamu semua melaknatnya! Demi Allah, apa yang aku tahu, dia mencintai Allah dan Rasul-Nya’.”
(HR. Bukhari,no.6780)

Rasulullah Pernah Pakai Serban Hitam

:: Hadis 1 ::
dari ‘Amru Bin Harith al-Makhzumi,dia berkata,
“Bahawa Rasululah ﷺ menyampaikan khutbah kepada orang ramai dengan mengenakan serban yang berwarna hitam.”
(HR. Muslim,no.1359)

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Bahawa Nabi ﷺ memasuki Mekah ketika pembukaannya dengan memakai serban yang berwarna hitam.”
(HR. Muslim,no.1358)

Warna Pakaian Yang Rasulullah Pernah Pakai

:: Hadis 1 ::
dari al-Bara bin ‘Azib,dia berkata,
“Tidak pernah aku melihat seseorang memiliki rambut melepasi dua cuping telinga, berpakaian Hullah kemerahan yang lebih indah berbanding Rasulullah. Baginda memiliki rambut yang menyentuh dua bahu, jauh jarak dua bahu baginda. Baginda bukan seorang yang rendah, bukan juga seorang yang terlalu tinggi.”
(HR. Bukhari,no.5901. Muslim,no.2337. at-Tirmidzi,no.3635. Ini adalah lafaz at-Tirmidzi. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari al-Barra bin ‘Azib,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ adalah seorang yang pertengahan (tidak terlalu tinggi dan rendah) lebar antara dua bahu, hujung rambut sampai ke hujung dua telinga. Baginda memakai baju dan kain berwarna merah. Tidak pernah sama sekali aku melihat sesuatu yang lebih indah berbanding baginda.”
(HR. Bukhari,no.3551. Muslim,no.2337)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Suatu pagi, Rasulullah ﷺ keluar dengan mengenakan kain yang diperbuat daripada bulu yang berwarna hitam, lalu Hasan bin ‘Ali datang. Rasulullah ﷺ menyuruhnya masuk. Kemudian datang pula Husein lalu masuk. Kemudian datang Fathimah, lalu baginda menyuruhnya masuk. Kemudian datang ‘Ali, lalu baginda menyuruhnya masuk. Kemudian, baginda membaca (ayat al-Quran): ‘Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu (wahai “Ahlul Bait”) dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji) (al-Ahzab [33]: ayat 33)’.”
(HR. Muslim,no.2424)

Thursday, August 15, 2013

70,000 Malaikat Berdoa Untuk Orang Melawat Orang Islam Yang Sakit

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ali,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada seorang muslim yang menziarahi seorang muslim lain (yang sedang sakit) pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat berselawat ke atasnya sehingga ke petang,jika dia menziarahi saudaranya itu pada waktu petang, 70,000 malaikat akan berselawat ke atasnya sehingga ke subuh, dan untuk dia sebuah kebun di dalam syurga.”
(HR. at-Tirmidzi,no.969. dinilai ‘Hasan Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam Abu Daud, kerana kata-kata ini adalah kata-kata ‘Ali, bukan kata-kata Rasulullah ﷺ. imam Abu Daud berkata: “Hadis ini disandarkan dari ‘Ali, dari Nabi ﷺ bukan dari sisi yang benar” (rujuk: Sunan Abu Daud,no.3098).

:: Hadis 2 ::
dari ‘Ali,dia berkata,
“Tidaklah seorang lelaki (termasuk perempuan) melawat orang yang sakit pada petang (iaitu malam) hari melainkan akan ikut keluar bersamanya 70,000 malaikat yang meminta ampunan untuknya hingga ke pagi hari, dan baginya kebun di Syurga. Dan barangsiapa yang melawat orang sakit pada pagi hari, maka akan ikut keluar bersamanya 70,000 malaikat yang memohon ampunan baginya hingga petang (iaitu malam) hari, dan baginya kebun di Syurga"
(HR. Abu Daud,no.3098 & 3099)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh imam ad-Daraquthni (rujuk: al-‘Ilal,3/267,no.398), juga imam Ibnu Abdil Barr dengan katanya: “Hadis ini Hasan Sahih, tsabit isnad” (rujuk: al-istidzkar,8/421).

Saturday, August 10, 2013

Dua Hamba Wanita Menyanyi Depan Rasulullah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ masuk ke dalam rumahku, dan di sisiku ada dua anak perempuan yang melantunkan nyanyian perang Bu‘ath. Lalu baginda berbaring di atas tempat tidur dan memalingkan wajah baginda. Kemudian Abu Bakar masuk seraya memarahiku. Baginda berkata: ‘Seruling syaitan di sisi Nabi ﷺ?’ Maka Nabi ﷺ berpaling kepada Abu Bakar dan bersabda: ‘Biarkanlah mereka berdua’. Ketika baginda tidak perasan, maka aku pun memberi isyarat kepada kedua perempuan tersebut, lalu keduanya pun keluar.”
(HR. Bukhari,no.949)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi ﷺ berada di sisinya (‘Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (‘Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan?’ Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi ﷺ bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya,dan hari raya kita adalah hari ini’.”
(HR. Bukhari,no.3931. Muslim,no.892)

Saturday, July 20, 2013

Bercerai Akan Bergegar 'Arasy Allah?

dari ‘Ali bin Abi Thalib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘Arasy.”
(HR. al-Khattib [rujuk: Tarikh Baghdad,12/191]. Ibn 'Adiy [rujuk: al-Kamil,5/112])

NOTA:
Hadis ini dinilai Maudhu’ (Palsu) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: as-Silsilah ad-Dhaifah,1/278,Riyadh: Maktabah al-Ma'arif), kerana terdapat perawi yg bernama ‘Amr bin Juma‘i, dia seorang pendusta dan perawi yg bernama Juwaibirin, dia seorang yg tersangat Dhaif. Hadis ini juga dinilai tidak sahih oleh Ibn Iraq al-Kinani (rujuk: Tanzih al-Syairah,202/2), as-Suyuthi (rujuk: al-La'aali al-Masnu'ah,151/2), Ibnul Jauzi (rujuk: al-Maudhu'at,277/2), as-Sakhawi (rujuk: al-Maqasid al-Hasanah,49/1), asy-Syaukani (rujuk: al-Fawaid al-Majmu'ah,139/1), as-Saghani (rujuk: al-Maudhu'at,60/1) dan Syaikh al-Huweini (dalam video beliau).

Thursday, July 11, 2013

Zikir Pendek (Dibaca Hanya 3 Kali) Tapi Pahalanya Besar

dari Ibnu ‘Abbas,dari Juwairiyah,
“Nabi ﷺ keluar dari rumahnya pada waktu pagi ketika dia sedang mendirikan solat Subuh di tempat solat dalam rumahnya. Kemudian baginda pulang selepas masuknya waktu Dhuha, dan mendapati Juwairiyah masih di tempat solatnya. Baginda bertanya: ‘Engkau masih lagi dalam keadaan seperti mana aku pergi tadi?’ Juwairiyah menjawab: ‘Ya’. Nabi ﷺ pun bersabda: ‘Sesungguhnya aku telah menyebut empat kalimah sebanyak 3 kali. Seandainya ditimbang kalimah yang aku sebut itu dengan kalimah yang engkau sebut sejak pagi tadi, maka kalimah-kalimah yang aku sebut itu akan mengatasi kalimah-kalimah yang engkau sebut (iaitu):
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Subẖanallah Wa Biẖamdih, ‘Adada Khalqih, Wa Ridho Nafsih, Wa Zinata ‘Arsyih, Wa Midada Kalimatih
(Maha Suci Allah dan pujian untuk-Nya sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, mengikut redha-Nya kepada diri-Nya, menurut berat ‘Arasy-Nya, dan sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya)’.”
(HR. Muslim,no.2726)

NOTA:
Namun imam Muslim juga meriwayatkan hadis ini melalui jalur lain, tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza:

:: Hadis 2 ::
Rasulullah ﷺ membaca,
سُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ خَلْقِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ رِضَا نَفْسِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ زِنَةَ عَرْشِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ مِدَادَ كَلِمَاتِهِ
“..Subhanallahi ‘Adada Khalqih, Subhanallahi Ridho Nafsih, SubhanAllahi Zinata ‘Arsyih, Subhanallahi Midada Kalimatih
(Maha Suci Allah sebanyak makhluk-Nya, Maha Suci Allah mengikut redha-Nya kepada diri-Nya, Maha Suci Allah menurut berat ‘Arasy-Nya, Maha Suci Allah sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya).."
(HR. Muslim,no.2726)

Wednesday, July 10, 2013

Kelebihan Puasa Ramadhan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah ‘azza wa jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi’.”
(HR. Muslim,no.1151)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(HR. Bukhari,no.3277. Muslim,no.1079)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
(HR. Bukhari,no.38. Muslim,no.760)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”
(HR. Bukhari,no.37)

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Qiyam Ramadhan” pada hadis ini bermaksud “Solat Tarawih” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,6/39)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Siapa yang mengerjakan ibadah pada Lailatul Qadar (malam qadar) dengan iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu.”
(HR. Bukhari,no.1901. Muslim,no.760)

Pahala Memberi 'Makanan Berbuka' Kepada Orang Yg Berpuasa

:: Hadis 1 ::
dari Salman al-Farisi,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Sesiapa yang memberi makan (untuk berbuka) orang yang berpuasa, maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan dibebaskan daripada api neraka dan dia mendapatkan pahala yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa...”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.1887)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Ibnu Khuzaimah sendiri dengan katanya: “Sekiranya khabar ini benar” (rujuk: Sahih Ibnu Khuzaimah,3/191). Kata Abu Hatim: “Hadis ini Munkar” (rujuk: al-'ilal,1/249). Kata Ibnu Hajar al-Asqalani: “Jalur utama bagi hadis ini ialah (perawi) ‘Ali bin Zaid, dia merupakan seorang yang Dhaif, manakala (perawi) Yusuf bin Ziyad merupakan seorang yang Dhaif Jiddan (lemah yg bersangatan), manakala (perawi) Iyas bin Abd al-Ghaffar, aku tidak mengenalinya” (rujuk: Ithaf al-Maharah,5/560)

:: Hadis 2 ::
dari Zaid bin Khalid al-Juhani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, dia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.”
(HR. at-Tirmizi,no.807. Ibnu Majah,no.1736. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini ‘Hasan Sahih’)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Imam ‘Ali ibnu al-Madini (rujuk: al-‘Ilal,66/no.88), kerana hadis ini diriwayatkan dari ‘Atho bin Abi Rabah dari Zaid bin Khalid al-Juhani, yg mana ‘Atho bin Abi Rabah tidak mendengar hadis daripada Zaid bin Khalid al-Juhani. Akan tetapi, walaupun hadis ini Dhaif, ia boleh dijadikan untuk Fadhail A’mal kerana Dhaifnya adalah ringan (tanpa mempercayai bahawa hadis ini secara ‘pasti’ dari Rasulullah, tanpa memberitahu orang lain dengan berkata “Rasulullah bersabda”, tapi dibolehkan sebut “dikatakan dalam hadis Dhaif,(kemudian sebut hadith ini)”, kerana terdapat hadis Sahih yg lain bahawa Rasulullah ﷺ suka memberi (sedekah) pada bulan Ramadhan:

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Abbas,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan baginda ﷺ. Adapun Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan baginda. Sungguh, Rasulullah ﷺ sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”
(HR. Bukhari,no.6,1902,3220,3554 dan 4997)

Friday, July 5, 2013

Doa Cegah Dari Kejahatan Jin, Haiwan Dan Manusia

:: Hadis 1 ::
dari Khawlah binti H̱akim al-Sulamiyyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang singgah pada suatu tempat, kemudian mengucapkan:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A‘udzu Bika-Limatil-Lahit Tammah, Min Syarri Maa Kholaq
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan),
segala sesuatu tidak akan memberi mudarat padanya, sehinggalah dia meninggalkan tempat tersebut.”
(HR. Muslim,no.2708)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A‘udzu Bika-Limatil-Lahit-Tammah, Min Syarri Maa Kholaq
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan),
nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkanmu’.”
(HR. Muslim,no.2709)