Friday, April 19, 2024

Sunnah Ketika Bersin

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawasanya apabila Nabi ﷺ bersin,baginda menutup wajah dengan tangan atau kainnya sambil merendahkan suara.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2745. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang daripada kamu bersin,maka hendaklah ia menyebut الْحَمْدُ لِلَّهِ (Alẖamdulillah: Segala puji bagi Allah). Dan menjawab bagi saudara atau sahabatnya يَرْحَمُكَ اللَّهُ (Yarẖamukallah: Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepadamu). Maka apabila seseorang menyebut kepadanya (orang yang bersin) يَرْحَمُكَ اللَّهُ,maka hendaklah menyebut يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ (Yahdikumullah wa yus̄lihu balakum: Semoga Allah memberikan petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).”
(HR. Bukhari,no.6224)

NOTA:
Syarat untuk mengamalkan sunnah ini adalah orang yang bersin hendaklah mengucapkan “Alhamdulillah” terlebih dahulu. Jika orang yang bersin tidak mengucapkan “Alhamdulillah”,maka tidak disunatkan untuk mengucapkan “Yarhamukallah” sebagaimana yang disabdakan Rasulullah dalam hadis-hadis sahih:

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima,iaitu: Menjawab salam,menziarahi orang yang sakit,mengiringi jenazah,memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin (apabila dia mengucapkan alhamdulillah).”
(HR. Bukhari,no.1240. Muslim,no.5778)

:: Hadis 4 ::
dari Anas,dia berkata,
“Dua orang lelaki telah bersin di sisi Nabi ﷺ,lalu baginda hanya mendoakan kepada salah seorang daripada mereka,dan baginda tidak mendoakan kepada yang seorang lagi. Maka lelaki yang tidak didoakan oleh Nabi itu bertanya: ‘Wahai Rasulullah! Kamu mendoakan lelaki ini dan tidak mendoakan kepadaku’. Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya lelaki ini memuji Allah,sedangkan kamu tidak memuji Allah’.”
(HR. Bukhari,no.6225)

NOTA:
Jika sedang melaksanakan solat,tidak disunatkan bahkan dilarang untuk menyebut “Yarhamukallah” kerana di dalam solat tidak dibenarkan berkata-kata kecuali menyebut bacaan-bacaan yang khusus untuk solat sahaja,kerana terdapat dalam hadis sahih tentang larangannya:

:: Hadis 5 ::
dari Mu‘awiyah bin al-Hakam as-Sulami,dia berkata,
“Ketika aku sedang menunaikan solat bersama Rasulullah ﷺ,tiba-tiba seorang lelaki bersin. Aku pun ucapkan kepadanya: ‘Yarhamukallah’. Lalu semua orang melihat kepadaku. Aku pun bertanya: ‘Mengapa kamu semua melihatku?’ Mereka pun menepuk tangan mereka ke pehaku. Aku lihat mereka semua menghendaki aku diam. Apabila selesai solat,sungguh aku tidak pernah melihat seorang guru sebelum dan selepas baginda yang lebih baik pengajarannya daripada baginda. Demi Allah,baginda tidak memasamkan muka kepadaku,tidak memukul dan tidak mengata padaku. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya bagi solat itu,tidak wajar di dalamnya dimasukkan perkataan manusia,sebaliknya hanyalah untuk tasbih,takbir dan bacaan al-Quran’.”
(HR. Muslim,no.537)

No comments:

Post a Comment