Wednesday, April 3, 2013

Taubat Membuatkan Dosa Diganti Menjadi Pahala

Allah ﷻ berfirman:
“Kecuali orang-orang yang bertaubat,beriman dan beramal soleh (sesudah taubat itu). Maka Allah menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan (menghapus dosa kejahatannya). Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”
(al-Furqan [25]: ayat 70)

NOTA:
Ayat ini terdapat dua perbezaan tafsiran dikalangan Salaf. Imam Ibn Katsir dalam tafsirnya menyebutkan: “Terdapat dua pendapat berkenaan tafsiran ayat ini,pertamanya: Mereka mengganti tempat melakukan kejahatan dengan melakukan kebaikan. Ali bin Abi Talib meriwayatkan daripada Ibnu Abbas tentang firman Allah ‘Mereka yang mengerjakan kebaikan,nescaya akan diberi balasan yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan’. Ibnu Abbas berkata: ‘Mereka adalah orang-orang beriman. Mereka sebelumnya melakukan kejahatan,kemudian Allah menghendaki agar mereka berpaling darinya dan berpindah kepada kebaikan. Maka Allah mengganti tempat kejahatan mereka dengan kebaikan’. Pendapat kedua pula ialah dosa-dosa yang telah lalu akan berubah menjadi kebaikan dengan taubat yang ikhlas. Dan itu tidak lain hanyalah dengan mengingati masa lalu,menyesal,kemudian merenungkannya dan memohon keampunan daripada Allah. Dosa tersebut akan berubah menjadi ketaatan dengan cara ini (bertaubat). Dan pada hari kiamat,meskipun dosa itu tertulis,namun ia tidak akan membahayakan seseorang dan dosa tersebut akan berubah menjadi kebaikan di dalam catatannya” (rujuk: Tafsir Ibnu Katsir,6/127). Pendapat kedua itu adalah pendapat seorang Tabi’in,iaitu Sa’id bin Musayyib. Beliau berkata: “Mereka itulah orang-orang yang dosanya diganti oleh Allah menjadi kebaikan,maksudnya adalah dosa-dosa mereka kelak akan menjadi pahala kebaikan di hari kiamat kelak” (rujuk: Ibnu Jarir at-Thobari,Tafsir at-Thobari,17/519)

Jangan Buruksangka!

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yg beriman! Jauhi kebanyakkan prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa. Dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain. Dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah salah seorang kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Tentu kamu tidak menyukainya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.”
(al-Hujurat [49]: ayat 12)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jauhilah daripada berprasangka buruk,kerana prasangka buruk merupakan dusta yang besar. Dan janganlah melihat kesalahan orang lain,dan janganlah suka mencari-cari kesalahan orang lain,dan janganlah saling membenci,dan janganlah memutuskan hubungan persaudaraan (atau berkonspirasi),akan tetapi jadilah kamu semua sebagai hamba Allah yang bersaudara.”
(HR. Bukhari,no.6724)

Doa Sebelum Tidur Dan Selepas Bangun Tidur

● DOA SEBELUM TIDUR 

:: Hadis 1 ::
dari Hudzaifah,dia berkata,
‟Nabi ﷺ jika mendatangi katilnya,baginda berdoa:
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَأَمُوتُ
Allahumma Bismika Aẖyaa wa Amuut
(Ya Allah,dengan nama-Mu aku hidup dan aku mati)..”
(HR. Bukhari,no.7394)

:: Hadis 2 ::
dari Hudzaifah,dia berkata,
‟Apabila Nabi ﷺ hendak tidur,baginda membaca:
بِاسْمِكَ اللَّهُمَّ أَمُوتُ وَأَحْيَا
Bismika-Allahumma Amuutu Wa Aya
(Dengan nama-Mu Ya Allah,aku mati dan aku hidup)..”
(HR. Bukhari,no.6324)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Dzar,dia berkata,
‟Apabila Nabi ﷺ hendak tidur malam,bagnda mengucapkan:
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَمُوتُ وَأَحْيَا
Allahumma Bismika Amuutu Wa Aya
(Ya Allah,dengan nama-Mu aku mati dan aku hidup)..”
(HR. Bukhari,no.6325. Muslim,no.4886)

:: Hadis 4 ::
 dari al-Bara',dia berkata,
‟Bahawa Nabi ﷺ jika hendak tidur,maka baginda membaca doa:
اللَّهُمَّ بِاسْمِكَ أَحْيَا وَبِاسْمِكَ أَمُوتُ
Allahumma,Bismika Aya Wa Bismika Amut
(Ya Allah,dengan nama-Mu aku hidup dan dengan nama-Mu aku mati)..”
(HR. Muslim,no.2711)


● DOA SELEPAS BANGUN TIDUR 

:: Hadis 5 ::
dari Hudzaifah,dia berkata,
‟..jika baginda ﷺ bangun di pagi hari,baginda membaca:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُورُ
Alamdulillahil Ladzii Ayana Ba’da Maa Amaatana Wa Ilaihin Nusyuur
(Segala puji bagi Allah Yang telah menghidupkan kami setelah mematikan kami dan kepada-Nya kita kembali).”
(HR. Bukhari,no.6324,7394)

Ciri-Ciri Fizikal Rasulullah

:: Hadis 1 ::
dari al-Bara bin ‘Azib,dia berkata,
 “Tidak pernah aku melihat seseorang memiliki rambut melepasi dua cuping telinga,berpakaian Hullah kemerahan yang lebih indah berbanding Rasulullah. Baginda memiliki rambut yang menyentuh dua bahu,jauh jarak dua bahu baginda. Baginda bukan seorang yang rendah,bukan juga seorang yang terlalu tinggi.”
(HR. Bukhari,no.5901. Muslim,no.2337. at-Tirmidzi,no.3635. Ini adalah lafaz at-Tirmidzi. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari al-Barra bin ‘Azib,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ adalah seorang yang pertengahan (tidak terlalu tinggi dan rendah) lebar antara dua bahu,hujung rambut sampai ke hujung dua telinga. Baginda memakai baju dan kain berwarna merah. Tidak pernah sama sekali aku melihat sesuatu yang lebih indah berbanding baginda.”
(HR. Bukhari,no.3551. Muslim,no.2337)

:: Hadis 3 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ bukanlah seorang yang terlalu tinggi,bukan juga seorang yang rendah,bukan juga seorang yang terlalu putih. Bukan juga seorang yang berambut kerinting,bukan juga seorang yang berambut terlalu lurus. Allah melantik baginda menjadi rasul ketika baginda berumur 40 tahun. Baginda menetap di Mekah selama 10 tahun (sebagai Rasul) dan di Madinah selama 10 tahun. Allah mewafatkan baginda ketika penghujung umur baginda 60 tahun,(ketika itu) uban di kepala dan janggut baginda tidak sampai 20 helai.”
(HR. Bukhari,no.3547. Muslim,no.2347. at-Tirmidzi,no.3623)

Hadis: Berenang,Berkuda dan Memanah

:: Hadis 1 ::
Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ajarilah anak-anakmu berenang,berkuda dan memanah”.
(HR. Bukhari & Muslim)

NOTA:
Hadis ini Maudhu' (Palsu) dan ia tidak terdapat di dalam Kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim. Akan tetapi,yang benar ia adalah kata-kata ‘Umar al-Khattab:

:: Hadis 2 ::
dari ‘Umar bin al-Khattab,dia berkata,
“Ajarkanlah kepada anak-anak kamu,memanah,berenang dan menunggang kuda.”
(HR. Ibn Qutaibah [rujuk: ‘Uyun al-Akhbar,2/168]. Ibn ‘Abd Rabbih [rujuk: al-‘Iqd al-Farid,6/271]. Ibn al-Jauzi [rujuk: Manaqib ‘Umar,28])

NOTA:
Walaupun hadis 1 adalah hadis palsu,namun terdapat hadis sahih lain yang memberi isyarat tentang galakkan seseorang muslim untuk mempelajari perkara-perkara ini. Salah satunya,hadis berkaitan memanah:

:: Hadis 3 ::
dari Salamah bin al-Akwa‘,dia berkata,
“Nabi ﷺ melalui sekelompok orang daripada Bani Aslam yang sedang berlatih memanah. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Panahlah wahai Bani Isma‘il,sesungguhnya moyang kamu (yakni Nabi Ibrahim) ialah orang yang pandai memanah. Panahlah dan aku bersama bani fulan’. Salah satu daripada kedua kelompok itu menahan tangan-tangan mereka (yakni tidak memanah). Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Mengapa kamu tidak memanah?’ Mereka menjawab: ‘Bagaimana kami memanah sedangkan engkau bersama (berada di pihak) mereka?’ Nabi ﷺ bersabda: ‘Panahlah dan aku bersama kamu semua’.”
(HR. Bukhari,no.2899)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Uqbah bin Amir,dia berkata,
“Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda ketika berada di atas mimbar: ‘Dan sedialah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) dengan segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan,ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah),ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah melempar (memanah)’.”
(HR. Muslim,no.1917)

NOTA:
Begitu juga tentang menunggang kuda,terdapat hadis lain tentang saranan dari Rasulullah ﷺ tentang menunggang kuda:

:: Hadis 5 ::
dari ‘Urwah bin al-Ja’d,Nabi ﷺ bersabda,
“Kuda itu terikat pada ubun-ubunnya kebaikan sehingga Hari Akhirat.”
(HR. Bukhari,no.2850)

Rasulullah Risau Ketika Mendung

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ apabila melihat mendung di langit,baginda berganjak ke depan,ke belakang atau beralih masuk atau keluar dan berubahlah raut wajahnya. Maka apabila hujan turun,baginda mula menenangkan hatinya dan hilanglah kekhuatirannya. Maka aku pun menanyakan hal itu,lalu baginda menjawab: ‘Aku khuatir,kemungkinan ini menjadi azab yang ditimpakan ke atas umatku’. Dan ketika melihat hujan turun baginda bersabda: ‘(Ini adalah) rahmat’.”
(HR. Muslim,no.899)

Rasulullah Mempunyai Selendang

dari Abdullah bin Zaid,dia berkata,
“Nabi ﷺ keluar menuju ke tempat solat untuk mendirikan solat istisqa’ (memohon hujan). Kemudian,baginda menghadap ke arah kiblat dan membalikkan selendangnya serta mendirikan solat 2 rakaat.”
(HR. Bukhari,no.1012. Muslim,no.894)

Hafal 99 Nama Allah

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya bagi Allah 99 nama,100 kecuali 1. Barangsiapa yang menghafalnya akan masuk syurga.”
(HR. Bukhari,no.6410. Muslim,no.2677)

Zikir Penghapus Dosa (Kecil) : 'Subhanallah Wa Bihamdih'

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang mengucapkan:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
Subhanallah wa Bihamdih
(Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya)
100 kali sehari,maka akan dihapuskan dosanya walaupun (dosanya) sebanyak buih di lautan.”
(HR. Bukhari,no.6405. Muslim,no.2691)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Siapa yang membaca ketika pagi dan petang:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
SubhanAllah wa Bihamdih
(Mahasuci Allah dan segala puji bagi-Nya
sebanyak 100 kali,maka tidak ada seorang pun di Hari Kiamat yang melebihi kebaikannya,kecuali orang yang membaca seperti yang dia baca atau lebih banyak.”
(HR. Muslim,no.2692. at-Tirmidzi,no.3469)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Dzar,Rasulullah ﷺ pernah ditanya orang,
“Apakah ucapan zikir yang paling afdhal (utama),ya Rasulullah?” Jawab baginda: “iaitu ucapan zikir yang dipilihkan Allah bagi para malaikat-Nya dan hamba-hamba-Nya ialah:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
Subhanallah wa Bihamdih
(Mahasuci Allah dan segala puji bagi-Nya).”
(HR. Muslim,no.2731)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Dzar,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah bertanya kepadaku: ‘Hai Abu Dzar,maukah kamu aku beritahukan tentang ucapan yang disukai Allah?’ Akupun menjawab: ‘Ya,aku mau ya Rasulullah. Beritahukanlah kepadaku tentang ucapan yang disukai Allah’. Kemudian baginda bersabda: ‘Sesungguhnya ucapan yang paling disukai Allah 'Azza wa Jalla adalah:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ
Subhanallah wa Bihamdih
(Mahasuci Allah dan segala puji bagi-Nya).”
(HR. Muslim,no.2731)

Dajjal Berada Di Sebuah Pulau

dari Fatimah binti Qais,dia berkata,
“..Aku telah mendengar muazzin Rasulullah ﷺ memanggil untuk solat. Aku pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah ﷺ. Aku berada di saf kaum wanita yang berada di belakang kaum. Apabila Rasulullah ﷺ selesai solat,baginda duduk di atas mimbar lalu sambil tersenyum,baginda bersabda: ‘Setiap orang tetaplah duduk di tempat solatnya’. Kemudian Baginda bersabda: ‘Tahukah kamu kenapa aku mengumpulkan kamu semua?’ Para sahabat menjawab: ‘Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui’. 

Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Demi Allah,sesungguhnya aku mengumpulkan kamu bukanlah untuk suatu khabar gembira atau khabar buruk,akan tetapi aku mengumpulkan kamu kerana Tamim al-Dari,yang dahulunya seorang Nasrani kini telah memeluk Islam dan berbai’ah kepadaku. Ia telah mengatakan sesuatu yang pernah aku katakan kepada kalian tentang al-Masih Dajjal. Ia mengisahkan perjalanannya kepadaku bahawa dia belayar bersama 30 orang dari Kabilah Lakham dan Judzam dengan sebuah kapal laut. Kemudian mereka terumbang-ambing oleh ombak selama satu bulan. Hingga mereka terdampar di sebuah pulau di tengah laut di kawasan tempat terbenamnya matahari. Lalu mereka berehat di suatu tempat yang dekat dengan kapal. Kemudian,mereka mendarat di pulau tersebut dan bertemu dengan satu makhluk yang berbulu lebat,sehingga mereka tidak dapat menganggarkan mana ekornya dan mana kepalanya,kerana tertutup oleh bulunya yang terlalu banyak. Mereka berkata: ‘Celaka,dari jenis apakah kamu ini’. Ia menjawab: ‘Aku adalah Al-Jassasah’. Mereka bertanya: ‘Apakah al-Jassasah itu?’ Tanpa menjawab soalan mereka,lalu ia berkata: ‘Wahai kamu semua,lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kamu!’ Tamim al-Dari berkata: ‘Ketika ia menjelaskan kepada kami tentang lelaki itu,kami pun terkejut kerana kami menyangka bahawa ia adalah syaitan. Lalu kami akan berangkat sehingga kami memasuki rumah tersebut,di sana terdapat seorang manusia yang paling besar (yang tidak pernah kami lihat sebelum ini) dalam keadaan terikat sangat kuat. Kedua-dua tangannya terikat ke bahunya,serta antara dua lutut dan kedua-dua mata kakinya terbelenggu dengan besi’. Kami berkata: ‘Celaka,siapakah kamu ini?’ Ia menjawab: ‘Takdir telah menentukan bahawa kamu akan menyampaikan maklumat kepadaku,maka khabarkanlah kepadaku siapakah kamu ini?’ Mereka menjawab: ‘Kami adalah orang-orang Arab yang berlayar dengan sebuah kapal,tiba-tiba kami menghadapi sebuah laut yang bergoncang,lalu kami terumbang-ambing di tengah laut selama satu bulan,dan terdamparlah kami di pulau ini. Lalu kami duduk di tempat yang berdekatan dengan kapal,kemudian kami masuk pulau ini,maka kami bertemu dengan seekor binatang yang sangat banyak bulunya yang tidak dapat dianggarkan mana ekor dan mana kepalanya kerana banyak bulunya. Maka kami berkata ‘Celaka, apakah kamu ini?’ Ia menjawab ‘Aku adalah al-Jassasah’. Kami bertanya ‘Apakah Al-Jassasah itu?’ (Tanpa menjawab soalan kami),ia berkata ‘Wahai kamu semua,lihatlah seorang lelaki yang berada di rumah terpencil itu. Sesungguhnya ia sangat ingin mendengar maklumat daripada kamu!’ Lalu kami segera menuju tempat kamu ini dan kami terkejut bercampur takut kerana menyangka bahawa ia adalah syaitan’. Lelaki besar yang terikat itu mengatakan: ‘Beritahu kepadaku tentang pohon-pohon kurma yang ada di Daerah Baisan?’ Kami bertanya: ‘Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?’ Ia berkata: ‘Aku bertanya sama ada pohon-pohon kurma itu berbuah?’ Kami menjawab: ‘Ya’. Ia berkata: ‘Adapun pohon-pohon kurma itu maka hampir saja tidak akan berbuah lagi’. Kemudian ia berkata: ‘Beritahu kepadaku tentang Tasik Galilee’. Mereka berkata: ‘Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?’ Ia bertanya: ‘Apakah ia masih tetap berair?’ Mereka menjawab: ‘Airnya masih banyak’. Ia berkata: ‘Adapun airnya,maka hampir sahaja akan habis’. Kemudian ia berkata lagi: ‘Beritahu kepada saya tentang mata air Zugar’. Mereka menjawab: ‘Apa yang ingin kamu ketahui tentangnya?’ Ia bertanya: ‘Apakah di sana masih ada air dan penduduk di sana masih bertani dengan menggunakan air dari mata air Zugar itu?’ Kami menjawab: ‘Benar,ia berair banyak dan penduduknya bertani dari mata air itu’. Lalu ia berkata lagi: ‘Beritahu kepadaku tentang Nabi yang ummi (tidak boleh menulis dan membaca),apa sajakah yang sudah ia perbuat?’ Mereka menjawab: ‘Dia telah keluar dari Makkah dan menetap di Yathrib (Madinah)’. Lalu ia bertanya: ‘Apakah ia diperangi oleh orang-orang Arab?’ Kami menjawab: ‘Ya’. Ia bertanya: ‘Apakah yang dia lakukan terhadap mereka?’ Maka kami memberitahu kepadanya bahawa Nabi itu telah menundukkan orang-orang Arab yang bersama dengannya dan mereka mentaatinya. Lalu ia berkata: ‘Apakah itu semua telah berlaku?’ Kami menjawab: ‘Ya’. Ia berkata: ‘Sesungguhnya adalah lebih baik bagi mereka untuk mentaatinya dan sungguh aku akan mengatakan kepada kamu tentang diriku. Aku adalah al-Masih Dajjal,dan sesungguhnya aku hampir saja yang dibenarkan untuk keluar. Maka aku akan keluar dan berjalan di muka bumi dan tidak ada satu pun negeri kecuali aku memasukinya dalam masa 40 malam selain Makkah dan Thaibah,kedua-dua negeri itu terlarang bagiku. Setiap kali aku ingin memasuki salah satu dari negeri itu maka aku dihadang oleh malaikat yang di tangannya ada pedang berkilau dan sangat tajam untuk menghambatku dari kedua-dua negeri tersebut. Dan di setiap jalan-jalan yang ada di Kota Madinah terdapat malaikat yang menjaganya’.”

Fatimah berkata: “Rasulullah ﷺ bersabda sambil menghentakkan tongkatnya di atas mimbar: ‘Inilah Thaibah,inilah Thaibah,inilah Thaibah (maksudnya Kota Madinah). Bukankah aku sudah menyampaikan kepada kamu tentang hal itu?’ Para Sahabat menjawab: ‘Benar’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Aku tertarik dengan apa yang dikatakan oleh Tamim al-Dari,kerana ia bersesuaian dengan apa yang pernah aku sampaikan kepada kamu tentang dia (Dajjal) dan tentang Madinah dan Makkah. Ketahuilah,tempatnya (Dajjal) terletak di laut Syam atau laut Yaman. Ia datang dari arah Timur,dari arah Timur, dari arah Timur’. Rasulullah ﷺ mengisyaratkan tangannya ke arah Timur..”
(HR. Muslim,no.2942)

Sebesar Apapun Dosa, Allah Maha Pengampun!

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Katakanlah (kepada hamba-hambaKu yang beriman) ‘Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap dirinya (pernah berbuat salah),janganlah kamu putus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa. Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.”
(Az-Zumar [39]: ayat 53)

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah berfirman:
‘Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku,nescaya aku akan mengampunimu,dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu banyak sehingga memenuhi setinggi langit kemudian engkau memohon ampun kepada-Ku nescaya aku akan mengampunimu,dan aku tidak peduli. Wahai anak Adam,sekiranya engkau datang kepada dengan dosa yang hampir-hampir memenuhi bumi kemudian bertemu dengan-Ku tanpa mensyirikkan Aku dengan apa-apa pun,nescaya Aku akan mendatangimu dengan memberikan keampunan yang sama keluasannya seperti bumi’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3540)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi status kesahihannya. Yang menilai 'Sahih' akan hadis ini adalah Imam Ibnu Rajab al-Hanbali,dengan katanya: "Isnadnya tidak mengapa" (rujuk: Jami' al-'uluw wal hikam,2/400). Dinilai 'Hasan' oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami',no.4214). Syaikh Musthofa al-'Adawi pula menilai hadis ini sebagai 'Dhaif' dalam video beliau,begitu jg imam at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai 'Dhaif' selepas meriwayatkan hadis ini dengan katanya 'Hasan Gharib'.

:: Hadis 2 ::
dari Abu Dzar,bahawa Nabi ﷺ bersabda,Allah berfirman,
“Wahai anak Adam,selama engkau memohon kepada-Ku dan berharap kepada-Ku,maka Aku akan ampuni apa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam,jika dosa-dosamu setinggi awan di langit kemudian engkau meminta ampun kepada-Ku,maka Aku akan ampuni. Wahai anak Adam,jika engkau datang membawa kesalahan sepenuh bumi,kemudian engkau datang kepada-Ku tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun,nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula. Wahai anak Adam,jika kamu melakukan dosa sehingga dosa kamu memenuhi langit,lalu kamu memohon ampun kepada-Ku,nescaya Aku mengampuni kamu tanpa peduli.”
(HR. Ahmad,no.20499 & 20529. Darimi,no.2669. dinilai 'Hasan' oleh Syaikh Syu'aib al-Arnauth dan Syaikh Husain Salim Asad)

Larangan Simen Kubur

dari Jabir,dia berkata,
“Rasulullah saw melarang membina kubur dengan batu kapur,juga (dilarang) untuk duduk di atasnya dan dilarang juga dibina binaan.”
(HR. Muslim,no.970)

Azab Orang Yang Bunuh Diri

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang terjun sendiri dari atas gunung,lalu terbunuh,maka dia akan tinggal di dalam neraka Jahannam,sambil terus menerus menerjunkan dirinya sendiri ke dalam neraka Jahannam itu kekal buat selama-lamanya. Sesiapa yang makan racun,kemudian terbunuh,maka racun itu akan berada di tangannya dan dimakannya secara terus menerus di dalam neraka Jahannam buat selama-lamanya. Dan sesiapa yang membunuh dirinya dengan alat yang tajam,maka alat itu akan berada di tangannya serta sentiasa ditusuk-tusukkan pada tubuhnya di dalam neraka Jahannam dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.”
(HR. Bukhari,no.5778. Muslim,no.109)

:: Hadis 2 ::
dari Jundab bin ‘Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mereka yang sebelum kamu,ada seorang lelaki yang mengalami luka dan tidak tahan untuk menanggung deritanya,kemudian diambilnya pisau,lalu menorehkan ke urat nadi tangannya sehingga darah keluar dan tidak berhenti mengalir sehinggalah menemui ajalnya. Allah SWT berfirman: ‘Hamba-Ku telah mendahului-Ku dengan (membunuh) dirinya,oleh itu Aku mengharamkan baginya memasuki syurga’.”
(HR. Bukhari,no.3463)

:: Hadis 3 ::
dari Tsabit bin adh-Dhahak,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara,pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula..”
(HR. Bukhari,no.6047. Muslim,no.110)

Peduli / Kasih Sesama Muslim

dari Anas,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.”
(HR. Bukhari,no.13. Muslim,no.45)

Rambut Rasulullah Pernah Panjang Mencecah Bahu

:: Hadis 1 ::
dari Anas,dia berkata,
“Rambut Nabi ﷺ terurai sampai ke kedua-dua bahu baginda.”
(HR. Bukhari,no.5903. Muslim,no.2338)

:: Hadis 2 ::
dari al-Barra',dia berkata,
“Rasulullah ﷺ itu berperawakan sedang,berbahu bidang,rambutnya lebat terurai ke bahu hingga sampai kedua cuping telinganya. Pada suatu ketika,baginda pernah memakai pakaian berwarna merah,tidak ada seorangpun yang lebih tampan dari baginda.”
(HR. Muslim,no.2337)

:: Hadis 3 ::
dari 'Aisyah,ia berkata,
“Aku dan Rasulullah ﷺ mandi bersama dalam satu bekas. Rambut baginda antara hujung daun telinga hingga kedua bahu.”
(HR. at-Tirmidzi,no.1755. at-Tirmidzi berkata,"hadis ini Hasan Sahih Gharib")