Tuesday, January 7, 2025

Orang Muflis Di Akhirat Kelak

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang memiliki kezaliman terhadap saudaranya, hendaklah ia segera minta dihalalkan. Sebab dinar dan dirham (di hari kiamat kelak) tidak akan memberinya manfaat. Kezaliman seseorang akan dibalas dengan cara kebaikannya yang diberikan kepada saudaranya (yang terzalimi), sehingga bilamana ia tidak memiliki kebaikan lagi, keburukan saudaranya (yang terzalimi) akan diambil dan dipikulkan kepadanya.”
(HR. Bukhari,no.2449)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu?’ Para sahabat menjawab: ‘Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang sudah tidak lagi memiliki dirham dan harta benda’. Baginda bersabda: ‘Orang yang muflis adalah orang yang datang pada hari Kiamat dengan membawa amalan solat, zakat dan puasa, namun dia datang dalam keadaan dahulu pernah mencaci maki si fulan, menuduh dan memfitnah fulan, memakan harta si fulan, menumpahkan darah si fulan dan memukul si fulan. Amal-amal kebaikannya dibahagi-bahagikan kepada orang-orang tersebut. Jika hak yang pernah dia langgar belum dapat dipenuhi semuanya, sedangkan amal-amal kebaikannya sudah habis, maka kesalahan-kesalahan mereka diambil lalu dipikulkan ke belakangnya. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka’.”
(HR. Muslim,no.2581. Ahmad,no.8829. al-Baihaqi [rujuk: Syu’ab al-Iman,no.338])

Doa Kesembuhan Nabi Ayyub

Allah ﷻ berfirman:
“Dan (Nabi) Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Anni Mas-Sani Yadh-Dhurr, Wa Antaar H̱amur-Rooẖimiin
(Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani),
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).”
(al-Anbiyaa' [21]: ayat 83 - 84)

Doa Ziarah Kubur

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“...Aku berkata kepada baginda (Nabi ﷺ): ‘Wahai Rasulullah, bagaimana aku ucapkan kepada mereka (ahli kubur)?’ Baginda menjawab: ‘Ucapkanlah:
السَّلاَمُ عَلَى أَهْلِ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَيَرْحَمُ اللَّهُ الْمُسْتَقْدِمِينَ مِنَّا وَالْمُسْتَأْخِرِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَلاَحِقُونَ
Assalamu ‘ala Ahlid-Diyaar Minal Mukminiin Wal Muslimiin, Wa Yarẖamullahul Mustaqdimiin Minnaa Wal Mustak-Khiriin, Wa innaa Insyaa-Allahu Bikum La-Laaẖiquun

(Keselamatan bagi tuan rumah ini dari kalangan orang-orang beriman dan kaum muslimin. Semoga Allah merahmati mereka yang telah mendahului kami, dan mereka yang akan datang. Dan sungguh kami dengan kehendak Allah akan menyusul kamu semua)’.”
(HR. Muslim,no.974b)

:: Hadis 2 ::
dari Buraidah bin Husaib,dia berkata,
“Bahawa Rasulullah ﷺ pernah mengajarkan kepada mereka jika mereka keluar ke perkuburan, maka di antara mereka mengucapkan:
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ لَلَاحِقُونَ أَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمْ الْعَافِيَةَ
Assalamu‘alaikum Ahlad-Diyaar Minal Mukminiin Wal Muslimiin, Wa innaa Insyaa-Allahu La-Laaẖiquun, As-alulloha Lanaa Wa Lakumul ‘Aafiyah

(Keselamatan bagi tuan rumah ini dari kalangan orang-orang beriman dan kaum muslimin, dan sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusul kamu semua. Aku memohon kepada Allah untuk kami dan kamu semua ‘afiyah)’.”
(HR. Muslim,no.975)

Doa Apabila Melihat Buah Yang Masak

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Dahulu apabila orang ramai melihat buah pertama (yang masak), mereka membawanya kepada Nabi ﷺ. Apabila Rasulullah ﷺ mengambilnya, baginda berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي ثَمَرِنَا وَبَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا وَبَارِكْ لَنَا فِي صَاعِنَا وَبَارِكْ لَنَا فِي مُدِّنَا
Allahumma Baariklanaa Fii Tsamarinaa, Wa Baariklanaa Fii Madiinatinaa, Wa Baariklanaa Fii S̄oo-‘inaa, Wa Baariklanaa Fii Muddinaa
(Ya Allah, berilah berkat kepada buah-buahan kami, berilah berkat kepada negeri kami, berilah berkat kepada gantang (timbangan) kami dan berilah berkat kepada cupak kami)...
Kemudian baginda memanggil kanak-kanak yang paling kecil dan memberikan buah tersebut kepadanya.”
(HR. Muslim,no.1373a)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ apabila dibawakan buah yang pertama (masak), baginda akan berdoa:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي مَدِينَتِنَا وَفِي ثِمَارِنَا وَفِي مُدِّنَا وَفِي صَاعِنَا بَرَكَةً مَعَ بَرَكَةٍ
Allahumma Baariklana Fii Madiinatinaa, Wa Fii Tsimaarinaa, Wa Fii Muddinaa, Wa Fii S̄oo-‘inaa Barokatan Ma‘a Barokatin
(Ya Allah, berilah berkat kepada negeri kami, kepada buah-buahan kami, kepada cupak kami, kepada gantang (timbangan) kami dengan keberkatan yang berlipat ganda),
Kemudian baginda memberikan buah itu kepada kanak-kanak yang paling kecil yang hadir.”
(HR. Muslim,no.1373b)

Doa Tetamu Untuk Tuan Rumah

dari ‘Abdullah bin Busr,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah singgah di rumah ayahku. Kami menghidangkan kepada baginda makanan dan minuman. Baginda pun makan daripada makanan itu. Kemudian dibawakan kepada baginda tamar, lalu baginda memakannya sambil meletakkan biji tamar di antara dua jarinya, iaitu jari telunjuk dan jari tengah (kata [perawi] Syu’bah: “Ini adalah sangkaanku, dan hal ini mungkin betul, iaitu meletakkan biji tamar di antara dua jari”). Kemudian, dibawakan kepada baginda minuman, lalu baginda meminumnya dan memberikan baki minuman kepada orang yang berada di sebelah kanannya. Ayahku pun berkata kepada baginda sambil memegang tali kekang haiwan tunggangan baginda dan meminta baginda untuk mendoakan kami. Maka baginda pun bersabda:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَهُمْ فِي مَا رَزَقْتَهُمْ وَاغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ
Allahumma Baarik-Lahum Fii Maa Rozaqtahum, Waagh-Firlahum, Warẖamhum
(Ya Allah, berkatilah mereka pada rezeki yang telah Engkau kurniakan kepada mereka, ampunkanlah mereka, dan rahmatilah mereka).”
(HR. Muslim,no.2042)

Doa Kepada Pengantin

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Bahawa Nabi ﷺ apabila hendak memberikan ucapan selamat kepada orang yang menikah, baginda mendoakan:
بَارَكَ اللَّهُ لَكَ، وَبَارَكَ عَلَيْكَ، وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي خَيْرِ
BarakAllahu Laka, Wa Baaroka ‘Alaika, Wa Jama‘a Baina-Kumaa Fii Khoiir
(Semoga Allah memberkatimu dan menetapkan berkat atasmu, serta mengumpulkan kamu berdua dalam kebaikan).”
(HR. Abu Daud,no.2130. at-Tirmidzi,no.1091. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)

Doa Sebelum Bersetubuh

dari Ibnu ‘Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang daripada kamu ingin mendatangi isterinya, maka bacalah:
بِاسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
Bismillah. Allahumma Jannib-Naasy Syaithoon, Wa Janni-Bisy Syaithoona Maa Rozaqtanaa

(Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami).
Sesungguhnya jika ditakdirkan (Allah) buat kamu berdua anak pada waktu itu, maka anak tersebut tidak akan dimudharatkan oleh syaitan selamanya.”
(HR. Bukhari,no.6388. Muslim,no.1434a)

Monday, January 6, 2025

Doa Menziarahi Orang Sakit

:: Hadis 1 ::
dari Ibn ‘Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, lalu membaca di sisi orang tadi sebanyak 7 kali:
أَسْأَلُ اللَّهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ
As-alullohal ‘Azhiim, Robbal ‘Arsyil ‘Azhiim, An Yasy-fiyak
(Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan kepada ‘Arasy yang agung agar menyembuhkan kamu),
Pasti Allah akan menyembuhkan orang itu daripada penyakit itu.”
(HR. Ahmad,no.2138. at-Tirmidzi,no.2083. Abu Daud,no.3106. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,10887]. Dengan sedikit perbezaan lafaz, dan ini adalah lafaz Abu Daud)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Majmu’,5/110), juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami’,no.5766. Sahih at-Targhib wa at-Tarhib,no.3480). Dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.2138). Adapun Syaikh Musthofa al-‘Adawi, beliau berpendapat bahawa hadis ini ma’lul (terdapat kecacatan tersembunyi di dalam sanadnya) sebagaimana yang beliau sebut dalam videonya: “Sanad hadisnya sahih (pada zahir sanad), akan tetapi ketika rujuk kitab-kitab ‘ilal, maka jelas bagiku bahawa hadis tersebut terdapat ‘illah (kecacatan sanad yang tersembunyi)” (rujuk: video).

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ apabila datang kepada orang yang sakit (atau syak perawi: dibawa datang kepadanya orang yang sakit), baginda mengucapkan: 
أَذْهِبِ البَأْسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لاَ شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا
Adzhibil Baksa Robbannaas, Isyfi Wa Antasy Syaafii, Laa Syifaa-a illaa Syifaa-uka, Syifaa-an Laa Yughoodiru Saqomaa
(Hilangkanlah sakitnya, wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah dan Engkau Yang Menyembuhkan, tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan daripada-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan (sebarang) rasa sakit).”
(HR. Bukhari,no.5675)

Sunday, January 5, 2025

Doa Ketika Sedih Dan Dukacita

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah ibn Mas‘ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada seorang pun yang ditimpa kegelisahan atau kesedihan, lalu dia berdoa:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ عَبْدُكَ، ابْنُ عَبْدِكَ، ابْنُ أَمَتِكَ، نَاصِيَتِيْ بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ، سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِيْ كِتَابِكَ، أَوِ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِيْ عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيْعَ قَلْبِيْ، وَنُوْرَ صَدْرِيْ، وَجَلاَءَ حُزْنِيْ، وَذَهَابَ هَمِّيْ
Allahumma innii ‘abduka, ibnu ‘abdika, ibnu amatika, Naas̄iyati bi-yadika, Maadhin fiyya ẖukmuka, ‘Adlun fiyya qodhoo-uka, As-aluka bikullis-min huwa laka, sammayta bihi nafsaka, aw ‘allamtahu aẖadan min kholqika, aw anzaltahu fii kitaabika, awistak-tsarta bihi fii ‘ilmil ghoibi ‘indaka, An taj-‘alal Qur-aana robi‘a qolbii, Wa nuuro s̄od-rii, Wa jalaa a-ẖuznii, Wa dzahaaba hammii
(Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, dan anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu. Terlaksana ke atasku hukuman-Mu dan adil kehakiman-Mu terhadapku. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau telah namakan dengannya diri-Mu, atau Engkau turunkan di dalam kitab-Mu, atau Engkau telah mengajarnya kepada seseorang daripada makhluk-Mu atau yang tersembunyi pada ilmu ghaib disisi-Mu. Jadikanlah al-Quran penenang hatiku, cahaya di dadaku, penghapus kedukaanku dan penghilang kesusahanku),

Maka Allah akan menghilangkan kesedihannya dan menggantikan tempatnya dengan kegembiraan’. Lalu baginda ditanya: ‘Wahai Rasulullah, tidakkah kami patut mempelajarinya?’ Baginda menjawab: ‘Ya, patut bagi sesiapa yang mendengarnya untuk mempelajarinya’.”
(HR. Ahmad,no.3712. Ibnu Hibban,no.972. at-Thabrani,no.10352. Dengan lafaz-lafaz yang berbeza. Dan ini lafaz riwayat Ahmad)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh ulama’ hadis seperti imam ad-Daraquthni, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Abu Salamah al-Juhani yang mana dia dinilai majhul (tidak dikenali) oleh para ulama’ Jarh wa Ta’dil (rujuk: al-‘ilal,5/201). Walaupun ada beberapa ulama’ hadis yang menganggap beliau (Abu Salamah al-Juhani) adalah Musa al-Juhani (perawi tsiqah) kerana bergantung dengan kata-kata imam Yahya Ibn Ma‘in: “Aku rasa dia adalah Musa al-Juhani” (rujuk: at-Tarikh [diwayat ad-Duri],3/442), akan tetapi beberapa ulama’ hadis yang lain menyebutkan kunyah Musa al-Juhani sebagai Abu ‘Abdullah (bukan Abu Salamah), sebagaimana yang disebutkan oleh imam ‘Abdullah bin Ahmad (anak imam Ahmad bin Hanbal): “Kata ayahku (imam Ahmad bin Hanbal): Abu ‘Abdullah, maula Juhainah, ialah Musa al-Juhani” (rujuk: al-‘ilal wa Ma‘rifat al-Rijal,3/287). Begitu juga imam al-Bukhari, kata beliau: “Musa bin ‘Abdullah al-Juhani, Abu ‘Abdullah, seorang Kufah...” (rujuk: al-Tarikh al-Kabir,7/288). Begitu juga imam Ibnu Abi Hatim menyebutkan: “Musa bin ‘Abdullah al-Juhani, Abu ‘Abdullah, seorang Kufah..” (rujuk: Jarh wa at-Ta’dil,8/149). Imam Muslim juga menyebut: “Abu ‘Abdullah Musa al-Juhani mendengar daripada Mus‘ab bin Sa’d...” (rujuk: al-Kuna wa Asma’,481). Maka, jelaslah bahawa Abu Salamah al-Juhani disitu adalah perawi yang majhul (tidak dikenali), bukan perawi tsiqah (Musa al-Juhani). Adapun tentang kenyataan imam Yahya ibn Ma‘in, itu bukanlah kepastian disisi beliau, namun itu hanya sangkaan beliau. Imam ad-Daraquthni juga menyebut jalur kedua hadis ini, beliau menyebut jalur ‘Ali bin Mushir, daripada ‘Abdurrahman bin Ishaq, daripada al-Qasim, daripada Ibnu Mas‘ud secara Mursal (sanad terputus), kemudian imam ad-Daraquthni berkata: “Isnadnya tidak kuat” (rujuk: al-‘ilal,200-201).

:: Hadis 2 ::
dari Anas,dia berkata,
“Nabi ﷺ biasa berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ 
Allahumma innii A‘uudzubika Minal Hammi Wal H̱azan, Wal ‘Ajzi Wal Kasal, Wal Jubni Wal Bukhl, Wa Dhola‘id-Dain, Wa Gholabatir Rijaal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kedukaan dan kesedihan, sifat lemah dan malas, sifat pengecut dan bakhil, bebanan hutang dan penindasan manusia).”
(HR Bukhari,no.6369)

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2317. Ibnu Majah,no.3917)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh imam at-Tirmidzi setelah beliau meriwayatkan hadis ini. Kata beliau: “Ini adalah hadis Gharib (ganjil). Kami tidak mengetahuinya daripada hadis Abu Salamah daripada Abu Hurairah daripada Nabi ﷺ kecuali melalui jalur ini sahaja” (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.2317).

:: Hadis 2 ::
dari ‘Ali bin Husain,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya, di antara (contoh) bagusnya keislaman seseorang itu, adalah dengan dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2318)

NOTA:
Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam at-Tirmidzi, dengan katanya: “Demikianlah juga diriwayatkan oleh lebih daripada seorang daripada kalangan sahabat az-Zuhri, daripada az-Zuhri, daripada ‘Ali bin Husain, daripada Nabi ﷺ secara mursal, yang semakna dengan hadis Malik. Riwayat ini pada pandangan kami adalah lebih sahih daripada hadis Abu Salamah daripada Abu Hurairah. Adapun ‘Ali bin Husain, belum pernah bertemu dengan ‘Ali bin Abi Thalib” (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.2318). Namun, walaupun hadis-hadis ini tidak sahih, akan tetapi terdapat hadis sahih lain yang menganjurkan seseorang muslim untuk melakukan sesuatu yang bermanfaat:

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mukmin yang kuat lebih Allah cintai daripada mukmin yang lemah. Pada setiap orang ada kebaikan. Bersungguhlah melakukan apa yang bermanfaat untuk kamu. Mohonlah pertolongan Allah, dan jangan merasa lemah. Jika sesuatu menimpa kamu, janganlah kamu berkata: ‘Kalaulah aku melakukan itu dan ini’. Sebaliknya sebutlah: ‘takdir Allah, dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan terjadi’. Sesunggu‏hnya ‘kalau’ membuka pintu kepada amalan syaitan.”
(HR. Muslim,no.2664)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(HR. Bukhari,no.6475. Muslim,no.47)

Friday, January 3, 2025

Doa Agar Dapat Membayar Hutang

:: Hadis 1 ::
daripada Abu Wa’il,daripada ‘Ali,
Bahawa seorang hamba mukatab (yang boleh menebus dirinya jika dia membayar sejumlah wang kepada tuannya) datang kepadanya dan berkata: “Sesungguhnya aku tidak mampu untuk membayar tebusan kepada tuanku”. ‘Ali berkata: “Mahukah aku ajarkan kepadamu beberapa perkataan yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ kepadaku, jika engkau mempunyai hutang sebesar bukit S̄ir, maka Allah akan melunaskannya untukmu. Katakanlah:
اللَّهُمَّ اكْفِنِى بِحَلاَلِكَ عَنْ حَرَامِكَ ، وَأَغْنِنِى بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Allahummak-Finii Bi H̱alaalika ‘An H̱aroomika, Wa Agh-ninii Bi-Fadhlika ‘Amman Siwaak
(Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu).”
(HR. at-Tirmizi,no.3563. Ahmad,no.1319. Dinilai hasan gharib oleh imam at-Tirmidzi & dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih at-Tirmidzi,no.3563. Silsilah as-Sahihah,1/532])

:: Hadis 2 ::
dari Anas,dia berkata,
“Nabi ﷺ biasa berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ 
Allahumma innii A‘uudzubika Minal Hammi Wal H̱azan, Wal ‘Ajzi Wal Kasal, Wal Jubni Wal Bukhl, Wa Dhola‘id-Dain, Wa Ghola-Batir Rijal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kedukaan dan kesedihan, sifat lemah dan malas, sifat pengecut dan bakhil, bebanan hutang dan penindasan manusia).”
(HR Bukhari,no.6369)

:: Hadis 3 ::
dari Suhail,dia berkata,
“Abu Salih memerintahkan kami, apabila seseorang di antara kami ingin tidur, hendaklah dia berbaring di sisi kanannya, kemudian mengucapkan:  
اَللَّهُمَّ رَبَّ السَّمَاوَاتِ وَرَبَّ الأَرْضِ، وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَاْلإِنْجِيْلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ. اَللَّهُمَّ أَنْتَ اْلأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ اْلآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُوْنَكَ شَيْءٌ، اِقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ
Allahumma Robbas-Samaawaati Wa Robbal Ardh, Wa Robbal ‘Arsyil ‘Azhiim, Robbanaa Wa Robba Kulli Syai-in, Faaliqol H̱abbi Wan-Nawaa Wa munzilat Taurooti Wal injiil Wal Furqoon. A’udzubika Min Syarri Kulli Syai-in Anta Akhi-dzum Binaa-S̄iyatih. Allahumma Antal Awwalu Falaysa Qoblaka Syai-un Wa Antal Aakhiru Falaisa Ba’daka Syai-un, Wa Antazh Zhoohiru Falaisa Fauqoka Syai-un, Wa Antal Baathinu Falaisa Duunaka Syai-un, iqdhi ‘Annad-Dainaa Wa Agh-Ninaa Minal Faqri
(Ya Allah, Tuhan langit dan Tuhan bumi, dan Tuhan ‘Arasy yang agung, Tuhan kami dan Tuhan segala sesuatu, yang membelah butir tumbuh-tumbuhan dan biji benih, yang menurunkan Taurat, Injil, dan Furqan (al-Quran). Aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan segala sesuatu yang Engkau memegang ubun-ubunnya (semua makhluk dibawah kekuasaan Allah). Ya Allah, Engkaulah yang awal, tiada sesuatu sebelum-Mu, Engkaulah yang akhir, tiada sesuatu selepas-Mu, Engkaulah yang zahir, tiada sesuatu di atas-Mu, dan Engkaulah yang batin, tiada sesuatu yang tersembunyi daripada-Mu. Lunaskanlah hutang kami dan kayakanlah kami daripada kefakiran).”
(HR. Muslim,no.2713a)

:: Hadis 4 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahawasanya Rasulullah ﷺ berdoa selepas daripada menunaikan solat:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ
Allahumma innii A‘uudzubika Minal Mak-tsami Wal Maghrom
(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan banyak hutang).
Lalu ada yang bertanya kepada baginda: ‘Kenapakah engkau selalu meminta perlindungan dalam masalah hutang?’ Lalu baginda bersabda: ‘Jika orang yang berhutang berkata-kata, dia akan selalu berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari’.”
(HR. Bukhari,no.2397. Muslim,no.589)

Wednesday, January 1, 2025

Doa Berlindung Dari Kesedihan, Lemah Dan Malas, Sifat Pengecut Dan Bakhil, Beban Hutang Dan Penindasan Manusia

dari Anas,dia berkata,
“Nabi ﷺ biasa berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَالْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَالْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَضَلَعِ الدَّيْنِ، وَغَلَبَةِ الرِّجَالِ 
Allahumma innii A‘uudzubika Minal Hammi Wal H̱azan, Wal ‘Ajzi Wal Kasal, Wal Jubni Wal Bukhl, Wa Dhola‘id-Dain, Wa Gholabatir Rijal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kedukaan dan kesedihan, sifat lemah dan malas, sifat pengecut dan bakhil, bebanan hutang dan penindasan manusia).”
(HR Bukhari,no.6369)

Tuesday, December 31, 2024

Doa Agar Allah Mengurus Urusan Kita

dari Anas,dia berkata,
“Nabi ﷺ bersabda kepada Fathimah: ‘Apa yang menghalangmu daripada mendengar apa yang aku wasiatkan kepadamu? Hendaklah kamu ucapkan apabila pagi dan petang:
يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيثُ أَصْلِحْ لِي شَأْنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي إِلَى نَفْسِي طَرْفَةَ عَيْنٍ
Yaa H̱ayyu Yaa Qayyum, Biroẖmatika Asta-ghiist. As̄liẖ Lii Syaknii Kullah, Walaa Takilnii ilaa Nafsii Thorfata ‘Ain
(Wahai Yang Maha Hidup, Wahai Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmat-Mu aku memohon pertolongan, perbaikilah segala urusanku, dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku walau sekelip mata).”
(HR. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.10405]. al-Hakim [rujuk: al-Mustadrak,no.2000])

NOTA:
Kata imam al-Hakim setelah meriwayatkan hadis ini: “Hadis ini sahih menurut syarat Syakhain, namun mereka tidak meriwayatkannya”. Hadis ini dinilai Hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Jami’ al-Saghir,no.10759). Namun hadis ini dinilai sedikit Dhaif (Dhaif yang terlalu ringan) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).

Monday, December 30, 2024

Peristiwa ‘Aisyah (Isteri Nabi ﷺ) Dituduh Berzina

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Biasanya Rasulullah ﷺ apabila hendak keluar melakukan perjalanan, baginda membuat undian di antara isteri-isterinya. Siapa sahaja antara mereka yang undiannya keluar, maka baginda akan keluar bersamanya. Baginda pun mengadakan undian antara kami dalam suatu perjalanan untuk perang yang akan Baginda lakukan. Akhirnya undianku keluar dan aku pun berangkat bersama baginda, dan pada saat itu telah diturunkan ketetapan hijab. Aku dibawa di atas sekedup dan diturunkan bersamanya (semasa di persinggahan). Kami pun berjalan hingga setelah Rasulullah ﷺ selesai daripada peperangannya itu, baginda berangkat pulang dan kami telah menghampiri Madinah. Maka baginda mengumumkan pada waktu malam untuk berangkat (meneruskan perjalanan). Saat mereka mengumumkan untuk berangkat, lalu aku berjalan sehingga melepasi (penempatan) pasukan tentera. Ketika aku telah menyelesaikan hajatku, aku kembali ke tempatku, kemudian menyentuh dadaku, tiba-tiba aku mendapati kalungku, yang diperbuat daripada Jaz‘i azfar  telah terputus (hilang). Aku pergi semula dan mencari kalungku, dan aku pun tertahan (daripada menyertai mereka yang sedang bersiap untuk balik) disebabkan mencarinya. Kemudian datang  orang-orang yang ditugaskan untuk mengangkatku lalu mengangkat sekedupku dan meletakkannya di atas unta yang aku tungganginya sebelum ini. Mereka menyangka aku berada di dalamnya. Perempuan-perempuan pada masa itu ringan (badannya), tidak berat dan tidak pula gemuk. Mereka hanya memakan beberapa suap makanan. Oleh itu, orang-orang yang mengangkat sekedup tidak berasa pelik dengan keberatan sekedup itu ketika mengangkatnya, lalu mereka mengangkatnya. Tambahan pula ketika itu aku seorang wanita yang masih muda. Mereka pun melepaskan unta, lalu bergerak pergi. Aku menemukan kalungku setelah pasukan tentera berlalu pergi. Aku datang ke perkhemahan mereka, namun tidak ada seorang pun di sana, lalu aku pergi ke tempat persinggahan tadi, dan aku merasakan bahawa mereka akan menyedari ketiadaanku, dan mereka akan kembali semula kepadaku. Ketika sedang duduk, aku dikuasai oleh rasa mengantuk sehingga aku tertidur. Sementara itu, Sofwan bin al-Mu‘aththal as-Sulami, kemudian dinisbahkan kepada al-Zakwani berada di belakang pasukan. Maka, beliau telah sampai ke tempatku dan melihat kelibat seseorang yang sedang tidur, lalu beliau datang kepadaku dan beliau pernah melihatku sebelum turun perintah hijab. Aku terbangun mendengar suaranya mengucapkan istirja’.  Ketika beliau menurunkan tunggangannya, kemudian beliau memijak kaki depan unta, lalu aku menaikinya. Beliau berjalan menuntun kenderaanku hingga kami sampai kepada pasukan tentera tersebut ketika mereka berhenti singgah pada waktu tengahari. Binasalah mereka yang binasa! Orang yang mengepalai mereka yang menyebarkan berita dusta adalah ‘Abdullah bin Ubai bin Salul. Kami telah sampai ke Madinah, dan aku (‘Aisyah) telah jatuh sakit di sana selama sebulan. Dalam pada itu, orang ramai sedang menyebarkan perkataan para penyebar berita dusta. Satu hal yang mencurigakanku saat sakit, iaitu bahawa aku tidak nampak daripada Nabi ﷺ kelembutan yang biasa aku melihat daripadanya ketika aku sakit sebelum ini. Baginda hanya masuk, memberi salam lalu bertanya: ‘Bagaimanakah keadaanmu?’ Aku tidak merasakan apapun daripada kejadian itu hingga aku telah sembuh. Aku keluar bersama Ummu Misthaẖ ke arah al-Manas̄i’ iaitu tempat kami qada’ hajat. Kami tidak keluar kecuali dari satu malam ke malam berikutnya, hanya pada malam hari. Hal itu berlaku sebelum dibina tandas yang dekat dengan rumah-rumah kami. Keadaan kami sama seperti keadaan orang-orang Arab terdahulu yang mencari kawasan pedalaman atau tempat yang sangat jauh daripada penduduk (untuk qada’ hajat). Kemudian aku kembali bersama Ummu Misthaẖ binti Abu Ruhm sambil berjalan kaki. Beliau telah tergelincir kerana terpijak kainnya, lalu mengatakan: ‘Celakalah Misthaẖ!’ Aku berkata kepadanya: ‘Alangkah buruk apa yang engkau katakan, adakah engkau mencaci maki seorang lelaki yang turut serta dalam perang Badar?’ Beliau berkata: ‘Wahai sayangku! Adakah engkau belum mendengar apa yang mereka katakan?’ Lalu beliau (Ummu Misthaẖ) menceritakan kepadaku tentang perkataan para penyebar berita dusta. Maka, semakin bertambah rasa sakitku yang telah ada. Ketika kembali ke rumahku, Rasulullah ﷺ masuk menemuiku dan memberi salam, kemudian bertanya: ‘Bagaimanakah keadaanmu?’ Aku berkata: ‘Izinkanlah aku pergi kepada kedua ibu bapaku’. Ketika itu, aku ingin mencari kepastian tentang cerita tersebut daripada mereka berdua. Rasulullah ﷺ pun mengizinkanku. Aku datang kepada kedua ibu bapaku dan berkata kepada ibuku: ‘Apakah yang dibicarakan oleh orang-orang tentang diriku?’ Beliau menjawab: ‘Wahai puteriku kesayanganku! Tenanglah menghadapi masalah ini. Demi Allah, sangat sedikit wanita cantik yang bersama suami yang mencintainya dan dia mempunyai madu melainkan mereka akan banyak membicarakan tentang (keburukan) wanita itu’. Aku berkata: ‘Maha Suci Allah! Benarkah orang ramai telah membicarakan hal ini?’ Malam itu aku bermalam sehingga pagi dengan air mata yang terus mengalir dan aku tidak dapat tidur. Kemudian Rasulullah ﷺ memanggil ‘Ali bin Abu Thalib dan Usamah bin Zaid (ketika wahyu lambat turun) untuk meminta pendapat daripada keduanya untuk menceraikan isterinya.  Adapun Usamah, beliau menyarankan kepada baginda dengan saranan yang beliau tahu ada pada diri Nabi ﷺ iaitu kecintaan baginda terhadap mereka. Usamah berkata: ‘Isterimu, wahai Rasulullah, dan kami tidak mengetahui, demi Allah, melainkan kebaikan’. Adapun ‘Ali bin Abu Thalib berkata: ‘Wahai Rasulullah! Allah tidak sekali-kali akan menyempitkanmu dan wanita-wanita selainnya masih ramai, tanyalah kepada hamba perempuan, nescaya dia akan membenarkan hal itu kepadamu’. Rasulullah ﷺ memanggil Barirah dan bertanya: ‘Adakah engkau pernah melihat padanya sesuatu yang mencurigakanmu?’ Barirah berkata: ‘Tidak, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak pernah melihat apa-apa perkara padanya yang boleh untuk aku pandang rendah lebih daripada bahawa beliau hanyalah seorang wanita yang masih muda. Beliau tertidur meninggalkan adunan keluarganya, lalu datang kambing memakannya’. Pada hari itu, Rasulullah ﷺ berdiri dan mencari keuzuran (pembelaan) daripada (tuduhan) ‘Abdullah bin Ubai bin Salul. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Siapakah yang dapat membelaku daripada orang yang gangguannya berkenaan isteriku sampai kepadaku? Maka, demi Allah, aku tidak mengetahui isteriku kecuali seorang yang baik. Mereka telah menyebutkan pula seseorang yang aku tidak mengetahuinya kecuali orang yang baik. Beliau tidak masuk menemui isteriku melainkan bersama denganku’. Maka, Sa‘d bin Mu‘adz telah berdiri seraya berkata: ‘Wahai Rasulullah, demi Allah, aku akan membelamu daripadanya. Sekiranya dia berasal daripada suku Aus, nescaya kami akan memenggal lehernya. Sekiranya dia saudara kami dalam kalangan suku Khazraj dan engkau memerintahkan kami, nescaya kami akan melakukan perintahmu’. Kemudian Sa‘d bin ‘Ubadah telah berdiri, dan beliau ialah ketua suku Khazraj. Sebelum itu, beliau seorang yang soleh, namun semangat perkauman telah menimbulkan kemarahannya. Beliau berkata: ‘Demi Allah, engkau berdusta! Demi Allah, engkau tidak akan membunuhnya dan tidak akan mampu melakukannya’. Lalu Usaid bin H̱udhair bangun seraya berkata: ‘Engkau berdusta, demi Allah, pasti kami akan membunuhnya! Sungguh engkau adalah orang munafiq dan membela orang-orang munafiq’. Terjadi pergolakan antara dua suku kaum; Aus dan Khazraj hingga hampir-hampir mereka berperang, dan Rasulullah ﷺ masih berada di atas mimbar. Baginda turun dan menenangkan mereka sehingga mereka tenang. Baginda pun diam. Aku terus menangis pada hari itu, dan air mataku tidak pernah kering daripadaku serta aku tidak dapat tidur. Pada pagi hari, kedua ibu bapaku telah berada di sisiku, sementara aku terus-menerus menangis satu hari dua malam hingga aku merasakan tangisan akan membelah hatiku. Ketika keduanya sedang duduk di sisiku dan aku masih terus menangis, tiba-tiba seorang wanita daripada kalangan Ans̄ar meminta izin dan aku memberi izin kepadanya, lalu dia duduk dan menangis bersamaku. Ketika kami dalam keadaan demikian, Rasulullah ﷺ masuk dan duduk, dan baginda tidak pernah duduk di sebelahku sejak hari yang dikatakan mengenaiku apa yang dikatakan sebelumnya. Telah berlalu satu bulan dan belum diwahyukan kepada baginda sesuatupun tentang urusanku. Baginda bersyahadah kemudian bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah! Sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentang dirimu begini dan begitu. Jika engkau bersih daripada semua itu, nescaya Allah akan membersihkanmu. Tetapi sekiranya engkau melakukan dosa, maka mohonlah keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya; kerana sesungguhnya hamba apabila mengakui dosanya kemudian bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya’. Ketika Rasulullah ﷺ selesai perkataannya, air mataku berhenti keluar hingga aku tidak merasakan satu titis pun. Aku berkata kepada bapaku: ‘Berilah jawapan kepada Rasulullah ﷺ bagi pihakku’. Maka, beliau berkata: ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Rasulullah ﷺ’. Lalu aku berkata pula kepada ibuku: ‘Berilah jawapan kepada Rasulullah ﷺ bagi pihakku pada apa yang telah baginda katakan’. Beliau berkata: ‘Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan kepada Rasulullah ﷺ’. Ketika itu aku seorang budak perempuan yang masih kecil dan belum banyak membaca al-Quran. Aku berkata: ‘Demi Allah! Sungguh aku telah mengetahui bahawa kamu semua telah mendengar apa yang diperbualkan orang, hal itu telah meninggalkan kesan dalam hati kamu dan kamu telah membenarkannya, sekiranya aku mengatakan kepada kamu bahawa aku bersih (daripada dosa), dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku benar-benar bersih (daripadanya), pasti kamu tidak akan mempercayai aku dalam hal itu. Kalau aku mengaku kepadamu tentang suatu perkara, dan Allah Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku bersih (daripadanya), nescaya engkau akan mempercayaiku. Demi Allah! Aku tidak mendapatkan pemisalan bagi diriku dan dirimu kecuali bapa Nabi Yusuf ketika mengatakan: ‘Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sahajalah yang dimohonkan pertolongan-Nya terhadap apa yang engkau ceritakan (Yusuf [12]: ayat 18)’. Kemudian aku berpindah ke tempat tidurku sambil berharap Allah akan membersihkanku. Akan tetapi, demi Allah, aku tidak pernah sangka akan diturunkan wahyu mengenai keadaanku. Sungguh aku lebih rendah pada pandangan diriku untuk disebut dalam al-Quran mengenai keadaanku. Akan tetapi, aku berharap Rasulullah ﷺ akan melihat di dalam tidurnya mimpi yang akan membebaskanku (daripada tuduhan itu). Demi Allah, sebelum sempat baginda beredar daripada tempat duduknya, dan sebelum seorang pun yang ada di dalam rumahnya sempat keluar, tiba-tiba turun wahyu kepada baginda. Maka terjadi kepada baginda kesusahan yang biasa terjadi kepada baginda (ketika menerima wahyu), sehingga menitis daripada baginda peluh seperti permata pada hari yang sejuk. Setelah keadaan itu dihilangkan daripada Rasulullah ﷺ, baginda tersenyum, dan kalimah pertama yang baginda ucapkannya ialah baginda bersabda kepadaku: ‘Wahai ‘Aisyah, pujilah Allah! Sungguh Allah telah membersihkanmu (daripada tuduhan)’. Ibuku berkata kepadaku: ‘Berdirilah kepada Rasulullah ﷺ!’ Aku berkata: ‘Tidak, demi Allah, aku tidak akan berdiri kepadanya dan aku tidak akan memuji melainkan Allah’. Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya: ‘Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat) (an-Nur [24]: ayat 11)’. Ketika Allah menurunkan ayat ini, berkaitan kesucianku, maka Abu Bakar as̄-S̄iddiq berkata sedangkan sebelum ini beliau sering memberi nafkah kepada Misthaẖ bin Utsatsah kerana hubungan kerabat antara mereka: ‘Demi Allah, aku tidak akan memberi nafkah sedikitpun kepada Misthaẖ untuk selama-lamanya setelah apa yang beliau telah katakan tentang ‘Aisyah’. Lalu Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya: ‘Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (an-Nur [24]: ayat 22)’. Abu Bakar berkata: ‘Bahkan demi Allah, sungguh aku benar-benar ingin Allah memberi keampunan kepadaku’. Beliau kembali memberikan kepada Misthaẖ apa yang biasa diberikan sebelumnya. Rasulullah ﷺ pernah bertanya kepada Zainab binti Jahsyi tentang urusanku. Baginda bersabda: ‘Wahai Zainab! Apakah yang engkau ketahui? Apakah yang engkau lihat?’ Beliau menjawab: ‘Wahai Rasulullah! Aku menjaga pendengaranku dan penglihatanku. Demi Allah, aku tidak mengetahui dirinya kecuali yang baik’. Beliau adalah orang yang menyaingiku, namun Allah telah melindunginya dengan sifat wara’.”
(HR. Bukhari,no.2661)

Friday, December 27, 2024

Doa Agar Selalu Mengingati Allah, Bersyukur Dan Beribadah Kepada-Nya

dari Mu‘adz bin Jabal,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Wahai Mu‘adz, demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu. Demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu. Aku berpesan kepadamu wahai Mu‘adz, janganlah kau meninggalkan pada penghujung setiap solat dari kau membaca:
اللَّهُمَّ أَعِنِّى عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Allahumma a-‘innii ‘alaa dzikrika, wa syukrika, wa ẖusni ‘ibaadatik
(Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu).”
(HR. Abu Daud,no.1522)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Sunan Abi Daud,no.1522), juga dinilai sahih oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).