Thursday, January 23, 2025

Mengadu Kesusahan Kepada Allah

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Nabi Yaakub) menjawab: ‘Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah...’.”
(Yusuf [12]: ayat 86)

:: Hadis ::
dari Hudzaifah,dia berkata,
“Nabi ﷺ apabila sesuatu perkara meresahkan baginda, baginda akan mendirikan solat.”
(HR. Abu Daud,no.1319. Ahmad,no.23299. al-Baihaqi [rujuk: Syu‘ab al-Iman,no.2913])

NOTA:
Hadis ini perselisihi kesahihannya di kalangan Ulama’ Hadis. Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah beliau meriwayatkan hadis ini, menunjukkan bahawa hadis ini Soleh (sahih) disisi beliau. Hadis ini dinilai Hasan oleh imam Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Fath al-Bari,3/172), Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1319. Hidayah al-Ruwah,no.1276). Namun hadis ini dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Arnauth, kata beliau: “Isnadnya dhaif” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.23299).

Wednesday, January 22, 2025

Hukum Mandi Telanjang

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Orang-orang Bani Isra’il dahulu mandi bertelanjang, mereka melihat kepada satu sama lain dan Nabi Musa ‘alaihissalam mandi seorang diri’. Maka mereka berkata: ‘Demi Allah, tiada yang menegah Musa mandi bersama melainkan kerana buruk zakarnya’. Pernah sekali Musa pergi untuk mandi lalu meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka batu itu lari membawa pakaiannya. Musa terus keluar (dari tempat mandinya) mengejar batu itu sambil berkata: ‘Pakaianku wahai batu!’ Sehingga orang-orang Bani Isra‘il melihat kepada Musa. Pada ketika itu barulah mereka berkata: ‘Tidak ada apa-apa kekurangan pun pada Musa’. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu itu’.” Abu Hurairah berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada enam atau tujuh kesan pukulan di atas batu itu.”
(HR. Bukhari,no.278. Muslim,no.339)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika (Nabi) Ayyub sedang mandi dalam keadaan telanjang, tiba-tiba jatuh ke atasnya sekumpulan belalang emas. (Nabi) Ayyub mengambilnya lalu meletakkan pada kainnya. Lalu Tuhannya memanggilnya: ‘Wahai Ayyub, bukankah Aku telah mencukupkanmu sehingga kamu tidak lagi perlukan kepada apa yang engkau lihat?’ (Nabi) Ayyub berkata: ‘Benar wahai Tuhan, tetapi tidak ada kecukupan bagiku terhadap keberkatan-Mu’.”
(HR. Bukhari,no.279 & 3391)

NOTA:
Imam al-Bukhari meletakkan hadis-hadis ini dibawah tajuk bab: باب من اغتسل عريانا وحده في الخلوة ومن تستر فالستر أفضل (Orang yang Mandi Berseorangan dalam Keadaan Bersendirian, dan Orang yang Menutup Aurat, Maka Menutup Aurat adalah Lebih Baik), menunjukkan bahawa dibolehkan seseorang mandi telanjang ketika sendirian dan selamat dari pandangan orang lain. Imam al-Nawawi juga berpendapat bahawa boleh mandi telanjang jika memerlukan dan dalam keadaan selamat dari pandangan orang lain, kata beliau: “Kami telah sebutkan dalam bab sebelumnya bahawa dibolehkan untuk membuka aurat ketika ada keperluan di tempat yang terpencil, seperti ketika mandi, buang air, bersama pasangan, dan perkara-perkara lain yang serupa. Semua ini dibolehkan untuk membuka aurat dalam keadaan bersendirian. Namun, jika di hadapan orang lain, adalah haram untuk membuka aurat dalam semua keadaan tersebut. Para ulama berkata: ‘Menutup aurat dengan kain atau seumpamanya ketika mandi secara bersendirian adalah lebih baik daripada membuka aurat. Tetapi, membuka aurat dibolehkan selama mana diperlukan untuk mandi atau seumpamanya. Adapun membuka aurat melebihi keperluan adalah haram menurut pendapat yang lebih sahih...” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,4/32).

Tuesday, January 21, 2025

Mukjizat Nabi Muhammad

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan. Dan kalau mereka (kaum musyrik Mekah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling ingkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.”
(al-Qamar [54]: ayat 1 - 2)

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Bulan terbelah pada zaman Rasulullah ﷺ menjadi dua belahan. Satu belahan di atas gunung dan satu belahan lagi dibawah gunung. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Saksikanlah’.”
(HR. Bukhari,no.4864. Muslim,no.2800b)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Demi Allah yang tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, sesungguhnya aku benar-banar meletakkan perutku ke tanah kerana kelaparan, dan aku pernah mengikat batu di perutku kerana kelaparan. Suatu hari, aku duduk di jalan yang biasa orang ramai melaluinya. Tidak lama selepas itu Abu Bakar pun melintasi aku, dan aku bertanya kepadanya tentang satu ayat dari Kitab Allah, padahal aku bertanya kepadanya hanya agar dia memberiku makanan, tetapi dia berlalu tanpa melakukannya. Kemudian, ‘Umar pula lalu, dan aku bertanya kepadanya tentang satu ayat dari Kitab Allah, tetapi dia juga berlalu tanpa melakukan apa yang aku harapkan. Kemudian Rasulullah ﷺ melintas, dan baginda tersenyum melihatku. Baginda mengetahui apa yang ada dalam hatiku dan apa yang baginda lihat dari wajahku, lalu baginda berkata: ‘Wahai Abu Hurairah’, Aku menjawab: ‘Aku sahut panggilanmu, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Ikutlah aku’. Baginda terus berlalu dan aku mengikutinya hingga baginda masuk ke rumah. Setelah masuk, baginda mendapati ada semangkuk susu. Baginda bertanya: ‘Dari mana datangnya susu ini?’ Isteri baginda menjawab: ‘Hadiah seseorang kepadamu’. Lalu baginda berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku sahut seruanmu, wahai Rasulullah!’ Baginda berkata: ‘Pergi dan panggilkan ahli Suffah ke sini’. Ahli Suffah adalah para tamu umat Islam di Madinah, mereka tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan tidak memiliki harta. Jika ada sedekah, Rasulullah ﷺ memberikannya kepada mereka, dan baginda tidak mengambilnya. Tetapi jika ada hadiah, baginda mengirimkan kepada mereka dan turut berkongsi dengan mereka. (Abu Hurairah menyambung) Perintah baginda ﷺ itu menjadikan aku sedih, aku berkata di dalam hatiku: ‘Apakah kaitan sedikit susu yang ada ini dengan Ahli Suffah? aku lebih memerlukannya barang seteguk untuk menambahkan kekuatan. Apabila ahli Suffah datang pasti aku yang akan menyerahkan susu ini kepada mereka, barangkali sahaja tiada bahagian lagi untukku’. Namun, aku tidak boleh mengelak daripada mematuhi perintah Allah dan Rasul-Nya. Lalu aku pergi dan memanggil Ahli Suffah. Mereka semua datang dan mengambil tempat di dalam rumah. Rasulullah ﷺ berkata: ‘Wahai Abu Hurairah!’ Aku menjawab: ‘Aku sahut seruan mu, wahai Rasulullah’. Baginda bersabda: ‘Berikan susu ini kepada mereka’. Aku pun mula memberikan susu kepada setiap orang, dan setiap mereka minum hingga kenyang. Setiap orang daripada mereka akan mengembalikan semula mangkuk itu kepadaku. Sehinggalah orang terakhir daripada mereka menyerahkan semua mangkuk itu kepadaku. Aku memberikan kembali mangkuk itu kepada Rasulullah ﷺ. Baginda memegang mangkuk, memandangku dan tersenyum. Lalu baginda bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah’. Aku menjawab: ‘Aku sahut seruanmu, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Tinggal aku dan kamu sahaja’. Aku berkata: ‘Benar, wahai Rasulullah’. Baginda berkata: ‘Duduklah dan minumlah’. Aku pun duduk dan minum. Baginda terus berkata: ‘Minumlah lagi wahai Abu Hurairah’. Aku terus minum hingga aku berkata: ‘Demi Allah yang mengutusmu dengan kebenaran, aku sudah tidak mampu minum lagi’. Baginda pun mengambil mangkuk tersebut, memuji Allah dan menyebut nama-Nya, lalu baginda meminum baki susu yang ada.”
(HR. Bukhari,no.6452)

:: Hadis 3 ::
dari Salim bin Abu al-Ja’d,Jabir bin ‘Abdullah berkata,
“Pada hari Hudaibiyah, orang ramai berasa begitu dahaga. Manakala di hadapan Nabi ﷺ terdapat sebuah bekas yang diperbuat daripada kulit. Baginda berwudhu’ dan orang ramai bergegas menghampirinya. Baginda bertanya: ‘Ada apa dengan kamu?’ Mereka berkata: ‘Kami tidak memiliki air untuk berwudhu’ mahupun minum, kecuali apa yang berada di hadapanmu’. Baginda meletakkan tangannya di dalam bekas itu. Maka air pun keluar membuak-buak antara jari-jari tangannya, seperti mata air. Kami pun minum dan berwudhu’. Aku (Salim bin Abu al-Ja‘d) bertanya: ‘Berapa jumlah kamu?’ Jabir menjawab: ‘Sekiranya kami berjumlah 100 ribu orang, nescaya akan cukup bagi kami. Ketika itu kami seramai 1,500 orang’.”
(HR. Bukhari,no.3576. Muslim,no.1856)

:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Aku melihat Rasulullah ﷺ, ketika waktu solat Asar telah masuk. Lalu air untuk berwudhu’ dicari, tetapi mereka tidak menjumpainya. Lalu didatangkan kepada Rasulullah ﷺ air untuk wudhu’. Maka Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya ke dalam bekas tersebut. Lalu baginda memerintahkan orang ramai untuk berwudhu’ daripadanya. Aku melihat air keluar dari bawah jari-jari baginda. Orang-ramai pun berwudhu’ sehingga kepada orang yang terakhir dari kalangan mereka.”
(HR. Bukhari,no.3573. Muslim,no.2279)

Doa Agar Diberi Petunjuk Dan Ketaqwaan

dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Bahawa Nabi ﷺ biasa membaca doa,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى
Allahumma innii As-alukal Hudaa, Wattuqoo, Wal-‘Afaafa, Wal Ghinaa
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketaqwaan, sifat ‘iffah [menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang diharamkan] dan kekayaan).”
(HR. Muslim,no.2721. at-Tirmidzi,no.3489. Ibn Majah,no.3105. Ahmad,no.3950. dan Ibn Hibban,no.900)

Orang Yang Dekat Dengan Rasulullah Di Akhirat Kelak

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”
(al-Nisa’ [4]: ayat 69)

:: Hadis 1 ::
dari Jabir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya, orang yang paling aku cintai di kalangan kamu dan paling dekat denganku pada hari kiamat adalah mereka yang paling baik akhlaknya. Dan sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah Tsartsarun, Mutasyaddiqun dan Mutafaihiqun”. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, kami sudah tahu siapa itu Tsartsarun dan Mutasyaddiqun. Tetapi siapakah Mutafaihiqun?” Baginda menjawab: “orang yang sombong bicaranya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2018. Dinilai hasan gharib oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Ustaz Dr.Kamilin Jamilin menjelaskan, bahawa maksud “Tsatsarun”: iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap. “Mutasyaddiqun”: iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain. “Mutafaihiqun”: iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain (rujuk: Facebook).

:: Hadis 2 ::
dari Rabi‘ah bin Ka‘ab,dia berkata,
“Aku pernah bermalam bersama Rasulullah ﷺ, lalu aku datang kepadanya dalam keadaan berwudhu’ dan membawa hajatnya, lalu baginda berkata kepadaku: ‘Mintalah’. Lalu aku berkata: ‘Aku meminta agar dapat mendampingi kamu di syurga’. Baginda berkata: ‘Adakah selain dari itu?’ Aku katakan: ‘Itu sahaja’. Baginda bersabda: ‘Bantulah aku untuk mewujudkan keinginanmu dengan banyak melakukan sujud (solat sunat)’.”
(HR. Muslim,no.489)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,dia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, apa pendapat kamu tentang seorang lelaki yang mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka?’ Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6169)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Musa,dia berkata,
“Dikatakan kepada Nabi ﷺ: ‘Seorang lelaki mencintai suatu kaum, sedangkan dia tidak mampu menyusul amalan dan kelebihan mereka’. Baginda bersabda: ‘Seseorang itu akan bersama orang yang dia cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6170)

:: Hadis 5 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Bahawa seorang lelaki bertanya kepada Nabi ﷺ: ‘Bilakah hari kiamat wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda: ‘Apa yang kamu persiapkan untuknya?’ Dia berkata: ‘Aku tidak mempersiapkan untuknya dengan banyak bersolat, puasa, dan sedekah, tetapi aku mencintai Allah dan Rasul-Nya’. Baginda bersabda: ‘Kamu akan bersama orang yang kamu cintai’.”
(HR. Bukhari,no.6171)

Monday, January 20, 2025

Melambatkan Berbuka Puasa Itu Menyelisihi Sunnah

dari Sahl bin Sa‘ad,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”
(HR. Bukhari,no.1957. Muslim,no.1098)

NOTA:
Imam asy-Syafi‘i berkata: “Aku suka menyegerakan berbuka puasa dan melewatkan sahur, mengikut sunnah Rasulullah ﷺ” (rujuk: Mukhtas̄ar al-Muzani,8/153). Imam an-Nawawi berkata: “ Terdapat galakan untuk menyegerakan berbuka puasa setelah yakin matahari telah terbenam. Maksudnya, urusan umat akan tetap teratur dan mereka berada dalam kebaikan selagi mereka menjaga sunnah ini. Namun, jika mereka melewatkannya, itu menjadi tanda kerosakan yang akan menimpa mereka” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,7/208).

Jika Berlaku Bencana Di Suatu Tempat, Adakah Azab Atau Ujian?

dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...(Tho‘un) merupakan azab yang Allah utuskan kepada sesiapa yang Dia kehendaki, lalu Allah jadikannya sebagai rahmat untuk orang-orang beriman.”
(HR. Bukhari,no.5734 & 6619)

NOTA:
Berdasarkan hadis ini, apa-apa bentuk bencana di suatu tempat, boleh menjadi azab atau ujian dan rahmat bagi sesiapa yang Allah kehendaki. Sebagai contoh, jika di suatu tempat yang penduduknya kafir yang memerangi orang Islam, namun di tempat tersebut ada orang-orang beriman, maka jika di tempat tersebut di timpa bencana, maka ia azab bagi orang kafir tersebut, namun menjadi rahmat (kerana diberi pahala dan diampunkan sebahagian dosa jika mereka bersabar) bagi orang-orang beriman, sebagaimana dalam al-Quran:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Mereka merasa sakit sebagaimana kamu merasa sakit, tetapi kamu mengharapkan sesuatu daripada Allah yang mereka tidak harapkan.”
(an-Nisa’ [4]: ayat 104)

Saturday, January 18, 2025

Rasulullah Paling Dekat Dengan Nabi ‘Isa

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Aku adalah orang yang paling dekat dengan anak Maryam (Nabi ‘Isa), dan para nabi adalah seperti saudara sebapa (dengan ibu yang berlainan). Tidak ada nabi di antara aku dan dia.”
(HR. Bukhari,no.3442. Muslim,no.2365a)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Aku merupakan manusia yang paling utama (paling hampir) dengan ‘Isa bin Maryam di dunia dan akhirat. Para nabi adalah saudara-saudara sebapa daripada pelbagai ibu. Ibu-ibu mereka berbeza namun agama mereka satu.”
(HR. Bukhari,no.3443. Muslim,no.2365c)

Friday, January 17, 2025

Doa Berlindung Dari ‘Ain

dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ sering memohon perlindungan untuk Hasan dan Husain dengan doa ini, sesungguhnya ayah kamu berdua (Nabi Ibrahim) juga memohon perlindungan dengan doa ini untuk (Nabi) Isma‘il dan (Nabi) Ishaq:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ، مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
A‘udzubi Kalimaatil-Lahit-Taammah, Min Kulli Syaithoonin Wa Haammah, Wa Min Kulli ‘Ainil Laammah
(Aku berlindung dengan kalimat-kalimat Allah yang sempurna daripada godaan syaitan, binatang berbisa dan daripada pandangan mata yang bersifat dengki).”
(HR. Bukhari,no.3371)

Masuk Syurga Kerana Rahmat Atau Amal?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Berlumba-lumbalah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik) untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya; yang demikian ialah limpah kurnia Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”
(al-Hadid [57]: ayat 21)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (dari kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: ‘Selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam Syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan’.”
(an-Nahl [16]: ayat 32)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (dikatakan lagi kepada mereka): ‘Inilah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan’.”
(az-Zukhruf [43]: ayat 72)

NOTA:
Berdasarkan ayat-ayat al-Quran ini, menunjukkan bahawa seseorang itu masuk syurga kerana amal. Namun, jika dilihat pada hadis sahih, Rasulullah menyebut bahawa seseorang itu masuk syurga kerana “rahmat”, sebagaimana hadis ini:

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda: 
“Tidak seorang pun di antara kamu yang akan masuk syurga kerana amalnya’. Para sahabat bertanya: ‘Termasuk engkau, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Ya, termasuk aku, akan tetapi Allah meliputiku dengan kelebihan dan rahmat-Nya’.”
(HR. Bukhari,no.5673 & 6463. Muslim,no.2816f)

NOTA:
Kedua-dua ayat al-Quran dan Hadis ini seolah-olah nampak saling bercanggah, akan tetapi sebenarnya tidak, bahkan kedua-dua ayat tersebut saling melengkapi. Kenapa Rasulullah mengatakan “kerana rahmat”? Kerana jika lihat pada hadis lain, Rasulullah beritahu tentang cara Allah mencatit pahala dan dosa hamba-Nya. Kata baginda, jika seseorang berniat ingin melakukan kebaikan namun belum mengerjakannya, maka dia mendapat 1 pahala. Jika dia mengerjakannya, maka mendapat minimum 10 pahala, malah boleh berganda hingga ke 700 kali ganda, bahkan lebih dari itu. Adapun tentang kejahatan, jika seseorang berniat ingin melakukan kejahatan namun tidak mengerjakannya (membatalkan niat), maka dia mendapat 1 pahala. Jika dia berniat melakukan kejahatan lalu mengerjakannya, maka dihitung dengan 1 dosa berdasarkan hadis sahih:

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu Abbas,Nabi ﷺ bersabda bahawa Allah 'Azza Wa Jalla berfirman:
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskannya. Maka sesiapa yang hendak mengerjakan suatu kebaikan tetapi dia tidak jadi melaksanakannya, maka Allah menetapkan niatnya itu baginya 1 kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Dan jika dia hendak mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan berkali-kali ganda banyaknya di sisi-Nya. Adapun sesiapa yang merancang untuk melakukan mana-mana keburukan dan dia tidak melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Dan jika dia berniat untuk mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menetapkannya sebagai 1 keburukan di sisi-Nya.”
(HR. Bukhari,no.6491. Muslim,no.131a)

:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.”
(an-Nisa’ [4]: ayat 40)

:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
(al-An’am [6]: ayat 160)

NOTA:
Berdasarkan dalil-dalil ini, bukankah ini rahmat (kasih sayang) Allah? Kedua, di dalam al-Quran, Allah memberitahu tentang bagaimana cara Allah menilai timbangan amal dosa dan pahala seseorang:

:: al-Quran 6 ::
Allah ﷻ berfirman:
“..adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang (Syurga). Sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, Maka tempat kembalinya ialah ‘Haawiyah’, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia ‘Haawiyah’ itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar.”
(al-Qari‘ah [101]: ayat 6 - 11)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Allah ‘azza wa jalla berfirman (di Akhirat kelak): ‘Malaikat telah memberi Syafa’at, para Nabi telah memberi Syafa’at, dan kaum mukminin telah memberi Syafa’at dan tiada yang tinggal (untuk memberi Syafa’at) kecuali Yang Maha Mengasihani (Allah)’. Lalu Dia menggenggam segenggam daripada neraka dan dikeluarkan daripadanya kaum yang tiada amal kebaikan langsung (namun beriman) dan mereka menjadi arang. Kemudian Allah melempar mereka ke dalam sungai yang berada di tepi syurga yang disebut sebagai sungai kehidupan...”
(HR. Muslim,no.183a)

NOTA:
Berdasarkan dalil-dalil ini, dapat difahami bahawa jika amal seseorang berat sebelah timbangan pahala (walaupun hanya “berat sedikit” daripada timbangan dosanya), maka orang tersebut akan masuk syurga tanpa melalui azab neraka. Bagaimana pula dengan dosanya? Adapun tentang dosanya, dosanya Allah batalkan dan ampunkan begitu sahaja. Adapun jika seseorang berat timbangan dosanya, maka orang tersebut akan diazab di dalam neraka mengikut kadar dosanya. Setelah dosanya habis, maka orang tersebut akan dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan nikmat untuk “selama-lamanya”. Walhal, jika dinilai secara “adil”, sepatutnya orang tersebut layak berada di syurga dalam tempoh yang sekejap, kerana amalnya sedikit, dan sepatutnya orang tersebut layak berada di neraka dalam tempoh yang lama kerana amal kejahatannya lebih banyak berbanding amal kebaikannya. Namun kerana rahmat-Nya, perkara tersebut tidak berlaku.

KESIMPULAN:
Berdasarkan keseluruhan dalil-dalil diatas, maka dapat difahami bahawa amal adalah “syarat” untuk seseorang itu layak masuk syurga, namun “sebab” seseorang itu masuk syurga, hakikatnya adalah kerana rahmat Allah semata-mata. Wallahua’lam.

Thursday, January 16, 2025

Nilai Manusia Berdasarkan Zahir

:: Hadis 1 ::
dari ‘Umar al-Khatthab,dia berkata,
“Sesungguhnya, dahulu manusia (kadangkala) diadili berdasarkan wahyu yang diturunkan semasa hayat Rasulullah ﷺ. Namun kini, sesungguhnya wahyu telah terputus. Maka sekarang, kami hanya menilai kamu berdasarkan apa yang zahir daripada amal perbuatan kamu. Barangsiapa yang menzahirkan kebaikan kepada kami, kami akan mempercayainya dan dekat dengannya. Sedangkan urusan hati batinnya, itu bukan urusan kami, Allah yang akan menghisabnya. Tetapi barangsiapa yang menzahirkan keburukan kepada kami, kami tidak akan mempercayainya dan tidak akan membenarkannya, meskipun dia berkata bahawa niatnya baik.”
(HR. Bukhari,no.2641)

:: Hadis 2 ::
dari Usamah bin Zaid,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengutuskan kami dalam satu pasukan tentera kecil, lalu kami menyerang kawasan al-Huraqat daripada kalangan Juhainah. Aku menjumpai seorang lelaki, dan dia berkata: ‘La ilaha illallah (Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah)’. Namun aku menikamnya. Perbuatan itu membuatkan aku rasa bersalah, lalu aku ceritakan kepada Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Adakah dia mengucapkan La ilaha illallah kemudian kamu membunuhnya?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia hanya mengucapkannya kerana takutkan senjata’. Baginda bersabda: ‘Mengapa kamu tidak belah dadanya untuk mengetahui adakah dia mengucapkannya dengan ikhlas atau tidak?!’ Baginda terus mengulang-ulang perkara itu kepadaku sehingga aku berharap agar aku baru sahaja memeluk Islam pada hari itu..”
(HR. Muslim,no.96)

Wednesday, January 15, 2025

Penyebab Doa Tidak Dimakbulkan

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(al-Baqarah [2]: ayat 186)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Baik, dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik jua. Sesungguhnya Allah menyuruh orang beriman dengan apa yang pernah disuruh kepada para rasul. Allah berfirman: ‘Wahai para rasul. Makanlah daripada makanan yang baik-baik. Lakukanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kalian lakukan (al-Mukminun [23]: ayat 51)’. Firman Allah lagi: ‘Wahai orang beriman, makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami kurniakan kepada kalian (al-Baqarah [2]: ayat 172)'.” Kemudian baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh. Keadaanya kusut masai dan diselaputi debu. Dia menadah tangannya ke langit dan menyebut: ‘Wahai tuhan, wahai Tuhan’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. Lalu bagaimana mahu diterima (doanya) disebabkan keadaannya itu?”
(HR. Muslim,no.1015)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Doa seorang hamba akan dikabulkan selama dia tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa atau memutuskan silaturahim, dan selama dia tidak tergesa-gesa.” Seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa maksud tergesa-gesa itu?” Baginda menjawab: “Dia berkata: ‘Aku telah berdoa, tetapi Allah belum mengabulkan doaku’, lalu dia merasa putus asa dan meninggalkan doa.”
(HR. Bukhari,no.6340. Muslim,no.2735c. Ini lafaz Muslim)

Sunday, January 12, 2025

Doa Agar Nikmat Tidak Dihilangkan

dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Antara doa Rasulullah ﷺ ialah: 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Allahumma innii A‘uudzubika Min Zawaali Ni’matika, Wa Taẖawwuli ‘Aafiyatika, Wa Fujaa-ati Niqmatika, Wa Jamii‘i Sakho-thika
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, dari lepasnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, dari siksa-Mu yang datang secara tiba-tiba, dan dari segala kemurkaan-Mu).”
(HR. Muslim,no.2739)

Saturday, January 11, 2025

Dosa Dan Balasan Kerana Tidak Membayar Zakat

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ramai dalam kalangan pendeta Yahudi dan paderi Nasrani itu mereka makan harta orang ramai dengan cara yang batil dan menghalang jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa menyedekahkannya ke jalan Allah; maka sampaikanlah khabar gembira buat mereka dengan azab seksa neraka yang amat pedih!”
(at-Taubah [9]: ayat 34)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): ‘Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu’.”
(at-Taubah [9]: ayat 34 - 35)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Unta akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling baik dan sempurna. Apabila dia (pemiliknya) tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka unta tersebut akan memijak-mijak orang itu dengan kakinya. Kambing juga akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling sempurna. Apabila dia tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka kambing itu akan memijak-mijak orang itu dengan kukunya (kakinya) dan menanduknya. Antara haknya juga adalah supaya diperah susunya di kawasan yang ada air. Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor kambing yang mengembek di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: ‘Wahai Muhammad! (dengan niat untuk meminta syafaat dan bantuan)’ Maka aku menjawab: ‘Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu’. Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor unta yang mengeluarkan bunyi di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: ‘Wahai Muhammad!’ Maka aku menjawab: ‘Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu’.”
(HR. Bukhari,no.1402)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang Allah berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: ‘Akulah  hartamu, akulah simpananmu’. Kemudian, baginda membaca (firman Allah): ‘Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka (QS Ali ‘Imran [3]: ayat 180)...”
(HR. Bukhari,no.1403)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada seorang pun yang memiliki emas dan perak lalu tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari kiamat akan dibentangkan untuknya kepingan-kepingan daripada api neraka. Kemudian kepingan itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dengannya diselar dahi, sisinya dan punggungnya. Setiap kali kepingan itu sejuk, ia akan dipanaskan semula untuknya dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan unta?’ Baginda menjawab: ‘Dan pemilik unta yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) dan sebahagian daripada haknya ialah memberi minum susunya pada hari ia dibawa ke tempat minum, melainkan pada hari kiamat ia akan dibentangkan di atas tanah lapang yang rata. Unta-unta itu dalam keadaan paling gemuk dan tidak ada seekor pun yang hilang daripadanya, termasuk anaknya. Mereka akan memijak tuannya dengan kuku mereka dan menggigitnya dengan mulut mereka. Setiap kali barisan pertama selesai melalui tuannya, barisan terakhir akan kembali semula kepadanya, dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan lembu dan kambing?’ Baginda menjawab: ‘Dan pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari kiamat ia akan dibentangkan di atas tanah lapang yang rata. Tidak ada satu pun daripadanya yang cacat, tidak bertanduk bengkok, tidak tanduk patah, atau yang kakinya pendek. Mereka akan menanduk tuannya dengan tanduk mereka dan memijaknya dengan kuku mereka. Setiap kali barisan pertama selesai melalui tuannya, barisan terakhir akan kembali semula kepadanya, dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan kuda?’ Baginda menjawab: ‘Kuda itu ada tiga jenis: ada yang menjadi beban dosa bagi pemiliknya, ada yang menjadi perlindungan, dan ada yang menjadi pahala. Kuda yang menjadi beban dosa ialah kuda yang dipelihara untuk riak, kebanggaan, dan permusuhan terhadap orang Islam. Kuda yang menjadi perlindungan ialah kuda yang dipelihara untuk berjihad di jalan Allah dengan memenuhi haknya, seperti memberikan makanan dan penjagaan. Kuda yang menjadi pahala ialah kuda yang dipelihara untuk berjihad di jalan Allah bagi orang Islam, lalu apa sahaja yang dimakan oleh kuda itu di padang rumput atau ladang akan menjadi pahala, termasuk najisnya, air kencingnya, dan setiap langkahnya akan menambah pahala pemiliknya’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan keldai?’ Baginda menjawab: ‘Tiada wahyu yang diturunkan kepadaku mengenai keldai, kecuali ayat yang umum ini: ‘(Allah berfirman) Maka sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, dia juga akan melihatnya’ (QS. az-Zalzalah [99]: ayat 7 - 8).”
(HR. Muslim,no.987a)

Doa Kebaikan Umum Namun Menyeluruh

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengajarnya doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ
Allahumma innii As-aluka Minal Khoiri Kullihi, ‘Aajilihi Wa Aajilihi Maa ‘Alimtu Minhu Wamaa Lam A’lam. Wa A‘uudzubika Minasy-Syarri Kullihi, ‘Aajilihi Wa Aajilihi Maa ‘Alimtu Minhu Wamaa Lam A’lam
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui. Aku berlindung kepada-Mu dari semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui)...”
(HR. Ibnu Majah,no.3846. Ahmad,no.25019 & 25139. Ibnu Hibban,no.869)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami’,1276. Sahih Ibnu Majah,no.3116. Silsilah as-Sahihah,no.1542), juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.25019 & 25139. Takhrij Sahih Ibnu Hibban,no.869).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah berdoa:
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِيَ الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَاىَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Allahumma As̄liẖ-Lii Diinil-Ladzii Huwa ‘is̄matu Amrii, Wa As̄liẖ-Lii Dun-yaayallatii Fiihaa Ma‘aasyii, Wa As̄liẖ-Lii Aakhirotiil-Latii Fiihaa Ma‘aadii, Waj‘alil H̱ayaata Ziyaadatal-Lii Fii Kulli Khoir, Waj‘alil Mauta Rooẖatal-Lii Min Kulli Syarr
(Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang ia merupakan benteng pelindung bagi urusanku. Dan perbaikilah duniaku untukku, yang ia menjadi tempat hidupku. Serta perbaikilah akhiratku yang ia menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagiku dari segala kejahatan).”
(HR. Muslim,no.2720)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Robbanaa Aatinaa Fiiddun-Yaa H̱asanah, Wa Fiil Aakhiroti H̱asanah, Wa Qinaa ‘Adzaa Bannaar
(Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka).”
(al-Baqarah [2]: ayat 201)

:: Hadis 3 ::
dari Anas,dia berkata,
“Doa Nabi ﷺ yang paling sering diucapkan ialah:
 اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma Robbanaa Aatinaa Fiiddun-Yaa H̱asanah, Wa Fiil Aakhiroti H̱asanah, Wa Qinaa ‘Adzaa Bannaar
(Ya Allah, Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka).”
(HR. Bukhari,no.4522 & 6389)

:: Hadis 4 ::
dari Qatadah,dia bertanya kepada Anas,
“Doa apakah yang paling banyak dibaca oleh Nabi ﷺ?’ Anas menjawab: ‘Doa yang paling banyak baginda baca ialah:
اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma Aatinaa Fiiddun-Yaa H̱asanah, Wa Fiil Aakhiroti H̱asanah, Wa Qinaa ‘Adzaa Bannaar
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka)’.
Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan beberapa doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.2690a)

:: Hadis 5
dari Thariq bin Asyyam,dia berkata,
“Apabila masuknya seseorang ke dalam Islam, Nabi ﷺ akan mengajarnya solat, kemudian mengarahnya agar berdoa seperti berikut:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ليِ وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي
Allahummagh-firlii, Warẖamnii, Wahdinii, Wa‘aafinii, Warzuqnii
(Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, berikanlah hidayah kepadaku, kurniakan kesihatan kepadaku dan berilah aku rezeki).”
(HR. Muslim,no.2697b)

:: Hadis 6 ::
dari Thariq bin Asyyam,dia berkata,
“Nabi ﷺ didatangi oleh seorang lelaki kepada baginda dan bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana harus aku berdoa ketika aku memohon kepada Tuhanku?’ Baginda bersabda: ‘Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي
Allahummagh-firlii, Warẖamnii, Wa‘aafinii, Warzuqnii
(Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, sejahterakan aku, dan berilah aku rezeki)’.
Baginda menghimpunkan jari-jarinya kecuali ibu jari, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya doa ini menghimpunkan untukmu urusan dunia dan akhiratmu’.”
(HR. Muslim,no.2697c)