:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah itu witir (tunggal), dan Dia menyukai yang ganjil.”
(HR. Ahmad,no.7731,7732,7896 & 10371. Bukhari,no.6410. Muslim,no.2677. Hadis ini lafaz Ahmad dan dinilai “sahih dengan syarat Syaikhan” oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth dalam Takhrij Musnad Ahmad beliau)
:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Setiap malam Rasulullah ﷺ akan menunaikan solat witir, dan berakhir masa witirnya sehingga sahur.”
(HR. Bukhari,no.996)
:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Kebiasaannya Nabi ﷺ solat malam ketika musafir di atas tunggangannya ke arah mana haiwan tunggangannya itu menghadap. Baginda melakukannya dengan isyarat, kecuali solat fardhu. Dan baginda mengerjakan solat witir di atas tunggangannya.”
(HR. Bukhari,no.1000)
NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami, bahawa Rasulullah sangat mengambil berat tentang solat Witir. Kerana, walaupun ketika musafir, Rasulullah tidak meninggalkannya.
:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kekasihku (Rasulullah) ﷺ berwasiat kepadaku supaya melakukan tiga perkara iaitu: Berpuasa tiga hari pada setiap bulan, dua rakaat Dhuha dan melakukan solat witir sebelum tidur.”
(HR. Bukhari,no.1981. Muslim,no.721)
:: Hadis 5 ::
dari Kharijah bin Hudzafah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir. Maka jadikanlah ia di antara solat Isyak sehingga terbit fajar’.”
(HR. Abu Daud,no.1418. at-Tirmidzi,no.452. Ibnu Majah,no.1168)
NOTA:
Hadis ini Dha’if, dinilai Dha’if oleh imam at-Tirmidzi sendiri setelah beliau meriwayatkan hadis ini dengan katanya: “Hadis Kharijah bin Hudzafah adalah hadis Gharib, kami tidak mengetahuinya kecuali dari hadis Yazid bin Abi Habib..” (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.452). Hadis ini juga dinilai Dha’if oleh imam al-Bukhari dan imam an-Nawawi, sebagaimana yang dinukilkan oleh imam an-Nawawi, kata beliau: “Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi dengan lafaz (أمدكم) daripada riwayat Kharijah bin Hudzafah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah ﷺ keluar menemui kami lalu bersabda: ‘Sesungguhnya Allah mengurniakan kamu satu solat yang lebih baik daripada unta merah yang mahal harganya iaitu solat Witir, maka jadikanlah ia di antara solat Isyak sehingga terbit fajar’. Inilah lafaz riwayat Abu Daud. Dalam riwayat at-Tirmidzi pula, disebutkan ‘di antara solat Isyak hingga terbit fajar’. Sanad hadis ini mempunyai kelemahan, dan imam al-Bukhari serta ulama lain menunjukkan kelemahannya” (rujuk: al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab,4/18).
Wednesday, December 18, 2024
Kelebihan Solat Witir
Malaikat Berkepala Kambing

dari al-‘Abbas bin ‘Abdul Mutthalib,dia berkata,
“Aku berada di al-Bathẖa' bersama satu kumpulan yang di dalamnya ada Rasulullah ﷺ. Lalu melintasi mereka segumpal awan, maka baginda memandang kepadanya dan bersabda: ‘Apakah yang kamu namakan ini?’ Mereka menjawab: ‘as-Saẖab (awan)’. Baginda bersabda: ‘Dan al-Muzn (awan yang membawa hujan)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, al-Muzn’. Baginda bersabda lagi: ‘Dan al-‘Anan (awan tinggi)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, al-‘Anan’. Kemudian baginda bersabda: ‘Adakah kamu tahu jarak antara langit dan bumi?’ Mereka menjawab: ‘Kami tidak tahu’. Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya jarak antara keduanya adalah 71, 72, atau 73 tahun. Kemudian langit yang berada di atasnya juga demikian keadaannya sehingga disebutkan 7 lapisan langit. Di atas langit yang ketujuh terdapat lautan, di antara bahagian bawahnya dan atasnya adalah seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian di atasnya terdapat 8 Au‘al di antara kuku-kuku kaki mereka dan lutut mereka seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian di atas belakang mereka terdapat ‘Arasy, jarak antara bahagian bawah ‘Arasy dan bahagian atasnya adalah seperti jarak antara satu langit ke langit yang lain. Kemudian Allah Tabaraka wa Ta‘ala berada di atas itu’.”
(HR. Abu Daud,no.4723. at-Tirmidzi,no.3320. Ibnu Majah,no.193. Ini lafaz Abu Daud)
NOTA (1):
Tentang maksud “Au‘al”, imam ibnu al-Atsir berkata: “(Au‘al) iaitu malaikat-malaikat yang berbentuk seperti Au‘al (kambing gunung), dan seekornya disebut wa‘il dengan baris bawah pada huruf ‘ain...” (rujuk: al-Nihayah,3/355)
NOTA (2):
Adapun tentang kesahihan hadis ini, hadis ini dinilai Dha’if (lemah: tidak sahih) dan Mursal (sanadnya terputus) oleh para Ulama’ Hadis kerana hadis ini diriwayatkan oleh (perawi) Simak bin Harb dari ‘Abdullah bin ‘Amirah dari al-Aẖnaf bin Qais dari ‘Abbas bin Abi Mutthalib. Disisi imam al-Bukhari, hadis ini sanadnya terputus antara (perawi) ‘Abdullah bin ‘Amirah dan al-Aẖnaf bin Qais. Beliau (imam al-Bukhari) berkata: “Dan kami tidak mengetahui bahawa dia (‘Abdullah) mendengar daripada al-Aẖnaf” (rujuk: Tarikh al-Kabir,5/159). Ulama’ Hadis yang lain juga menilai bahawa hadis ini tidak sahih. Imam al-Bazzar berkata: “Kami tidak mengetahui hadis ini diriwayatkan dengan lafaz dan kandungan ini melainkan melalui sanad ini daripada al-‘Abbas daripada Nabi ﷺ. Dan ‘Abdullah bin ‘Amirah, kami tidak mengetahui sesiapa yang meriwayatkan daripadanya selain Simak bin Harb” (rujuk: Musnad al-Bazzar,4/115). Imam Ibnu ‘Adiy berkata: “Hadis ini ghoir mahfuzh (tidak terpelihara)” (rujuk: al-Kamil,9/27). Imam adz-Dzahabi berkata: “Simak bersendirian meriwayatkannya daripada ‘Abdullah, sedangkan ‘Abdullah tidak diketahui (majhul)” (rujuk: al-‘Uluw,1/60). Hadis ini dinilai Dha‘if oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah adh-Dha‘ifah,1247) dan hadis ini juga dinilai Dha‘if oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi, kata beliau: “Hadis al-Au‘al Dha’if. Setiap hadis al-Au‘al dan al-Abdal tu Dha’if” (rujuk: video).
Wallahua‘lam.
Sunday, December 15, 2024
Manusia Ada 360 Sendi

dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya setiap manusia daripada anak Adam diciptakan dengan 360 sendi. Maka, sesiapa yang bertakbir kepada Allah (mengucapkan: Allahuakbar), memuji Allah (mengucapkan: Alhamdulillah), mengucapkan ‘La ilaha illallah’ (tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah), bertasbih kepada Allah (mengucapkan: SubhanAllah), memohon keampunan (beristighfar) kepada Allah, menyingkirkan batu dari jalan, duri, atau tulang dari laluan orang ramai, menyeru kepada kebaikan, atau mencegah kemungkaran sehingga memenuhi bilangan 360 sendi itu, maka dia akan berjalan pada hari tersebut dengan dirinya dijauhkan dari api neraka.”
(HR. Muslim,no.1007)
Saturday, December 14, 2024
Gangguan Syaitan Ketika Solat

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Sehinggalah iqamah itu telah selesai, maka syaitan akan kembali (mengganggu) hingga mengingatkan seseorang dalam dirinya. Syaitan berbisik: ‘Ingat demikian, ingat demikian’ untuk sesuatu yang tidak dia ingat sebelumnya hingga seorang lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia telah solat.”
(HR. Bukhari,no.608. Muslim,no.389)
Friday, December 13, 2024
Kalung Di Leher Cucu Nabi

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Aku bersama Rasulullah ﷺ di salah satu pasar di Madinah. Kemudian baginda berlalu pergi, maka aku pun turut berlalu bersama baginda. Baginda bersabda: ‘Di manakah budak kecil itu? (sebanyak tiga kali)’, ‘Panggillah Hasan bin ‘Ali’. Lalu Hasan bin ‘Ali bangun berjalan, dan di lehernya ada Sikhab (benang yang dibentuk seperti kalung). Rasulullah ﷺ menghulurkan tangan baginda ke arahnya seperti ini (menghulurkan pelukkan), dan Hasan juga menghulurkan tangannya seperti itu. Kemudian baginda memeluknya dan bersabda: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya. Maka cintailah dia, dan cintailah sesiapa yang mencintainya’.” Abu Hurairah berkata: “Selepas Rasulullah ﷺ mengucapkan apa yang baginda ucapkan, tiada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Hasan bin ‘Ali.”
(HR. Bukhari,no.5884)
NOTA:
Imam al-Bukhari meletakkan hadis ini dalam kitab Sahihnya dengan tajuk bab: باب السِّخَابِ لِلصِّبْيَانِ (Bab Kalung Untuk Kanak-Kanak).
Masuk Syurga Kerana ‘Takut’

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga.”
(ar-Rahman [55]: ayat 46)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak akan masuk neraka seseorang yang menangis kerana takut kepada Allah sehinggalah susu masuk semula ke dalam kantungnya. Tidaklah akan berkumpul debu di jalan Allah dengan asap api neraka.”
(HR. at-Tirmidzi,no.1633. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Dahulu ada seorang lelaki yang kecewa terhadap dirinya. Ketika dia hampir mati, dia berkata kepada anak-anaknya: ‘Jika aku mati, kamu semua bakarlah aku, hancur debukan aku kemudian jadikan aku ditiup angin. Demi Allah! Jika tuhanku dapat menangkapku nescaya Dia akan mengazabku dengan azab yang Dia tidak pernah azab sesiapa pun’. Apabila dia mati, hasratnya dilakukan kepadanya. Maka Allah memerintahkan bumi: ‘Himpunkan dia’. Maka bumi lakukannya lalu dia pun berdiri (dibangkitkan). Allah berkata: ‘Apakah yang menyebabkan engkau lakukan tindakanmu itu?’ Dia menjawab: ‘Wahai Tuhanku, kerana takutkan Engkau’. Maka Allah pun mengampunkannya.”
(HR. Bukhari,no.3481. Muslim,no.2756. Ini lafaz Bukhari)
Galakkan Dan Kelebihan Berzikir

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan ingatlah kepada Tuhanmu (dengan berzikir) banyak-banyak, dan bertasbihlah memuji Allah (dengan mengerjakan solat), pada waktu malam dan pada waktu pagi.”
(Ali 'Imraan [3]: ayat 41)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.
(al-Ahzaab [33]: ayat 35)
:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah mudahkan gunung-ganang turut bertasbih memuji Kami bersama-sama dengannya; pada waktu petang dan ketika terbit matahari.”
(S̄aad [38]: ayat 18)
:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Malaikat yang memikul ‘Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhan-Nya; dan beriman kepada-Nya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): ‘Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.”
(Ghaafir [40]: ayat 7)
:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(as̄-S̄aff [61]: ayat 1)
:: al-Quran 6 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.”
(al-Israa' [17]: ayat 44)
:: Hadis 1 ::
dari Abu Musa,Nabi ﷺ bersabda,
“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Allah dan orang yang tidak berzikir kepada Allah seperti orang yang hidup dan mati.”
(HR. Bukhari,no.6407)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat-malaikat yang berkeliling di jalan-jalan, mencari orang-orang yang berzikir (mengingati Allah). Apabila mereka menemui satu kaum yang sedang berzikir kepada Allah, mereka akan memanggil sesama mereka: ‘Mari kepada tujuan kalian’. Lalu mereka mengelilingi kaum tersebut dengan sayap-sayap mereka hingga memenuhi ruang antara mereka dan langit dunia. Kemudian Allah bertanya kepada para malaikat itu (sedangkan Dia lebih mengetahui): ‘Apa yang diucapkan oleh hamba-hamba-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Mereka bertasbih, bertakbir, memuji, dan mengagungkan-Mu’. Allah bertanya: ‘Apakah mereka pernah melihat-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Demi Allah, mereka belum pernah melihat-Mu’. Allah bertanya: ‘Bagaimana pula jika mereka melihat-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Jika mereka melihat-Mu, pastilah mereka akan lebih bersungguh-sungguh dalam beribadah, lebih mengagungkan, dan lebih banyak bertasbih kepada-Mu’. Allah bertanya: ‘Apa yang mereka pohonkan kepada-Ku?’ Malaikat menjawab: ‘Mereka memohon syurga kepada-Mu’. Allah bertanya: ‘Apakah mereka pernah melihat syurga?’ Malaikat menjawab: ‘Demi Allah, wahai Tuhan kami, mereka belum pernah melihatnya’. Allah bertanya: ‘Bagaimana pula jika mereka melihatnya?’ Malaikat menjawab: ‘Jika mereka melihatnya, mereka pasti akan lebih bersemangat untuk mendapatkannya, lebih bersungguh-sungguh mencarinya, dan lebih besar keinginannya terhadapnya’. Allah bertanya: ‘Daripada apa mereka memohon perlindungan?’ Malaikat menjawab: ‘Mereka memohon perlindungan daripada neraka’. Allah bertanya: ‘Apakah mereka pernah melihat neraka?’ Malaikat menjawab: ‘Demi Allah, mereka belum pernah melihatnya’. Allah bertanya: ‘Bagaimana pula jika mereka melihatnya?’ Malaikat menjawab: ‘Jika mereka melihatnya, mereka pasti akan lebih menjauhinya dan lebih takut terhadapnya’. Allah berfirman: ‘Aku bersaksi kepada kalian bahawa Aku telah mengampuni mereka’. Lalu salah seorang malaikat berkata: ‘Di kalangan mereka ada seorang yang bukan daripada golongan tersebut, dia hanya datang kerana ada hajat tertentu’. Allah berfirman: ‘Mereka adalah satu kaum yang mana sesiapa yang duduk bersama mereka tidak akan celaka’.”
(HR. Bukhari,no.6408)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Darda’,Nabi ﷺ bersabda,
“Mahukah kamu semua aku tunjukkan amalan yang lebih baik dan lebih suci di sisi Tuhanmu dan yang lebih tinggi kedudukannya? Lebih baik bagi kamu berbanding menginfakkan emas dan perak? Lebih baik dari kamu bertempur dengan musuh, kamu memancung mereka dan mereka memancung kamu?” Para sahabat menjawab: “Bahkan, wahai Rasulullah”. Baginda bersabda: “Zikrullah Ta‘ala”.
(at-Tirmidzi,no.3377. Ibn Majah,no.3790. Malik,no.501)
NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ dari jalur Marfu’ (disandarkan kepada Rasulullah), namun kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi, hadis ini ‘Sahih Mauquf’, ianya sahih sebagai kata-kata Abu Darda’, bukan kata-kata Rasulullah (rujuk: video). Imam ibnu Rajab al-Hanbali juga berkata: “Mauquf ke atas Abu Darda'” (rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam,2/67).
Dunia Tempat Ujian

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’.”
(al-Baqarah [2]: ayat 155-156)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya.”
(al-Kahfi [18]: ayat 7)
:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
(al-Anbiya' [21]: ayat 35)
:: al-Quran 4 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.”
(al-‘Ankabut [29]: ayat 2-3)
:: al-Quran 5 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
(al-Mulk [67]: ayat 2)
:: al-Quran 6 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.”
(al-Insaan [76]: ayat 2)
Tahap Kepanasan Neraka

Thursday, December 12, 2024
Jika Rasulullah Tertinggal Solat Sunat Malam

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahawa Rasulullah ﷺ apabila tertinggal solat malam disebabkan sakit atau halangan lain, baginda akan menunaikan 12 rakaat pada waktu siang.”
(HR. Muslim,no.746)
Saturday, November 30, 2024
Doa Naik Kenderaan

dari ‘Ali bin Rabi‘ah,dia berkata,
“Aku menyaksikan ‘Ali r.a. ketika didatangkan kepadanya seekor binatang tunggangan untuk ditungganginya. Ketika beliau meletakkan kakinya pada pelana, beliau mengucapkan: “Bismillah (Dengan nama Allah)”. Setelah beliau berada di atas belakangnya (binatang itu), beliau mengucapkan: “Alẖamdulillah (Segala puji bagi Allah)”. Kemudian beliau membaca ayat (az-Zukhruf [43]: ayat 12 - 13):
سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Subẖanalladzi Sakh-khoro Lana Hadza Wama Kunna Lahu Muqrinin, Wa inna ila Robbina Lamun-Qolibun
(Maha Suci Allah yang telah menundukkan ini untuk kami, padahal sebelumnya kami tidak mampu menguasainya, dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami).
Kemudian beliau mengucapkan: “Alẖamdulillah” sebanyak 3 kali, dan “Allahu Akbar” sebanyak 3 kali. Setelah itu beliau berkata:
سُبْحَانَكَ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Subẖanaka inni Zholamtu Nafsi Faghfirli, Fa innahu La Yaghfiru Dzunuba illa Anta
(Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri, maka ampunilah aku, kerana sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau).
Kemudian beliau tersenyum. Lalu ditanyakan kepadanya: ‘Wahai Amirul Mukminin, mengapa engkau tersenyum?’ Beliau menjawab: “Aku melihat Nabi ﷺ melakukan sebagaimana yang aku lakukan, kemudian baginda tersenyum. Lalu aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau tersenyum?’ Baginda menjawab: ‘Sesungguhnya Tuhanmu merasa takjub terhadap hamba-Nya apabila dia berkata: ‘Ampunilah dosa-dosaku’, sedangkan dia mengetahui bahawa tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa selain Aku’.”
(HR. Abu Daud,no.2602. at-Tirmidzi,no.3446. Dan ini lafaz Abu Daud. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih Abi Daud,no.2606])
NOTA:
Monday, November 18, 2024
Sunnah Ketika Hujan Dan Dalil Berkaitan Dengannya

● DOA KETIKA HUJAN BARU TURUN ●
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ apabila melihat hujan, baginda berdoa:
اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا
Allahumma Soyyiban Nafi‘aa
(Ya Allah, cucurilah kami dengan hujan yang bermanfaat).”
(HR. Bukhari,no.1032)
● SUNNAH MENGENAKAN AIR HUJAN PADA TUBUH ●
dari Anas bin Malik,dia berkata,
‘’Hujan turun dan kami pada ketika itu bersama dengan Rasulullah ﷺ. Lalu Rasulullah ﷺ menyelak baju baginda sehinggalah hujan menimpa badan baginda. Kemudian kami bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapakah engkau melakukan ini?’ Maka jawab baginda: ‘Kerana ia baru sahaja datang (turun) dari Tuhannya yang Maha Tinggi’.”
(HR. Muslim,no.898)
NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Hadis ini bermaksud, hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah Ta‘ala yang baru sahaja diciptakan, maka baginda bertabarruk (ambil berkat) dengannya. Hadis ini merupakan dalil kepada pendapat ulama kami (mazhab Syafi‘i) bahawa digalakkan untuk menyingkap (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan dapat kena padanya. Hadis ini jua menunjukkan apabila seseorang melihat orang yang lebih mulia/alim melakukan sesuatu, sedangkan dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah orang itu bertanya kepada orang yang lebih mulia tadi agar dapat mengamalkannya, dan mengajarkan orang lain” (rujuk: Syarah Sahih Muslim,6/195)
● AIR HUJAN ADALAH AIR YANG BERKAT ●
:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan juga Kami telah menurunkan dari langit air (hujan) yang berkat (banyak faedahnya), lalu Kami tumbuhkan dengan air itu pokok-pokok tanaman (buah-buahan) dan biji-bijian yang dituai.”
(Qaaf [50]: ayat 9)
:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan Syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).”
(al-Anfaal [8]: ayat 11)
● DOA JIKA HUJAN TERLALU LEBAT DAN DIBIMBANGI BANJIR TERUK ●
dari Anas,dia berkata,
“...Tiba-tiba muncul dari arah belakangnya awan mendung seperti perisai. Ketika awan tersebut berada di tengah langit, maka ia melebar. Kemudian turunlah hujan. Dan tidak, demi Allah, kami tidak melihat matahari selama seminggu. Kemudian ada seorang lelaki masuk (ke dalam masjid) melalui pintu yang sama pada Jumaat berikutnya, sedangkan Rasulullah ﷺ sedang berdiri menyampaikan khutbah. Lalu dia menghadap ke arah baginda sambil berdiri dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, telah binasa harta benda dan perjalanan juga terputus (tidak dapat diteruskan). Oleh itu, berdoalah kepada Allah agar Dia menahannya (hujan yang turun berlebihan itu) daripada kami.’
Lalu Rasulullah mengangkat kedua tangan baginda, kemudian berdoa:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلاَ عَلَيْنَا، اللَّهُمَّ عَلَى الآكَامِ وَالظِّرَابِ، وَبُطُونِ الأَوْدِيَةِ، وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Allahumma H̱awaalainaa Walaa ‘Alaina. Allahumma ‘Alal Aakaami Wazh-Zhirob, Wa Buthunil Awdiyyah, Wa Manaa-bitisy Syajar
(Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami dan tidak di atas kami. Ya Allah turunkan hujan di atas bukit-bukit yang tinggi, bukit-bukit yang mendatar, dasar-dasar lembah, dan tempat tumbuhnya pepohon).
Setelah itu, hujan pun berhenti dan kami keluar (dari masjid) berjalan di bawah sinar matahari.”
(HR. Bukhari,no.1014. Muslim,no.897)
Wednesday, November 13, 2024
Doa Perlindungan Dari Fitnah Dajjal

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahhud akhir, maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara, dengan berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Allahumma inni A‘udzubika Min ‘Adzabi Jahannam, Wa Min ‘Adzabil Qabr, Wa Min Fitnatil Maẖyaa Wal Mamaat, Wa Min Syarri Fitnatil Masiẖid Dajjal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab Neraka Jahannam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian dan daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal).”
(HR. Muslim,no.588a)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Allahumma inni A‘udzubika Min ‘Adzabil Qobr, Wa Min ‘Adzabin-Nar, Wa Min Fitnatil Maẖya Wal Mamat, Wa Min Fitnatil Masiẖid Dajjal
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah hidup dan mati dan daripada fitnah Masih al-Dajjal).”
(HR. Bukhari,no.1377)
Tuesday, November 5, 2024
Bukan Islam Masuk Masjid

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) yang bernama Tsumamah bin Utsal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid.”
(HR. Bukhari,no.469. an-Nasaie,no.712)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin Utsal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi ﷺ keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia berkata: ‘Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Tsumamah?’ Dia menjawab: ‘Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bebaskanlah Tsumamah’. Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?’ Rasulullah ﷺ memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: ‘Engkau telah menukar agama’. Dia berkata: ‘Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad ﷺ. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya’ir dari Yamamah kepada kalian sehingga Nabi ﷺ mengizinkan’.”
(HR. Bukhari,no.4372. Muslim,no.1764)
NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami bahawa orang bukan Islam boleh memasuki masjid, kerana Rasulullah ﷺ mengikat Tsumamah bin Utsal di tiang masjid, walhal Tsumamah ketika itu belum memeluk Islam.
wallahua’lam.
Saturday, November 2, 2024
Allah Menulis Taurat Dengan Tangan-Nya

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Allah ‘Azza wa Jalla menciptakan empat perkara dengan tangan-Nya, sedangkan selainnya, Dia berfirman kepadanya: ‘Jadilah!’, maka terjadilah. Allah menciptakan Qalam (pena) dengan tangan-Nya, Adam dengan tangan-Nya, Taurat yang ditulis-Nya dengan tangan-Nya, dan Syurga ‘Adn dengan tangan-Nya.”
(HR. ‘Abdullah bin Ahmad [rujuk: as-Sunnah,2/484-485])
NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’, kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Hasan bin Abi Ja’far, yang mana dia dinilai Dhaif oleh para Ulama’ Hadis. Imam Ibn al-Madini berkata (tentangnya): “Dhaif”. Kata imam al-Bukhari: “Munkarul Hadis (Hadisnya Munkar)”. Kata imam Ibn Ma‘in: “Laisa bi syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)”. Imam Ahmad dan imam an-Nasaie juga menilainya sebagai perawi yang Dhaif (rujuk: imam adz-Dzahabi,Mizan al-I’tidal,1/482). Walaupun hadis ini Dhaif, namun maknanya sahih berdasarkan hadis sahih yang lain:
:: Hadis 2 ::
dari Maisarah Abi Soleh maula Kindah,salah seorang Tabi‘in berkata,
“Sesungguhnya Allah tidak menyentuh apa-apa dari ciptaan-Nya kecuali tiga perkara: Dia mencipta Adam dengan tangan-Nya, menulis Taurat dengan tangan-Nya, dan menanam (pepohon) Syurga ‘Adn dengan tangan-Nya.”
(HR. ‘Ustman ad-Darimi [rujuk: Naqd ad-Darimi,99]. Dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Abu Mans̄ur as-Samari/Simari dalam Tahqiq beliau ke atas Naqd ad-Darimi)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Berlaku perdebatan antara Adam dan Musa. Musa berkata: ‘Wahai Adam, kamu adalah bapa yang telah mengecewakan dan mengeluarkan kami dari syurga’. Adam berkata: ‘Wahai Musa, kamu dipilih oleh Allah dengan dianugerahkan Kalam-Nya dan menuliskan untukmu (Kitab Taurat) dengan Tangan-Nya, lalu kamu mencelaku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah ke atasku 40 tahun sebelum Dia menciptaku’. Maka seperti itu hujah Adam mengatasi hujah Musa, hujah Adam mengatasi hujah Musa. Disebut sebanyak tiga kali.”
(HR. Bukhari,no.6614)