Wednesday, October 28, 2015

Jangan Menjadi Polis, Pemimpin, Pengutip Cukai Di Bawah Pemerintah Zalim

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong. Sesiapa yang sempat berada di zaman tersebut, jangan kamu menjadi pengutip cukai, penyelia dan penguasa bagi pihak mereka.”
(HR. at-Thabrani [rujuk: al-Mu’jam as-Saghir,1/340,no.564] & Mu’jam al-Awsath,4/277,no.4190])

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong. Sesiapa yang sempat hidup di zaman mereka, jangan dia menjadi wakil, pengutip cukai, orang yang menjaga perbendaharaan dan juga penguasa bagi pihak mereka.”
(HR. Khatib al-Baghdadi [rujuk: Tarikh Baghdad,11/577,no.5358])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh al-Albani (rujuk: irwa’ al-Ghalil,8/280,no.2665),dan Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Sahih Ibnu Hibban tartib Ibn Balban,nota kaki hadis no.4586). Juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Muqbil al-Wada‘i (rujuk: as-Sahih al-Musnad Min Dala’il an-Nubuwwah,570). Hadis ini Dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Daud bin Sulaiman al-Khurasani. Tetapi hadis ini lemah dari segi penisbahan kepada Rasulullah sahaja. Tidak menafikan bahawasanya ada larangan bersekutu/bertolong-tolongan dengan penguasa yang zalim.
Wallahua’lam.

Friday, September 11, 2015

Ketinggian Nabi Adam 60 hasta?

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda, 
“Allah menciptakan Adam dengan ketinggian 60 hasta. Kemudian Allah berkata: ‘Pergilah (Wahai Adam) dan ucapkanlah salam ke atas mereka dalam kalangan para malaikat. Lalu dengarlah apa yang dijawab oleh mereka kepada engkau, itulah salam bagi engkau dan zuriatmu’. Maka (Adam) mengucapkan: ‘Assalamu‘alaikum’, lalu mereka (para malaikat) menjawab: ‘Assalamu‘alaika wa Rahmah’, mereka menambahkan: ‘wa rahmatullah’. Maka, setiap yang masuk ke syurga adalah dalam bentuk Adam. Manusia sentiasa berkurangan (ketinggian mereka) semenjak penciptaannya sehingga sekarang.”
(HR. Bukhari,no.3326 & 6288. Muslim,no.2841)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Allah menciptakan Adam sebagaimana bentuknya, tingginya 60 hasta. Setelah Allah menciptakannya, Dia berfirman: ‘Pergilah dan berilah salam kepada para malaikat yang sedang duduk itu. Dengarkan apa salam yang mereka ucapkan kepadamu. Sesungguhnya ia adalah salammu dan salam keturunanmu’. Kemudian dia mengucapkan: Assalamu‘alaikum (semoga kesejahteraan untukmu)’. Maka mereka menjawab: Wa‘alaikumussalam wa rahmatullah (semoga kesejahteraan dan rahmat Allah untukmu). Mereka menambahnya: Wa rahmatullah (Dan rahmat Allah). Semua orang yang masuk syurga memiliki rupa bentuk seperti Adam. Lalu ciptaan itu terus berkurangan ukurannya sehingga sekarang.”
(HR. Bukhari,no.6227)

Saturday, August 29, 2015

Boleh Membayar Upah Bekam

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Abu Thaibah membekam Rasulullah ﷺ lalu baginda membayarnya dengan satu sha’ kurma dan baginda mengarahkan keluarganya untuk meringankan pajaknya”.
(HR. Bukhari,no.2102. Muslim,no.1577)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah berbekam oleh seorang hamba kepunyaan Bani Bayadhah. Maka Nabi ﷺ memberinya upah dan bercakap dengan tuannya agar meringankan tugasnya. Jika berbekam ini adalah haram,tentu Nabi ﷺ tidak memberikannya upah.”
(HR. Bukhari,no.2103. Muslim,no.1202)

Larangan Menjual di atas Jualan Orang Lain

dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah seseorang itu menjual atas jualan saudaranya.”
(HR. Bukhari,no.2139. Muslim,no.1412)

NOTA:
 contoh, ketika ‘peniaga A’ menjual barang dengan harga RM80 kepada pembeli. Tiba-tiba datang ‘peniaga B’ mengatakan kepada pembeli (dalam masa Khiyar): “Batalkan jual beli ini, nanti aku akan menjual kepadamu barang yang sama dengan harga yang lbih murah dari harga asal (contoh: RM60)”. Begitu juga dengan pembeli dengan pembeli yg lain. Contoh, ‘peniaga’ & ‘pembeli A’ sudah berjanji & bersepakat dengan ‘peniaga’ untuk menjual barang dengan harga RM100 (dalam tempoh khiyar), kemudian datang ‘pembeli B’ berkata: “Jual dekat aku, nanti aku beli dengan harga RM120, lebih mahal dari itu”.
Wallahua’lam.

Nabi Larang Jual Beli Kucing?

:: Hadis 1 ::
dari Abu az-Zubair,ia berkata,
“Aku bertanya kepada Jabir berkenaan jual beli anjing dan kucing. Dia menjawab bahawa Nabi ﷺ melarang perkara itu.” 
(HR. Muslim,no.1569)

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ melarang makan duit hasil penjualan anjing dan kucing.”
(HR. Abu Daud,no.3479. at-Tirmidzi,no.1279)

NOTA:
Kedua-dua hadis ini Ma’lul (mempunyai kecacatan), tidak Sahih bahkan Munkar. Ia dinilai tidak sahih oleh imam Ahmad ibn Hanbal sebagaimana dinukilkan oleh Ibnu Rajab al-Hanbali (rujuk: Jami' al-Ulum wa al-Hikam,hal. 774,huraian hadis no.45) serta dalam syarah ‘Ilal at-Tirmidzi (2/866). Juga dinilai tidak sahih oleh imam at-Tirmidzi (rujuk: al-Jami' al-Mukhtasar,2/596) dan imam Muslim sendiri (dalam Sahih-nya) secara isyarat iaitu beliau meletakkan hadis ini sebagai hadis terakhir dalam bab. Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga menilai hadith ini tidak sahih, Ma’lul (cacat) di dalam video beliau.

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ melarang harga (jual beli) kucing dan anjing, melainkan anjing buruan.”
(HR. an-Nasaie,no.4295)

NOTA:
Hadis ini juga dinilai ‘Dhaif’ oleh imam an-Nasaie selepas meriwayatkan hadis ini dengan katanya: “Hadis Hajjaj dari Hammad ibn Salamah, dan ianya tidak sahih”. Hadis-hadis larangan jual beli kucing kesemuanya tidak Sahih, sebagaimana yang dikatakan oleh imam Ibnu Abdil Barr (rujuk: at-Tamhid,8/403). Maka, kucing dibenarkan untuk dijual beli.
Wallahua'lam.

Kelebihan Kurma 'Ajwa

:: Hadis 1 ::
dari Sa‘ad bin Abu Waqqas̄,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma ‘Ajwah pada waktu pagi, tidak akan memberi mudarat sebarang racun mahupun sihir kepadanya pada hari tersebut.”
(HR. Bukhari,no.5445. Muslim,no.2047)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya pada kurma ‘Ajwah ‘Aliyah itu ada ubat penyembuh atau ia merupakan ubat penawar bagi racun, apabila dimakan pada awal pagi.”
(HR. Muslim,no.2048)

Cara Menggunakan Anjing Terlatih Untuk Memburu

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisab-Nya”
(al-Ma’idah [5]: ayat 4)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Adi bin Hatim,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Sesungguhnya kami adalah satu kaum yang berburu menggunakan anjing-anjing ini’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Sekiranya engkau telah melepaskan anjing-anjingmu yang terlatih dan engkau telah menyebut nama Allah, maka makanlah apa yang ia telah tangkap untukmu, kecuali jika anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya kerana sesungguhnya aku khuatir bahawasanya ia telah menangkap (binatang buruan tersebut) untuk dirinya. Dan jika anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain, maka janganlah engkau memakannya.”
(HR. Bukhari,no.5487)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Tsa’labah al-Khusyani,dia berkata,
“Aku bertanya: ‘Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)?’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah’.”
(HR. Bukhari,no.5478)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Adi bin Hatim,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi’radh. Lalu baginda bersabda: ‘Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz. Oleh itu, janganlah kamu makan’. Aku berkata lagi: ‘Aku melepaskan anjingku’. Baginda menjawab: ‘Apabila engkau melepaskan anjingmu dan engkau menyebut nama Allah, maka makanlah’. Kemudian aku bertanya lagi: ‘Apabila anjing itu memakan (haiwan buruan itu)?’ Baginda menjawab: ‘Jangan dimakan, sesungguhnya ia tidak menangkap (haiwan itu) untukmu, ia menangkap untuk dirinya sendiri’. Aku berkata: ‘Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya?’ Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain’.”
(HR. Bukhari,no.5476)

Larangan Mengintip Rumah Orang Lain Tanpa Izin

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Abul Qosim ﷺ bersabda,
“Seandainya seseorang mengintipmu tanpa izin, lalu kamu melontarnya dengan batu kecil sehingga mencederakan matanya, maka tidak ada dosa bagimu.”
(HR. Bukhari,no.6902. Muslim,no.2158)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Sesungguhnya ada seorang lelaki pernah mengintai ke dalam sebahagian bilik Nabi ﷺ, maka Nabi ﷺ berdiri menghampirinya dengan membawa mata anak panah (atau kata perawi: beberapa mata anak panah). Aku seakan-akan masih melihat baginda berjalan perlahan-lahan kepada lelaki tersebut untuk menusuk matanya.”
(HR. Bukhari,no.6242. Muslim,no.2157)

Friday, July 31, 2015

7 Golongan yang Allah Tidak Akan Pandang di Akhirat Kelak

dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tujuh golongan yang tidak akan dipandang oleh Allah ‘azza wa jalla pada hari kiamat, Allah tidak akan membersihkan mereka dari dosa dan Allah akan berkata: ‘Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang memasukinya’: 
(1) Orang yang melakukan,orang yang diperlakukan (homoseks)
(2) orang yang berkahwin dengan tangannya (melakukan onani)
(3) orang yang bersetubuh dengan binatang
(4) orang yang bersetubuh dengan wanita melalui duburnya
(5) orang yang bersetubuh dengan wanita beserta anak perempuannya
(6) orang yang berzina dengan isteri jirannya
(7) serta orang yang mengganggu jirannya sehingga dia melaknatnya.”
(HR. Ibn Busyran [rujuk: al-Amali,86/1-2])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam al-Mundziri,dengan katanya: “Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Dunya, al-Kharaithi dan selainnya, lalu mengisyaratkan bahawa ianya Dhaif” (rujuk: at-Targhib,3/195). Juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah al-Ahadith ad-Dhaifah wa al-Maudhu'ah,1/490,no.319), kerana di dalam sanadnya terdapat dua perawi yang lemah iaitu ibnu Lahi‘ah dan ‘Abdur Rahman bin Ziyad al-Afriqi. Hadis ini ada diriwayatkan daripada jalan-jalan yang lain, tetapi semuanya lemah (rujuk: al-Albani,Irwa' al-Ghalil,8/58,no.2401. maktab islami,tahqiq: zuhair syawisy). Tetapi harus diingat, meskipun hadisnya Dhaif, tetapi kebanyakkan daripada dosa-dosa di atas mempunyai ancaman/azab yang tsabit daripada al-Quran dan hadis² Sahih yang lain.

Wednesday, April 8, 2015

Bertolak Ansur Ketika Menjual, Membeli dan Menuntut Hutang

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sekiranya orang-orang yang berhutang itu dalam kesusahan, berilah tempoh sehingga dia berkelapangan. Dan jikalau kamu bersedekah (menghalalkan sebahagian atau seluruh hutang) itu adalah baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui.”
(al-Baqarah [2]: ayat 280)

:: Hadis ::
dari Jabir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah merahmati seseorang yang bertoleransi ketika menjual, ketika membeli dan ketika menuntut hutang.”
(HR. Bukhari,no.2076)

Thursday, March 26, 2015

Larangan Penjualan Anjing, Pelacuran dan Upah Tukang Bekam

dari Rafi’ bin Khadij,Nabi ﷺ bersabda,
“Seburuk-buruk penghasilan adalah mahar (bayaran) pelacur, harga anjing dan penghasilan perbekaman.”
(HR. Muslim,no.1568)

NOTA:
Disisi mazhab Syafi'i, hukum upah bekam tidak haram, namun makruh sekiranya ia digunakan untuk makanan kerana melibatkan bahan najis (iaitu darah). Upah bekam digunakan untuk diberi makan kepada haiwan.
(rujuk: al-Mu'tamad,2/560)

Adapun tentang dalil² yang membolehkan upah bekam, rujuk & klik di sini:


Thursday, February 26, 2015

Tidak Kuatkan Bacaan Basmallah Ketika Solat (Bagi Imam)

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,ia berkata,
“Nabi ﷺ, Abu Bakar dan ‘Umar kebiasaannya memulakan solat dengan membaca: Alhamdulillahi rabbil ‘alamin (Surah al-Fatihah).”
(HR. Bukhari,no.743. Muslim,no.399. Abu Dawud,no.782. ar-Tirmidzi,no.246. an-Nasaie,no.902)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ memulakan solat dengan takbir dan membaca: Alẖamdulillahi rabbil ‘alamin...”
(HR. Muslim,no.498)

NOTA:
“Basmallah” wajib dibaca kerana Basmallah salah 1 daripada ayat dalam surah al-Fatihah menurut mazhab Syafi‘i (rujuk: Imam Nawawi,al-Majmu' Syarh al-Muhadzab,3/333). Cuma sunat dipelankan menurut mazhab Hanbali dan Hanafi (rujuk: Ibnu Rajab,Fath al-Bari,5/200. Ibnu Katsir,Tafsir Ibnu Katrsir,1/118). Menurut pandangan mazhab Syafi'i, sunat di jahr (kuatkan) Basmallah (rujuk: imam Nawawi,al-Majmu',3/341), berdasarkan hadis:

dari Nu’aim bin al-Mujmir,ia berkata,
“Aku solat di belakang Abu Hurairah, beliau membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim’, lalu membaca ummu al-Quran. Sehingga apabila sampai pada ayat ‘Waladh-dhalin’ dan membaca ‘amin’, kemudian orang-orang juga mengikutinya membaca ‘amin’. Beliau ketika akan sujud membaca ‘Allahu Akbar’ dan ketika bangun dari duduk membaca ‘Allahu Akbar’. Setelah salam beliau berkata: ‘Demi Zat yang jiwaku berada dalam tangan-Nya, sesungguhnya aku adalah orang yang solatnya paling menyerupai Rasulullah di antara kamu’.”
(HR. an-Nasaie,no.905. Namun hadis ini diperselisihi kesahihannya. Ada yang mengatakan ‘Dhaif’, ada yang mengatakan ‘Sahih’)

Sunday, February 2, 2014

Sedekahkan Sesuatu Atas Nama Orang Yang Sudah Meninggal Dunia

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara mengejut (tiba-tiba) dan aku menyangka kalau dia dapat bercakap nescaya dia akan bersedekah, maka adakah dia mendapat pahala sekiranya aku bersedekah untuknya?’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘Ya’.”
(HR. Bukhari,no.1388)

dalam lafaz lain,
“..ibuku meninggal dunia dengan mendadak dan tidak sempat berwasiat..”
(HR. Muslim,no.1004)

Ketika Mendengar Kokokan Ayam Jantan Dan Suara Keldai

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Jika kamu mendengar ayam berkokok, maka mohonlah kepada Allah akan kurniaan-Nya, kerana ia (ayam) melihat malaikat. Dan apabila kamu mendengar bunyi (suara) keldai, maka mohon perlindunganlah kepada Allah daripada Syaitan, kerana ia (keldai) sedang melihat syaitan.”
(HR. Bukhari,no.3058. Muslim,no.4908. at-Tirmidzi,no.3459. Abu Daud,no.5102)

NOTA:
Kita dianjurkan untuk berdoa ketika terdengar kokokkan ayam dengan apa-apa saja jenis doa yang baik. Sebagaimana kata Imam ‘Iyadh: “Sebab kita dianjurkan berdoa ketika ayam berkokok adalah mengharapkan ucapan amin dari Malaikat untuk doa kita dan permohonan ampun mereka kepada kita, serta persaksian mereka akan keikhlasan kita. Faedah yang boleh diambil daripada hadis ini adalah tuntutan untuk berdoa ketika hadirnya orang-orang yang soleh.” (rujuk: Ibnu Hajar al-Asqalani,Fath al-Bari,6/353)

Monday, December 16, 2013

Mengusap Ubun-Ubun Ketika Berwudhuk Bahagian Kepala

dari Mughirah bin Syu'bah,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ tertinggal di belakang bersama aku. Apabila baginda selesai menunaikan hajatnya, baginda berkata: ‘Adakah engkau mempunyai air?’ Aku pun membawakan air yang suci kepada baginda, lalu baginda membasuh kedua tapak tangannya, wajahnya, kemudian baginda cuba mengeluarkan lengannya (dari pakaian) tetapi terlalu ketat. Lalu baginda mengeluarkan tangannya dari bawah bajunya, lalu bajunya diletakkan atas bahunya. Lalu baginda membasuh kedua lengannya, dan menyapu ubun-ubun kepalanya dan di atas serban serta khuf.”
(HR. Muslim,no.274)