Saturday, July 20, 2013

Bercerai Akan Bergegar 'Arasy Allah?

dari ‘Ali bin Abi Thalib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘Arasy.”
(HR. al-Khattib [rujuk: Tarikh Baghdad,12/191]. Ibn 'Adiy [rujuk: al-Kamil,5/112])

NOTA:
Hadis ini dinilai Maudhu’ (Palsu) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: as-Silsilah ad-Dhaifah,1/278,Riyadh: Maktabah al-Ma'arif), kerana terdapat perawi yg bernama ‘Amr bin Juma‘i, dia seorang pendusta dan perawi yg bernama Juwaibirin, dia seorang yg tersangat Dhaif. Hadis ini juga dinilai tidak sahih oleh Ibn Iraq al-Kinani (rujuk: Tanzih al-Syairah,202/2), as-Suyuthi (rujuk: al-La'aali al-Masnu'ah,151/2), Ibnul Jauzi (rujuk: al-Maudhu'at,277/2), as-Sakhawi (rujuk: al-Maqasid al-Hasanah,49/1), asy-Syaukani (rujuk: al-Fawaid al-Majmu'ah,139/1), as-Saghani (rujuk: al-Maudhu'at,60/1) dan Syaikh al-Huweini (dalam video beliau).

Thursday, July 11, 2013

Zikir Pendek (Dibaca Hanya 3 Kali) Tapi Pahalanya Besar

dari Ibnu ‘Abbas,dari Juwairiyah,
“Nabi ﷺ keluar dari rumahnya pada waktu pagi ketika dia sedang mendirikan solat Subuh di tempat solat dalam rumahnya. Kemudian baginda pulang selepas masuknya waktu Dhuha, dan mendapati Juwairiyah masih di tempat solatnya. Baginda bertanya: ‘Engkau masih lagi dalam keadaan seperti mana aku pergi tadi?’ Juwairiyah menjawab: ‘Ya’. Nabi ﷺ pun bersabda: ‘Sesungguhnya aku telah menyebut empat kalimah sebanyak 3 kali. Seandainya ditimbang kalimah yang aku sebut itu dengan kalimah yang engkau sebut sejak pagi tadi, maka kalimah-kalimah yang aku sebut itu akan mengatasi kalimah-kalimah yang engkau sebut (iaitu):
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Subẖanallah Wa Biẖamdih, ‘Adada Khalqih, Wa Ridho Nafsih, Wa Zinata ‘Arsyih, Wa Midada Kalimatih
(Maha Suci Allah dan pujian untuk-Nya sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, mengikut redha-Nya kepada diri-Nya, menurut berat ‘Arasy-Nya, dan sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya)’.”
(HR. Muslim,no.2726)

NOTA:
Namun imam Muslim juga meriwayatkan hadis ini melalui jalur lain, tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza:

:: Hadis 2 ::
Rasulullah ﷺ membaca,
سُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ خَلْقِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ رِضَا نَفْسِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ زِنَةَ عَرْشِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ مِدَادَ كَلِمَاتِهِ
“..Subhanallahi ‘Adada Khalqih, Subhanallahi Ridho Nafsih, SubhanAllahi Zinata ‘Arsyih, Subhanallahi Midada Kalimatih
(Maha Suci Allah sebanyak makhluk-Nya, Maha Suci Allah mengikut redha-Nya kepada diri-Nya, Maha Suci Allah menurut berat ‘Arasy-Nya, Maha Suci Allah sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya).."
(HR. Muslim,no.2726)

Wednesday, July 10, 2013

Kelebihan Puasa Ramadhan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah ‘azza wa jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi’.”
(HR. Muslim,no.1151)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(HR. Bukhari,no.3277. Muslim,no.1079)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
(HR. Bukhari,no.38. Muslim,no.760)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”
(HR. Bukhari,no.37)

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Qiyam Ramadhan” pada hadis ini bermaksud “Solat Tarawih” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,6/39)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Siapa yang mengerjakan ibadah pada Lailatul Qadar (malam qadar) dengan iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu.”
(HR. Bukhari,no.1901. Muslim,no.760)

Pahala Memberi 'Makanan Berbuka' Kepada Orang Yg Berpuasa

:: Hadis 1 ::
dari Salman al-Farisi,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Sesiapa yang memberi makan (untuk berbuka) orang yang berpuasa, maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan dibebaskan daripada api neraka dan dia mendapatkan pahala yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa...”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.1887)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Ibnu Khuzaimah sendiri dengan katanya: “Sekiranya khabar ini benar” (rujuk: Sahih Ibnu Khuzaimah,3/191). Kata Abu Hatim: “Hadis ini Munkar” (rujuk: al-'ilal,1/249). Kata Ibnu Hajar al-Asqalani: “Jalur utama bagi hadis ini ialah (perawi) ‘Ali bin Zaid, dia merupakan seorang yang Dhaif, manakala (perawi) Yusuf bin Ziyad merupakan seorang yang Dhaif Jiddan (lemah yg bersangatan), manakala (perawi) Iyas bin Abd al-Ghaffar, aku tidak mengenalinya” (rujuk: Ithaf al-Maharah,5/560)

:: Hadis 2 ::
dari Zaid bin Khalid al-Juhani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, dia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.”
(HR. at-Tirmizi,no.807. Ibnu Majah,no.1736. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini ‘Hasan Sahih’)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Imam ‘Ali ibnu al-Madini (rujuk: al-‘Ilal,66/no.88), kerana hadis ini diriwayatkan dari ‘Atho bin Abi Rabah dari Zaid bin Khalid al-Juhani, yg mana ‘Atho bin Abi Rabah tidak mendengar hadis daripada Zaid bin Khalid al-Juhani. Akan tetapi, walaupun hadis ini Dhaif, ia boleh dijadikan untuk Fadhail A’mal kerana Dhaifnya adalah ringan (tanpa mempercayai bahawa hadis ini secara ‘pasti’ dari Rasulullah, tanpa memberitahu orang lain dengan berkata “Rasulullah bersabda”, tapi dibolehkan sebut “dikatakan dalam hadis Dhaif,(kemudian sebut hadith ini)”, kerana terdapat hadis Sahih yg lain bahawa Rasulullah ﷺ suka memberi (sedekah) pada bulan Ramadhan:

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Abbas,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan baginda ﷺ. Adapun Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan baginda. Sungguh, Rasulullah ﷺ sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”
(HR. Bukhari,no.6,1902,3220,3554 dan 4997)

Friday, July 5, 2013

Doa Cegah Dari Kejahatan Jin, Haiwan Dan Manusia

:: Hadis 1 ::
dari Khawlah binti H̱akim al-Sulamiyyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang singgah pada suatu tempat, kemudian mengucapkan:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A‘udzu Bika-Limatil-Lahit Tammah, Min Syarri Maa Kholaq
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan),
segala sesuatu tidak akan memberi mudarat padanya, sehinggalah dia meninggalkan tempat tersebut.”
(HR. Muslim,no.2708)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A‘udzu Bika-Limatil-Lahit-Tammah, Min Syarri Maa Kholaq
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan),
nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkanmu’.”
(HR. Muslim,no.2709)

Allah Suka Kepada Orang yang Bertaubat

:: Hadis 1 ::
dari Anas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya melebihi salah seorang dari kamu yang mendapatkan haiwan tunggangannya yang telah hilang di padang yang luas.”
(HR. Bukhari,no.6309)

:: Hadis 2 ::
dari Anas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah sangat gembira ke atas taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan salah seorang dari kamu yang mendapati haiwan tunggangannya di sebuah padang pasir yang luas, yang mana haiwan tunggangan tersebut sebelumnya terlepas, sementara di atas tunggangannya ada bekal makanan dan minumannya hingga akhirnya dia merasa putus asa untuk menemukannya kembali. Dia pun kemudian mendatangi sebuah pohon dan berehat di bawah naungannya dengan rasa keputus-asaan yang dia alami. Dalam keadaan begitu, tiba-tiba dia mendapati untanya berdiri di sampingnya. Dia pun segera mengambil tali kekangnya dan berkata: ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Tuhan-Mu’. Dia tersalah cakap kerana kegembiraannya yang sangat luar biasa.”
(HR. Muslim,no.2747)

:: Hadis 3 ::
dari Anas,dari Nabi ﷺ,bahawa Allah ﷻ berfirman,
“Jika seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.”
(HR. Bukhari,no.7536. Muslim,no.2675)

Jangan Meremehkan Amalan Baik

:: Hadis 1 ::
dari Abu Dzar,dia berkata,
“Nabi ﷺ bersabda kepadaku: ‘Janganlah kamu meremehkan apa-apa amalan yang baik, walaupun kebaikan itu dengan sekadar menunjukkan muka yang manis (senyum) ketika bertemu dengan saudaramu’.”
(HR. Muslim,no.2626)

:: Hadis 2 ::

dari ‘Adiy bin Hatim,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jagalah diri kamu dari api neraka, sekalipun dengan (bersedekah) separuh dari buah kurma.”
(HR. Bukhari,no.1417)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Adiy bin Hatim,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah membincangkan tentang neraka, kemudian baginda memalingkan wajahnya dan berlindung diri daripadanya, kemudian baginda membincangkan tentang neraka dan baginda memalingkan wajahnya lalu meminta perlindungan daripadanya, selanjutnya baginda bersabda: ‘Jagalah diri kamu dari neraka, sekalipun dengan (bersedekah) separuh dari buah kurma. Sesiapa yang tidak mendapatkannya, ucapkanlah perkataan baik’.”
(HR. Bukhari,no.6563. Muslim,no.1016)

Monday, June 10, 2013

Memperbanyak Puasa Sunat Di Bulan Sya'ban?

dari Usamah bin Zaid,ia berkata,
“Aku pernah bertanya: ‘Wahai Rasulullah, aku belum pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan daripada bulan-bulan yang lain, seperti mana engkau berpuasa dalam bulan Sya’ban’. Baginda menjawab: ‘Bulan ini dilalaikan oleh orang ramai, ia berada antara Rejab dan Ramadhan. Ia juga adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam. Maka aku suka amalanku diangkat, ketika itu aku sedang berpuasa’.”
(HR. an-Nasaie,no.2357. dinilai 'Hasan' oleh Syaikh al-Albani dalam Silsilah as-Sahihah,4/522)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Tsabit bin Qais Abu al-Ghusn, yg mana imam al-Baihaqi berkata, dia bertafarrud (bersendiri) dalam meriwayatkan hadis ini (rujuk: al-Shu'ab,5/352). Kata Ibnu Hibban, dia banyak waham (kesilapan) dalam riwayat dan khabar (hadis)nya tidak dijadikan hujjah apabila dia tidak disokong oleh perawi yg lain (rujuk: al-Majruhin,1/256). Hadis ini juga dinilai Dhaif Khafif (Dhaif ringan) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau, ketika beliau ditanyakan tentang memperbanyakkan puasa sunat di bulan Rajab dan Sya’ban. Akan tetapi, memperbanyakkan puasa sunnah dibulan Sya’ban adalah digalakkan, kerana terdapat hadis Sahih tentang Rasulullah ﷺ banyak berpuasa sunat di bulan Sya’ban: 

:: Hadis ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku tidak pernah melihat Rasulullah ﷺ menyempurnakan puasa satu bulan penuh selain puasa Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat baginda begitu banyak berpuasa berbanding bulan Sya’ban.”
(HR. Bukhari,no.1969. Muslim,no.1156)

Orang Islam Tidak Kekal Dalam Neraka

dari Abu Dzar,dia berkata,
“Aku pernah menemui Nabi ﷺ sementara baginda sedang tidur sambil mengenakan baju putih, lalu aku datang menemuinya dan baginda pun terbangun. Baginda bersabda: ‘Tidaklah seorang hamba yang mengucapkan “La ilaaha illallah” kemudian mati kerana itu melainkan dia akan masuk syurga’. Tanyaku selanjutnya: ‘Walaupun dia berzina dan mencuri?’ Baginda mengulangi: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri’. Tanyaku lagi: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?’ Baginda menjawab: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri’. Tanyaku lagi: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri?’ Baginda menjawab: ‘Walaupun dia pernah berzina dan mencuri’.” Walaupun sepertinya Abu Dzar kurang puas. Apabila Abu Dzar menceritakan hal ini, maka dia akan mengatakan: “Walaupun” sepertinya Abu Dzar kurang puas. Abu ‘Abdullah mengatakan: “Hal ini jika terjadi ketika seorang hamba itu meninggal atau sebelum dia meninggal lalu bertaubat dan menyesali perbuatannya serta mengucapkan “Laa ilaaha illallah”, maka dosa-dosanya akan terampuni.”
(HR. Bukhari,no.5827. Muslim,no.94)

Monday, June 3, 2013

Doa Tolak Bala: "Bismillahil Ladzi Laa Yadhurru.."

dari Aban bin Utsman,dia berkata,
“Aku mendengar Utsman bin ‘Affan berkata, Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesiapa sahaja yang membaca setiap pagi dan petang:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Bismillahil Ladzi Laa Yadhurru Ma‘asmihi Syai-un Fiil Ardhi Walaa Fissamaa-i Wa Huwas Sami‘ul ‘Aliim
(Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, segala sesuatu di bumi dan langit tidak akan lagi memudharatkan, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui) sebanyak tiga kali, nescaya tiada sesuatu pun yang dapat memudharatkannya’.” Aban pernah mengalami lumpuh, lalu seorang lelaki melihat kepadanya. Aban berkata kepada lelaki itu: ‘Apa tengok-tengok? Sesungguhnya hadis (di atas) sebagaimana yang aku telah ceritakan kepada engkau. Tetapi aku tidak membacanya pada hari tersebut, lalu Allah menimpakan takdir-Nya ke atas diri ku’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.3388. Ibnu Majah,no.3859. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini sebagai ‘Hasan Sahih Gharib’)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama ‘Abdurrahman bin Abi az-Zanad ‘Abdullah bin Dzakwan, yg mana kata Imam Ahmad bin Hanbal (tentangnya): “Mudhtharib al-Hadis (berbolak-balik hadisnya)”. Kata Yahya Ibn Ma‘in & an-Nasaie: “Tidak boleh berhujjah dengan hadisnya”. Kata Abu Hatim: “Hadisnya ditulis namun tidak boleh berhujjah dengannya” (rujuk: Tahdzib at-Tahdzib,6/172). Walaupun hadis ini Dhaif, akan tetapi ia boleh diamal sebagai Fadhail A‘mal dengan syarat: tidak mempercayai secara pasti bahawa Doa ini dari Nabi ﷺ dan tidak mengatakan kepada orang lain bahawa “Doa ini Sunnah”, “Doa ini dari Nabi ﷺ” dan sewaktu dengannya.
Wallahua’lam bissowab.

Besar Pahala Solat Sunat 2 Rakaat Sebelum Solat Subuh

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Dua rakaat fajar itu lebih baik daripada dunia dan segala apa di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.725)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Tidak pernah dilihat Nabi ﷺ begitu mengambil berat berkaitan solat-solat sunat sebagaimana baginda ﷺ mengambil berat tentang dua rakaat fajar.”
(HR. Bukhari,no.1163/1169)

Perbanyak Menyebut 'Ya Dzal Jalali Wal Ikram' Ketika Berdoa

:: Hadis 1 ::
dari Anas,Nabi ﷺ bersabda,
“Berdoalah kamu dengan menyebut:
يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ya dzal jalali wal ikram
(Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3525 & 3524. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini ‘Gharib’)

:: Hadis 2 ::
dari Rabi'ah bin Amir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Berdoalah kamu dengan menyebut:
يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ
Ya dzal jalali wal ikram
(Wahai Tuhan yang Maha Agung lagi Mulia).”
(HR. Ahmad,no.16935)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Hasan’ (sahih) oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi di dalam video beliau, ketika beliau ditanyakan tentang status hadis ini.

Kisah Pelacur Yang Masuk Syurga Kerana Seekor Anjing

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Diampunkan dosa seorang pelacur yang lalu berhampiran seekor anjing berdekatan telaga sambil ia menjelirkan lidahnya. Hampir-hampir ia mati kerana rasa haus, lalu wanita itu menanggalkan kasutnya dan mengikatnya dengan selendangnya lantas mengambil air untuk anjing tersebut, maka pelacur itu diampuni kerana perkara tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3321)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Ketika seekor anjing sedang mengelilingi sebuah perigi dan hampir sahaja kehausan membunuhnya. Seorang wanita pelacur daripada Bani Israel melihatnya. Wanita itu membuka kasutnya dan memberi anjing itu minum. Dosanya diampuni kerana hal tersebut.”
(HR. Bukhari,no.3467)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum, maka telah diampunkan dosanya.”
(HR. Muslim,no.2245)

Jangan Ambil Semula Barang Yang Diberi

:: Hadis 1 ::
dari Ibnu 'Abbas,Nabi ﷺ bersabda,
“Yang mengambil semula apa dihibahkannya adalah seperti menjilat semula muntahnya.”
(HR. Bukhari,no.2621)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu 'Abbas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kita tidak melakukan perbuatan yang buruk itu, iaitu orang yang meminta semula anugerah (hibah) mereka samalah seperti anjing yang menelan semula muntahnya.”
(HR. Bukhari,no.2622)

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu 'Abbas dan Ibnu 'Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Tidak halal bagi seorang laki-laki yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya kembali, kecuali orang tua mengambil apa yang ia berikan kepada anaknya. Bandingan orang yang memberi suatu pemberian kemudian mengambilnya seperti anjing yang makan, maka setelah kenyang ia muntah kemudian menelan muntahannya kembali.”
(HR. Abu Daud,no.3539. at-Tirmidzi,no.2132. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

Jangan Berbisik Dua Orang

dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu berada seramai tiga orang,maka janganlah berbisik-bisik berdua-duaan tanpa mengajak sekali orang ketiga, sehingga kamu bercampur gaul dengan manusia (bertambah jumlah). Hal ini kerana berbisik boleh membuat orang yang ketiga bersedih.”
(HR. Bukhari,no.6290. Muslim,no.2184)