Saturday, March 14, 2026

Mengapa Allah Menguji Kita?

● ALLAH MENYAYANGI HAMBA TERSEBUT ●

:: Hadis 1 ::
dari Anas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Sesungguhnya, apabila Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka...”
(HR. at-Tirmidzi,no.2396b. Ibnu Majah,no.4031)

:: Hadis 2 ::
dari Muhammad bin Labid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jika Allah mencintai suatu kaum, Dia akan menguji mereka..”
(HR. Ahmad,no.23633. al-Baihaqi [rujuk: Syu‘ab al-Iman,no.9327])

NOTA:
Hadis ini dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih at-Targhib,3406), dan dinilai Hasan kerana syawahid oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).


● ALLAH MAHU MEMBERI KEBAIKAN KEPADA HAMBA TERSEBUT (SAMA ADA KEBAIKAN UNTUK DI DUNIA ATAU DI AKHIRAT, ATAU KEDUANYA) ●

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan pada dirinya, maka Dia akan mengujinya (beri musibah).”
(HR. Bukhari,no.5645)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa inna ilaihi rooji‘uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(al-Baqarah [2]: ayat 155-157)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”
(az-Zumar [39]: ayat 10)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.
(asy-Syura [42]: ayat 27)

NOTA:
Berdasarkan “al-Quran 3” ini, dapat difahami bahawa salah satu sebab Allah tidak melimpahkan rezeki kepada sebahagian hamba-Nya ialah kerana jika mereka diberikan rezeki yang terlalu banyak, mereka mungkin akan mudah melakukan dosa dan melampaui batas. Hal ini boleh menyebabkan mereka akhirnya dimasukkan ke dalam neraka akibat dosa-dosa yang dilakukan. Oleh itu, Allah ‘menyelamatkan’ sebahagian hamba-Nya dengan tidak melimpahkan nikmat dunia secara berlebihan, agar mereka lebih mudah menuju ke syurga, kerana jika hamba tersebut diuji dengan kesusahan, hamba tersebut lebih mudah untuk melakukan amal ibadah.


ALLAH MAHU HAMBA TERSEBUT BERTAUBAT, MENINGGALKAN DOSA (TERUTAMA DOSA BESAR) DAN MELAKUKAN PERINTAH ALLAH (SEPERTI IBADAH FARDHU DAN SEBAGAINYA)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
(ar-Rum [30]: ayat 41)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Dan Kami timpakan mereka dengan berbagai azab (bala bencana), supaya mereka kembali (bertaubat).”
(az-Zukhruf [43]: ayat 48)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur); dan apabila ia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa merayu dengan panjang lebar.”
(Fussilat [41]: ayat 51)


● ALLAH MAHU MENGHAPUSKAN SEBAHAGIAN DOSA-DOSA HAMBA (TERUTAMA DOSA KECIL) ●

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”
(asy-Syura [42]: ayat 30)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada satupun musibah (ujian) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang seumpamanya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya (dosanya).”
(HR. Muslim,no.2572)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa musibah seperti keletihan, penyakit, keresahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan bahkan duri yang melukainya sekalipun melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya.”
(HR. Bukhari,no.5641)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ujian sentiasa menimpa orang mukmin dan mukminah pada dirinya, anaknya dan hartanya, sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan tidak ada kesalahan pada dirinya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2399. dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh Imam at-Tirmidzi)


● ALLAH MAHU MENGANGKAT DARJAT HAMBA (TERUTAMA KEPADA HAMBA-NYA YANG TAAT) ●

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Janganlah kamu bersikap lemah dan jangan pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang yang beriman.”
(ali-‘Imran [3]: ayat 139)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada satupun musibah (ujian) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang seumpamanya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya (dosanya).”
(HR. Muslim,no.2572)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih berat menanggung kesakitan daripada Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.5646. Muslim,no.2570)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,ia berkata,
“Aku pernah menemui Rasulullah ﷺ ketika beliau sedang sakit, lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, engkau sedang mengalami sakit yang amat berat’. Baginda bersabda: ‘Benar, rasa sakit yang menimpaku ini sama sepertimana rasa sakit yang menimpa dua orang daripada kamu’. Aku kemudian berkata: ‘Sebab itu engkau mendapat dua pahala?’ Baginda menjawab: ‘Benar, seperti itulah. Tidaklah seorang muslim yang tertimpa suatu musibah (penyakit) atau yang lain, melainkan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya sepertimana pohon menggugurkan dedaunannya’.”
(HR. Bukhari,no.5648)

NOTA:
Berdasarkan hadis 2 & 3 ini, dapat difahami bahawa penderitaan yang seseorang itu lalui juga boleh menunjukkan bagaimana ‘darjatnya’ di sisi Allah, kerana Rasulullah yang dijamin syurga pun diuji dengan sakit yang lebih kuat daripada kebiasaan manusia (apabila baginda diuji dengan penyakit), sedangkan Rasulullah orang yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah. Untuk melihat ujian-ujian lain yang Rasulullah pernah lalui lalui, klik di sini: Ketika Rasulullah Melalui Ujian Yang Berat

Wednesday, March 11, 2026

Larangan Lelaki Menyerupai Wanita Dan Wanita Menyerupai Lelaki

:: Hadis 1 ::
dari Ibn ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ telah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.”
(HR. Bukhari,no.5886. Abu Dawud,no.4953. at-Tirmidzi,no.2785)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda,
“Rasulullah ﷺ telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.”
(HR. Ahmad,no.8309. Abu Daud,no.4098. Ibnu Hibban,no.5751, 5752. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubro,9253])

NOTA:
Imam Abu Daud diam setelah meriwayatkan hadis ini, menunjukkan bahawa hadis ini Soleh di sisi beliau. Hadis ini dinilai sahih oleh Ibnu Hibban (kerana beliau meriwayatkan hadis ini dalam kitab Sahih-nya). Hadis ini juga dinilai sahih oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Majmu’,4/469. Riyadh as-Solihin,527), imam adz-Dzahabi (rujuk: al-Kabair,253), Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Abi Daud,no.4098. Hidayah al-Ruwah,4395), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth dengan katanya: “Sanadnya sahih menurut syarat Muslim” (rujuk: Takhrij Sahih Ibn Hibban,no.5751 & 5752. Takhrij Musnad Ahmad,no.8309. Takhrij Sunan Abi Daud,no.4098). Hadis ini dinilai Hasan oleh imam Ibn Hajar al-Asqalani (rujuk: Hidayah al-Ruwah,4/246), Syaikh Muqbil al-Wadi‘i dengan katanya: “Hasan menurut syarat Muslim” (rujuk: as-Sahih al-Musnad,1300).

Golongan Teguh Di Baitul Maqdis

:: Hadis 1 ::
dari Abu Umamah al-Bahili,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Akan sentiasa ada satu golongan daripada umatku yang tetap teguh di atas agama (Islam), mengalahkan musuh-musuh mereka, tidak akan dimudaratkan oleh sesiapa yang menentang mereka, melainkan hanya sedikit kesusahan (ujian dan tekanan) yang menimpa mereka, sehinggalah datang perintah Allah (yakni tibanya ketentuan-Nya atau hari kiamat), sedangkan mereka tetap berada dalam keadaan demikian. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, di manakah mereka itu?’ Baginda bersabda: ‘Di Baitul Maqdis dan kawasan sekitarnya’.”
(HR. Ahmad,no.22320. ‘Abdullah bin Ahmad [rujuk: Zawaid al-Musnad,no.22320]. at-Thabrani,8/145,no.7643 & asy-Syamiyyin,no.860)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya di sisi ulama’ hadis. Hadis ini dinilai Sahih oleh imam al-Haitsami, dengan katanya: “Rijalnya (perawinya) tsiqah” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,7/291). Namun hadis ini dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani, dengan katanya: “Sanadnya dhaif, tetapi terdapat syawahid (riwayat-riwayat lain) yang maknanya hampir sama” (rujuk: Silsilah as-sahihah,4/559), dalam kitab beliau yang lain beliau mengatakan: “Munkar dengan (lafaz yang) selengkap ini” (rujuk: Silsilah ad-Dhaifah,no.5849). Begitu juga Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, kata beliau: “Sahih li ghairih kecuali pada perkataan: ‘Mereka bertanya: Wahai Rasulullah, dimanakah mereka?” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.22320). Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga menilai hadis ini sebagai Dhaif, dengan katanya: “(yang sahih) bukan dengan lafaz ini. Tapi (dari segi) maknanya mempunyai syawahid (riwayat-riwayat lain yang menyokong)” (rujuk: video). Walaupun hadis ini dhaif dengan lafaz ini, namun terdapat hadis sahih yang lain yang membawa makna yang sama dan hadis lain yang hampir serupa:

:: Hadis 2 ::
dari ‘Auf bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Hitunglah enam perkara yang akan berlaku sebelum datangnya kiamat: kematianku, kemudian pembukaan (penaklukan) Baitul Maqdis...”
(HR. Bukhari,no.3176)

NOTA:
Hadis ini menunjukkan ada golongan/sekumpulan muslim yang kuat menakluk Baitul Maqdis pada akhir zaman (sebelum Hari Kiamat) kelak.

:: Hadis 3 ::
dari Mughirah bin Syu’bah,Nabi ﷺ bersabda,
“Akan sentiasa ada satu kelompok daripada umatku yang menegakkan (kebenaran) hingga datang kepada mereka perintah Allah (Hari Kiamat) dan mereka masih dalam keadaan menegakkan (kebenaran).”
(HR. Bukhari,no.7311)

:: Hadis 4 ::
dari Tsauban,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang menzahirkan kebenaran (Islam), mereka tidak boleh dimudaratkan oleh kalangan yang mengecewakan mereka, sehingga datangnya urusan Allah (memenangkan mereka), mereka masih dalam keadaan demikian.”
(HR. Muslim,no.1920)

Saturday, March 7, 2026

Ahli Ilmu Lebih Utama Daripada Ahli Ibadah

dari Abu Umamah al-Bahili,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Keutamaan seorang ‘alim (ahli ilmu) atas seorang ‘abid (ahli ibadah) bagaikan keutamaanku atas seorang yang paling rendah diantara kalian (para Sahabat). Sesungguhnya penghuni langit dan bumi, bahkan semut yang di dalam lubangnya dan bahkan ikan, semuanya berselawat kepada orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang lain.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2685. Hadis ini dinilai hasan sahih gharib oleh imam at-Tirmidzi)

Thursday, March 5, 2026

Cara Menggenggam Jari Ketika Tasyahud (Tahiyat)

● IBU JARI DAN JARI TENGAH MEMBENTUK LINGKARAN HURUF ‘O’ ●



Dari Wail bin Hujr,dia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ melingkarkan ibu jari dan jari tengahnya, dia mengangkat (jari telunjuk) yang dekat keduanya. Baginda berdoa dengannya pada waktu tasyahud.”
(HR. Abu Daud,no.726. an-Nasaie,no.1265. Ibnu Majah,no.912. Dan ini lafaz Ibn Majah)

NOTA:
Imam Abu Daud diam (tidak mengkritik) setelah meriwayatkan hadis ini, menunjukkan hadis ini Soleh disisi beliau. Hadis ini juga dinilai Sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Aslu Sifat Solat Nabi,3/834. Sahih Abi Daud,no.957. Sahih an-Nasaie,no.1264. Sahih Ibn Majah,no.753) dan Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, dengan katanya: “Sanadnya Qowi (kuat)” (rujuk: Takhrij Sunan Abi Daud,no.957. Takhrij Syarh as-Sunnah,563. Zaad al-Ma‘ad,1/247).


● GENGGAM SEMUA JARI KECUALI JARI TELUNJUK ●



dari ‘Ali bin ‘Abdurrahman,dia berkata,
“Ibnu ‘Umar melihatku sedang menggerak-gerakan kerikil ketika solat. Setelah selesai solat, dia melarangku dengan berkata: ‘Buatlah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah ﷺ’. Aku berkata: ‘Bagaimana Rasulullah ﷺ lakukan?’ ‘Abdullah menjawab: ‘Apabila duduk dalam solat, maka baginda meletakkan telapak tangan kanan di atas paha kanan dan menggenggam semua jari-jari, lalu berisyarat dengan jari telunjuk. Baginda juga meletakkan tangan kiri di atas paha kiri’.”
(HR. Muslim,no.580c. an-Nasaie,no.1267. Dan ini lafaz an-Nasaie)


● MENGGENGGAM TANGAN KANAN DENGAN MELETAKKAN IBU JARI DI BAWAH JARI TELUNJUK ●



dari ‘Amir bin ‘Abdullah bin Zubair,dari ayahnya berkata:
“Rasulullah ﷺ apabila duduk untuk tasyahhud, baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan dan tapak tangan kiri di atas peha kiri, sambil mengangkat jari telunjuk dalam keadaan ibu jari diletakkan di atas jari tengah, manakala tapak tangan kiri baginda pula menutup bahagian lutut.”
(HR. Muslim,no.579b)

Doa Memakai Pakaian Dan Kelebihannya

dari Mu‘adz bin Anas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang hendak memakai pakaian lalu membaca doa:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَسَانِي هَذَا الثَّوْبَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي، وَلَا قُوَّةٍ
Alẖamdulillahil ladzii kasaanii hadzast tsauba, wa rozaqo-niihi min ghoiri ẖawlin minnii, walaa quwwatin
(Segala puji bagi Allah yang memakaikan aku (pakaian) ini, dan memberi rezeki kepadaku tanpa daya dan kekuatan daripadaku),
maka akan diampunkan baginya dosa yang dahulu dan akan datang.”
(HR. Abu Daud,no.4023)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh imam al-Mundziri, dengan katanya: “(dalam sanadnya ada) Sahl bin Mu‘adz, seorang (perawi) dari Mesir yang Dhaif, dan perawi yang riwayatkan daripadanya ialah Abu Marhum, iaitu ‘Abdurrahim bin Maimun, juga dari Mesir, yang tidak boleh dijadikan hujjah” (rujuk: Mukhtas̄ar Sunan Abi Daud,3/21). Beliau juga berkata pada kitab beliau yang lain: “(dlm sanadnya) ada perawi ‘Abdurrahim bin Maimun dari Sahl bin Mu‘adz” (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,3/133). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam adz-Dzahabi, dengan katanya: “(dalam sanadnya terdapat) Abu Marhum yang Dhaif, dia ialah ‘Abdurrahim bin Maimun” (rujuk: Talkhis al-Mustadrak,7638). Imam Ibn Muflih juga menilai hadis ini Dhaif dengan katanya: “di dalamnya ada ‘Abdurrahim bin Maimun Abu Marhum al-Ma‘afiri yang dinilai Dhaif oleh imam Ibn Ma‘in, imam Abu Hatim & selain dorang dua. Imam an-Nasaie kata: Aku harap tidak mengapa dengannya (maksudnya hadisnya masih boleh diterima)” (rujuk: al-Adab al-Syar‘iyyah,3/206). Namun, walaupun hadis ini Dhaif, ia boleh diamalkan kerana ia hanyalah doa, dengan syarat tidak meyakini bahawa doa ini secara pasti berasal daripada Rasulullah ﷺ.

Monday, March 2, 2026

Sungai Furat Mengering: Tanda Sebelum Kiamat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehingga Sungai Furat (Euphrates) menyingkap sebuah gunung daripada emas. Manusia akan saling berperang kerananya, lalu daripada setiap 100 orang, 99 akan terbunuh. Setiap lelaki di antara mereka berkata: ‘Mudah-mudahan akulah yang terselamat’.”
(HR. Muslim,no.2894a)

:: Hadis 2 ::
dari Ubai bin Ka‘ab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hampir sahaja Sungai Furat (Euphrates) itu mengering dan akan menzahirkan segunung harta berupa emas. Apabila manusia mendengar berkenaannya, mereka akan beramai-ramai datang mengerumuninya. Lantas, orang yang berada di situ akan berkata: ‘Jika kami biarkan orang lain mengambilnya, maka tentu semua ini akan habis dibolot oleh mereka’. Lantas mereka saling berperang untuk mendapatkannya, dan terbunuhlah sebanyak 99 orang dari setiap 100 orang.”
(HR. Muslim,no.2895)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hampir sahaja Sungai Furat (Euphrates) itu mengering dan terzahir daripadanya harta yang sangat banyak berupa emas. Sesiapa yang menyaksikannya, maka janganlah dia mengambil suatu apa pun daripadanya!”
(HR. Bukhari,no.7119. Muslim,no.2894b)

Friday, February 13, 2026

Membangunkan Keluarga Untuk Solat Sunat

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ali bin Abi Thalib bahawa Nabi ﷺ datang pada waktu malam untuk menjenguk Fathimah. Lalu baginda berkata: ‘Adakah kalian tidak mendirikan solat?’ Aku menjawab: ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya diri kami berada di tangan Allah. Jika Dia mahu membangunkan kami, maka Dia akan membangunkan kami’. Baginda ﷺ pun beredar ketika aku menyatakan hal itu. Kemudian aku mendengar baginda menepuk pahanya sambil berkata: ‘Dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya (al-Kahfi [18]: ayat 54)’.”
(HR. Muslim,no.775)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ masuk pada sepuluh akhir (Ramadan), baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya”
(HR. Muslim,no.1174)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya juga solat. Jika isterinya enggan maka si suaminya memercik wajah isteri dengan air. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan maka si isterinya memercik wajah suami dengan air.”
(HR. Abu Daud,no.1308. an-Nasaie,no.1610. Ibnu Majah,no.1336)

NOTA:
Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah meriwayatkan hadis ini, dan diamnya imam Abu Daud bermaksud hadis itu Soleh disisi beliau. Hadis ini juga dinilai Sahih oleh imam al-Mundziri, dengan katanya: “(Hadis itu) tidak turun daripada darjat hasan, bahkan boleh jadi ia menepati syarat Sahihain (Bukhari dan Muslim) atau salah satu daripada keduanya” (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,1/292), juga dinilai Sahih oleh imam an-Nawawi (rujuk: Riyadh as-Solihin,402). Syaikh al-Albani berkata: “Hasan sahih” (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1450. Sahih an-Nasaie,no.1609), namun di kitab lain beliau berkata: “Hasan” (rujuk: Sahih at-Targhib,625. Hidayah al-Ruwah,no.1187). Dan hadis ini dinilai Hasan oleh Syaikh al-Wadi‘i (rujuk: Sahih al-Musnad,no.1276), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth berkata: “Sanadnya qowi [kuat]” (rujuk: Takhrij Sunan Abi Daud,no.1308. Syarh as-Sunnah,4/96-97), dan juga dinilai Hasan oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).

Wednesday, February 4, 2026

Minum Sambil Berdiri

:: Hadis 1 ::
dari an-Nazzal,dia berkata,
“Ali tiba di pagar perkarangan masjid, dan minum sambil berdiri lalu berkata: ‘Ramai orang yang benci apabila ada dalam kalangan mereka yang minum sambil berdiri, sedangkan aku melihat Nabi ﷺ melakukan apa yang kamu lihat aku lakukan’.”
(HR. Bukhari,no.5615)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah minum air Zamzam dalam keadaan berdiri.”
(HR. Bukhari,no.5617. Muslim,no.2027)

Kebanyakan Penghuni Neraka Adalah Wanita

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Aku diperlihatkan neraka. Kebanyakan penghuninya adalah wanita yang kufur’. Baginda ditanya: ‘Adakah mereka kufur kepada Allah?’ Baginda menjawab: ‘Mereka kufur kepada suami mereka, dan kufur kepada perbuatan baik yang dilakukan untuk mereka. Seandainya kalian melakukan kebaikan kepada seorang wanita sepanjang tahun, kemudian dia mendapati engkau melakukan sesuatu (yang dia tidak suka), dia akan berkata: ‘Aku tidak pernah melihat kebaikan engkau langsung’.”
(HR. Bukhari,no.29)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda:
“Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu, banyak kejahilan, banyak zina, banyak meminum arak, (bilangan) kaum lelaki sedikit dan kaum wanita banyak sehingga 50 wanita dinisbahkan untuk seorang lelaki yang menguruskan.”
(HR. Bukhari,no.5577)

Doa Yang Rasulullah Ajar Kepada Abu Bakar as-Siddiq

dari Abu Bakar as-Siddiq,bahawa dia berkata kepada Nabi ﷺ,
“Ajarkanlah aku satu doa yang aku boleh berdoa dengannya dalam solatku’. Baginda bersabda: ‘Katakanlah:

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الغَفُورُ الرَّحِيمُ

Allahumma innii Zholamtu Nafsii Zhulman Katsiiroo, Walaa Yaghfirudz-Dzunuuba illaa Anta, Fagh-firlii Magh-firotan Min ‘Indika, Warẖamnii, Innaka Antal Ghofuurur Roẖiim

(Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diriku dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Maka, Kau ampunilah aku dengan keampunan di sisi-Mu serta Kau rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang)’.”
(HR. Bukhari,no.834 & 6236)


Larangan Menyakiti Sesama Muslim

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata.”
(al-Ahzab [33]: ayat 58)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(an-Nisa' [4]: ayat 148)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah Ibn ‘Amru,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya.”
(HR. Bukhari,no.6484)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jauhilah berprasangka, sesungguhnya prasangka adalah bicara hati yang paling dusta, jangan mencari-cari kesalahan dan jangan mengintai, dan jangan saling mendengki dan jangan saling membenci, dan jangan saling membelakangi (bermusuhan). Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
(HR. Bukhari,no.6064. Muslim,no.2563)

Tuesday, February 3, 2026

Bertimbang Rasa Terhadap Makmum Ketika Menjadi Imam

dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Aku tidak pernah solat dibelakang imam yang lebih ringan dan lebih sempurna daripada solat di belakang Nabi ﷺ. Apabila baginda mendengar suara bayi menangis, maka baginda akan meringankan solat tersebut kerana dibimbangi akan menyusahkan ibunya.”
(HR. Bukhari,no.708. Muslim,no.469)

Sunday, November 23, 2025

Larangan Menoleh Ketika Solat

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku bertanya Rasulullah ﷺ mengenai berpaling (menoleh) dalam solat. Lalu baginda menjawab: ‘Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba’.”
(HR. Bukhari,no.751)

NOTA:
Imam al-Mawardi menyebutkan, bahawa menoleh ketika solat adalah makruh dalam setiap keadaan (rujuk: al-Hawi al-Kabir,2/188). Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah: “Tidak ada perbezaan pendapat di antara fuqaha’ mengenai makruhnya berpaling (menoleh) dalam solat, berdasarkan hadis daripada ‘Aisyah, katanya: ‘Aku bertanya Rasulullah ﷺ mengenai berpaling (menoleh) dalam solat’. Lalu baginda menjawab: ‘Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba’. Keadaan makruh ini tertakluk kepada ketiadaan keperluan atau keuzuran. Namun, jika terdapat keperluan, seperti ketakutan terhadap diri sendiri atau harta, maka ia tidak makruh” (rujuk: al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah,27/109).

Thursday, November 13, 2025

Solat Sunat 4 Rakaat Selepas Solat ‘Isyak: Pahalanya Seperti Lailatul Qadar

:: Hadis ::
dari Ibn ‘Abbas,dia berkata,
“Aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah binti al-Harith, isteri Nabi ﷺ. Pada malam itu, Nabi ﷺ berada di sisinya. Maka Nabi ﷺ menunaikan solat ‘Isyak, kemudian baginda pulang ke rumahnya dan menunaikan solat (sunat) empat rakaat...”
(HR. Bukhari,no.117)

:: Atsar 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,dia berkata,
“Barangsiapa yang menunaikan empat rakaat selepas solat ‘Isyak, maka (pahalanya) seakan-akan setara dengan (amal pada) malam Lailatul Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7273)

:: Atsar 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Empat rakaat selepas solat ‘Isyak menyamai (pahala solat) pada malam Lailatul Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7274)

:: Atsar 3 ::
dari ‘Abdullah (Ibn Mas‘ud),dia berkata,
“Barangsiapa yang solat empat rakaat selepas ‘Isyak tanpa memisahkan antara rakaat-rakaat itu dengan salam, seolah-olah mereka melakukannya di malam al-Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7275)

NOTA:
Ketiga-tiga Atsar tersebut dinilai Sahih Mauquf (sebagai kata-kata sahabat) oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Thorifi (rujuk: video). Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Thorifi, solat ini dilakukan dengan 4 rakaat, 1 salam. Namun kata beliau, berlaku khilaf (perbezaan pendapat) dikalangan ulama’ sama ada solat sunat 4 rakaat dilakukan dengan dua tasyahud (mempunyai tahiyat awal dan tahiyat akhir) seperti solat Zuhur dan ‘Asar, atau hanya satu tasyahud (tanpa tahiyat awal). Kata beliau, dalam bab ini ada keluasan dan kelonggaran sama ada mahu melakukkannya dengan dua tasyahud atau satu tasyahud. Adapun tentang kategori jenis solat ini, solat ini termasuk dalam solat sunat malam (solat Qiyamullail), bukan solat Rawatib. Wallahua‘lam.