Monday, June 3, 2013

Perbanyak Menyebut 'Ya Dzal Jalali Wal Ikram' Ketika Berdoa

:: Hadis 1 ::
dari Anas,Nabi ﷺ bersabda,
“Berdoalah kamu dengan menyebut:
يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ya dzal jalali wal ikram
(Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3525 & 3524. at-Tirmidzi menilai hadis ini 'Gharib')

:: Hadis 2 ::
dari Rabi'ah bin Amir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Berdoalah kamu dengan menyebut:
يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ya dzal jalali wal ikram
(Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”
(HR. Ahmad,no.16935)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Hasan' (sahih) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi di dalam video beliau,ketika beliau ditanyakan tentang status hadith ini.

Kisah Pelacur Yang Masuk Syurga Kerana Seekor Anjing

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang lalu berhampiran seekor anjing berdekatan telaga sambil ia menjelirkan lidahnya. Hampir-hampir ia mati kerana rasa haus,lalu wanita itu menanggalkan kasutnya dan mengikatnya dengan selendangnya lantas mengambil air untuk anjing tersebut,maka pelacur itu diampuni kerana perkara tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3321)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika seekor anjing sedang mengelilingi sebuah perigi dan hampir sahaja kehausan membunuhnya. Seorang wanita pelacur daripada Bani Israel melihatnya. Wanita itu membuka kasutnya dan memberi anjing itu minum. Dosanya diampuni kerana hal tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3467)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum,maka telah diampunkan dosanya.”
(HR. Muslim,no.2245)

Jangan Ambil Semula Barang Yang Diberi

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu 'Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Yang mengambil semula apa dihibahkannya adalah seperti menjilat semula muntahnya.”
(HR. Bukhari,no.2621)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu 'Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu,iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”
(HR. Bukhari,no.2622)

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu 'Abbas dan Ibnu 'Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali,kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Bandingan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan,maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.”
(HR. Abu Daud,no.3539. at-Tirmidzi,no.2132. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

Jangan Berbisik Dua Orang

dari ‘Abdullah bin Mas'ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu berada seramai tiga orang,maka janganlah berbisik-bisik berdua-duaan tanpa mengajak sekali orang ketiga,sehingga kamu bercampur gaul dengan manusia (bertambah jumlah). Hal ini kerana berbisik boleh membuat orang yang ketiga bersedih.”
(HR. Bukhari,no.6290. Muslim,no.2184)

Semua Kejahatan Akan Diadili Di Akhirat Nanti

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Semua hak itu pasti akan dipenuhi pada hari kiamat kelak,hingga kambing bertanduk pun akan dituntut untuk dibalas oleh kambing yang tidak bertanduk.”
(HR. Muslim,no.2582)

Doa Agar Allah Tetapkan Hati Diatas Agama Islam

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Mereka berdoa dengan berkata):
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِن أَنتَ الوَهّابُ
Robbana Laa Tuzigh Qulu Bana, Ba’Daidz Hadaitana, Wa Hablana Mil-Ladun Karoẖmah, Innaka Antal Wahhab
(Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu. Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yg melimpah-limpah pemberian-Nya)’.”
(Ali 'Imran [3]: ayat 8)

:: Hadis ::
dari Anas,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ selalu membanyakkan doa:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ
Ya Muqollibal Quluub,Tsabbits Qolbii ‘Alaa Diinik
(Wahai Yang membolak-balikkan hati! Teguhkan aku di atas agama-Mu). Kemudian aku pun bertanya: ‘Wahai Rasulullah,kami beriman kepadamu dan risalah yang kau bawa. Jadi,apakah engkau masih risau kepada kami?’ Baginda menjawab: ‘Ya,kerana sesungguhnya hati manusia berada di antara dua jari dari jari-jari Allah yang mana Dia membolak-balikkan sesuai kehendak-Nya’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2140. Ibnu Majah,no.3824. Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau)

Larangan Berkata 'Aku Ini Jahat'

dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Jangan sekali-kali kamu mengatakan ‘khobutsat nafsi’ (diriku sangat buruk),akan tetapi hendaknya dia mengatakan ‘laqisat nafsi’ (diriku ada kekurangan).”
(HR. Bukhari,no.6179. Muslim,no.2250)

Dapat Nikmat Syurga Sesuai Yang Kita Inginkan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Sesungguhnya salah seorang lelaki ahli syurga meminta kepada Allah untuk bercucuk tanam. Lalu Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah kamu bebas melakukan apa sahaja yang kamu hendaki?’ Dia berkata: ‘Benar. Akan tetapi aku sangat suka bercucuk tanam’. Nabi ﷺ bersabda: Kemudian lelaki itu pun menyemai benih lalu tumbuh dengan subur dan apabila menuai,hasilnya seperti sebuah gunung. Lalu Allah berfirman: ‘Ambillah,wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada yang memuaskan hati kamu (kenyang)’. Lelaki Badwi itu pun berkata: ‘Demi Allah,tidak akan ditemui seperti itu melainkan kaum Quraisy atau Ansar. Ini disebabkan mereka golongan petani,sedangkan kami bukan golongan petani’. Lalu Nabi ﷺ tertawa.”
(HR. Bukhari,no.2348)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa orang ramai bertanya: ‘Ya Rasulullah,adakah kami akan melihat tuhan kami pada hari kiamat?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat bulan purnama ketika ia penuh?’ Sahabat menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat matahari ketika tiadanya kabus?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Kamu akan melihat Allah seperti itu. Allah akan mengumpulkan manusia pada hari Kiamat lalu berkata: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu,hendaklah dia mengikut apa yang dia sembah. Maka sesiapa yang menyembah matahari akan mengikut matahari,sesiapa yang menyembah bulan akan mengikut bulan,sesiapa yang menyembah thaghut-thaghut akan mengikut thaghut-thaghut. Tinggallah pada umat ini orang-orang yang baik’. Allah datang kepada mereka dan berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu. Mereka (iaitu orang beriman mengingkari lalu) berkata: ‘Kami akan tetap di tempat ini sehingga datang kepada kami tuhan kami. Apabila datangnya tuhan kami,kami akan mengenalinya’. Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka ketahui lalu berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu’. Mereka menjawab: ‘Engkau adalah tuhan kami’. Lalu mereka mengikutnya. Dibentangkan al-Sirath melintasi neraka. Aku dan umat ku akan menjadi yang awal melintasinya. Tiada sesiapa yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul,dan doa para rasul pada hari itu ialah: ‘Ya Allah,selamatkan, selamatkan’. Di neraka terdapat cangkuk-cangkuk seperti duri Al-Sa’dan. Adakah kamu pernah melihat pokok Al-Sa’dan?’ Sahabat menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya cangkuk ini seperti duri pokok Al-Sa’dan,tiada siapa yang tahu besarnya saiz dia kecuali Allah. Cangkuk-cangkuk itu akan menarik manusia berdasarkan amalan mereka.  Ada yang terjatuh ke dalam neraka dan kekal di dalamnya,sebahagian lagi dipotong dan dicampak ke dalam neraka,dan selainnya. Sehingga apabila Allah selesai memutuskan qadha untuk hamba-hambaNya,dan Dia mahu mengeluarkan dengan rahmat-Nya sesiapa yang Dia kehendaki. Lalu Allah menyuruh malaikat mengeluarkan dari neraka sesiapa yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun,dan sesiapa yang Allah kehendaki dengan rahmat-Nya daripada mereka yang bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Malaikat mengenali mereka di neraka dengan tanda sujud mereka. Api neraka akan membakar manusia kecuali pada bahagian sujud mereka. Allah mengharamkan ke atas neraka daripada membakar kesan sujud. Mereka keluar dari neraka dalam keadaan sudah terbakar. Disiram ke atas mereka air kehidupan,lalu mereka tumbuh di bawahnya sebagaimana tumbuhnya biji benih pada aliran sungai. Kemudian Allah selesai memutuskan nasib hamba-hambaNya. Lalu tinggal seorang lelaki yang wajahnya menghadap neraka,dan dia adalah penghuni neraka terakhir akan masuk ke syurga. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,palingkanlah wajah ku dari neraka. Sesungguhnya udaranya menggangguku dan kepanasannya membakarku’. Dia meminta kepada Allah apa yang dia kehendaki. Kemudian Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak,demi kemuliaan-Mu,aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Kemudian dia akan memberikan kepada tuhannya janji sebagaimana yang Allah kehendaki. Lalu Allah memalingkan wajahnya dari api neraka. Apabila dia menghadap ke arah syurga,dia melihatnya,lalu dia mendiamkan diri selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,hampirkanlah aku ke pintu syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku’,dia terus berdoa kepada Allah sehingga Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak,demi kemuliaan-Mu,aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Lalu dia berjanji kepada tuhannya,lalu dia digerakkan ke pintu syurga. Apabila dia berdiri di pintu syurga,terbuka untuknya syurga dan dia melihat kesenangan yang ada di dalamnya. Lalu dia mendiamkan diri selama yang Allah kehendaki,kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,masukkanlah aku ke dalam syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku,janganlah aku menjadi makhluk yang paling sengsara’. Dia terus berdoa sehingga Allah ketawa kepadanya. Selepas mentertawakannya,Allah berkata kepadanya: ‘Masuklah ke syurga’. Apabila dia telah masuk ke syurga,Allah berkata kepadanya: ‘Berharaplah untuk apa-apa sahaja’. Lalu lelaki itu memohon kepada Allah dan berharap untuk apa-apa yang dia mahu sehingga Allah mengingatkannya untuk mengharap perkara tertentu sehingga selesailah semua permintaannya. Allah berkata: ‘Itu semua untuk engkau dan yang semisalnya bersamanya’.”
(HR. Bukhari,no.7437)

Allah Mengampuni Dosa walaupun berkali-kali

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya seorang hamba melakukan dosa lalu dia berkata: ‘Ya Tuhan,aku telah berdosa. Ampunilah diri ku’. Lalu Allah menjawab: ‘Adakah hamba-Ku tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampuni dan menghukum dosanya? Aku telah mengampuni hamba-Ku’. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: ‘Tuhan ku,aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini’. Lalu Allah menjawab: ‘Adakah hamba-Ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku’. Kemudian berlalulah masa sehingga orang itu melakukan dosa lagi. Lalu dia berdoa: ‘Tuhan-ku,aku telah berdosa. Ampunilah dosa ini’. Lalu Allah menjawab: ‘Adakah hamba ku mengetahui bahawa dia memiliki Tuhan yang mengampuni dosa dan menghukum dosa itu? Aku telah mengampuni hamba-Ku (sebanyak tiga kali). Maka biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki’.”
(HR. Bukhari,no.7507. Muslim,no.2758)

NOTA:
maksud kata Allah 'biarlah dia lakukan apa yang dia kehendaki' ialah buatlah apa yang dia mahu selagi dia terus meminta ampun apabila melakukan dosa,kerana meminta ampun dapat menghapus dosa yang dilakukan.

Jangan Mencela Demam

dari Jabir,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menjenguk Ummu al-Saib (atau Ummu al-Musayyib),kemudian baginda bertanya: ‘Apa yang terjadi denganmu wahai Ummu al-Sa’ib (atau wahai Ummu al-Musayyib),kenapa kamu menggigil?’ Beliau menjawab: ‘Sakit demam yang tidak ada keberkatan Allah padanya’. Maka baginda bersabda: ‘Janganlah kamu mencela demam kerana ia menghilangkan dosa anak Adam,sebagaimana alat pemanas besi mampu menghilangkan karat’.”
(HR. Muslim,no.2575)

Monday, April 15, 2013

Allah Turun Satu Pertiga Malam Untuk Makbulkan Doa

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam terakhir,lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku,nescaya Aku akan mengabulkannya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku nescaya Aku akan memberinya,sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya’.”
(HR. Bukhari,no.1145. Muslim,no.758)

Friday, April 12, 2013

Semua Manusia Melakukan Dosa Dan Yang Bertaubat Adalah Sebaik-baik Pelaku Dosa?

dari Anas,Nabi ﷺ bersabda,
“Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan itu adalah yang bertaubat.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2499. Ahmad,no.12576. Ibnu Majah,no.4251)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Gharib' oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis ini dalam Kitab Jami'-nya. 'Gharib' di sisi imam at-Tirmidzi,bermaksud hadis itu 'Dhaif',tidak sahih. Hadis ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Ali bin Mas'adah,yg mana dia dinilai Dhaif oleh Ibn 'Adiy (rujuk: al-Kamil,5/207),Ibnu Hibban (rujuk: al-Majruhin,2/111). Kata al-Khallal,bahawa imam Ahmad berkata: "hadis ini Munkar" (rujuk: al-Muntakhab min al-'ilal,92). Kata al-Ajurri,dia bertanya kepada Abu Daud tentang Ali bin Mas'adah,kata Abu Daud: "dia lemah (Dhaif)". Kata an-Nasaie: "Laisa bi Qowi (dia tidak kuat)" (rujuk: Sualat Abu 'Ubaid al-Ajurri Li Abi Daud,305). Hadis ini juga dinilai 'Dhaif' & dihurai secara terperinci oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasmi beliau,malah beliau turut mengkritik penilaian Syaikh al-Albani terhadap hadis ini. Sanad hadis ini juga dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau. Akan tetapi,kata Syaikh Musthofa al-'Adawi,'makna' hadith ini benar,kerana terdapat hadith Sahih yg lain yg menyebut:

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya,sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa,nescaya Allah akan menghilangkan (mematikan) kamu dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa,lalu mereka beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.”
(HR. Muslim,no.2749)

Tuesday, April 9, 2013

Orang Yang Diuji Mendapat Rahmat Allah

Allah ﷻ berfirman:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu,dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah,mereka mengucapkan: "Inna lillaahi wa inna ilaihi rooji'uun". Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(al-Baqarah [2]: ayat 155-157)

Dibolehkan Menangis Atas Kematian Orang Yang Kita Sayang

dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Kami pergi bersama Rasulullah ﷺ menemui tukang besi bernama Abu Saif,dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir,lalu mata Rasulullah ﷺ mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: ‘Tuan menangis wahai Rasulullah?’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf,ini ialah rahmat’. Kemudian air mata baginda mengalir lagi. Sabda Baginda: ‘Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih,kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu’.”
(HR. Bukhari,no.1303)

Friday, April 5, 2013

Kadang² Sesuatu Yang Kita Suka Tidak Baik Untuk Kita

Allah ﷻ berfirman:
“Diwajibkan kamu berperang padahal berperang itu berat bagi kamu (tidak disukai). Boleh jadi yang kamu benci itu ada kebaikan bagimu. Boleh jadi (juga) yang kamu sukai itu (akibatnya adalah) buruk bagimu. Allah jua yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(al-Baqarah [2]: ayat 216)