Tuesday, July 30, 2024

Doa Agar Anak Terhindar Dari Zina

● UNTUK ANAK LELAKI ●
اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهُ، وَطَهِّرْ قَلْبَهُ، وَحَصِّنْ فَرْجَهُ
Allahummaghfir Dzanbahu, Wa Thohhir Qolbahu, Wa H̱as̄s̄in Farjahu
(Ya Allah ampunkanlah dosanya, sucikanlah hatinya, dan bentengilah kemaluannya)

● UNTUK ANAK PEREMPUAN ●
اللَّهُمَّ اغْفِرْ ذَنْبَهَ، وَطَهِّرْ قَلْبَهَ، وَحَصِّنْ فَرْجَهَ
Allahummaghfir Dzanbaha, Wa Thohhir Qolbaha, Wa H̱as̄s̄in Farjaha

:: Hadis ::
dari Abu Umamah,dia berkata,
“Sesungguhnya seorang pemuda datang kepada Nabi ﷺ, seraya berkata: ‘Ya Rasulallah, izin aku untuk berzina’. Maka orang ramai pun berpaling kepadanya sambil menahannya, dan mereka berkata: ‘Jangan. Jangan’. Maka Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Bawa dia kepada aku’. Maka pemuda itu telah mendekati baginda”. (Abu Umamah) berkata: “maka pemuda itu telah duduk. Rasulullah bersabda: ‘Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada ibumu?’ Lantas pemuda itu menjawab: ‘Demi Allah, tidak!’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘(Begitulah juga halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada ibu-ibu mereka’. Rasulullah ﷺ bersabda lagi: ‘Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada anak perempuanmu?’ Lantas pemuda itu menjawab: ‘Demi Allah, tidak!’ Rasulullah ﷺ berkata: ‘(Begitulah juga halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada anak-anak perempuan mereka’. Rasulullah ﷺ bersabda lagi: ‘Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada saudara perempuanmu?’ Lantas pemuda itu menjawab: ‘Demi Allah, tidak!’ Rasulullah ﷺ berkata: ‘(Begitulah juga halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada saudara-saudara perempuan mereka’. Rasulullah ﷺ bersabda lagi: ‘Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada emak saudaramu (sebelah ayah)?’ Lantas pemuda itu menjawab: ‘Demi Allah, tidak!’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘(Begitulah juga halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada emak-emak saudara (sebelah ayah) mereka’. Rasulullah ﷺ bersabda lagi: ‘Adakah kamu suka itu (perbuatan zina) terjadi kepada emak saudaramu (sebelah ibu)?’ Lantas pemuda itu menjawab: ‘Demi Allah, tidak!’ Rasulullah ﷺ menjawab: ‘(Begitulah juga halnya) orang ramai tidak suka hal itu (terjadi) kepada emak-emak saudara (sebelah ibu) mereka’.” (Abu Umamah) berkata: “Maka Rasulullah ﷺ meletakkan tangannya di atas pemuda itu, lalu berdoa: Allahummaghfir Dzanbahu, Wa Thohhir Qolbahu, Wa H̱as̄s̄in Farjahu (Ya Allah ampunkanlah dosanya, sucikanlah hatinya, dan bentengilah kemaluannya). Selepas itu,pemuda itu tidak lagi memandang sesuatu (yang berbentuk maksiat).”
(HR. Ahmad,no.21629)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh imam al-‘Iraqi dengan katanya: “Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sayad Jayyid, rijalnya (perawinya) adalah rijal-rijal sahih” (rujuk: Takhrij Ahadith al-Ihya',5/251), imam al-Haitsami berkata: “Diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Thabrani dalam al-Kabir dan rijalnya adalah rijal-rijal Sahih” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,1/341). Juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,36/545,no.22211) dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,1/712,no.370)

Sunday, July 28, 2024

Kelebihan Zikir Tasbih,Tahmid,Tahlil Dan Takbir

:: Hadis 1 ::
dari Samurah bin Jundab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ada empat ucapan yang paling di sukai Allah: Subẖanallah (Maha suci Allah), Alẖamdulillah (Segala puji bagi Allah), Laa ilaaha illallah (Tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar). Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu memulai...”
(HR. Muslim,no.2137)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya membaca: Subẖanallah (Maha Suci Allah), Alẖamdulillah (segala puji bagi Allah), La ilaha illAllah (tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah), dan Allahu Akbar (Allah maha besar), lebih aku cintai daripada segala sesuatu yang disinari matahari.” 
(HR. Muslim,no.2695)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Dzar,Nabi ﷺ bersabda,
“Pada pagi hari, setiap sendi dari seseorang daripada kamu (perlu ke atasnya) sedekah. Maka setiap tasbih (Subẖanallah) adalah sedekah, dan setiap tahmid (Alẖamdulillah) adalah sedekah, dan setiap tahlil (Laa ilaaha illallah) adalah sedekah, dan setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah...”
(HR. Muslim,no.720)

:: Hadis 4 ::
dari sebahagian sahabat,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik perkataan adalah: Subẖanallah (Maha suci Allah), Alẖamdulillah (Segala puji bagi Allah), La ilaha illAllah (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar).”
(HR. Ahmad,no.16459. Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth: sanadnya sahih, rijalnya tsiqah, rijal dari syaikhain/dua syaikh [imam Bukhari & imam Muslim] dan majhulnya sahabat tidak memudaratkan)

:: Hadis 5 ::
dari Samurah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik perkataan setelah al-Quran ada empat, sedangkan ianya termasuk dari al-Quran. Tidak berdosa bagimu dengan mana saja kamu memulai, iaitu: Subẖanallah (Maha suci Allah), Alẖamdulillah (Segala puji bagi Allah), La ilaha illAllah (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah), Allahu Akbar (Allah Maha Besar).”
(HR. Ahmad,no.20236)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’, kerana ia diriwayatkan dari Hilal bin Yasaf, dari Samurah, dari Nabi ﷺ. Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, sanad hadis ini sahih jika Hilal bin Yasaf mendengar dari Samurah (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,hadis no.19618). Hadis ini boleh dijadikan sebagai Fadhail A’mal kerana dhaifnya termasuk dalam dhaif yang ringan.

:: Hadis 6 ::
dari Anas,dia berkata,
“Telah datang seorang Badwi kepada Nabi ﷺ seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah, ajarkanlah aku sebuah kebajikan’. Lalu Nabi ﷺ memegang tangannya seraya berkata: ‘Sebutlah Subẖanallah (Maha Suci Allah), Walẖamdulillah (dan segala puji bagi Allah), Wa la ilaha illah (dan tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah), Wallahu Akbar (dan Allah Maha Besar)’. Lalu Badwi itu mengira dengan tangannya dan berlalu sambil berfikir kemudian datang kembali. Nabi ﷺ tersenyum dan berkata: ‘Orang yang pasrah ini telah berfikir’. Lelaki Badwi itu bertanya kembali: ‘Wahai Rasulullah, Subẖanallah, Walẖamdulillah, Wa la ilaha illah, Wallahu Akbar, semua ini untuk Allah. Jadi apa pula untuk aku?’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Wahai Badwi, bila kamu sebut Subẖanallah, Allah menjawab: ‘Kamu berkata benar’. Bila kamu sebut Walẖamdulillah, Allah menjawab: ‘Kamu berkata benar’. Bila kamu sebut Wa la ilaha illah, Allah menjawab: ‘Kamu berkata benar’. Bila kamu sebut Wallahu Akbar, Allah menjawab: ‘Kamu berkata benar’. Bila kamu sebut Allahummaghfirli (Ya Allah, ampunkanlah aku), Allah menjawab: ‘Aku telah buat’. Bila kamu sebut Allahummarẖamni (Ya Allah, rahmatilah daku), Allah menjawab: ‘Aku telah buat’. Bila kamu sebut Allahummarzuqni (Ya Allah, berilah rezeki kepadaku), Allah menjawab: ‘Aku telah buat’. Badwi itu memegang tujuh (jari) di tangannya, lalu pergi.”
(HR. al-Baihaqi [rujuk: Syu‘ab al-Iman,no.619]. Dinilai ‘sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Silsilah al-Ahadis as-Sahihah,no.3336])

Doa Masuk Dan Keluar Masjid

dari Abu Usaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang kalian masuk ke masjid, hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ افْتَحْ لي أبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Allahum-maftaẖ lii abwaaba roẖmatik
(Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmat-Mu)

Apabila dia keluar, hendaklah dia membaca:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ 
Allahumma innii as-aluka min fadh-lik
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kurniaan-Mu).”
(HR. Muslim,no.713)

Sunday, July 21, 2024

Jangan Melihat Handphone Atau Gadjet Ketika Orang Berbicara Kepada Kita

dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mempunyai sebuah cincin dan memakainya, baginda bersabda: ‘Cincin ini telah menyibukkanku dari (memperhatikan) kalian sejak hari ini (aku memakainya). Sesaat aku melihatnya dan sesaat aku melihat kalian’. kemudian baginda melempar cincin tersebut.”
(HR. an-Nasaie,no.5289. Ahmad,no.2960. Dinilai ‘sahih’ oleh Syaikh al-Albani dalam al-Silsilah as-Sahihah,no.1192)

Pahala Bagi Orang Yang Ibadahnya Terhalang Kerana Sakit Atau Musafir

dari Abu Musa,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seorang hamba sakit atau bermusafir maka dituliskan kepadanya  pahala sama seperti yang dia kerjakan ketika mukim dalam keadaan sihat.”
(HR. Bukhari,no.2996)

Sunday, July 14, 2024

Zikir Yang Pahalanya Seperti Memerdekakan Hamba Dari Keturunan Nabi Ismail

dari Abu Ayyub al-Ans̄ari,dia berkata,(Nabi ﷺ bersabda),
“Sesiapa yang membaca:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهْوَ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
La ilaha illallah, waẖdahu laa syarikalah, lahul mulku walahul ẖamd, wa huwa ‘ala kulli syai-in qodir
(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)
sebanyak 10 kali, baginya (pahala) seperti memerdekakan seorang hamba dari keturunan (Nabi) Isma‘il.”
(HR. Bukhari,no.6404. Muslim,no.2693. Dan ini lafaz Bukhari)

Friday, July 5, 2024

3 Golongan Yang Tidak Dicatat Dosa Dan Pahalanya

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ali,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Diangkat pena daripada tiga golongan, iaitu: orang yang tidur sehingga dia terjaga, kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh), dan orang yang gila sehingga dia berakal.”
(HR. Abu Daud,no.4403. at-Tirmidzi,no.1423. Ahmad,no.956. Dinilai ‘Hasan Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Qatadah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah dianggap meremehkan solatnya bagi seseorang yang tidur itu. Adapun orang yang meremehkan solat itu adalah orang yang tidak solat dengan satu solat sehingga datangnya waktu solat yang seterusnya.”
(HR. Muslim,no.681. Abu Daud,no.441. at-Tirmidzi,no.177. an-Nasaie,no.615. Ibnu Majah,no.698)

Thursday, July 4, 2024

Makhluk Pertama Yang Diciptakan Allah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ubadah bin as̄-S̄omit,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya pertama kali yang diciptakan Allah adalah al-Qalam (pena). Kemudian Allah berfirman: ‘Tulislah!’ Pena tersebut bertanya: ‘Apa yang perlu aku tulis?’ Allah menjawab: ‘Tulislah takdir (semua makhluk); Apa yang telah terjadi dan akan terjadi sehingga akhir zaman (hari Kiamat)’.”
(HR. Abu Daud,no.4700. at-Tirmidzi,no.2155 & 3319. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As̄,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah telah menulis segala takdir makhluk-Nya sebelum penciptaan langit dan bumi sejak 50,000 tahun. Baginda bersabda: ‘Sedangkan ‘Arasy-Nya di atas air’.”
(HR. Muslim,no.2653)

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Allah ‘azza wa Jalla telah ciptakan empat perkara dengan tangan-Nya: Adam ‘alaihissalam, ‘Arasy, Qalam (pena) dan Syurga ‘Adn. Kemudian Firman Allah kepada sekalian makhluk: ‘Jadilah’. Maka, terjadilah semua makhluk mengikut kehendak dan ilmu-Nya.”
(HR. al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak,no.3244]. al-Ajurri [rujuk: al-Syari’ah,no.750]. Dinilai ‘sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Mukhtasar al-‘Uluw,75])

Friday, June 21, 2024

Kelebihan Solat Dhuha

:: Hadis 1 ::
dari Abu Dzar,Nabi ﷺ bersabda,
“Pada pagi hari, setiap sendi dari seseorang daripada kamu (perlu ke atasnya) sedekah. Maka setiap tasbih (Subẖanallah) adalah sedekah, dan setiap tahmid (Alẖamdulillah) adalah sedekah, dan setiap tahlil (Laa ilaaha illallah) adalah sedekah, dan setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, dan menyeru berbuat baik itu adalah sedekah, dan melarang dari perkara yang mungkar itu adalah sedekah, dan sedekah ke atas sendi-sendi itu memadai dengan dua rakaat yang dikerjakan pada waktu Dhuha.”
(HR. Muslim,no.720)

:: Hadis 2 ::
dari Nu‘aim bin Hammar al-Ghathafani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tuhan kamu ‘azza wa jalla berfirman: ‘Wahai anak Adam, solatlah kerana-Ku empat rakaat (Dhuha) pada awal hari, nescaya Aku akan cukupkan bagimu hingga akhir hari tersebut’.”
(HR. Ahmad,no.22471 [21434]. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.466]. Ini lafaz riwayat Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau. Adapun tentang cara melaksanakan solat Dhuha empat rakaat ini, kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi, yang lebih utama adalah dengan dua rakaat-dua rakaat, bukan empat rakaat dengan satu tasyahud sebagaimana yg beliau sebut dalam video beliau yg lain kerana ianya tidak tsabit dari Rasulullah ﷺ.
Wallahua’lam.

Wednesday, June 19, 2024

Musibah Dan Nikmat Adalah Ujian

Allah ﷻ berfirman:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
(al-Anbiya' [21]: ayat 35)

Saturday, June 15, 2024

Dialog Iblis Dan Allah

dari Abu Sa‘id al-Khudri,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya iblis berkata kepada Tuhannya: ‘Demi kemuliaan-Mu wahai Tuhanku, aku tidak akan pernah berhenti menyesatkan hamba-hamba-Mu selama nyawa mereka berada di tubuhnya’. Lalu Allah menjawab: ‘Demi kemuliaan dan keagungan-Ku, Aku tidak akan henti-hentinya memaafkan mereka, selama mereka memohon ampun kepada-Ku’.”
(HR. Ahmad,no.11367. Dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Syu’aib al-Arnauth [rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,11367])

Monday, June 3, 2024

Doa Selepas Wudhu’

dari ‘Uqbah bin ‘Amir,dia berkata,
”Dahulu kami ada giliran menjaga unta, apabila datang giliranku, aku mengembalikan unta-unta tersebut ke kandangnya pada akhir siang (waktu petang). Setelah itu aku pergi kepada Rasulullah ﷺ, dan aku dapati baginda sedang berdiri berbicara kepada orang ramai, aku dapati dari perkataan baginda ialah: ‘Tiada seorang muslim yang berwudhu’ dan memperelokkan wudhu’nya, kemudian berdiri dan menunaikan solat sunat dua rakaat dengan dihadirkan jantung hati dan wajahnya, melainkan akan dimasukkannya ke dalam syurga’.” Kata ’Uqbah: “lalu aku berkata: ‘Alangkah baik (hebat) perkara ini’. Tiba-tiba seseorang di hadapanku berkata: ‘Yang sebelumnya adalah lebih baik (hebat)’. Lalu aku melihat orang itu, rupanya beliau adalah ‘Umar, lalu ‘Umar berkata: ‘Sesungguhnya aku melihat ketika engkau datang sebentar tadi, sebelum itu (sebelum kehadiranmu), baginda bersabda: Tiada seorang dari kalanganmu yang berwudhu’, dan memperelokkan wudhu’nya, kemudian membaca:

أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
Asyhadu alla ilaha illAllah, waẖdahu laa syarikalah, wa asyhadu anna Muẖammadan ‘abduhu wa rosuluh
(Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan Allah)

melainkan dibuka untuknya kelapan-lapan pintu Syurga, dia boleh memasukinya dari mana-mana pintu yang dia mahu.”
(HR. Muslim,no.234)

Sunday, June 2, 2024

Doa Ruqyah Untuk Diri Sendiri

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ustman bin Abi al-‘As̄ yang pernah mengadu kepada Rasulullah ﷺ perihal sakit yang ada pada jasadnya semenjak dia memeluk Islam. Lalu Rasulullah ﷺ berkata kepadanya: “Letakkan tanganmu di tempat sakit kemudian baca 3 kali:

بِاسْمِ اللَّهِ
Bismillah
(Dengan nama Allah)

Dan baca 7 kali:

أَعُوذُ بِاللَّهِ وَقُدْرَتِهِ مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وَأُحَاذِرُ
A’udzu billahi wa qudrotihi min syarri maa ajidu wa uẖaadzir
(Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan/keburukan yang aku dapati dan aku takuti)”.
(HR. Muslim,no.2202)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa’id,dia berkata,
“Jibril datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Ya Muhammad, apakah engkau sakit?’ Jawab Baginda: ‘Ya’. Lalu Jibril membacakan:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
Bismillahi arqika, min kulli syai-in yukdzika, min syarri kulli nafsin aw ‘aini hasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika
(Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyahmu).”
(HR. Muslim,no.2186)

NOTA:
Jika ingin meruqyah diri sendiri, maka kata ganti namanya ditukar menjadi:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِ نَفْسِ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِينِ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِينِ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِ نَفْسِ
Bismillahi arqi nafsi, Min kulli syai-in yuk-dzini, Min syarri kulli nafsin aw 'aini ẖasidin, Allahu yasyfiini, Bismillaahi arqi nafsi
(Dengan nama Allah aku meruqyah diriku dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyah diriku)

Thursday, May 30, 2024

Doa Kesembuhan: “Tuhanku Allah Yang Di Langit...”

dari Abu Darda’,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengadu sakit di antara kamu atau saudaranya, hendaklah ia membaca:

رَبُّنَا اللَّهُ الَّذِي فِي السَّمَاءِ تَقَدَّسَ اسْمُكَ أَمْرُكَ فِي السَّمَاءِ وَالأَرْضِ كَمَا رَحْمَتُكَ فِي السَّمَاءِ فَاجْعَلْ رَحْمَتَكَ فِي الأَرْضِ اغْفِرْ لَنَا حُوبَنَا وَخَطَايَانَا أَنْتَ رَبُّ الطَّيِّبِينَ أَنْزِلْ رَحْمَةً مِنْ رَحْمَتِكَ وَشِفَاءً مِنْ شِفَائِكَ عَلَى هَذَا الْوَجَعِ
RobbanAllahul-ladzi fissama’, Taqad-dasas-muka, Amruka fissamaa-i wal ardh, Kamaa roẖmatuka fissama', Faj’al roẖmataka fil ardh, Aghfirlana ẖubanaa wa khothoyana, Anta robbuth thoyyibiin. Anzil roẖmatan min roẖmatika, wa syifaa-an min syifaa-ika ‘ala hadzal waja-‘i (Tuhanku Allah yang di langit, Maha Suci nama-Mu. Perintah-Mu di langit dan di bumi. Sepertimana rahmat-Mu di langit, jadikanlah rahmat-Mu juga di bumi. Ampunkanlah dosa kami dan kesalahan kami. Engkau adalah Tuhan orang-orang yang baik. Turunkanlah rahmat daripada rahmat-Mu, dan kesembuhan daripada ksembuhan-Mu atas penyakit ini)

maka ia akan sembuh.”
(HR. Abu Daud,no.3892)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh para ulama’ hadis, kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Ziyadah bin Muhammad, yang mana dia dinilai Dhaif oleh imam ‘Ibn ‘Adiy (rujuk: al-Kamil,4/145) dan imam ibnu Hibban (rujuk: al-Majruhin,1/308). Imam adz-Dzahabi menukilkan bahawa imam al-Bukhari dan an-Nasaie menilainya sebagai “Munkar al-Hadis”. Imam adz-Dzahabi juga menyebut: “Dia bersendiri dalam hadis ruqyah” (rujuk: al-Mizan,2/98).

Wednesday, May 29, 2024

Zikir Yang Pahalanya Seperti Memerdekakan 10 Hamba,Dapat 100 Pahala Dan 100 Dosa Dihapuskan

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mengucapkan:
لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Laa ilaha illAllah, waẖdahu laa syarikalah, lahul mulku wa lahul ẖamdu,wa huwa ‘ala kulli syai-in qodiir (Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)
sebanyak 100 kali dalam sehari, maka baginya pahala seperti pahala orang yang memerdekakan 10 hamba sahaya dan dituliskan baginya 100 kebaikan, dihapus darinya 100 keburukan, dan baginya pelindung daripada syaitan pada hari itu hingga petang hari. Dan tidak ada seorang pun yang dapat menandinginya melainkan yang mengamalkan lebih dari itu.”
(HR. Bukhari,no.3293. Muslim,no.2691. at-Tirmidzi,no.3468)