Tuesday, August 4, 2026

Mustajabnya Doa Selepas Solat: Penjelasan Hadis

dari Abu Umamah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah ditanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah doa yang paling didengari?’ Baginda menjawab: ‘(Doa yang paling didengari ialah) ketika satu pertiga malam yang terakhir dan ketika selesai solat fardhu’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3499. an-Nasaie (rujuk: Sunan al-Kubra,no.9856 & 9936. Imam at-Tirmidzi berkata: Hadis ini adalah hadis Hasan)

NOTA:
Hadis ini dinilai Dhaif oleh ulama’ hadis, kerana sanadnya munqathi’ (terputus). Imam al-Munawi berkata: “Rijalnya tsiqah, namun Ibnu Ma‘in berkata bahawa ‘Abdurrahman bin Sabith tidak mendengar dari Abu Umamah” (rujuk: Kasyf al-Manahij wa al-Tanqih,391). Imam Ibnu Hajar al-Asqalani juga berkata: “Padanya terdapat ‘illah (kecacatan), antaranya sanad terputus (inqitha’) dan syadz” (rujuk: al-Futuhat al-Rabbaniyyah,3/27), dan dalam kitab beliau yang lain beliau menyebutkan: “Lahu ‘illah (padanya terdapat kecacatan)” (rujuk: Nataij al-Afkar,2/247). Syaikh Muqbil bin Hadi al-Wadi‘i juga menukilkan kata-kata imam Ibn Ma‘in tentang terputusnya sanad hadis ini (rujuk: Ahadith Mu‘allah Zhahiruha as̄-S̄iẖah,170). Syaikh Musthofa al-‘Adawi berkata: “Hadis ini Dhaif, kerana terputusnya sanad antara ‘Abdurrahman bin Sabith dan Abu Umamah” (rujuk: video). Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa meskipun hadis ini Dhaif, maknanya, iaitu anjuran berdoa selepas solat, mempunyai syawahid berdasarkan tafsiran para ulama' terhadap sebuah ayat al-Quran:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”
(asy-Syarh / al-Insyirah [94]: ayat 7)

NOTA:
Tentang ayat: “maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain)”, sebahagian ulama’ tafsir berkata bahawa maksudnya ialah berdoa setelah selesai melaksanakan solat.

No comments:

Post a Comment