Friday, February 28, 2025

Pahala Duduk Berzikir Dari Asar Hingga Maghrib

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sungguh, duduk bersama suatu kaum yang mengingati Allah dari solat Subuh hingga terbit matahari lebih aku sukai daripada membebaskan 4 orang hamba dari keturunan (Nabi) Isma‘il. Dan sungguh, duduk bersama suatu kaum yang mengingati Allah dari solat ‘Asar hingga matahari terbenam lebih aku sukai daripada membebaskan 4 orang (hamba).”
(HR. Ahmad,no.13760. Abu Daud,no.3667. at-Thabrani [rujuk: al-Mu’jam al-Ausath,no.6022]. Abu Ya’la,no.3392. Ini lafaz at-Thabrani)

NOTA:
Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah meriwayatkannya, bermaksud hadis ini Soleh (sahih) disisi beliau. Hadis ini dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami’,no.5036. Sahih at-Targhib,no.465. Hidayah al-Ruwah,no.930). Sanadnya juga dinilai hasan oleh Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wadi‘i (rujuk: as-Sahih al-Musnad,106), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Sunan Abi Daud,no.3667. Takhrij Siyar A‘lam an-Nubala',9/424). Hadis ini juga dinilai tsabit (sahih) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau (rujuk: video).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Umamah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya mengingati Allah Ta‘ala sejak terbitnya matahari, aku bertakbir (mengucapkan: Allahuakbar), bertahmid (mengucapkan: Alhamdulillah), dan bertasbih (mengucapkan: SubhanAllah), itu lebih aku sukai daripada membebaskan 4 orang daripada keturunan (Nabi) Isma‘il. Dan sesungguhnya mengingati Allah dari solat ‘Asar hingga terbenam matahari, itu lebih aku sukai daripada membebaskan begini dan begini dari keturunan (Nabi) Isma‘il.”
(HR. Ahmad,no.22185)

NOTA:
Hadis ini dinilai hasan oleh imam al-Haitsami, dengan katanya: “Sanad-sanadnya hasan” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,10/107). Hadis ini dinilai hasan li ghairih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.22185)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya para malaikat beristighfar dan memohon rahmat daripada Allah untuk seseorang daripada kamu selama mana dia berada di tempat solatnya dan selagi dia tidak berhadas. Para malaikat itu berkata: ‘Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, rahmatilah dia’.”
(HR. Bukhari,no.445)

Saturday, February 22, 2025

Pahala Membersihkan Masjid

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Ada seorang lelaki berkulit hitam atau perempuan berkulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid meninggal dunia. Lalu Nabi ﷺ bertanya mengenainya. Mereka menjawab: ‘Dia telah meninggal dunia’. Baginda bersabda: ‘Mengapa kamu tidak memberitahuku. Tunjukkan kepadaku di mana kubur lelaki itu’. – Atau Baginda bersabda: ‘Kubur perempuan itu’. – Lalu baginda menziarahi kuburnya dan bersolat jenazah ke atasnya.”
(HR. Bukhari,no.458)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa seorang wanita berkulit hitam berkhidmat sebagai siak masjid atau seorang pemuda, kemudian Rasulullah ﷺ mendapatinya tiada, lantas ditanya tentangnya. Maka mereka menjawab, telah meninggal dunia. Sabda baginda: ‘Kenapa kamu tidak beritahu kepadaku?’ (Abu Hurairah berkata): Seolah-olah mereka memperkecilkan urusan tersebut. Atau kerana jawatannya, atau kerana tugasnya yang dianggap remeh. Kemudian baginda bersabda: ‘Tunjukkan kepadaku kuburnya’. Lantas, mereka menunjukkannya dan baginda solat ke atasnya. Kemudian baginda bersabda: ‘Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan kepada tuan-tuannya. Dan sesungguhnya Allah jadikan solatku memberi cahaya kepada mereka’.”
(HR. Muslim,no.956)

Wednesday, February 19, 2025

Masyitah Tukang Sikat Anak Fir‘aun

dari Ibnu ‘Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika malam isra’, aku menghidu bau harum semerbak, lalu aku berkata: ‘Wahai Jibril, bau harum apakah ini?’ Jawab Jibril: ‘Bau harum tukang sikat (Masyithah) anak perempuan Fir‘aun dan anak-anaknya’. Aku bertanya: ‘Apa yang berlaku kepada mereka?’ Jawab Jibril: ‘Ketika dia (masyithah) menyikat rambut anak perempuan Fir‘aun pada suatu hari, tiba-tiba sikat besi terjatuh dari tangannya, lalu dia mengambilnya dan berkata: ‘Bismillah (dengan nama Allah)’. Tanya anak perempuan Fir‘aun: ‘Ayahku?’ Jawab Masyithah: ‘Bukan, tetapi tuhanku dan tuhan ayahmu adalah Allah’. Kata anak perempuan Fir‘aun: ‘Boleh aku beritahu kepada ayahku tentang perkara ini?’ Jawab Masyithah: ‘Ya (khabarkanlah)’. Anak perempuan Fir‘aun menceritakan perkara tersebut kepada Fir‘aun. Lalu Fir‘aun memanggil Masyithah dan bertanya: ‘Wahai perempuan, kamu ada tuhan selain dariku?’ Jawab Masyithah: ‘Ya, tuhanku dan tuhanmu adalah Allah’. Fir‘aun memerintahkan dibawa kawah besar dibuat dari tembaga dan dipanaskan. Kemudian diperintahkan supaya dicampakkan Masyithah dan anak-anaknya ke dalam kawah tersebut. Kata Masyithah kepada Fir‘aun: ‘Aku ada permintaan kepadamu’. Tanya Fir‘aun: ‘Apa permintaan mu itu?’ Jawab Masyithah: ‘Aku minta supaya dikebumikan tulang-tulangku dengan anakku dalam kain yang sama’. Jawab Fir‘aun: ‘Itu akan dilaksanakan’. Lalu dibawakan anak-anaknya dan mereka dicampak ke dalam kawah tersebut seorang demi seorang di hadapannya, sehingga yang terakhir seorang yang masih bayi kecil yang masih dalam susuan. Keadaan itu menjadikan Masyithah teragak. Lalu bayi itu berkata: ‘Wahai ibu, campaklah aku, sesungguhnya azab dunia terlalu ringan berbanding azab akhirat’. Lalu Masyithah mencampakkan anaknya tersebut”. Kata Ibnu ‘Abbas: “Terdapat 4 anak bayi yang berkata-kata ketika kecil. ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam, bayi dalam kisah Juraij, saksi Yusuf dan bayi tukang sikat perempuan (Masyithah) anak perempuan Fir‘aun.”
(HR. Ahmad,no.2821. Ibnu Hibban,no.2903. at-Thabrani,no.12280. al-Bazzar,no.5067. Abu Ya’la,no.2517. Dengan sedikit perbezaan lafaz)

NOTA:
Hadis ini sedikit diperselisihkan tentang sanadnya. Hadis ini dinilai hasan oleh imam adz-Dzahabi dengan katanya: “Hadis ini sanadnya hasan” (rujuk: al-‘Uluw,84). Juga dinilai hasan oleh imam Ibnu Katsir dengan katanya: “Isnadnya tidak mengapa” (rujuk: Tafsir Ibnu Katsir,3/15). Dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, katanya: “Isnadnya hasan” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.2821). Namun imam al-Haitsami pula berkata: “Di dalam (sanadnya) terdapat (perawi) ‘Atho' bin as-Saib, dia tsiqah, akan tetapi dia ditimpa kekeliruan” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,1/70).

Monday, February 17, 2025

Bertawassul Dengan Amal Soleh

dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Tiga orang lelaki telah sedang berjalan lalu tiba-tiba hujan turun. Mereka pun masuk berlindung di dalam sebuah gua di bukit. Sebiji batu besar telah jatuh lalu menutup pintu gua tersebut. Mereka berkata antara satu sama lain: ‘Berdoalah kepada Allah dengan amalan terbaik yang pernah kalian lakukan’. Maka salah seorang daripada mereka berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku mempunyai ibu bapa yang sudah tua. Aku sering keluar mengembala ternakan ku. Kemudian aku akan memerah susu haiwan ternakan itu dan membawa pulang susu tersebut. Kemudian aku akan memberikan susu itu kepada kedua ibu bapa ku, lalu mereka akan minum. Kemudian aku akan memberikan susu itu kepada bayi ku, ahli keluarga ku dan isteri ku. Pada suatu malam, aku terlewat, aku pulang ketika mereka berdua sudah tidur, aku tidak suka untuk mengejutkan ibu bapa ku. Anak-anak ku menangis di kaki ku (kerana kelaparan). Keadaan itu berterusan sehinggalah masuknya waktu fajar. Ya Allah, seandainya Engkau tahu aku melakukan hal itu kerana menuntut keredhaan-Mu, engkau buka lah pintu gua ini sehingga kami dapat melihat langit’. Lalu batu itu bergerak sedikit. Orang yang kedua berdoa: ‘Ya Allah, Engkau tahu bahawa aku mencintai sepupu perempuan aku sedalam-dalam cinta seorang lelaki kepada perempuan. Perempuan itu berkata bahawa aku tidak akan mendapatnya kecuali sehingga aku memberikan kepadanya seratus dinar. Aku berusaha mengumpulkan duit itu sehingga aku berjaya. Ketika aku sudah duduk di antara kedua kakinya, perempuan itu berkata: ‘Takutlah kepada Allah. Jangan kau ragut kesucian ku kecuali dengan jalan yang benar (perkahwinan)’. Aku pun bangun dan meninggalkan perempuan itu. Seandainya Engkau tahu aku melakukan hal itu kerana memburu keredhaan-Mu, engkau bukalah pintu gua ini’. Lalu batu itu bergerak sedikit sehingga pintu gua itu sudah 2/3 terbuka. Berkata orang yang ketiga: ‘Ya Allah, Engkau tahu bahawa aku ada mengupah seorang pekerja dengan bayaran satu Farq. Aku memberikan bayaran upah kepadanya tetapi dia enggan mengambilnya. Lalu aku menggunakan duit upah itu untuk bercucuk-tanam sehingga dengan hasilnya aku dapat membeli lembu dan pengembalanya. Kemudian lelaki itu kembali kepada ku dan berkata: ‘Wahai hamba Allah, berikan aku hak ku’. Aku berkata: ‘Pergilah kepada lembu-lembu itu dan pengembalanya, sesungguhnya itu milik engkau’. Lelaki itu berkata: ‘Adakah engkau cuba memperbodohkan aku?’ Aku menjawab: ‘Aku tidak memperbodohkan engkau, akan tetapi semua itu milik engkau’. Ya Allah, seandainya Engkau tahu aku melakukan hal itu kerana mahukan keredhaan-Mu, bukalah pintu gua ini untuk kami’.’ Lalu pintu gua itu pun terbuka.”
(HR. Bukhari,no.2215,2333 & 5974. Muslim,no.2743. Dengan sedikit perbezaan lafaz)

Tertawa Dan Menangis

Allah ﷻ berfirman:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”
(an-Najm [53]: ayat 43)

Sunday, February 16, 2025

Kelebihan Nabi Musa

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“..Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”
(an-Nisa' [4]: ayat 164)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama 30 malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan 10 malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya 40 malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat): ‘Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan’. Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: ‘Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Dzat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu’. Allah berfirman: ‘Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku’, Setelah Tuhannya ‘Tajalla’ (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) ‘Tajalli-Nya’ menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: ‘Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)’. Allah berfirman: ‘Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku; oleh itu, terimalah apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari orang-orang yang bersyukur’. Dan Kami telah menuliskan bagi Nabi Musa pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar Syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, terimalah dia (dan amalkanlah wahai Musa) dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang yang fasik (derhaka)’.”
(al-A’raf [7]: ayat 142 - 145)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: ‘Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga’. Adam berkata: ‘Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan menuliskan untukmu (Kitab Taurat) dengan Tangan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah ke atasku 40 tahun sebelum Dia menciptaku’. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak 3 kali.”
(HR. Bukhari,no.6614)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Malaikat maut dihantar kepada Nabi Musa. Apabila ia datang, Nabi Musa menampar malaikat. Lantas ia kembali kepada Allah seraya berkata: ‘Engkau utuskan aku kepada seorang hamba yang tidak mahu mati’. Maka Allah mengembalikan mata malaikat dan berfirman: ‘Kembalilah dan katakan kepadanya supaya dia letakkan tangannya di belakang lembu jantan. Setiap bulu yang dilitupi oleh tanggannya itu adalah tahun (yang akan dia hidup)’. Nabi Musa (setelah menyampaikan pesanan dari Allah) berkata: ‘Wahai Tuhan, kemudian apa?’ Allah menjawab: ‘Kematian’. Nabi Musa berkata: ‘Sekaranglah’. Kemudian Baginda memohon kepada Allah agar diletakkan berhampiran dengan tanah Palestin sejauh lontaran batu. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Jika aku ada di sana akan aku tunjukkan kuburnya yang berhampiran dengan jalan yang berada dengan pasir merah’.”
(HR. Bukhari,no.1339 & 3407. Muslim,no.6298)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,dia berkata,
“Seorang lelaki dari kalangan Yahudi datang kepada Nabi ﷺ dengan wajahnya yang telah ditampar. Dia berkata: ‘Wahai Muhammad, seorang lelaki dari sahabatmu dari golongan Ans̄ar telah menampar wajahku’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Panggil dia’. Maka mereka pun memanggilnya. Baginda bertanya: ‘Mengapa kamu menampar wajahnya?’ Lelaki Ans̄ar itu menjawab: ‘Wahai Rasulullah, aku melalui sekumpulan Yahudi, lalu aku mendengar dia berkata: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa atas seluruh manusia’. Maka aku berkata: ‘Dan juga atas Muhammad ﷺ!’ Tetapi dia tetap berkeras, maka aku menjadi marah lalu menamparnya’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Jangan kamu melebihkan aku berbanding para nabi, kerana sesungguhnya manusia akan pengsan pada hari kiamat. Aku ialah orang pertama yang akan sedar. Tetapi ternyata Musa sedang berpegang pada salah satu tiang ‘Arasy. Aku tidak tahu adakah dia sedar sebelumku, atau dia dicukupkan oleh Allah daripada pengsan pada hari kiamat dengan pengsannya dia ketika peristiwa di bukit Thursina’.”
(HR. Bukhari,no.4638 & 6917)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki Muslim dan seorang lelaki Yahudi bertengkar. Lelaki Muslim itu bersumpah dengan berkata: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Muhammad melebihi seluruh alam’. Lalu lelaki Yahudi itu menjawab: ‘Demi Tuhan yang telah memilih Musa melebihi seluruh alam’. Mendengar kata-kata itu, lelaki Muslim tersebut mengangkat tangannya lalu menampar lelaki Yahudi itu. Lelaki Yahudi itu kemudian pergi kepada Rasulullah ﷺ dan memberitahu baginda tentang apa yang telah berlaku antara dirinya dan lelaki Muslim tersebut. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Janganlah kamu melebihkan aku atas Musa. Sesungguhnya pada Hari Kiamat, manusia akan pengsan, dan akulah orang pertama yang akan sedar kembali. Namun, aku melihat Musa sudah memegang sisi ‘Arasy. Aku tidak tahu sama ada dia termasuk dalam golongan yang pengsan lalu sedar sebelumku, atau dia termasuk dalam golongan yang dikecualikan oleh Allah daripada pengsan tersebut’.”
(HR. Bukhari,no.2411,3408,6517 & 7472)

Friday, February 14, 2025

Peringatan Bagi Orang Yang Suka Menasihati Orang Lain

:: Hadis 1 ::
dari Usamah bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seseorang akan didatangkan pada hari kiamat, lalu dia dilemparkan ke dalam neraka sehingga ususnya terburai di dalam neraka. Dia berpusing-pusing seperti seekor keldai berpusing mengelilingi batu penggiling. Para penghuni neraka berkumpul kepadanya dan bertanya: ‘Wahai si fulan, apa yang terjadi kepadamu? Bukankah dahulu kamu menyuruh kami kepada kebaikan dan melarang kami daripada kemungkaran?’ Dia menjawab: ‘Aku dahulu menyuruh kamu melakukan kebaikan, tetapi aku sendiri tidak melakukannya, dan aku melarang kamu daripada kemungkaran, tetapi aku melakukannya’.”
(HR. Bukhari,no.3267. Muslim,no.2989a)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika aku diisra’kan, aku melalui kelompok manusia yang lidah mereka dipotong dengan gunting daripada api. Aku bertanya: ‘Siapakah mereka wahai Jibril?’ Jibril menjawab: ‘Mereka adalah pendakwah daripada umatmu. Mereka menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mereka lupa kepada diri sendiri sedangkan mereka membaca Kitab. Tidakkah mereka berfikir?’”
(HR. Ahmad,no.12211. Dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth [rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.13421])

Wednesday, February 12, 2025

Jin Boleh Dilihat?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu (Adam dan Hawa) dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya dia (syaitan) dan kabilahnya dapat melihat kamu (manusia) sedangkan kamu (manusia) tidak dapat melihat mereka (syaitan). Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
(al-A'raf [7]: ayat 27)

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Janganlah kalian membunuh jin-jin, kecuali semua ular yang ekornya pendek (jenis ular berbisa di kawasan gurun) dan ular yang yang di belakangnya ada dua garis putih (ular senduk).  Sesungguhnya ia mampu menggugurkan kandungan dan membutakan mata, maka bunuhlah ia.”
(HR. Bukhari,no.3310)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya di Madinah ini ada sekumpulan jin yang memeluk Islam. Jika kamu melihat sebahagiannya, maka berilah mereka amaran sebanyak 3 kali, jika ia menampakkan dirinya selepas itu maka bunuhlah ia, sesungguhnya itu adalah syaitan.”
(HR. Muslim,no.2236)

:: Hadis 3 ::
dari Yahya bin Abi Katsir,Ibn Ubay menceritakan kepadanya bahawa bapanya berkata,
“Bahawa mereka mempunyai sebuah bekas yang berisi kurma, dan Ubay sentiasa memantau kurma itu. Suatu ketika dia mendapati kurma itu berkurang, lalu dia menjaga dan memerhatikannya. Tiba-tiba dia melihat satu makhluk melata yang menyerupai seorang budak yang telahpun baligh. Ubay memberi salam kepadanya dan makhluk itu menjawab salam. Ubay bertanya: ‘Siapa kamu, jin atau manusia?’ Makhluk itu menjawab: ‘Aku jin’. Ubay berkata: ‘hulurkan tanganmu’. Maka makhluk itu menghulurkan tangan dan Ubay mendapati tangan tersebut seperti tangan anjing dengan bulu anjing. Dia berkata: ‘Begitulah bentuk jin’. Dia berkata: ‘Sesungguhnya kamu telah mengetahui tentang jin, ada yang lebih kuat dari aku’. Kata Ubay: ‘Apa yang menyebabkan kamu mencuri tamarku?’ Makhluk itu menjawab: ‘Kami mendapat tahu bahawa kamu seorang lelaki yang suka bersedekah, maka aku ingin sedikit dari makanan kamu ini’. Kata Ubay: ‘Apa yang dapat melindungi kami dari kamu semua?’ Makhluk itu menjawab: ‘Ayat Kursi’. Keesokan harinya, Ubay pergi kepada Nabi ﷺ dan memberitahu baginda. Nabi ﷺ bersabda: ‘makhluk yang keji itu berkata benar’.”
(HR. Ibnu Hibban,no.784. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.10907]. Dan ini lafaz an-Nasaie. Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: al-Silsilah as-Sahihah,7/738. Sahih at-Targhib,no.662])

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mewakilkan kepadaku untuk menjaga zakat Ramadhan. Lalu datang kepadaku seseorang dan menyelongkar makanan dan mengambilnya. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Demi Allah! Aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ’. Dia berkata: ‘Lepaskan aku, sesungguhnya aku orang yang memerlukan dan aku memiliki tanggungan keluarga dan sangat memerlukannya’. Aku melepaskannya. Ketika pagi hari, Nabi ﷺ bertanya: ‘Wahai Abu Hurairah, apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungan keluarganya, aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya’. Baginda bersabda: ‘Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali’. Aku pun mengetahui dia akan kembali berdasarkan sabda Nabi ﷺ bahawa dia akan kembali. Aku mengawasinya dengan bersungguh-sungguh. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ’. Dia berkata: ‘Lepaskanlah aku! Sesungguhnya aku orang yang memerlukan, aku memiliki tanggungan dan aku tidak akan kembali lagi’. Aku merasa kasihan kepadanya dan melepaskannya. Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Wahai Abu Hurairah, apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keadaannya yang sangat memerlukan disebabkan oleh tanggungannya. Aku merasa kasihan terhadapnya dan melepaskannya’. Baginda bersabda: ‘Ketahuilah bahawa sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu, dan dia akan kembali’. Aku pun mengawasinya dengan bersungguh-sungguh untuk kali ketiga. Maka, dia datang dan menyelongkar makanan. Aku memegangnya (menangkapnya) dan berkata: ‘Sesungguhnya aku akan membawamu kepada Rasulullah ﷺ, dan ini ketiga kalinya engkau mengatakan engkau tidak akan kembali, namun engkau tetap kembali’. Dia berkata: ‘Lepaskanlah aku, nescaya aku akan mengajar kepadamu beberapa kalimat yang akan memberi manfaat kepadamu di sisi Allah’. Aku menjawab: ‘Apakah kalimah itu?’ Dia berkata: ‘Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya))[Surah al-Baqarah: ayat 225], sehingga engkau selesaikan ke akhir ayat. Sesungguhnya engkau akan didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi’. Maka aku melepaskannya. Ketika pagi hari, Rasulullah ﷺ bertanya kepadaku: ‘Apakah yang dilakukan oleh orang yang engkau tangkap malam tadi?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah! Dia mengaku telah mengajarku beberapa kalimat yang Allah menjadikannya bermanfaat bagiku, maka aku melepaskannya’. Baginda bertanya: ‘Apakah itu?’ Aku berkata: ‘Dia berkata kepadaku bahawa Jika kamu sudah berada di tempat tidur kamu, maka bacalah ayat al-Kursi daripada awal sehingga akhir ayat: (Firman Allah SWT) “اللَّهُ لاَ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّومُ” (Maksudnya: “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya).”)[Surah al-Baqarah: 225]. Dia berkata kepadaku: ‘Engkau akan sentiasa didampingi oleh seorang penjaga yang ditugaskan oleh Allah dan engkau juga tidak akan didekati oleh syaitan sehinggalah waktu pagi’.’ Nabi ﷺ bersabda: ‘Adapun apa yang dikatakan kepadamu itu adalah benar, namun demikian dia adalah pendusta. Wahai Abu Hurairah! Adakah kamu mengetahui siapakah yang berbicara dengan kamu selama tiga malam tersebut?’ Aku menjawab: ‘Tidak’. Baginda bersabda: ‘Itulah syaitan’.”
(HR. Bukhari,no.2311)

NOTA:
Kata imam Ibnu Hajar al-Asqalani: “Dalam hadis ini ada beberapa faedah: ... (antaranya) syaitan itu pembohong. Demikian juga kadang-kala syaitan boleh merupai beberapa rupa dan ia boleh dilihat (ketika itu). Adapun firman Allah: “Sesungguhnya dia (syaitan) dan kabilahnya dapat melihat kamu (manusia) sedangkan kamu (manusia) tidak dapat melihat mereka (syaitan) (QS. al-A‘raf [7]: ayat 27)” adalah dikhususkan jika ia (syaitan) dalam rupa asal yang diciptakan” (rujuk: Fath al-Bari,4/489). Imam Ibnu Taimiyyah juga berkata: “Jin boleh berubah dalam pelbagai bentuk termasuk manusia dan haiwan, seperti ular, kalajengking, unta, lembu, kambing, kuda, keldai, burung, bahkan dalam bentuk manusia seperti Suraqah bin Malik, yang datang kepada orang Quraisy sebelum peperangan Badar. Firman Allah: ‘Dan ketika syaitan memperindah bagi mereka amalan mereka, dan berkata: ‘Tiada yang dapat mengalahkan kamu hari ini dari kalangan manusia, dan sesungguhnya aku adalah pelindungmu’. Maka apabila kedua pasukan itu saling berhadapan, syaitan pun mundur ke belakang dan berkata: ‘Sesungguhnya aku berlepas diri dari kamu, kerana sesungguhnya aku melihat apa yang kamu tidak lihat, dan aku takut kepada Allah. Dan Allah Maha Kuat azab-Nya’ (QS. al-Anfal [8]: ayat 48)” (rujuk: Majmu’ al-Fatawa,19/44-45). Kedua, jin juga termasuk dalam kalangan syaitan, berdasarkan dalil lain:

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam’; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.”
(al-Kahfi [18]: ayat 50)

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu (Adam dan Hawa) dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya dia (syaitan) dan kabilahnya dapat melihat kamu (manusia) sedangkan kamu (manusia) tidak dapat melihat mereka (syaitan). Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.”
(al-A’raf [7]: ayat 27)

NOTA:
Berdasarkan Surah al-Kahfi (ayat 50), Allah menyebut Iblis berasal dari jin, dan pada Surah al-A‘raf (ayat 27), Allah menyebut bahawa Syaitan (Iblis) yang menyebabkan Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari Syurga. Ini menunjukkan bahawa Jin juga termasuk dalam kalangan syaitan, kerana Iblis berasal dari jin, dan Iblis yang digelar syaitan itulah yang membuatkan Nabi Adam dan Hawa terkeluar dari syurga. Maka berdasarkan dalil-dalil diatas dan kalam para Ulama’, maka jelaslah bahawa jin tidak boleh dilihat dalam bentuk asal, namun boleh dilihat ketika ia menyerupai sesuatu. Wallahua’lam.

Saturday, February 8, 2025

Cara Roh Dicabut

dari al-Barra' bin ‘Adzib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seorang hamba yang beriman sedang berada di penghujung kehidupannya di dunia dan menghampiri kehidupan akhirat, turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit dengan wajah yang berseri-seri, seolah-olah wajah mereka seperti matahari. Mereka membawa kain kafan dari kain kafan syurga dan minyak wangi dari minyak wangi syurga. Mereka duduk sejauh mata memandang daripadanya. Kemudian datanglah Malaikat Maut dan duduk di sisi kepalanya lalu berkata: ‘Wahai jiwa yang baik, keluarlah menuju keampunan Allah dan keredaan-Nya’. Maka rohnya keluar dengan mudah seperti titisan air yang mengalir dari mulut bekas air. Apabila Malaikat Maut mengambil rohnya, para malaikat lain tidak membiarkannya di tangannya walau sekelip mata pun. Mereka mengambilnya dan meletakkannya di dalam kain kafan dan minyak wangi tersebut. Roh itu mengeluarkan haruman seharum bau kasturi terbaik yang pernah tercium di muka bumi. Mereka pun membawa roh itu naik ke langit. Setiap kali mereka melintasi para malaikat di setiap langit, para malaikat akan bertanya: ‘Roh yang baik ini milik siapa?’ Mereka menjawab: ‘Ini adalah roh si fulan bin fulan’, dengan menyebut nama terbaik yang pernah digunakan untuknya di dunia. Mereka terus membawanya hingga sampai ke langit dunia, lalu meminta agar pintu langit dibuka, dan pintu itu pun dibuka untuknya. Setiap penghuni langit mengiringinya hingga ke langit seterusnya, sehinggalah sampai ke langit ketujuh. Kemudian Allah Yang Maha Mulia berfirman: ‘Tulislah catatan hamba-Ku ini di dalam kitab ‘Illiyyin (kitab catatan tertinggi), dan kembalikan dia ke bumi. Sesungguhnya daripada tanah Aku menciptakan mereka, ke dalamnya Aku akan mengembalikan mereka, dan daripadanya Aku akan membangkitkan mereka sekali lagi’. Rohnya pun dikembalikan ke jasadnya, lalu datanglah dua malaikat yang mendudukkannya dan bertanya: ‘Siapa Tuhanmu?’ Dia menjawab: ‘Tuhanku ialah Allah’. Mereka bertanya lagi: ‘Apa agamamu?’ Dia menjawab: ‘Agamaku ialah Islam’. Mereka bertanya lagi: ‘Siapakah lelaki yang diutus kepada kamu?’ Dia menjawab: ‘Dia ialah Rasulullah’. Mereka bertanya lagi: ‘Apa pengetahuanmu?’ Dia menjawab: ‘Aku membaca Kitab Allah, lalu aku beriman dan membenarkannya’. Maka terdengarlah suara dari langit yang berkata: ‘Benarlah hamba-Ku. Hamparkan untuknya hamparan dari syurga, pakaikan untuknya pakaian dari syurga, dan bukakan untuknya pintu menuju syurga’. Maka datanglah kepadanya wangian syurga dan kesejukannya, dan dilapangkan kuburnya sejauh mata memandang. Kemudian datanglah seorang lelaki dengan wajah yang indah, pakaian yang cantik, dan haruman yang menyenangkan, lalu berkata: ‘Bergembiralah dengan apa yang menggembirakanmu. Inilah harimu yang telah dijanjikan kepadamu’. Dia bertanya: ‘Siapa kamu? Wajahmu membawa kebaikan’. Lelaki itu menjawab: ‘Aku ialah amal solehmu’. Maka dia pun berkata: ‘Ya Tuhanku, percepatkanlah hari kiamat! Ya Tuhanku, percepatkanlah hari kiamat!’ Dan sesungguhnya apabila seorang hamba yang kafir berada dalam saat perpisahan dari dunia dan menuju akhirat, turunlah kepadanya malaikat-malaikat dari langit yang berwajah hitam, membawa kain kasar (dari neraka). Mereka duduk daripadanya sejauh mata memandang. Kemudian datanglah Malaikat Maut hingga duduk di sisi kepalanya, lalu berkata: ‘Wahai jiwa yang buruk, keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan Allah!’ Maka rohnya bertebaran dalam tubuhnya, lalu dicabut dengan cara yang menyakitkan, seperti mencabut besi berduri dari bulu yang basah. Ketika roh itu diambil, mereka tidak membiarkannya sekejap pun di tangannya sehingga mereka meletakkannya di kain kasar tersebut. Keluar daripadanya bau yang paling busuk seperti bangkai yang paling menjijikkan yang pernah ditemui di muka bumi. Mereka pun naik membawa roh itu. Setiap kali mereka melewati kumpulan malaikat, mereka bertanya: ‘Roh jahat siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ini adalah si fulan bin fulan’, dengan nama yang paling buruk yang pernah dipanggil ketika di dunia...”
(HR. Ahmad,no.18534. Abu Daud,no.4754. an-Nasaie,no.2001. Ini lafaz Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami’,1676). Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth: “Isnadnya sahih” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.18534).

Friday, February 7, 2025

Sebelum Allah Menciptakan Sesuatu

dari ‘Imran bin Husain,dia berkata,
“Aku berada bersama Nabi ﷺ ketika sekumpulan kaum dari Bani Tamim datang. Baginda bersabda: ‘Terimalah berita gembira ini, wahai Bani Tamim’. Mereka menjawab: ‘Engkau telah memberi kami berita gembira, maka berilah kami sesuatu (yang lain)’. Kemudian datang pula beberapa orang dari penduduk Yaman, lalu baginda bersabda: ‘Terimalah berita gembira ini, wahai penduduk Yaman, kerana Bani Tamim tidak menerimanya’. Mereka berkata: ‘Kami menerimanya. Kami datang kepadamu untuk mendalami agama dan bertanya tentang permulaan perkara ini (kejadian alam)’. Baginda bersabda: ‘Allah telah wujud, dan tiada sesuatu pun sebelum-Nya. ‘Arasy-Nya berada di atas air, kemudian Dia menciptakan langit dan bumi, serta menulis segala sesuatu di dalam Kitab (Lauh Mahfuz)’. Kemudian seorang lelaki datang kepadaku dan berkata: ‘Wahai ‘Imran, kejar untamu kerana ia telah hilang!’ Maka aku pun pergi mencarinya. Aku melihat fatamorgana menghalangku daripada mencapainya. Demi Allah, aku berharap kalaulah unta itu benar-benar hilang dan aku tidak perlu bangun meninggalkan majlis itu.” 
(HR. Bukhari,no.3191 & 7418. Dan ini lafaz no.7418)

Monday, February 3, 2025

4 Golongan Yang Akan Diuji Di Akhirat Kelak

dari al-Aswad bin Sari’,Nabi ﷺ bersabda,
“Empat golongan yang akan diuji pada hari kiamat. Seorang pekak yang tidak dapat mendengar sama-sekali, seorang bodoh, seorang tua yang telah nyanyuk (ketika sampai dakwah) dan seorang yang mati dalam tempoh fatrah (ketiadaan nabi). Adapun seorang yang pekak itu akan berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai, aku tidak dapat mendengar sama-sekali’. Adapun seorang yang bodoh pula akan berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai, kanak-kanak membaling najis haiwan kepadaku’. Orang tua yang telah nyanyuk pula berkata: ‘Wahai tuhan, ketika Islam sampai kepadaku, aku tidak dapat memahami apa-apa lagi’. Adapun orang yang mati dalam tempoh fatrah pula berkata: ‘Wahai tuhan, tidak datang seorang rasulpun kepadaku’. Maka Allah mengambil perjanjian mereka bahawa mereka akan mentaatinya. Kemudian Allah mengutus utusan kepada mereka yang mengatakan: ‘Masuklah kamu ke dalam neraka’. Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, sekiranya mereka memasukinya, neraka itu akan menjadi dingin dan keselamatan bagi mereka.”
(HR. Ahmad,no.16301. at-Thabrani,no.841. Ibnu Hibban,no.7357)

NOTA:
Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,no.1434). Dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.16301).

Allah Melaknat Peminum Arak Dan Sesiapa Yang Terlibat Dengannya

:: Hadis ::
dari Ibnu ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah melaknat arak, peminumnya, penuangnya, penjualnya, pembelinya, pemerahnya, orang yang meminta diperahkannya, pembawanya, dan orang yang minta dihantarkan kepadanya.”
(HR. Abu Daud,no.3674. Ibnu Majah,no.3380. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.2741])

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(al-Maaidah [5]: ayat 2)

Sunday, February 2, 2025

Tidak Sunnah Memberi Tazkirah (Nasihat) Setiap Hari

:: Hadis 1 ::
dari Syaqiq Abi Wail,dia berkata,
“Adalah ‘Abdullah (Ibnu Mas’ud) memberi tazkirah (nasihat) kepada kami semua pada setiap hari khamis, lalu suatu hari ada seorang berkata kepadanya: ‘Wahai Aba ‘Abdirrahman, aku menyukai tazkirahmu, ingin sekali aku kalau tuan dapat memberikan tazkirah kepada kami setiap hari’. Maka Ibnu Mas‘ud menjawab: ‘Sesungguhnya, tiada apa yang menghalang aku dari memberi kamu tazkirah setiap hari kecuali tidak suka kamu semua menjadi jemu dan bosan (akibat mendengar tazkirah setiap hari), sesungguhnya Rasulullah ﷺ mengintai-ngintai waktu dalam hari-hari (1 hari dalam seminggu) untuk memberikan nasihat kepada kami, kerana bimbang kami menjadi jemu dan bosan’.”
(HR. Bukhari,no.70 & 6411. Muslim,no.2821c. Ini lafaz Muslim)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu Mas‘ud,dia berkata,
“Nabi ﷺ memberikan nasihat kepada kami pada hari-hari tertentu, kerana baginda tidak ingin membuat kami jemu.”
(HR. Bukhari,no.68)