dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Tiga orang lelaki telah sedang berjalan lalu tiba-tiba hujan turun. Mereka pun masuk berlindung di dalam sebuah gua di bukit. Sebiji batu besar telah jatuh lalu menutup pintu gua tersebut. Mereka berkata antara satu sama lain: ‘Berdoalah kepada Allah dengan amalan terbaik yang pernah kalian lakukan’. Maka salah seorang daripada mereka berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku mempunyai ibu bapa yang sudah tua. Aku sering keluar mengembala ternakan ku. Kemudian aku akan memerah susu haiwan ternakan itu dan membawa pulang susu tersebut. Kemudian aku akan memberikan susu itu kepada kedua ibu bapa ku, lalu mereka akan minum. Kemudian aku akan memberikan susu itu kepada bayi ku, ahli keluarga ku dan isteri ku. Pada suatu malam, aku terlewat, aku pulang ketika mereka berdua sudah tidur, aku tidak suka untuk mengejutkan ibu bapa ku. Anak-anak ku menangis di kaki ku (kerana kelaparan). Keadaan itu berterusan sehinggalah masuknya waktu fajar. Ya Allah, seandainya Engkau tahu aku melakukan hal itu kerana menuntut keredhaan-Mu, engkau buka lah pintu gua ini sehingga kami dapat melihat langit’. Lalu batu itu bergerak sedikit. Orang yang kedua berdoa: ‘Ya Allah, Engkau tahu bahawa aku mencintai sepupu perempuan aku sedalam-dalam cinta seorang lelaki kepada perempuan. Perempuan itu berkata bahawa aku tidak akan mendapatnya kecuali sehingga aku memberikan kepadanya seratus dinar. Aku berusaha mengumpulkan duit itu sehingga aku berjaya. Ketika aku sudah duduk di antara kedua kakinya, perempuan itu berkata: ‘Takutlah kepada Allah. Jangan kau ragut kesucian ku kecuali dengan jalan yang benar (perkahwinan)’. Aku pun bangun dan meninggalkan perempuan itu. Seandainya Engkau tahu aku melakukan hal itu kerana memburu keredhaan-Mu, engkau bukalah pintu gua ini’. Lalu batu itu bergerak sedikit sehingga pintu gua itu sudah 2/3 terbuka. Berkata orang yang ketiga: ‘Ya Allah, Engkau tahu bahawa aku ada mengupah seorang pekerja dengan bayaran satu Farq. Aku memberikan bayaran upah kepadanya tetapi dia enggan mengambilnya. Lalu aku menggunakan duit upah itu untuk bercucuk-tanam sehingga dengan hasilnya aku dapat membeli lembu dan pengembalanya. Kemudian lelaki itu kembali kepada ku dan berkata: ‘Wahai hamba Allah, berikan aku hak ku’. Aku berkata: ‘Pergilah kepada lembu-lembu itu dan pengembalanya, sesungguhnya itu milik engkau’. Lelaki itu berkata: ‘Adakah engkau cuba memperbodohkan aku?’ Aku menjawab: ‘Aku tidak memperbodohkan engkau, akan tetapi semua itu milik engkau’. Ya Allah, seandainya Engkau tahu aku melakukan hal itu kerana mahukan keredhaan-Mu, bukalah pintu gua ini untuk kami’.’ Lalu pintu gua itu pun terbuka.”
(HR. Bukhari,no.2215,2333 & 5974. Muslim,no.2743. Dengan sedikit perbezaan lafaz)
Monday, February 17, 2025
Bertawassul Dengan Amal Soleh
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment