Tuesday, August 30, 2022

6 Doa Keluar Rumah

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barang siapa yang berkata (iaitu apabila ia keluar rumah):
بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Bismillahi Tawakkaltu ‘alAllah,La H̱awla Wala Quwwata illa Billah
(Dengan Nama Allah,aku bertawakkal kepada-Nya dan tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah),
maka akan dikatakan kepadanya (iaitu para malaikat mendoakannya): ‘Sesungguhnya kamu akan dicukupi dan akan dilindungi,dan syaitan akan menjauhkan daripadanya’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3426. Abu Daud,no.5095)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' & Munqothi' (terputus sanad) kerana hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Juraij dari Ishaq bin 'Abdullah bin Abu Thalhah. Imam at-Tirmidzi bertanya kepada imam al-Bukhari tentang hadis ini,kata imam al-Bukhari,dia tidak tahu bahawa Ibnu Juraij mendengar daripada Ishaq (rujuk: al-'ilal al-Kabir,1/362). Imam ad-Daraquthni juga mengatakan perkara yg sama,kata ad-Daraquthni: "Yang benar,Ibnu Juraij tidak mendengar dari Ishaq" (rujuk: al-'ilal,12/12-13).

:: Hadis 2 ::
 بِسْمِ اللَّهِ ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Jika seseorang keluar dari pintu rumahnya atau dari pintu tempat tinggalnya,maka dia akan di sertai oleh dua Malaikat yang diwakilkan dengannya. Jika dia mengatakan ‘Bismillah (dengan nama Allah)’,maka dua malaikat tersebut akan menjawab: ‘Kamu telah diberi petunjuk’. Jika dia mengucapkan ‘Laa H̱awla Walaa Quwwata illa Billah (Tiada daya dan upaya kecuali dengan kehendak Allah)’,maka kedua Malaikat tersebut akan berkata: ‘Kamu telah di lindungi’. Jika dia mengucapkan ‘Tawakkaltu ‘Alallah (aku bertawakkal kepada Allah)’. Maka kedua Malaikat tersebut akan berkata: ‘Kamu telah di cukupi’. Kemudian jika dua Qorinnya menemuinya,maka kedua Malaikat tersebut akan mengatakan: ‘Apa yang akan hendak kamu lakukan dari seseorang yang telah diberi petunjuk,di cukupi dan di lindungi ini?”
(HR. Ibnu Majah,no.3886)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Harun bin Harun,yg mana imam Bukhari berkata (tentangnya) "Laisa bi dzaka (tidak seperti itu/bukan perawi yg kuat)" (rujuk: Tarikh al-Kabir,8/226. Tarikh al-Awsat,2/176). Abu Hatim berkata "Munkar al-Hadith" (rujuk: Jarh wa al-Ta'dil,9/98).

:: Hadis 3 ::
dari Utsman bin Affan,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah seorang muslim keluar dari rumahnya untuk bepergian atau yang lainnya,kemudian ketika keluar,dia membaca:
بِسْمِ اللَّهِ آمَنْتُ بِاللَّهِ ، اعْتَصَمْتُ بِاللَّهِ ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Bismillahi Amantu Billahi,i’tasomtu Billahi, Tawakkaltu ‘Alallah,Laa H̱awla Wala Quwwata illa Billah’
(dengan Nama Allah,aku beriman kepada Allah,berpegang teguh kepada Allah,bertawakkal kepada Allah,tiada daya dan upaya kecuali dari Allah),
nescaya diberi rezeki lebih baik dari tempat keluarnya dan dihindarkan dari keburukan selama (dia) keluar.”
(HR. Ahmad,no.441)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh Khalid al-Hayek (dalam website rasmi beliau,pada 'hadis kelapan') kerana hadis ini diriwayatkan daripada 'seorang lelaki' dari Utsman bin 'Affan. 'Lelaki' disitu Majhul (tidak dikenali) dan tidak diketahui.

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ keluar dari rumahnya,baginda mengucapkan:
بِسْمِ اللَّهِ ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ ، التُّكْلَانُ عَلَى اللَّهِ
  Bismillahi,La H̱awla Walaa Quwwata illa Billah,At-tuklanu ‘alAllah
(Dengan nama Allah,tiada daya dan upaya kecuali dengan kehendak Allah dan bersandar kepada Allah).”
(HR. Ibnu Majah,no.3885)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif',kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama 'Abdullah bin Husain bin 'Atho' bin Yasar,yg mana dia dinilai Dhaif oleh imam al-Bukhari,kata al-Bukhari "Wa fihi nazhar (harus diteliti)" (rujuk: Tarikh al-Kabir,5/72),juga dinilai Dhaif oleh imam Abu Zur'ah (rujuk: Jarh Wa Al-Ta'dil,5/35). Imam al-Buṡiri juga menukilkan bahawa 'Abdullah bin Husain ini dinilai Dhaif oleh imam Bukhari,Abu Zur'ah dan Ibnu Hibban (rujuk: Misbah al-Zujajah fi Zawaid Ibnu Majah,1356). Dia juga dinilai Dhaif oleh Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: at-Tahdzib,4/272).

:: Hadis 5 ::
dari Abi Khasafah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seseorang kamu keluar daripada rumahnya,maka ucapkanlah:
بِسْمِ اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ مَا شَاءَ اللَّهُ ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ ، حَسْبِيَ اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ
Bismillahi La H̱awla Wala Quwwata illa Billahi Masya Allah,Tawakkaltu ‘alAllah,Hasbiyallah wa Ni’mal Wakiil
(Dengan nama Allah,tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah,apa yg diinginankan oleh Allah,aku bertawakkal kepada Allah,cukuplah Allah untukku dan Dia sebaik-baik penolong).”
(HR. at-Thabrani [rujuk: Mu'jam al-Kabir,22/396])

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' & 'Munkar' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Yahya bin Yazid,yg mana ketika Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) tentangnya,kata Abu Hatim "Munkar al-Hadith" (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,9/198). Dia juga dinilai Dhaif oleh Ibn 'Adiy (rujuk: al-Kamil,7/247),juga dinilai Dhaif oleh imam al-Bukhari,Ahmad ibn Hanbal,Ibn Ma'in,Abu Zur'ah,dan an-Nasaie (rujuk: Tahdzib al-Kamal,32/198).

:: Hadis 6 ::
dari Ummu Salamah,ia berkata,
“Nabi ﷺ tidak pernah keluar dari rumah kecuali baginda melihat ke langit lalu berdoa:
اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ ، أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ ، أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ ، أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَيّ
Allahumma A‘udzubika An Adhilla Au Udholla,Au Azilla Au Uzalla,Au Azhlima Au Uzhlama,Au Ajhala Au Yujhala 'Alay
(Ya Allah,aku berlindung kepada-Mu dari ketersesatan atau disesatkan,tergelincir atau digelincirkan,menzalimi atau dizalimi dan membodohi atau dibodohi).”
(HR. Abu Daud,no.5094. Ibnu Majah,no.3884. an-Nasaie,no.5486 & 5539. Lafaz setiap riwayat sedikit berbeza²,dan ini lafaz dari Abu Daud)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh imam Ibnu al-Madini,kerana hadis ini diriwayatkan daripada asy-Sya'bi dari Ummu Salamah. Kata Ibnu al-Madini,Sya'bi tidak mendengar dari Ummu Salamah,seperti yg dinukilkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Nataij al-Afkar fi Takhrij Ahadith al-Adzkar,1/155). Ibnu Hajar juga berkata,bahawa Ibnu al-Madini berkata dalam kitab 'al-'ilal',bahawa Sya'bi tidak mendengar dari Zaid bin Tsabit,dan dia tidak bertemu dengan Abu Sa'id al-Khudri atau Ummu Salamah (rujuk: Tahdzib at-Tahdzib,5/68). Sanad hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-'Adawi (dalam video beliau) kerana Sya'bi tidak mendengar dari Ummu Salamah. Hadis ini adalah hadis yg paling ringan Dhaif-nya dalam bab ini.

Sekalipun hadis² doa keluar rumah ini kesemuanya Dhaif,tidak sahih,akan tetapi tidak menjadi masalah untuk mengamalkan mana-mana doa dari hadis² ini kerana sepakat para 'Ulama' bahawa doa yg berasal dari hadis yg tidak sahih (dengan syarat maknanya tidak bercanggah dengan syara'),sekalipun hadis itu Maudhu' (Palsu),boleh diamalkan dengan syarat: tidak meyakini bahawa doa itu daripada Nabi ﷺ dan juga memberitahu tentang ke-tidak sahih-an hadis tersebut ketika menyebarkannya kepada orang lain.
Wallahua'lam bissowab.

No comments:

Post a Comment