Thursday, November 24, 2022

Doa Agar Allah Menggantikan Musibah Yang Menimpa Dengan Sesuatu Yang Lebih Baik

dari Ummu Salamah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan oleh Allah:
 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُون ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Inna Lillahi Wa Innaa Ilaihi Rooji‘uun, Allahummak-Jurnii Fii Mus̄iibatii Wa Akhlif Lii Khoiron Minhaa
(Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah, berilah aku pahala di atas musibah ini dan gantikanlah untukku sesuatu yang lebih baik darinya),
melainkan Allah akan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik.” Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah telah meninggal dunia, aku bertanya: ‘Siapakah Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia ialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah ﷺ. Kemudian aku pun mengucapkan doa tersebut. Maka Allah menggantikan buatku Rasulullah ﷺ.” Ummu Salamah berkata: “Rasulullah ﷺ menghantar Hatib bin Abu Balta‘ah untuk melamarku bagi pihak baginda. Aku pun berkata: ‘Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku jenis yang kuat cemburu’. (Maksudnya beliau risau jika berkahwin nanti, anaknya akan terbiar dan beliau akan menyakitkan baginda disebabkan oleh cemburunya itu). Baginda bersabda: ‘Adapun anak perempuannya, kita doakan semoga Allah mencukupkan keperluannya (yakni bertemu dengan pasangannya sendiri, lalu ada yang menjaganya agar tidak terlalu terikat dengan Ummu Salamah) dan aku juga berdoa agar Allah menghilangkan perasaan kuat cemburu itu’.”
(HR. Muslim,no.918)

Tuesday, November 22, 2022

Ayat Yang Allah 'Tulis' Dalam Kitab-Nya

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika Allah menciptakan makhluk, Dia menulis dalam Kitab-Nya, yang Dia tetapkan ke atas diri-Nya, dan Kitab itu berada di sisi-Nya di atas ‘Arasy: ‘Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku’.”
(HR. Bukhari,no.7404. Muslim,no.2751a)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah, ketika Dia menyempurnakan penciptaan makhluk, Dia menulis di sisi-Nya, di atas Arasy-Nya: ‘Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’.”
(HR. Bukhari,no.7422)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah ‘azza wa jalla berfirman: ‘Rahmat-Ku mendahului Kemurkaan-Ku’.”
(HR. Muslim,no.2751b)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila Allah selesai menciptakan makhluk, Dia menulis dalam Kitab-Nya yang Dia tetapkan ke atas diri-Nya, dan Kitab itu berada di sisi-Nya: ‘Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku’.”
(HR. Muslim,no.2751c)

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila Allah selesai menciptakan makhluk, Dia menulis dalam Kitab-Nya, yang berada di sisi-Nya di atas ‘Arasy: ‘Sesungguhnya rahmat-Ku telah mengalahkan kemurkaan-Ku’.”
(HR. Bukhari,no.3194)

NOTA:
Maksud سَبَقَتْ adalah “mendahului”, manakala تَغْلِبُ bermaksud “mengalahkan” atau “mengatasi”. Adapun غَلَبَتْ, ia sama seperti تَغْلِبُ, namun غَلَبَتْ lebih menunjukkan sesuatu yang sudah berhasil atau berlaku.
Wallahua’lam.

Tuesday, November 15, 2022

Doa Agar Allah Permudahkan Hisab (Perhitungan) Amal Di Akhirat Kelak

dari Aisyah,dia berkata,
“Aku mendengar Nabi ﷺ pada sebahagian solatnya, baginda membaca:
اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرً
Allahumma H̱aasibnii H̱isaaban Yasiiro
(Ya Allah, hisablah aku dengan hisab yang mudah).
Ketika baginda berpaling, aku bertanya: ‘Wahai Nabi Allah, apa yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah?’ Baginda bersabda: ‘Seseorang yang Allah melihat kitabnya, lalu memaafkannya. Kerana orang yang diperdebatkan hisabnya pada hari itu, pasti celaka wahai ‘Aisyah. Dan setiap musibah yang menimpa orang beriman, Allah akan menghapuskan (dosanya) kerananya, bahkan walaupun duri yang menusuknya’.”
(HR. Ahmad,no.23082) 

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Misykat al-Masobih,3/209,no.5562). Juga dinilai Sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.24215).

Saturday, November 12, 2022

Sujud: Tapak Kaki Direnggangkan Atau Dirapatkan?

● MERENGGANGKAN TAPAK KAKI ●



:: Hadis 1 ::
dari Abu Humaid,dia berkata,
“..Apabila baginda sujud, baginda merenggangkan kedua pahanya dan menjauhkan perut dari pahanya.”
(HR. Abu Daud,no.735)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/80). Namun hadis ini dijadikan hujjah oleh imam asy-Syaukani bahawa tapak kaki direnggangkan ketika sujud, kata beliau: “Ungkapan ‘merenggangkan kedua pahanya’ maksudnya adalah merenggangkan antara kedua pahanya, kedua lututnya dan kedua tapak kakinya.” Para ulama’ dalam mazhab Syafi‘i berkata: ‘Merenggangkan antara kedua tapak kaki kadar sejengkal” (rujuk: Nailul Authar,2/297).


● MERAPATKAN TAPAK KAKI ●



:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku kehilangan Rasulullah ﷺ, padahal sebelumnya baginda tidur disisiku. Tiba-tiba aku menjumpai baginda sedang sujud dalam keadaan merapatkan kedua tumit baginda dan hujung-hujung jari kaki baginda menghadap Kiblat.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.654. Ibnu Hibban,no.1933. al-Hakim,no.832)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya oleh para ulama’ hadis. Hadis ini dinilai sahih oleh imam Ibnu Khuzaimah kerana beliau memasukkan hadis ini ke dalam kitab Sahihnya, dengan tajuk bab: بَابُ ضَمِّ الْعَقِبَيْنِ فِي السُّجُودِ (Bab merapatkan tumit ketika sujud), menunjukkan disisi beliau, merapatkan kedua telapak kaki ketika sujud adalah sunnah. Juga dinilai sahih oleh imam al-Hakim, dengan katanya: “Hadis ini sahih sesuai dengan kriteria asy-Syaikhain (Bukhari dan Muslim)”, dan imam adz-Dzahabi mempersetujuinya (rujuk: Sahih al-Mawarid,406). Dinilai sahih oleh Imam Ibn al-Mulaqqin (rujuk: al-Badr al-Munir,3/669), dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani, dengan katanya: “Sahih menurut syarat Muslim sahaja” (rujuk: Aslu Sifati Solatin Nabiy,2/736), dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, dengan katanya: “Isnadnya sahih menurut syarat Muslim” (rujuk: Takhrij Sahih Ibnu Hibban,1933). Namun hadis ini dinilai ‘Munkar’ (tidak sahih) oleh sebahagian ulama’ hadis yang lain, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi yg mana dia dinilai Dhaif oleh imam Abu Hatim dengan katanya: “La Yuhtajju Bihi (tidak boleh berhujjah dengannya)” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta’dil,9/128). Kata Ibn Sa‘ad: “Dia Munkarul Hadis” (rujuk: ath-Thabaqat al-Kubra,7090). Imam Ahmad berkata: “Buruk hafalannya”. Imam ad-Daraquthni berkata: “Sebahagian hadisnya idhthirab (goncang)” (rujuk: adz-Dzahabi,al-Mughni fi adh-Dhu’afa’,6931). Kata an-Nasaie: “Tidak kuat dan tidak boleh dijadikan hujjah” (rujuk: Ibnu Jauzi,ad-Dhu’afa’ wal Matrukin,3694).

NOTA (2):
Akan tetapi, walaupun hadis ini tidak sahih, namun terdapat hadis sahih yg secara tidak langsung menunjukkan bahawa tumit Rasulullah ﷺ rapat ketika sujud:

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Pada satu malam, aku mendapati Rasulullah ﷺ tiada di tempat tidur. Aku mencarinya, lalu tangan ku tersentuh dua kakinya, ketika itu baginda sedang sujud, kedua-dua kakinya ditegakkan...”
(HR. Muslim,no.486. Abu Daud,no.879. at-Tirmidzi,no.3493)

NOTA:
Berdasarkan hadis ini lah, Syaikh Soleh al-‘Utsaimin berpendapat bahawa merapatkan tapak kaki ketika sujud adalah Sunnah, kata beliau: “Yang zahir daripada sunnah ialah kedua-dua kaki (telapak kaki) dirapatkan, iaitu: seseorang merapatkan kedua kakinya antara satu sama lain. Seperti dalam hadis sahih (Sahih Muslim) daripada ‘Aisyah ketika beliau kehilangan (tidak melihat) Nabi ﷺ, lalu tangannya terkena pada bahagian bawah kedua telapak kaki baginda yang dalam keadaan tegak ketika baginda sedang sujud. Dan satu tangan tidak akan terkena pada kedua telapak kaki melainkan apabila kedua-duanya dirapatkan. Hal ini juga datang dalam Sahih Ibn Khuzaimah pada hadis ‘Aisyah yang disebutkan sebelum ini: (bahawa Rasulullah ﷺ merapatkan kedua tumitnya). Maka berdasarkan itu, sunnah pada kedua kaki ialah merapatkannya, berbeza dengan (kedudukan) dua lutut dan dua tangan (yang perlu dijarakkan).” (rujuk: asy-Syarhul Mumti,3/169). Walaupun begitu, seorang Muhaddis (Ahli Hadis) iaitu Syaikh ‘Abdul ‘Aziz at-Tharifi berpendapat bahawa tapak kaki tetap direnggangkan. Kerana menurut beliau, ucapan ‘Aisyah bahawa “tersentuh kedua-dua tapak kaki baginda” tidak semestinya mencantum tumit. Boleh jadi maknanya, satu tangan menyentuh kedua-dua kaki orang yg solat yg tidak bercantum (dirapatkan), seperti kedua kakinya hanya berdekatan. Maka tapak tangan menyentuh kaki kanannya sedangkan lengan tangan menyentuh kaki kirinya. (rujuk: Sifat Solat Nabi,132-133).

KESIMPULAN:
Perkara ini berlaku khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Ulama’, maka setiap orang boleh memilih mana-mana pendapat samada merenggangkan tapak kaki ataupun merapatkan tapak kaki berdasarkan keyakinan hujjah ataupun berdasarkan keselesaan masing-masing.
Wallahua’lam Bissowab.

Friday, November 4, 2022

Doa Selepas Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)

:: Hadis 1 ::
dari Mu‘adz bin Anas al-Juhani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memakan suatu makanan, lalu mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ
Alẖamdulillahil Ladzii Ath-‘Amanii Hadza Ath-Tho'aama Wa Rozaqo-Niihi Min Ghoiri H̱aulin Minnii Wa Laa Quwwah
(Segala puji bagi Allah yang memberiku makanan ini dan mengurniakannya untukku tanpa daya dan upaya daripadaku),
maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu.”
(HR. Abu Daud,no.4023. Ahmad,no.15079. at-Tirmidzi,no.3458. Ibnu Majah,no.3285)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih), kerana hadis ini diriwayatkan dari Sahl bin Mu‘adz bin Anas al-Juhani dari ayahnya, yg mana kata Yahya Ibn Ma‘in: “Sahl bin Mu‘adz bin Anas dari ayahnya, Dha‘if” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta’dil,4/204). Ibnu Hibban juga mempunyai dua pendapat yang saling berselisih tentangnya. Ibnu Hibban memujinya pada kitab lain (rujuk: Masyahir 'Ulama al-Amsar,195), namun beliau mengkritiknya dengan berkata (dalam kitabnya yg lain): “Munkar al-Hadis Jiddan” (rujuk: al-Majruhin,9/441). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Muthofa al-‘Adawi (rujuk: video).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ selesai makan, baginda mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ
Alẖamdulillahil Ladzii Ath-‘Amanaa Wa Saqoonaa Waja ‘Alanaa Muslimiin
(Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam).”
(HR. Abu Daud,no.3850. Ahmad,no.10846. at-Tirmidzi,no.3457. Ibnu Majah,no.3274)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh ramai Muhadditsin (Ulama’ Hadis), kerana berlaku idthirab (kegoncangan) di dalam sanadnya. Hadis ini dinilai Dhaif oleh salah satunya imam Ibn Qattan al-Fasi (rujuk: Bayan al-Wahm wa al-Alham,4/601), imam adz-Dzahabi (rujuk: Mizan al-I'tidal,1/228), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,3/98).

:: Hadis 3 ::
dari Abu ‘Umamah,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ selesai daripada (makan) makanannya, baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مُوَدَّعٍ وَلَا مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا
  Alẖamdulillahi Katsiiron Thoyyiban Mubaarokan Fiih, Ghoiro Makfiyyin Walaa Muwadda‘in Walaa Mustagh-nan ‘Anhu Robbanaa
(Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak, yang baik lagi penuh berkat di dalamnya, tanpa kami merasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah),
diperlukan dan tidak dapat ditinggalkan, wahai Tuhan kami).”
(HR. Bukhari,no.5458)

:: Hadis 4 ::
dari Abu ‘Umamah,dia berkata,
“Nabi ﷺ apabila selesai dari (makan) makanannya, baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مَكْفُور
Alẖamdulillahil-ladzii Kafaanaa Wa Arwaanaa Ghoiro Makfiyyin Walaa Makfuur
(Segala puji bagi Allah yang mencukupkan kami dan menghilangkan dahaga kami, tanpa kami merasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah) dan kami tidak kufur nikmat)...”
(HR. Bukhari,no.5459)

:: Hadis 5 ::
الْحَمْدُ لِلَّهِ
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (Alẖamdulillah) selepas makan dan minum.”
(HR. Muslim,no.2734)

NOTA:
Sekalipun doa² pada Hadis 1 & 2 itu tidak sahih, akan tetapi tidaklah menjadi masalah untuk sekali sekala membacanya kerana ia hanyalah doa. Hukum berdoa dengan doa yg berasal dari hadis yg tidak sahih (sekalipun Maudhu’/Palsu), tidaklah berdosa, dengan syarat tidak berkata & meyakini bahawa doa tersebut adalah “Sunnah” atau “dari Nabi ﷺ”. Namun melazimi ‘Bismillah’ sebelum makan adalah lebih afdhal (utama) kerana ia Sahih dari Nabi ﷺ dan akan mendapat pahala Sunnah.
Wallahua’lam Bissowab.

untuk Doa sebelum makan, rujuk & klik di sini: 'Doa Sebelum Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)'

Thursday, November 3, 2022

Di Mana 'Arasy Allah?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu..”
(at-Thalaq [65]: ayat 12)

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda (ketika peristiwa Isra’ Mi’raj),
“..Aku dibawa naik ke langit ketujuh. Jibril minta dibukakan (pintu langit),dia ditanya: ‘Siapakah kamu?’ Dia menjawab: ‘Jibril’. Ditanya lagi: ‘Lalu siapakah yang bersamamu itu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad’. Ditanya lagi: ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutus’. Lalu (pintu itu) pun terbuka. Di sana aku bertemu Nabi Ibrahim a.s. yang tengah bersandar pada Baitul Ma’mur. Ternyata, setiap hari ada tujuh puluh ribu malaikat masuk ke Baitul Ma’mur dan mereka tidak kembali lagi. Kemudian aku di bawa ke Sidratul Muntaha yang daunnya seperti daun telinga gajah dan buah-buahannya sebesar tempayan..”
(HR. Muslim,no.162)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Disisi Sidratul Muntaha. Yang disisinya terletak syurga Jannatul-Makwa”
(an-Najm [53]: ayat 14-15)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Jika kamu meminta kepada Allah, mintalah (syurga) Firdaus kerana itu adalah syurga yang paling tengah dan yang paling tinggi, dan di atasnya ada ‘Arasy ar-Rahman (Allah) dan daripadanya terpancar sungai-sungai di syurga.”
(HR. Bukhari,no.2790)

NOTA:
Daripada dalil² di atas, maka dapat disimpulkan bahawa langit ada tujuh lapis. Di atas langit ketujuh ada Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha berdekatan dengan syurga. Dan banyak-banyak syurga, syurga Firdaus adalah syurga yang paling tinggi. Dan di atas syurga Firdaus ada ‘Arasy Allah. Maka, ‘Arasy Allah terletak di atas langit ketujuh.
Wallahua’lam.

Wednesday, November 2, 2022

Kanak-Kanak Bukan Islam Yang Mati (Belum Baligh) Akan Masuk Syurga

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah).”
(al-Isra' [17]: ayat 15)

NOTA:
daripada ayat ini, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menukilkan kata² Imam an-Nawawi bahawa: “Sekiranya tidak diazab mereka yg berakal kerana keadaan mereka yg tidak sampai seruan dakwah, maka tidak diazab orang yang tidak berakal adalah lebih utama” (rujuk: Fath al-Bari,4/462)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu)..”
(an-Nisa' [4]: ayat 40)

:: Hadis ::
dari Samurah bin Jundab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Adapun lelaki yang tinggi di dalam Raudhah (taman syurga), ia adalah Ibrahim ﷺ. Adapun anak-anak yang ada di sekelilingnya adalah setiap anak-anak yang dilahirkan yang mati di atas fitrah (yakni Islam dan dimasukkan ke dalam syurga). Lalu sebahagian orang Islam bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah ia termasuk kanak-kanak orang musyrikin?’ Lalu Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Termasuk anak-anak orang musyrikin’..”
(HR. Bukhari,no.7047)