Thursday, September 29, 2022

Solat: Letak Tangan (Sedekap) Di Bawah Pusat? Atas Pusat? Di Dada?

● SEDEKAP DI BAWAH PUSAT ●



dari 'Ali bin Abi Thalib,dia berkata,
“Termasuk sunnah di dalam solat meletakkan telapak tangan di atas telapak tangan yang satu lagi,di bawah pusat”
(HR. Abu Daud,no.756)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif Jiddan' (terlalu lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat 2 orang perawi yg bermasalah. Pertama,perawi yg bernama Abdurrahman bin Ishaq al-Kufi,yg mana Ibnu Abi Hatim berkata,bahawa dia dinilai Dhaif oleh imam Ahmad ibn Hanbal,dengan katanya "Laisa bi syai (tiada apa-apanya/tiada nilai)" (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,5/213). Kata Yahya ibn Ma'in,"Matruk (ditinggalkan)" (rujuk: Ibnul Jauzi,ad-Dhu'afa,2/89). Kedua,perawi Ziyad bin Zaid,yg mana Ibnu Abi Hatim menukilkan dari ayahnya (Abu Hatim),bahawa Abu Hatim ketika berkata tentangnya,"Majhul (tidak dikenali)" (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,3/532). Juga dinilai Majhul oleh Ibn 'Abdil Hadi (rujuk: Tanqih al-Tahqiq,2/148). Hadis ini juga mempunyai jalur lain,daripada Abu Hurairah,namun hadis itu juga Dhaif kerana perawi Abdurrahman bin Ishaq al-Kufi ada di dalam sanadnya.


● SEDEKAP DI ATAS PUSAT ●



dari Ibnu Jarir ad-Dhabbi,dari ayahnya,dia berkata,
“Aku melihat tangan kanan ‘Ali memegang tangan kirinya pada pergelangannya,di atas pusat.”
(HR. Abu Daud,no.757)

NOTA:
Hadis ini dinilai 'Dhaif' oleh Syaikh al-Albani,kerana perawi Ibnu Jarir ad-Dhabbi (nama sebenarnya Ghazwan) & ayahnya adalah Dhaif,lemah hafalan (rujuk: Dhaif Sunan Abu Daud,1/294,no.130).


● SEDEKAP DI DADA ●



:: Hadis 1 ::
dari Wail bin Hujr,dia berkata,
“Aku pernah solat bersama Nabi ﷺ dan baginda meletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya,pada dadanya.”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.479. al-Baihaqi,no.2336)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' & Munkar,kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Muamal bin Ismail,yg mana adz-Dzahabi menukilkan bahawa Imam Bukhari berkata (tentangnya): "Munkarul Hadith" (rujuk: al-Mizan,5/353). Dia juga dinilai Dhaif oleh Abu Hatim,kerana banyak kesalahan (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,8/31). Muamal bin Ismail juga tafarrud (bersendiri) dan menyelisihi perawi-perawi Huffazh yg lain dalam hadis ini kerana yg meriwayatkan dari ast-Tsauri seperti Abdurrazaq,al-Firyabi,al-Makhzumi dan lain² hanya meriwayatkan dengan lafaz 'meletakkan tangan kanan pada tangan kirinya',tanpa lafaz tambahan 'di dadanya' (rujuk: Musnad al-Jami',15/676). Hadis ini juga mempunyai jalur yg kedua,dari Muhammad bin Hujr al-Hadrami dari Sa'id bin 'Abdil Jabbar bin Wail dari ayahnya dari ibunya dari Wail bin Hujr,namun hadis ini juga 'Dhaif',kerana perawi Muhammad bin Hujr al-Hadrami yg mana adz-Dzahabi berkata "Lahu Manakir (memiliki hadis² yg Munkar)" (rujuk: al-Mizan,3/511) dan perawi Sa'id bin 'Abdil Jabbar adalah Dhaif (rujuk: at-Taqrib,2357).

:: Hadis 2 ::
dari Thawus,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri,kemudian menarik keduanya di atas dada ketika solat.”
(HR. Abu Daud,no.759)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Sulaiman bin Musa,yg mana Abu Hatim berkata (tentangnya): "mahalahu soduq (berada pada posisi orang yg jujur),namun beberapa hadisnya mempunyai idthirab (kegoncangan)". imam Bukhari berkata: "indahu Manakir (memiliki hadis² Munkar)",dan an-Nasaie berkata: "Laisa bi Qowi (tidak kuat)" (rujuk: al-Mizzi,Tahdzib al-Kamal,12/97). Kedua,hadis ini Mursal (sanad terputus: diriwayatkan dari Tabi'in secara terus kepada Nabi ﷺ tanpa melalui dari mana-mana sahabat Nabi). Thawus adalah Tabi'in,bukan sahabat Nabi ﷺ.

:: Hadis 3 ::
dari Qabishah bin Hulb,dari ayahnya,ia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ dari kanannya dan dari kirinya (ketika solat),dan aku melihat ketika itu baginda meletakkan kedua tangannya di atas dadanya.”
(HR. Ahmad,no.20961)

NOTA:
Hadis ini 'Dhaif' kerana hadis ini diriwayatkan dari Simak bin Harb dari Qabishah bin Hulb,yg mana Qabishah dinilai 'Majhul' (tidak dikenali) oleh 'Ali ibn al-Madini dan an-Nasaie. 'Ali ibn al-Madini berkata lagi,bahawa tidak ada yg meriwayatkan hadisnya selain daripada Simak bin Harb (rujuk: adz-Dzahabi,Mizan al-i'tidal,3/384). Dan kata an-Nasaie,ketika Simak bin Harb bersendiri (dalam meriwayatkan hadis),maka dia tidak boleh dijadikan hujjah (rujuk: adz-Dzahabi,Siyar A'lam an-Nubala',5/248). Qabishah juga dinilai Majhul oleh Syaikh Syu'aib al-Arnouth (rujuk: Tahqiq Musnad Ahmad,5/226).

NOTA (2):
Walaupun hadis² tentang 'tempat' tangan diletakkan ketika solat kesemuanya 'Dhaif' (lemah: tidak sahih),namun amalan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah Sunnah Nabi yg Sahih,berdasarkan 2 Hadis:

:: Hadis 4 ::
dari Sahl bin Sa'd,dia berkata,
“Dahulu manusia diperintahkan agar meletakkan tangan kanannya di atas lengan kiri dalam solat.”
(HR. Bukhari,no.740)

:: Hadis 5 ::
dari Wail bin Hujr,
“Bahawa dia melihat Nabi ﷺ mengangkat kedua tangannya ketika memulakan solat dan bertakbir. (Hammam menggambarkan,baginda mengangkatnya sejajar kedua telinganya),lalu baginda memasukkan kedua tangannya di bajunya,kemudian meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya..”
(HR. Muslim,no.401)

KESIMPULAN:
Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah Sunnah yg Sahih,hanya saja 'tempat' diletakkan tangan tidak ada yg Sahih,sebagaimana yg dikatakan oleh imam Ibnu al-Mundzir,bahawa "tiada tempat tertentu dalam meletakkan tangan satu khabar (hadis²) yg sahih dari Nabi ﷺ,maka dibolehkan samada meletakkan kedua tangan di bawah pusat atau di atas pusat" (rujuk: al-Ausath,3/94). Kata imam at-Tirmidzi,sebahagian Ulama' berpendapat,kedua tangan diletakkan di atas pusat dan sebahagian yg lain lagi berpendapat kedua tangan diletakkan di bawah pusat,dan menurut Ulama',ia bebas untuk dipilih (rujuk: Jami' at-Tirmidzi,no.252). Dan tidak menjadi masalah juga untuk meletakkan kedua tangan di dada sebagaimana minoriti Ulama' seperti Syaikh al-Albani dan sewaktu dengannya. Dibolehkan untuk memilih mengikut keselesaan dan kesesuaian diri masing-masing.
Wallahua'lam bissowab.

No comments:

Post a Comment