Saturday, March 16, 2024

Tatacara Zikir Subhanallah,Alhamdulillah,Allahuakbar Setelah Solat

◆ SUBHANALLAH (10x), ALHAMDULILLAH (10x), ALLAHU AKBAR (10x) 

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Orang ramai berkata: ‘Wahai Rasulullah, golongan yang kaya pergi dengan membawa darjat dan kenikmatan yang berterusan’. Baginda bertanya: ‘Bagaimana boleh terjadi seperti itu?’ Para sahabat menjawab: ‘Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berjihad sebagaimana kami berjihad, dan mereka memiliki kelebihan harta untuk bersedekah, sedangkan kami tidak mempunyai harta yang lebih’. Maka baginda bersabda: ‘Mahukah kamu aku khabarkan suatu perkara yang tidak akan menyamai golongan sebelum kamu, dan tidak pula didahului oleh golongan selepas kamu, dan tiada yang mendapatkannya kecuali orang yang melakukan perkara yang sama? Hendaklah kamu bertasbih (mengucapkan Subhanallah) selepas setiap kali solat sebanyak 10 kali, bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) sebanyak 10 kali, dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) sebanyak 10 kali’.”
(HR. Bukhari,no.6329)

NOTA:
Dalam hadis riwayat Muslim (no.595), Suhail (perawi) menyebutkan dengan lafaz “11”, bukan “10”. Namun kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Tharifi, hadis tersebut Dhaif (rujuk: video). Wallahua‘lam.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ada dua perkara yang tidaklah seorang hamba yang Muslim memelihara kedua-duanya melainkan dia akan masuk syurga. Kedua-duanya mudah, namun sedikit orang yang mengamalkannya. Dia bertasbih selepas setiap solat sebanyak 10 kali, bertahmid 10 kali dan bertakbir 10 kali. Maka jumlahnya ialah 150 kali di lisan dan 1,500 kebaikan dalam timbangan amalan. Dan apabila dia berbaring di tempat tidurnya, dia bertakbir 34 kali, bertahmid 33 kali dan bertasbih 33 kali. Maka jumlahnya ialah 100 kali di lisan dan 1,000 kebaikan dalam timbangan amalan”.
(Perawi berkata): “Sesungguhnya aku melihat Rasulullah ﷺ menghitung zikir-zikir tersebut dengan tangan baginda”. Para sahabat bertanya:
“Wahai Rasulullah, bagaimanakah kedua-dua amalan itu mudah namun hanya sedikit orang yang mengamalkannya?’ Baginda menjawab: ‘Syaitan datang kepada salah seorang daripada kamu ketika dia hendak tidur lalu membuatkannya tertidur sebelum dia sempat membacanya dan syaitan datang kepadanya selepas solat lalu mengingatkannya kepada sesuatu keperluan sebelum dia sempat membacanya’.”
(HR. Abu Daud,no.5065. Ahmad,no.6910. at-Tirmidzi,no.3410. an-Nasaie,no.1348. Dengan sedikit perbezaan-perbezaan lafaz)

NOTA:
Hadis ini dinilai Hasan Sahih oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkannya. Hadis ini juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: al-Kalam at-Thayyib,112).


◆ SUBHANALLAH (25x), ALHAMDULILLAH (25x), ALLAHU AKBAR (25x), LA ILAHA ILLALLAH (25x) 

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Seorang lelaki Ans̄ar bermimpi, dan dalam mimpinya dia ditanya: ‘Apakah yang Nabi kamu perintahkan kepada kamu?’ Dia menjawab: ‘Baginda memerintahkan supaya kami bertasbih (mengucapkan Subhanallah) sebanyak 33 kali, bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) 33 kali, dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) 34 kali, maka genaplah 100 kali’. Kata orang yang bertanya: ‘Bertasbihlah kamu 25 kali, bertahmidlah 25 kali, bertakbirlah 25 kali, dan bertahlillah (mengucapkan La ilaha illallah) 25 kali, maka genaplah 100 kali’. Apabila menjelang pagi, lelaki Ans̄ar tersebut menceritakan mimpi tersebut kepada Nabi ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Lakukanlah sebagaimana yang diceritakan oleh lelaki Ans̄ar ini’.”
(HR. an-Nasaie,no.1351)


◆ SUBHANALLAH 33x, ALHAMDULILLAH 33x, ALLAHU AKBAR 34x

:: Hadis 4 ::
dari Ka‘ab bin ‘Ujrah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Beberapa amalan yang tidak akan merugikan orang yang mengucapkannya ataupun mengamalkannya dipenghujung solat fardhu: ‘33 kali tasbih (mengucapkan Subhanallah), 33 kali tahmid (mengucapkan Alhamdulillah), dan 34 kali takbir (mengucapkan Allahuakbar)’.”
(HR. Muslim,no.596. at-Tirmidzi,no.3412. an-Nasaie,no.1349. Ibnu Hibban,no.2019)


◆ SUBHANALLAH (33x), ALHAMDULILLAH (33x), ALLAHU AKBAR (33x), LA ILAHA ILLALLAH, WAHDAHU LA SYARIKALAH, LAHUL MULKU WA LAHUL HAMDU, WA HUWA ‘ALA KULLI SYAI-IN QODIIR (1x) 

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa bertasbih (mengucapkan Subhanallah) kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) kepada Allah 33 kali, dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) kepada Allah 33 kali, hingga semuanya berjumlah 99” dan baginda menambah: “Kesempurnaan 100 adalah membaca: 
لاَ إلَهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيْرٌ
La ila ha illallah, waẖdahu laa syarikalah, lahul mulku wa lahul ẖamd, wa huwa ‘ala kulli syai-in qodiir
(Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Yang Maha Esa, Tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian, Dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu),
maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”
(HR. Muslim,no.597)

No comments:

Post a Comment