Monday, June 3, 2013

Dapat Nikmat Syurga Sesuai Yang Kita Inginkan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Sesungguhnya salah seorang lelaki ahli syurga meminta kepada Allah untuk bercucuk tanam. Lalu Allah berfirman kepadanya: ‘Bukankah kamu bebas melakukan apa sahaja yang kamu hendaki?’ Dia berkata: ‘Benar. Akan tetapi aku sangat suka bercucuk tanam’. Nabi ﷺ bersabda: Kemudian lelaki itu pun menyemai benih lalu tumbuh dengan subur dan apabila menuai,hasilnya seperti sebuah gunung. Lalu Allah berfirman: ‘Ambillah,wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada yang memuaskan hati kamu (kenyang)’. Lelaki Badwi itu pun berkata: ‘Demi Allah,tidak akan ditemui seperti itu melainkan kaum Quraisy atau Ansar. Ini disebabkan mereka golongan petani,sedangkan kami bukan golongan petani’. Lalu Nabi ﷺ tertawa.”
(HR. Bukhari,no.2348)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa orang ramai bertanya: ‘Ya Rasulullah,adakah kami akan melihat tuhan kami pada hari kiamat?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat bulan purnama ketika ia penuh?’ Sahabat menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda bertanya lagi: ‘Adakah kamu terhalang daripada melihat matahari ketika tiadanya kabus?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ya Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Kamu akan melihat Allah seperti itu. Allah akan mengumpulkan manusia pada hari Kiamat lalu berkata: ‘Sesiapa yang menyembah sesuatu,hendaklah dia mengikut apa yang dia sembah. Maka sesiapa yang menyembah matahari akan mengikut matahari,sesiapa yang menyembah bulan akan mengikut bulan,sesiapa yang menyembah thaghut-thaghut akan mengikut thaghut-thaghut. Tinggallah pada umat ini orang-orang yang baik’. Allah datang kepada mereka dan berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu. Mereka (iaitu orang beriman mengingkari lalu) berkata: ‘Kami akan tetap di tempat ini sehingga datang kepada kami tuhan kami. Apabila datangnya tuhan kami,kami akan mengenalinya’. Lalu Allah datang kepada mereka dalam rupa yang mereka ketahui lalu berkata: ‘Aku adalah tuhan kamu’. Mereka menjawab: ‘Engkau adalah tuhan kami’. Lalu mereka mengikutnya. Dibentangkan al-Sirath melintasi neraka. Aku dan umat ku akan menjadi yang awal melintasinya. Tiada sesiapa yang bercakap pada hari itu kecuali para rasul,dan doa para rasul pada hari itu ialah: ‘Ya Allah,selamatkan, selamatkan’. Di neraka terdapat cangkuk-cangkuk seperti duri Al-Sa’dan. Adakah kamu pernah melihat pokok Al-Sa’dan?’ Sahabat menjawab: ‘Pernah wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Sesungguhnya cangkuk ini seperti duri pokok Al-Sa’dan,tiada siapa yang tahu besarnya saiz dia kecuali Allah. Cangkuk-cangkuk itu akan menarik manusia berdasarkan amalan mereka.  Ada yang terjatuh ke dalam neraka dan kekal di dalamnya,sebahagian lagi dipotong dan dicampak ke dalam neraka,dan selainnya. Sehingga apabila Allah selesai memutuskan qadha untuk hamba-hambaNya,dan Dia mahu mengeluarkan dengan rahmat-Nya sesiapa yang Dia kehendaki. Lalu Allah menyuruh malaikat mengeluarkan dari neraka sesiapa yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun,dan sesiapa yang Allah kehendaki dengan rahmat-Nya daripada mereka yang bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah. Malaikat mengenali mereka di neraka dengan tanda sujud mereka. Api neraka akan membakar manusia kecuali pada bahagian sujud mereka. Allah mengharamkan ke atas neraka daripada membakar kesan sujud. Mereka keluar dari neraka dalam keadaan sudah terbakar. Disiram ke atas mereka air kehidupan,lalu mereka tumbuh di bawahnya sebagaimana tumbuhnya biji benih pada aliran sungai. Kemudian Allah selesai memutuskan nasib hamba-hambaNya. Lalu tinggal seorang lelaki yang wajahnya menghadap neraka,dan dia adalah penghuni neraka terakhir akan masuk ke syurga. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,palingkanlah wajah ku dari neraka. Sesungguhnya udaranya menggangguku dan kepanasannya membakarku’. Dia meminta kepada Allah apa yang dia kehendaki. Kemudian Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak,demi kemuliaan-Mu,aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Kemudian dia akan memberikan kepada tuhannya janji sebagaimana yang Allah kehendaki. Lalu Allah memalingkan wajahnya dari api neraka. Apabila dia menghadap ke arah syurga,dia melihatnya,lalu dia mendiamkan diri selama mana yang Allah kehendaki. Kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,hampirkanlah aku ke pintu syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Dia berkata: ‘Wahai tuhan ku’,dia terus berdoa kepada Allah sehingga Allah berkata: ‘Boleh jadi engkau akan meminta hal lain jika aku memberikan apa yang kau minta’. Lelaki itu berkata: ‘Tidak,demi kemuliaan-Mu,aku tidak akan meminta apa-apa selain itu’. Lalu dia berjanji kepada tuhannya,lalu dia digerakkan ke pintu syurga. Apabila dia berdiri di pintu syurga,terbuka untuknya syurga dan dia melihat kesenangan yang ada di dalamnya. Lalu dia mendiamkan diri selama yang Allah kehendaki,kemudian dia berkata: ‘Wahai tuhan ku,masukkanlah aku ke dalam syurga’. Allah berkata: ‘Bukankah engkau telah berjanji untuk tidak meminta hal lain daripada Aku selamanya selain daripada apa yang telah aku berikan kepada engkau? Sungguh engkau memungkiri janji wahai anak Adam’. Lelaki itu berkata: ‘Wahai tuhan ku,janganlah aku menjadi makhluk yang paling sengsara’. Dia terus berdoa sehingga Allah ketawa kepadanya. Selepas mentertawakannya,Allah berkata kepadanya: ‘Masuklah ke syurga’. Apabila dia telah masuk ke syurga,Allah berkata kepadanya: ‘Berharaplah untuk apa-apa sahaja’. Lalu lelaki itu memohon kepada Allah dan berharap untuk apa-apa yang dia mahu sehingga Allah mengingatkannya untuk mengharap perkara tertentu sehingga selesailah semua permintaannya. Allah berkata: ‘Itu semua untuk engkau dan yang semisalnya bersamanya’.”
(HR. Bukhari,no.7437)

No comments:

Post a Comment