Thursday, June 1, 2023

Hijab (Pembatas) Allah Adalah Cahaya

:: Hadis 1 ::
Dari Abu Musa al-Asy’ari,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah berdiri di hadapan kami dan menyampaikan lima kalimat. Baginda ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya Allah tidak tidur dan tidak layak bagi-Nya tidur. Diangkat kepada-Nya amalan malam sebelum amalan siang. Hijab-Nya adalah cahaya. Sekiranya hijab itu terangkat,nescaya sinaran wajah-Nya akan membakar semua makhluk yang tercapai oleh pandangan-Nya’.”
(HR. Muslim,no.179)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Dzar,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Adakah kamu melihat Rabb-mu (ketika peristiwa Mi'raj)?’ Baginda menjawab: ‘Ada cahaya,bagaimana mungkin aku boleh melihat-Nya’.”
(HR. Muslim,no.178)

:: Hadis 3 ::
dari Suhaib,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga,Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: ‘Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?’ Mereka menjawab: ‘Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?’ Lalu Allah membuka hijab (membuka pembatas-Nya dan menampakkan diri-Nya),dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.”
(HR. Muslim,no.181. Ibnu Majah,no.187)

Bercakap (Berbual) Ketika Makan Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kami pernah bersama Nabi ﷺ dalam sebuah undangan. Kemudian dibawakanlah paha kambing dan baginda menyukainya. Kemudian baginda menggigitnya dengan satu gigitan lalu bersabda: ‘Aku adalah penghulu kaum (manusia) pada hari kiamat...”
(HR. Bukhari,no.3340. Muslim,no.194)

:: Hadis 2 ::
Jabir bin Abdullah,dia berkata,
“Suatu hari aku diajak oleh Rasulullah ﷺ untuk ke rumahnya. Kemudian baginda mengeluarkan sepotong roti. Baginda bertanya kepada isterinya: ‘Apakah ada lauk pauk?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ada,kecuali sedikit cuka’. Lalu baginda bersabda: ‘Sesungguhnya cuka adalah sebaik-baik lauk’. Aku menyukai cuka sejak aku mendengarnya dari Nabiyullah ﷺ’.”
(HR. Muslim,no.2052)

NOTA:
Kata imam an-Nawawi,hadis ini menjadi dalil disunatkan bercakap ketika makan kerana menambah kemesraan sesama orang-orang yg makan (rujuk: Syarah 'ala Sahih Muslim,7/14).

Wednesday, May 31, 2023

Cara Benar Merapatkan Saf

dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Luruskanlah saf kamu,kerana aku melihat kamu dari belakang bahuku.” Terdapat seorang diantara kami yang menempelkan bahunya dengan bahu temannya dan telapak kaki dengan telapak kakinya”.
(HR. Bukhari,no.725)

Isteri Nabi ﷺ Yang Dinikahkan Oleh Allah ﷻ Tanpa Wali

:: Hadis 1 ::
dari Anas,dia berkata,
“Zaid bin Haritsah datang mengadu (sesuatu),lalu Nabi ﷺ bersabda kepadanya: ‘Bertaqwalah kamu kepada Allah,dan tahanlah isterimu (jangan ceraikan dia)’. Seandainya Rasulullah ﷺ menyembunyikan sesuatu,tentu baginda ﷺ akan menyembunyikan hal (ayat) ini. Ketika itu Zainab merasa bangga terhadap para isteri Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Kamu semua dinikahkan oleh ahli keluarga kamu,sedangkan aku dinikahkan oleh Allah dari atas tujuh langit’. Daripada Tsabit (Firman Allah ﷻ): ‘Sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia’ (Surah al-Ahzab [33]: ayat 37),diturunkan berkenaan dengan perkara ini (yang berlaku antara) Zainab dan Zaid bin Haritsah.”
(HR. Bukhari,no.7420)

:: Hadis 2 ::
Dari Anas,bahawa dia berkata,
“Ayat hijab diturunkan berkenaan dengan Zainab binti Jahsyi,ketika (pernikahannya) itu baginda ﷺ memberi jamuan berupa roti dan daging. Zainab sering berbangga terhadap para isteri Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Sesungguhnya Allah-lah yang menikahkanku di langit.’”
(HR. Bukhari,no.7421)

Boleh Solat Sunat Selepas Solat Witir

dari Sa'ad,bahawa dia berkata kepada 'Aisyah,
“..Wahai Ummul Mukminin,beritahu kepadaku tentang witir Rasulullah ﷺ!’ ‘Aisyah menjawab: ‘Kami dulu selalu menyiapkan siwaknya dan bersucinya,setelah itu Allah membangunkannya sekehendaknya untuk bangun malam. Kemudian baginda bersiwak dan berwudhu` dan solat sembilan rakaat. Baginda tidak duduk dalam kesembilan rakaat itu kecuali pada rakaat kelapan,baginda menyebut nama Allah,memuji-Nya dan berdoa kepada-Nya,kemudian baginda bangkit dan tidak mengucapkan salam. Setelah itu baginda berdiri dan solat untuk rakaat ke sembilan. Kemudian baginda berzikir kepada Allah,memuji-Nya dan berdoa kepada-Nya,lalu baginda mengucapkan salam dengan nyaring agar kami mendengarnya. Setelah itu baginda solat dua rakaat setelah salam sambil duduk,itulah sebelas rakaat wahai anakku...”
(HR. Muslim,no.746)

NOTA:
Kata imam at-Tirmidzi,ini pendapat imam Sufyan ast-Tsauri,imam Malik,imam Ibnul Mubarak,imam Syafi'i,imam Ahmad & penduduk Kufah. Dan ini adalah pendapat yang paling sahih (rujuk: Jami' at-Tirmidzi,no.470). Ibnu Hazm juga berpendapat bahawa boleh solat sunat selepas solat witir dan tidak perlu mengulangi witir (rujuk: al-Muhalla,2/91).

Monday, May 29, 2023

Jangan Berdoa Agar Allah Membalas Dosa Kita Di Dunia

dari Anas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menziarahi seorang lelaki daripada kaum Muslimin yang tubuhnya semakin lemah umpama anak burung. ‏Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Adakah kamu ada berdoa atau meminta sesuatu daripada Allah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya,aku berdoa dengan menyebut: Ya Allah, hukuman yang Kau mahu jatuhkan kepada ku di akhirat, segerakanlah ia untuk ku di dunia’. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Maha Suci Allah,kamu tidak akan mampu. Kenapa tidak kamu menyebut: Allahumma atina fiddunya ẖasanah,wa fil akhirati ẖasanah,wa qina 'adza bannar (Ya Allah,berikan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat,dan selamatkan kami daripada azab neraka)’. Baginda pun mendoakan lelaki itu,lalu Allah menyembuhkannya.”
(HR. Muslim,no.2688)

Monday, April 10, 2023

Rasulullah Suruh Gigit Kemaluan Ayah?

 dari ‘Utay bin Dhamrah,dia berkata,
“Aku melihat disisi Ubay (bin Ka’ab) ada seorang lelaki yang berta’ziah (berslogan) dengan ta’ziah jahiliyyah,maka Ubay menyuruhnya agar menggigit kemaluan (zakar) ayahnya dan tidak bercakap dengan kiasan. Lalu sahabat-sahabatnya melihatnya,maka dia berkata: ‘Seakan-akan kamu mengingkari perbuatanku?’ Lalu dia berkata: ‘Aku tidak takut pada sesiapapun dalam hal ini kerana sesungguhnya aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: Sesiapa yang mengucapkan dengan ucapan ta’ziah jahiliyyah,maka suruhlah dia gigit kemaluan ayahnya dan jangan cakap berkias’.”
(HR. al-Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no. 963])

NOTA:
Hadis ini Dha'if (lemah: tidak sahih). Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama 'Utaiy bin Dhamrah,yg mana kata Imam 'Ali ibnu al-Madini (tentangnya): "Majhul (tidak dikenali)" (rujuk: Ibnu Hajar,Tahdzib at-Tahdzib,7/104). Hadis ini juga dinilai Dha'if oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi dalam video beliau. Syaikh Usman al-Khamis juga menilai hadis ini Dha'if dalam video beliau.

Monday, January 23, 2023

Doa Nabi Isa

Allah ﷻ berfirman:
“Jika Engkau menyeksa mereka,(maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu,dan jika Engkau mengampunkan mereka,maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa,lagi Maha Bijaksana.”
(al-Ma'idah [5]: ayat 118)

Monday, December 12, 2022

Zikir ‘SubhanAllah’ Untuk Meraih 1000 Pahala Atau Dihapus 1000 Dosa

سُبْحَانَ اللَّهِ
dari Sa’ad bin Abi Waqqas,dia berkata,
“Dahulu ketika kami berada di sisi Rasulullah ﷺ,tiba-tiba baginda bersabda: ‘Apakah seseorang daripada kamu tidak mampu untuk mendapatkan 1000 kebaikan?’ Salah seorang yang berada di situ berkata: ‘Bagaimana seseorang dari kami boleh memperolehi kebaikan sebanyak 1000 itu?’ Baginda menjawab: ‘Dia bertasbih 100 kali,maka dicatiti untuknya 1000 kebaikan atau akan dihapuskan darinya 1000 kesalahan (dosa)’.”
(HR. Muslim,no.2698. at-Tirmidzi,no.3463)

Thursday, November 24, 2022

Doa Agar Allah Menggantikan Musibah Yang Menimpa Dengan Sesuatu Yang Lebih Baik

dari Ummu Salamah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang Muslim ditimpa musibah lalu dia membaca apa yang diperintahkan oleh Allah:
 إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُون ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Roji‘uun,Allahummak-Jurni Fii Mus̄ibati Wa Akhlif Lii Khoiron Minha (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Ya Allah,berilah kami pahala kerana musibah ini dan berikanlah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya),
melainkan Allah akan memberikan ganti kepadanya dengan yang lebih baik.” Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah telah meninggal dunia,aku bertanya: ‘Siapakah Muslim yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dia ialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah ﷺ. Kemudian aku pun mengucapkan doa tersebut. Maka Allah menggantikan buatku Rasulullah ﷺ.” Ummu Salamah berkata: “Rasulullah ﷺ menghantar Hatib bin Abu Balta‘ah untuk melamarku bagi pihak baginda. Aku pun berkata: ‘Aku mempunyai seorang anak perempuan dan aku jenis yang kuat cemburu’. (Maksudnya beliau risau jika berkahwin nanti,anaknya akan terbiar dan beliau akan menyakitkan baginda disebabkan oleh cemburunya itu). Baginda bersabda: ‘Adapun anak perempuannya,kita doakan semoga Allah mencukupkan keperluannya (yakni bertemu dengan pasangannya sendiri,lalu ada yang menjaganya agar tidak terlalu terikat dengan Ummu Salamah) dan aku juga berdoa agar Allah menghilangkan perasaan kuat cemburu itu’.”
(HR. Muslim,no.918)

Tuesday, November 22, 2022

Ayat Yang Allah 'Tulis' Dalam Kitab-Nya

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika Allah menetapkan penciptaan makhluk,Dia menulis di dalam kitab-Nya, yang berada di sisi-Nya di atas 'Arasy (yang isinya): ‘Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku’.”
(HR. Bukhari,no.7404. Muslim,no.2751)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika Allah menetapkan penciptaan,Dia tulis di sisi-Nya di atas 'Arasy-Nya: ‘Rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku’.”
(HR. Bukhari,no.7422. Muslim,no.2751)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika Allah menciptakan makhluk,Dia menulis di dalam kitab-Nya yang berada di atas Arasy: ‘Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku’.”
(HR. Muslim,no.4939)

Tuesday, November 15, 2022

Doa Agar Allah Permudahkan Hisab (Perhitungan) Amal Di Akhirat Kelak

dari Aisyah,dia berkata,
“Aku mendengar Nabi ﷺ pada sebahagian solatnya,baginda membaca:
اللَّهُمَّ حَاسِبْنِي حِسَابًا يَسِيرً
Allahumma H̱asibni H̱isaban Yasiro
(Ya Allah,hisablah aku dengan hisab yang mudah).
Ketika baginda berpaling,aku bertanya: ‘Wahai Nabi Allah,apa yang dimaksudkan dengan hisab yang mudah?’ Baginda bersabda: ‘Seseorang yang Allah melihat kitabnya,lalu memaafkannya. Kerana orang yang diperdebatkan hisabnya pada hari itu,pasti celaka wahai Aisyah. Dan setiap musibah yang menimpa orang beriman,Allah akan menghapuskan (dosanya) kerananya,bahkan walaupun duri yang menusuknya’.”
(HR. Ahmad,no.23082. Hadis ini dinilai 'Sahih' oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Misykat al-Masobih,3/209,no.5562])

Saturday, November 12, 2022

Sujud: Tapak Kaki Direnggangkan Atau Dirapatkan?

● MERENGGANGKAN TAPAK KAKI ●



:: Hadis 1 ::
dari Abu Humaid,dia berkata,
“..Apabila baginda sujud,baginda merenggangkan kedua pahanya dan menjauhkan perut dari pahanya.”
(HR. Abu Daud,no.735)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' (lemah: tidak sahih) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Irwa' al-Ghalil,2/80). Namun hadis ini dijadikan hujjah oleh imam asy-Syaukani bahawa tapak kaki direnggangkan ketika sujud,kata beliau: “Ungkapan ‘merenggangkan kedua pahanya’ maksudnya adalah merenggangkan antara kedua pahanya,kedua lututnya dan kedua tapak kakinya.” Para ulama dalam mazhab Syafi'i berkata,‘Merenggangkan antara kedua tapak kaki kadar sejengkal” (rujuk: Nailul Authar,2/297).


● MERAPATKAN TAPAK KAKI ●



:: Hadis 2 ::
dari 'Aisyah,dia berkata,
“Aku kehilangan Rasulullah ﷺ,padahal sebelumnya baginda tidur disisiku. Tiba-tiba aku menjumpai baginda sedang sujud dalam keadaan merapatkan kedua tumit baginda dan hujung-hujung jari kaki baginda menghadap Kiblat.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.654. Ibnu Hibban,no.1933. al-Hakim,no.832)

NOTA:
Hadis ini 'Munkar' (tidak sahih),kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Yahya bin Ayyub al-Ghafiqi yg mana dia dinilai Dhaif oleh imam Abu Hatim dengan katanya: "La Yuhtajju Bihi (tidak boleh berhujjah dengannya)" (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta'dil,9/128). Kata Ibn Sa'ad: "Dia Munkarul Hadis" (rujuk: ath-Thabaqat al-Kubra,7090). Imam Ahmad berkata: "Buruk hafalannya". ad-Daraquthni berkata: "Sebahagian hadisnya idhthirab (goncang)" (rujuk: adz-Dzahabi,al-Mughni fi adh-Dhu'afa,6931). Kata an-Nasaie: "Tidak kuat dan tidak boleh dijadikan hujjah" (rujuk: Ibnu Jauzi,ad-Dhu'afa wal Matrukin,3694).

NOTA (2):
Akan tetapi,walaupun hadis ini tidak sahih,namun terdapat hadis sahih yg 'secara tidak langsung' menunjukkan bahawa tumit Rasulullah ﷺ rapat ketika sujud:

:: Hadis 3 ::
dari Aisyah,dia berkata,
“Pada suatu malam aku tidak mendapati Rasulullah ﷺ di perbaringan,lalu aku mencarinya. Tiba-tiba tanganku menyentuh di kedua tapak kakinya dan ternyata baginda sedang bersujud dan kedua tapak kakinya dalam keadaan tegak..”
(HR. Muslim,no.486. Abu Daud,no.745)

NOTA:
daripada hadis ini lah,Syaikh Soleh al-Utsaimin berpendapat bahawa merapatkan tapak kaki ketika sujud adalah Sunnah,kata beliau: "Yang tampak dalam sunnah adalah kedua tapak kaki dirapatkan. Ertinya dirapatkan satu sama lain sebagaimana terdapat dalam hadis sahih tatkala dia ('Aisyah) mencari-cari Nabi ﷺ lalu tangannya menyentuh kedua tapak kakinya yang sedang ditegakkan ketika dia sujud. Satu tangan tidak akan menyentuh kedua tapak kaki,kecuali kalau keduanya dalam keadaan rapat.” (rujuk: asy-Syarhul Mumti,3/169). Walaupun begitu,seorang Muhaddis (Ahli Hadis) iaitu Syaikh 'Abdul 'Aziz at-Tharifi berpendapat bahawa tapak kaki tetap direnggangkan. Kerana menurut beliau,ucapan 'Aisyah bahawa "tersentuh kedua-dua tapak kaki baginda" tidak semestinya mencantum tumit. Boleh jadi maknanya,satu tangan menyentuh kedua-dua kaki orang yg solat yg tidak bercantum (dirapatkan),seperti kedua kakinya hanya berdekatan. Maka tapak tangan menyentuh kaki kanannya sedangkan lengan tangan menyentuh kaki kirinya. (rujuk: Sifat Solat Nabi,132-133).

KESIMPULAN:
Perkara ini berlaku khilaf (perbezaan pendapat) di kalangan para Ulama',maka setiap orang boleh memilih mana-mana pendapat samada 'merenggangkan tapak kaki' ataupun 'merapatkan tapak kaki' berdasarkan keyakinan hujjah ataupun berdasarkan keselesaan masing-masing.
Wallahua'lam Bissowab.

Friday, November 4, 2022

Doa Selepas Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)

:: Hadis 1 ::
dari Mu'adz bin Anas al-Juhani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memakan suatu makanan, lalu mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلَا قُوَّةٍ
Alẖamdulillahil Ladzi Ath-‘Amani Hadza Ath-Tho'ama Wa Rozaqo-Nihi Min Ghoiri H̱aulin Minni Wa Laa Quwwah
(Segala puji bagi Allah yang memberiku makanan ini dan mengurniakannya untukku tanpa daya dan upaya daripadaku),
maka akan diampunkan baginya dosa-dosanya yang lalu.”
(HR. Abu Daud,no.4023. Ahmad,no.15079. at-Tirmidzi,no.3458. Ibnu Majah,no.3285)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' (lemah: tidak sahih),kerana hadis ini diriwayatkan dari Sahl bin Mu'adz bin Anas al-Juhani dari ayahnya,yg mana kata Yahya Ibn Ma'in: "Sahl bin Mu'adz bin Anas dari ayahnya,Dha'if" (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta'dil,4/204). Ibnu Hibban juga mempunyai dua pendapat yang saling berselisih tentangnya. Ibnu Hibban memujinya pada kitab lain (rujuk: Masyahir 'Ulama al-Amsar,195),namun beliau mengkritiknya dengan berkata (dalam kitabnya yg lain): "Munkar al-Hadis Jiddan" (rujuk: al-Majruhin,9/441). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Muthofa al-'Adawi (dalam video beliau).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa'id al-Khudri,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ selesai makan,baginda mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مُسْلِمِينَ
Alẖamdulillahil Ladzi Ath-‘Amana Wa Saqona Waja ‘Alana Muslimin
(Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam).”
(HR. Abu Daud,no.3850. Ahmad,no.10846. at-Tirmidzi,no.3457. Ibnu Majah,no.3274)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh ramai Muhadditsin (Ulama' Hadis),kerana berlaku idthirab (kegoncangan) di dalam sanadnya. Hadis ini dinilai Dhaif oleh salah satunya Imam Ibn Qattan al-Fasi (rujuk: Bayan al-Wahm wa al-Alham,4/601),adz-Dzahabi (rujuk: Mizan al-I'tidal,1/228),Syaikh Syu'aib al-Arnauth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,3/98).

:: Hadis 3 ::
dari Abu ‘Umamah,dia berkata,
“Apabila Nabi ﷺ selesai daripada (makan) makanannya,baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مُوَدَّعٍ وَلَا مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا
  Alẖamdulillahi Katsiron Thoyyiban Mubarokan Fih,Ghoiro Makfiyyin Wala Muwadda‘in Wala Mustagh-nan ‘Anhu Robbana
(Segala puji bagi Allah dengan pujian yang banyak,yang baik lagi penuh berkat di dalamnya,tanpa kami merasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah),
diperlukan dan tidak dapat ditinggalkan,wahai Tuhan kami).”
(HR. Bukhari,no.5458)

:: Hadis 4 ::
dari Abu ‘Umamah,dia berkata,
“Nabi ﷺ apabila selesai dari (makan) makanannya,baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي كَفَانَا وَأَرْوَانَا غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلَا مَكْفُور
Alẖamdulillahil-ladzi Kafana Wa Arwana Ghoiro Makfiyyin Wala Makfur
(Segala puji bagi Allah yang mencukupkan kami dan menghilangkan dahaga kami,tanpa kami merasa cukup (iaitu kami sentiasa perlukan nikmat-nikmat Allah) dan kami tidak kufur nikmat)...”
(HR. Bukhari,no.5459)

:: Hadis 5 ::
الْحَمْدُ لِلَّهِ
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang mengucapkan tahmid (Alẖamdulillah) selepas makan dan minum.”
(HR. Muslim,no.2734)

NOTA:
Sekalipun doa² pada Hadis 1 & 2 itu tidak sahih,akan tetapi tidaklah menjadi masalah untuk 'sekali sekala' membacanya kerana ia hanyalah doa. Hukum berdoa dengan doa yg berasal dari hadis yg tidak sahih (sekalipun Maudhu'/Palsu),tidaklah berdosa,dengan syarat tidak berkata & meyakini bahawa doa tersebut adalah “Sunnah” atau “dari Nabi ﷺ”. Namun melazimi ‘Bismillah’ sebelum makan adalah lebih afdhal (utama) kerana ia Sahih dari Nabi ﷺ dan akan mendapat pahala Sunnah.
Wallahua'lam Bissowab.

untuk Doa sebelum makan,rujuk & klik di sini: 'Doa Sebelum Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)'

Thursday, November 3, 2022

Di Mana 'Arasy Allah?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu..”
(at-Thalaq [65]: ayat 12)

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda (ketika peristiwa Isra' Mi'raj),
“..Aku dibawa naik ke langit ketujuh. Jibril minta dibukakan (pintu langit),dia ditanya: ‘Siapakah kamu?’ Dia menjawab: ‘Jibril’. Ditanya lagi: ‘Lalu siapakah yang bersamamu itu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad’. Ditanya lagi: ‘Apakah dia telah diutus?’ Jibril menjawab: ‘Ya,dia telah diutus’. Lalu (pintu itu) pun terbuka. Di sana aku bertemu Nabi Ibrahim a.s. yang tengah bersandar pada Baitul Ma'mur. Ternyata,setiap hari ada tujuh puluh ribu malaikat masuk ke Baitul Ma'mur dan mereka tidak kembali lagi. Kemudian aku di bawa ke Sidratul Muntaha yang daunnya seperti daun telinga gajah dan buah-buahannya sebesar tempayan..”
(HR. Muslim,no.162)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Disisi Sidratul Muntaha. Yang disisinya terletak syurga Jannatul-Makwa”
(an-Najm [53]: ayat 14-15)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Jika kamu meminta kepada Allah,mintalah (syurga) Firdaus kerana itu adalah syurga yang paling tengah dan yang paling tinggi,dan di atasnya ada 'Arasy ar-Rahman (Allah) dan daripadanya terpancar sungai-sungai di syurga.”
(HR. Bukhari,no.2790)

NOTA:
Daripada dalil² di atas,maka dapat disimpulkan bahawa langit ada tujuh lapis. Di atas langit ketujuh ada Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha berdekatan dengan syurga. Dan banyak-banyak syurga,syurga Firdaus adalah syurga yang paling tinggi. Dan di atas syurga Firdaus ada 'Arasy Allah. Maka,'Arasy Allah terletak di atas langit ketujuh.
Wallahua'lam.