Saturday, September 10, 2022

Hadis Perbanyakkan Selawat Pada Hari Jumaat Tidak Sahih?

:: Hadis 1 ::
dari Abu Darda’,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat. Sesungguhnya ia disaksikan, disaksikan para malaikat. Sungguh, sekali-kali tidaklah salah seorang dari kamu berselawat kepadaku kecuali selawatnya akan dibentangkan kepadaku hingga dia selesai”. Aku bertanya: ‘Walaupun setelah meninggal dunia?’ Baginda menjawab: ‘Ya, walaupun setelah meninggal. Sesungguhnya Allah mengharamkan bagi bumi untuk memakan tubuh para nabi, maka Nabi Allah akan selalu hidup dan diberi rezeki’.”
(HR. Ibnu Majah,no.1637)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam al-Bukhari, kerana hadis ini diriwayatkan dari Zaid bin Aiman dari ‘Ubadah bin Nusayyi, yg mana imam al-Bukhari berkata, hadis ini Mursal (terputus sanad) antara Zaid bin Aiman dan ‘Ubadah bin Nusayyi (rujuk: at-Tarikh,3/387).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Umamah,Nabi ﷺ bersabda,
“Perbanyakkanlah berselawat ke atasku pada setiap hari Jumaat. Sesungguhnya selawat yang dibaca oleh umatku akan dibentangkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Barangsiapa yang paling banyak berselawat ke atasku, maka dia akan berada paling hampir denganku (di dalam Syurga).”
(HR. al-Baihaqi,no.5995)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana ia diriwayatkan dari Makhul dari Abu Umamah, yg mana Ibnu Abi Hatim menukilkan kata ayahnya (Abu Hatim), bahawa Makhul tidak mendengar daripada Abu Umamah (rujuk: Jami’ at-Tahsil,285), begitu juga kata al-Mundziri (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,2487). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Dhaif al-Jami’,1115).

:: Hadis 3 ::
dari Aus bin Aus,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya, daripada seafdhal hari-hari kamu ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam dan padanya juga dimatikannya, dan padanya tiupan sangkakala dan padanya juga berlakunya kebangkitan. Justeru, perbanyakkan selawat ke atasku pada hari Jumaat kerana selawat kamu akan dibentangkan kepadaku. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana dibentangkan selawat kami sedangkan kamu sudah reput atau dimakan tanah?’ Sabda baginda: ‘Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah mengharamkan bagi bumi untuk memakan jasad-jasad para nabi’.”
(HR. Ibnu Majah,no.1626 & 1075. Abu Daud,no.1047 & 1531. an-Nasaie,no.1357. Ahmad,no.15575. ad-Darimi,no.1526)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ & Ma’lul (mempunyai kecacatan pada sanad) oleh imam Abu Hatim ar-Razi, al-Bukhari & an-Nasaie. Hadis ini mempunyai 2 ‘illah (kecacatan pada sanadnya). Pertama, kesemua riwayat ini melalui jalan (perawi yg bernama) Husain bin ‘Ali al-Ju’fi dari ‘Abdurrahman bin Yazid bin Jabir, yg mana sebenarnya ‘Abdurrahman bin Yazid disini adalah ‘Abdurrahman bin Yazid “bin Tamim”, bukan “bin Jabir”. Kerana Abu Hatim & al-Bukhari berkata, penduduk Kufah (Iraq) yang meriwayatkan dari ‘Abdurrahman bin Yazid adalah Abdurrahman bin Yazid “bin Tamim”, bukan “bin Jabir”, sedangkan Husain bin ‘Ali al-Ju’fi adalah penduduk Kufah (rujuk: Jarh wa at-Ta’dil,5/300. al-Bukhari,Tarikh al-Kabir,5/365). Ibnu Hibban juga mengatakan perkara yg sama (rujuk: al-Majruhin,2/55), begitu juga dengan Khatib al-Baghdadi (rujuk: Tarikh al-Baghdad,10/212). Kedua,perawi ‘Abdurrahman bin Yazid “bin Tamim” ini dinilai Dhaif oleh imam al-Bukhari (rujuk: Tarikh al-Kabir,5/365) dan Abu Hatim ar-Razi (rujuk: ibnu Abi Hatim,al-‘ilal,1/196), dan dinilai Matruk al-Hadis (hadisnya ditinggalkan) oleh imam an-Nasaie (rujuk: adh-Dhu‘afa’ wa al-Matrukin,158). Hadis² ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (dalam video beliau) dan Syaikh Khalid al-Hayek (dalam profile rasmi Ask.fm beliau).
Wallahua’lam bissowab.

No comments:

Post a Comment