Monday, February 19, 2024

Sedekah Kepada Ahli Keluarga Yang Memerlukan Lebih Afdhal Daripada Orang Luar

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta...”
(al-Baqarah [2]: ayat 177)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dinar (harta) yang engkau nafkahkan di jalan Allah, dinar yang engkau nafkahkan untuk membebaskan hamba, dinar yang engkau sedekahkan untuk orang miskin, dan dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu; maka yang paling besar pahalanya adalah yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.”
(HR. Muslim,no.995. Ahmad,no.9786)

:: Hadis 2 ::
dari Sa‘ad bin Abi Waqqas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya engkau tidaklah memberikan nafkah yang dengannya engkau mengharapkan wajah Allah kecuali pasti diberi pahala atasnya, sehinggakan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu.”
(HR. Bukhari,no.56. Muslim,no.1628)

:: Hadis 3 ::
dari Jabir bin ‘Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mulakanlah dari dirimu sendiri dan bersedekahlah (menabung) untuk dirimu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk keluargamu (anak dan isterimu). Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk kerabat dekatmu. Jika ada lebihan dari itu, maka ianya untuk tujuan ini dan itu, yang ada di hadapanmu, di kanan dan di kirimu.”
(HR. Muslim,no.997. an-Nasaie,no.2546)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Seorang lelaki telah datang bertemu Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku ada satu dinar’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Jadikan nafkah untuk dirimu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada anakmu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada Isterimu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Berikan sebagai nafkah kepada pembantu kamu’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku ada satu dinar lagi’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Engkau lebih tahu (ia untuk siapa)’.”
(HR. Abu Daud,no.1691. an-Nasaie,no.2535. Ibnu Hibban,no.3337. Dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa’ al-Ghalil,no.895])

NOTA:
Imam al-Nawawi mengatakan, pemberian infaq kepada ahli keluarga adalah lebih afdhal berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim sekalipun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Rasulullah ﷺ memerintahkan Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya, maka beliau memberikannya kepada Ubai bin Ka‘ab dan Hassan bin Tsabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7 (rujuk: al-Minhaj Syarh Sahih Muslim,7/86).

Sunday, February 18, 2024

Kisah Pengumpulan al-Quran

dari Zaid bin Tsabit,dia berkata,
“Abu Bakar mengirim (utusan) kepadaku setelah peristiwa perang ahli Yamamah, dan ‘Umar bin al-Khattab berada di sisinya”. Abu Bakar berkata: “Umar datang kepadaku dan berkata: ‘Sesungguh peperangan pada peristiwa Yamamah telah memanaskan (mengorbankan) para penghafal al-Quran, dan sesungguhnya aku khuatir sekiranya peperangan terus mengorbankan para penghafal al-Quran di berbagai tempat, maka sebahagian besar daripada al-Quran akan hilang, dan aku berpendapat sebaiknya engkau perintahkanlah untuk mengumpulkan al-Quran’. Aku berkata kepada Umar: ‘Bagaimana kamu hendak melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan Rasulullah ﷺ?’ ‘Umar berkata: ‘Demi Allah, ini adalah perkara baik’. Maka ‘Umar terus-menerus mengajukan pandangannya kepadaku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk perkara ini (mengumpulkan al-Quran), dan aku pun berpandangan dalam hal itu seperti pandangan ‘Umar’.” Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya engkau seorang pemuda yang cerdas dan kami tidak pernah mengesyakimu (melakukan pendustaan). Dan dahulu engkau menulis wahyu untuk Rasulullah ﷺ. Jejakilah al-Quran dan kumpulkanlah ia”. Demi Allah, sekiranya mereka pertanggungjawabkan kepadaku untuk memindahkan salah satu gunung, maka itu tidak lebih berat (yakni itu lebih mudah) bagiku daripada apa yang dia perintahkan kepadaku, iaitu mengumpulkan al-Quran. Aku berkata: “Bagaimana kamu melakukan sesuatu yang tidak dilakukan Rasulullah?” Dia berkata: “Demi Allah, ia adalah perkara yang baik”. Abu Bakar terus menerus mengajukan (mengusuli) pandangannya kepadaku sehingga Allah melapangkan dadaku untuk perkara yang dilapangkan dada Abu Bakar dan ‘Umar melakukannya. Maka aku pun menjejak al-Quran, mengumpulkannya dari pelepah kurma, hamparan batu-batu, dan dada-dada (yakni hafalan) orang. Sehingga aku menemui akhir surah al-Taubah bersama Abu Khuzaimah al-Ans̄ari, dan aku tidak mendapatinya ada pada orang lain (ayat al-Quran): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad ﷺ), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman (at-Taubah [9]: ayat 128)”, sehingga akhir surah Bara‘ah. Maka lembaran-lembaran itu berada pada Abu Bakar sehingga Allah mewafatkannya, kemudian berada pada ‘Umar selama hidupnya. Setelah itu berada pada Hafsah binti ‘Umar.”
(HR. Bukhari,no.4986)

Ahli Syurga Masih Ingat Buah-Buahan Ketika Di Dunia Dahulu

Allah ﷻ berfirman:
“Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: ‘Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu’, dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.”
(al-Baqarah [2]: ayat 25)

Pandanglah Orang Yang Di Bawah Pada Perkara Dunia, Jangan Pandang Orang Yang Di Atas

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu melihat kelebihan seseorang pada hartanya dan fizikalnya, maka hendaklah dia melihat kepada seseorang yang lebih rendah (atau kurang) daripada dirinya.”
(HR. Bukhari,no.6490)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pandanglah orang yang berada dibawah kamu, jangan memandang yang ada di atas kamu, itu lebih baik membuat kamu tidak mengkufuri nikmat Allah.”
(HR. Muslim,no.2963)

Saturday, February 17, 2024

Nabi Isa, Nabi Muhammad & Allah Disebut Sebagai “Hakim”

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Demi yang jiwaku ditangan-Nya, sungguh hampir saja turun kepada kamu ‘Isa bin Maryam sebagai hakim yang adil, dia mematahkan salib, dan membunuh babi, dan meletakkan jizyah, tidak menerimanya dari orang kafir, datang harta yang banyak namun tidak ada seorangpun yang mau menerimanya, sehingga satu sujud lebih baik dari dunia seisinya.” Kemudian Abu Hurairah berkata: “jika kamu mahu, bacalah ayat Allah: ‘Tidak seorangpun dari Ahli Kitab, kecuali akan beriman kepadanya sebelum kematiannya, dan di hari kiamat nanti ‘Isa itu akan menjadi saksi terhadap mereka (an-Nisa' [4]: ayat 158)’.”
(HR. Bukhari,no.3448. Muslim,no.155)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.”
(an-Nisa' [4]: ayat 65)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Kuasa pemerintahan pada hari kiamat itu tertentu bagi Allah. Ia akan menghukum di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan beramal soleh ditempatkan di dalam Syurga yang penuh dengan segala nikmat dan kesenangan.”
(al-Hajj [22]: ayat 56)

Allah Menggenggam Bumi Pada Hari Kiamat Dengan Tangan-Nya

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ubaidullah bin Miqsam,bahawa beliau melihat ‘Abdullah bin ‘Umar bagaimana beliau menghikayatkan Rasulullah ﷺ bersabda:
“Allah ‘azza wa jalla akan mengambil langit-langit-Nya dan bumi-bumi-Nya dengan dua tangan-Nya lalu berkata: ‘Akulah Allah’. Sambil baginda menggenggam jari-jari baginda dan melepaskannya: ‘Akulah al-Malik (Raja)’. Sehingga aku melihat kepada mimbar bergerak-gerak daripada bawahnya sehingga aku berkata: ‘adakah ia akan jatuh bersama Rasulullah ﷺ?’.”
(HR. Muslim,no.2788)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda di atas mimbar: ‘al-Jabbar (Allah) akan mengambil langit-langit-Nya dan bumi-Nya dengan Tangan-Nya dan menggenggam tangan-Nya itu, menggenggam dan membukanya, kemudian berfirman: ‘Aku al-Jabbar, Aku adalah Raja. Mana orang-orang yang zalim? Mana orang-orang yang sombong?’ Dan Rasulullah ﷺ bergerak ke kanan dan ke kiri hingga aku melihat mimbar bergerak sedikit di bahagian bawahnya, sehingga aku berkata: ‘Adakah ia akan jatuh bersama Rasulullah ﷺ?’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4275)

Allah Jadikan Bumi Menjadi Sekeping Roti Pada Hari Kiamat

dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Bumi pada hari kiamat nanti menjadi sekeping roti, al-Jabbar (Allah) akan membolak-balikkannya dengan tangan-Nya seperti mana seseorang kamu membolak-balikkan rotinya sewaktu safar, ia disediakan sebagai hidangan untuk Ahli Syurga”. Kemudian itu datang seorang lelaki Yahudi seraya berkata: ‘Semoga kamu diberkati ar-Rahman (Allah) wahai Abul Qasim (Rasulullah), mahukah kamu aku memberitahu berkenaan hidangan untuk Ahli Syurga di hari kiamat?’ Jawab baginda: ‘Silakan’. Lelaki Yahudi itu berkata: ‘Bumi akan menjadi sekeping roti..’ sama seperti yang diceritakan Nabi ﷺ lalu Nabi ﷺ melihat kepada kami kemudian ketawa sehingga tampak gusi baginda. Kemudian lelaki Yahudi itu berkata: ‘Apakah mahu aku beritakan kepada kamu berkenaan kuah cicah mereka?’ Katanya: ‘kuah cicah mereka adalah Balam dan Nun’. Kata para Sahabat: ‘apakah ini? (yakni Balam)’ katanya: ‘Lembu liar dan ikan nun, akan makan seramai 70,000 orang daripada “zaidah” hati keduanya (bahagian pada hati Nun dan Lembu dan ia adalah bahagian yang paling sedap)’.”
(HR. Bukhari,no.6520. Muslim,no.2792)

Friday, February 16, 2024

Kenapa Allah Tidak Beri Kekayaan Kepada Seseorang?

Allah ﷻ berfirman:
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya, lagi Melihat dengan nyata.”
(asy-Syura [42]: ayat 27)

Istighfar Boleh Menghilangkan Musibah?

dari Ibnu ‘Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang melazimi (sentiasa) istighfar, Allah menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
(HR. Abu Daud,no.1518. Ibnu Majah,no.3819)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh para Ulama’ Hadis, kerana dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama al-Hakam bin Mus‘ab yg mana imam Ibnu Hibban berkata tentangnya: “Dia melakukan kesilapan” (rujuk: ast-Tsiqat,6/187). Imam al-Baghawi menilainya Dhaif (rujuk: Syarh as-Sunnah,3/100). Imam adz-Dzahabi juga berkata tentangnya: “al-Hakam padanya Jahalah (majhul/tidak dikenali)” (rujuk: al-Muhadzhab fii ikhtisar al-Sunan al-Kabir,2/168). Juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah ad-Dhaifah,no.705). Walaupun hadis ini Dhaif, namun maknanya benar berdasarkan dalil yg lain:

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).”
(al-Anfal [8]: ayat 33)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sehingga aku (Nabi Nuh) berkata (kepada mereka): ‘Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).”
(Nuh [71]: ayat 10 - 12)

:: al-Qur'an 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepada-Nya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya).”
(Hud [11]: ayat 3)

Thursday, February 15, 2024

Larangan Menulis Hadis

dari Abu Sa'id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah kamu menulis sesuatu daripadaku, sesiapa menulis sesuatu daripadaku selain al-Quran, maka hendaklah ia menghapusnya dan menceritakan dariku, kerana itu tidak ada salahnya.”
(HR. Muslim,no.3004)

NOTA:
Imam al-Bukhari menilai hadis ini Mauquf kepada Abu Sa‘id al-Khudri (rujuk: Ibnu Hajar,Fathul Bari,1/208). Imam Abu Daud juga menilai hadis ini terhenti (mauquf) kepada Abu Sa‘id al-Khudri dengan katanya: “Ianya Munkar, kesilapan terdapat pada (perawi) Hammam..” (rujuk: al-Mizzi,Tuhfat al-Asyraf bi Ma’rifat al-Athraf,3/408). Imam al-Khatib al-Baghdadi juga berkata bahawa yang mahfuzh (terpelihara), hadis ini adalah kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri, bukan Marfu’ (kata-kata Nabi ﷺ) (rujuk: Taqyid al-‘ilm,30). Namun terdapat hadis yang lebih sahih dan jelas daripada Nabi ﷺ tentang bolehnya menulis hadis, seperti hadis ini:

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Ketika Allah membuka Makkah untuk Rasul-Nya, baginda berdiri di antara manusia lalu memuji Allah dan menyanjung-Nya, kemudian bersabda: ‘Sesungguhnya Allah menahan pasukan gajah dari Makkah dan menjadikan rasul-Nya dan orang-orang beriman berkuasa ke atasnya. Sesungguhnya Makkah tidak halal bagi seorang pun sebelumku, dan ia dihalalkan untukku seketika daripada waktu siang. Sesungguhnya ia tidak akan halal bagi seorang pun sesudahku. Tidak boleh diusik binatang buruannya, tidak ditebang pohonnya yang berduri, tidak halal diambil barang temuannya kecuali bagi orang yang ingin mengumumkan, dan barang siapa dibunuh anggota keluarganya, maka dia boleh memilih dua perkara: Mengambil tebusan atau minta ditegakkan syarat’. al-Abbas berkata: ‘Kecuali izkhir, sesungguhnya kita menggunakannya untuk kubur dan rumah’. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kecuali izkhir’. Abu Syah seorang penduduk Yaman bangkit lalu berkata: ‘Tuliskan untukku, wahai Rasulullah!’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu tolong tuliskan untuk Abu Syah’.”
(HR. Bukhari,no.2434. Muslim,no.1355)
 
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat Nabi ﷺ yang lebih banyak meriwayatkan hadis baginda ﷺ berbanding aku kecuali ‘Abdullah bin ‘Amr. Ini kerana dia menulis, sedangkan aku tidak menulis.”
(HR. Bukhari,no.113. at-Tirmidzi,no.3841)

Wednesday, February 14, 2024

Allah Suka Orang Yang Berlemah Lembut Dan Tidak Bersikap Kasar

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Ali 'Imran [3]: ayat 159)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”
(Fussilat [41]: ayat 34 - 35)

:: Hadis ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Sekumpulan orang Yahudi meminta izin kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assaamu‘alaika (maut ke atasmu)’. Aku menjawab: ‘Bal ‘alaikum assamu wal la’nah (Bahkan untuk kamu maut dan juga laknat)’. Maka Nabi bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya Allah itu lunak dan mencintai kelunakkan di dalam semua urusan’. Aku menjawab: ‘Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?’ Baginda menjawab: ‘Aku menjawab ‘wa‘alaikum (ke atas kamu juga)’.”
(HR. Bukhari,no.6927. Muslim,no.2165)

Tuesday, February 13, 2024

Singgahsana Iblis Di Atas Air (Laut)

dari Jabir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut) lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka menghadap Iblis, seraya berkata: ‘Aku telah berbuat sekian sekian’. Iblis menjawab: ‘Kamu tak buat apa pun’. Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: ‘Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya’. Iblis membalas: ‘Kamu hebat!’.”
(HR. Muslim,no.2813)

Monday, February 12, 2024

Berbuat Baik Kepada Tawanan

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): ‘Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, ‘Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut’.”
(al-Insan [76]: ayat 8 - 10)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin ‘Utsal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi ﷺ keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: ‘Apa yang ada padamu wahai Thumamah?’ Dia berkata: ‘Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Thumamah?’ Dia menjawab: ‘Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Thumamah?’ Dia menjawab: ‘Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bebaskanlah Tsumamah’. Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?’ Rasulullah ﷺ memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: ‘Engkau telah menukar agama’. Dia berkata: ‘Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad ﷺ. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya‘ir dari Yamamah kepada kamu sehingga Nabi ﷺ mengizinkan’.”
(HR. Bukhari,no.4372. Muslim,no.1764)

Sunday, February 11, 2024

Doa Banyak Rezeki Dan Anak

dari Anas,dia berkata,
“Ummu Sulaim (ibu Anas) pernah berkata kepada Nabi ﷺ: ‘(doakanlah) pembantumu Anas’. Baginda bersabda:
اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ، وَبَارِكْ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتَهُ
Allahumma ak-tsir maa lahu wa waladahu, wa baariklahu fiimaa a'thoy-tahu
(Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya, serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan kepadanya).”
(HR. Bukhari,no.6334. Muslim,2480)

NOTA:
Jika kita mahu menggunakan doa ini untuk diri sendiri, maka lafaznya berubah menjadi:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي

Allahumma ak-tsir maalii, wa waladii, wa baariklii fiimaa a'thoy-tanii

(Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anakku, serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan kepadaku)

Saturday, February 10, 2024

Jika Baru Teringat Ada Raka'at Tertinggal Setelah Selesai Solat

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian baginda memberi salam. Lalu Dzul Yadain berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Benarkah apa yang dia katakan?’ Maka para sahabat pun menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.”
(HR. Bukhari,no.1227. Muslim,no.573)

NOTA:
Berdasarkan hadis ini, maka hendaklah seseorang itu melaksanakan baki rakaat yang terlupa (tertinggal). Contoh, jika solat Zohor dilakukan hanya 3 rakaat, maka hendaklah bangun semula dan laksanakan 1 rakaat (seperti rakaat ke-4 solat Zohor). Kemudian setelah selesai membaca Tasyahud Akhir, lakukan ‘Sujud Sahwi’ (sujud sebanyak dua kali). Setelah selesai sujud kedua, maka beri salam seperti biasa.
Wallahua’lam.