:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisab-Nya”
(al-Ma’idah [5]: ayat 4)
:: Hadis 1 ::
dari ‘Adi bin Hatim,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Sesungguhnya kami adalah satu kaum yang berburu menggunakan anjing-anjing ini’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Sekiranya engkau telah melepaskan anjing-anjingmu yang terlatih dan engkau telah menyebut nama Allah, maka makanlah apa yang ia telah tangkap untukmu, kecuali jika anjing itu memakannya maka janganlah kamu memakannya kerana sesungguhnya aku khuatir bahawasanya ia telah menangkap (binatang buruan tersebut) untuk dirinya. Dan jika anjing itu turut bercampur dengan anjing-anjing yang lain, maka janganlah engkau memakannya.”
(HR. Bukhari,no.5487)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Tsa’labah al-Khusyani,dia berkata,
“Aku bertanya: ‘Wahai Nabi Allah, sesungguhnya kami berada di negeri Ahli Kitab, maka bolehkah kami makan menggunakan bekas-bekas mereka? (Kami juga berada) di negeri (yang ada banyak) binatang buruan. Aku berburu menggunakan busurku, anjingku yang tidak terlatih dan anjingku yang terlatih, maka apakah yang boleh untukku (dibenarkan untuk makan)?’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Adapun apa yang kamu sebutkan berkenaan dengan Ahli Kitab, sekiranya kamu mempunyai (bekas-bekas) selain daripadanya, maka janganlah kamu makan menggunakannya. Sekiranya kamu tidak mempunyai (bekas-bekas lain), maka cucilah ia dan makanlah menggunakan bekas-bekas tersebut. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan busur dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah. Apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjingmu yang terlatih dan kamu telah sebutkan nama Allah, maka makanlah. Dan apa sahaja (haiwan buruan) yang kamu buru menggunakan anjing kamu yang tidak terlatih serta kamu sempat menyembelihnya (haiwan buruan tersebut), maka makanlah’.”
(HR. Bukhari,no.5478)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Adi bin Hatim,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang (hukum memburu dengan menggunakan) al-Mi’radh. Lalu baginda bersabda: ‘Sekiranya kamu memperolehi (binatang buruan tersebut) dengan bahagiannya yang tajam (yakni yang terkena pada haiwan itu), maka makanlah ia. Tetapi sekiranya ia mengenai haiwan buruan itu dengan sisinya (yang tumpul) lalu membunuhnya, maka sesungguhnya ia ialah waqiz. Oleh itu, janganlah kamu makan’. Aku berkata lagi: ‘Aku melepaskan anjingku’. Baginda menjawab: ‘Apabila engkau melepaskan anjingmu dan engkau menyebut nama Allah, maka makanlah’. Kemudian aku bertanya lagi: ‘Apabila anjing itu memakan (haiwan buruan itu)?’ Baginda menjawab: ‘Jangan dimakan, sesungguhnya ia tidak menangkap (haiwan itu) untukmu, ia menangkap untuk dirinya sendiri’. Aku berkata: ‘Aku telah melepaskan anjingku dan (kemudiannya) aku mendapati ada anjing lain bersamanya?’ Baginda bersabda: ‘Janganlah kamu makan kerana sesungguhnya engkau telah menyebut (nama Allah) untuk anjingmu sahaja dan engkau tidak menyebut (nama Allah) untuk anjing yang lain’.”
(HR. Bukhari,no.5476)
No comments:
Post a Comment