Friday, March 15, 2024

Sahur Dan Kelebihannya

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Bersahurlah,kerana sesungguhnya di dalam sahur itu ada keberkatan.”
(HR. Bukhari,no.1923)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Said al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Makan pada waktu sahur adalah satu keberkatan. Maka,janganlah kamu meninggalkannya sekalipun dengan satu tegukan air,kerana sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla dan para malaikat-Nya mendoakan ke atas orang yang bersahur.”
(HR. Ahmad,no.10664 & 10969)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi tentang kesahihannya. Syaikh al-Albani menilai hadis ini sebagai ‘Hasan’ (rujuk: Sahih al-Jami',no.3683). Namun,Syaikh Musthofa al-'Adawi menilai hadis ini sebagai ‘Dhaif’ dalam video beliau.

:: Hadis 3 ::
dari ‘Amr bin al-‘As,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.”
(HR. Muslim,no.1096)

:: Hadis 4 ::
dari Anas,bahawa Zaid bin Tsabit berkata,
“Kami bersahur bersama Nabi ﷺ. Kemudian Baginda berdiri untuk solat”. Aku (Anas) bertanya: ‘Berapakah lama (tempoh masa) antara azan dan sahur?’ Beliau (Zaid) menjawab: ‘Kadarnya (kira-kira membaca) 50 ayat’.”
(HR. Bukhari,no.1921)

NOTA:
Ibnu Hajar al-'Asqalani berkata bahawa anggaran bacaan 50 ayat adalah kadar bacaan sederhana,tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat (rujuk: Fath al-Bari,4/139). Anggarannya dalam 15 - 20 minit sebelum masuk waktu Subuh.

:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: ‘Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku,nescaya Aku perkenankan baginya. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku,nescaya Aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku,nescaya Aku akan mengampuninya.”
(HR. Bukhari,no.1145)

NOTA:
Walaupun hadis ini secara umum (bukan khusus tentang Sahur),tetapi secara tidak langsung hadis ini menunjukkan bahawa waktu Sahur itu waktu yang dimakbulkan doa,kerana waktu sahur termasuk di dalam “sepertiga malam terakhir”.
Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment