Saturday, February 10, 2024

Doa Selepas Azan Yang Sahih

:: Hadis 1 ::
dari Jabir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mendengar azan dan berdoa:
 اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدً الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
Allahumma Robbaha Dzihid Da’watit-Taammah, Was̄ S̄olatil Qoo-imah, Aati Muẖammadanil Wasilata Wal Fadhilah, Wab‘ast-hu Maqoomam-Maẖmuudanil Ladzi Wa ‘Adtah
(Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan).
Luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat.”
(HR. Bukhari,no.614)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila kamu mendengar seruan muadzin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku, pastilah dia mendapat syafaat.”
(HR. Muslim,no.384)

Tiada Kematian Dalam Syurga Dan Neraka

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(an-Nisa' [4]: ayat 56)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila penghuni syurga sudah memasuki syurga, dan penghuni neraka sudah memasuki neraka. Dibawakan kematian sehingga diletakkan di antara syurga dan neraka. Kemudian ia disembelih. Kemudian seorang penyeru menyeru: ‘Wahai penghuni syurga, tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, tiada lagi kematian’. Lalu bertambahlah kegembiraan penghuni syurga dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka.”
(HR. Bukhari,no.6548. Muslim,no.2850)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih. Lalu seorang penyeru akan menyeru: ‘Wahai penghuni syurga’. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat. Lalu penyeru tadi berkata: ‘Adakah kamu kenal siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya. Ini adalah kematian’. Kesemua mereka dapat melihatnya. Kemudian diseru: ‘Wahai penghuni neraka’. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat. Lalu penyeru tadi berkata: ‘Adakah kalian kenal siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya. Ini adalah kematian’. Kesemua mereka dapat melihatnya. Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: ‘Wahai penghuni syurga, kekallah kamu dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kamu dan tiada lagi kematian’. Kemudian baginda membaca: ‘Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam [19]: ayat 39)’. Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia.”
(HR. Bukhari,no.4730)

Friday, February 9, 2024

Doa Perlindungan Dari Musibah / Ujian Yang Berat

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mintalah perlindungan kepada Allah daripada bala yang berat, hinanya kesengsaraan, takdir yang buruk, dan kegembiraan musuh (terhadap masalah yang menimpa).”
(HR. Bukhari,no.6347 & 6616. Muslim,no.2707)

NOTA:
Jika dijadikan doa, maka lafaz doanya adalah:

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Allahumma inni a‘udzubika min jahdil bala’, wa darokisy-syaqo’, wa su-il qodho’,wa syamaa tatil a’daa’

(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bala yang berat ,hinanya kesengsaraan, takdir yang buruk dan kegembiraan musuh [terhadap masalah yang menimpa])

Thursday, February 8, 2024

Jenis Perselisihan Pendapat Yang Tidak Boleh Diingkari Antara Satu Sama Lain

 dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Nabi ﷺ bersabda kepada kami ketika kembali dari perang Ahzab: ‘Janganlah salah seorang daripada kamu solat asar melainkan apabila tiba di Bani Quraizhah’. Lalu tibalah waktu asar ketika sebahagian daripada mereka dalam perjalanan. Maka berkata sebahagian daripada mereka: ‘Jangan kita solat sehingga kita sampai di Bani Quraizhah’. Adapun telah berkata sebahagian mereka yang lain: ‘Bahkan, kami akan menunaikan solat kerana Nabi ﷺ tidak bermaksud demikian’. Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi ﷺ dan baginda ﷺ tidak mencela salah seorang daripada mereka’.”
(HR. Bukhari,no.946 & 4119)

NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami bahawa perbezaan pendapat dikalangan para Ulama’ dalam memahami satu dalil yg sahih namun mempunyai cara faham yg berbeza, tidak membuatkan seseorang itu berdosa jika memilih mana-mana pendapat dari salah satu pendapat mereka. Wallahua’lam.

Selawat Sahih Yang Ringkas

dari Zaid bin Kharijah,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ (tentang cara berselawat), maka baginda bersabda: ‘Berselawatlah kepadaku, bersungguhlah dalam berdoa, lalu ucapkanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Allahumma solli ‘ala Muẖammad, wa ‘ala aali Muẖammad
(Ya Allah, selawatkanlah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad)’.”
(HR. an-Nasaie,no.1292. Dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih wa Dha‘if Sunan an-Nasaie,no.1293])

Tuesday, February 6, 2024

Larangan Terlalu Banyak Ketawa

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah banyak tertawa kerana banyak tertawa dapat mematikan hati.” 
(HR. Ahmad,no.7748. at-Tirmidzi,no.2305. Ibnu Majah,no.4193. al-Albani [rujuk: Sahih al-Jami’,no.7435])

NOTA:
Hadis ni dinilai ‘Dhaif’ oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis ini dengan katanya: ‘Gharib’. Kata imam at-Tirmidzi, hadis ini diriwayatkan dari (perawi) al-Hasan, dari Abu Hurairah dan al-Hasan tidak mendengar dari Abu Hurairah (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.2305). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Larangan Ambil Barang Orang Lain Tanpa Izin

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(an-Nisa' [4]: ayat 29)

:: Hadis 1 ::
dari Yazid bin Sa‘ib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah salah seorang daripada kamu mengambil barang saudaranya sama ada untuk bergurau senda atau benar-benar (mahu mengambilnya).”
(HR. Ahmad,no.17261. Abu Daud,no.5003. at-Tirmidzi,no.2160. Hadis ini dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa’ al-Ghalil,5/350,no.1518])

:: Hadis 2 ::
Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak halal mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”
(HR. ad-Dailami,no.7635)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Larangan Menjamu Tetamu Di Luar Batas Kemampuan

dari Salman,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah seseorang memaksa diri (untuk melayani) tetamunya dengan sesuatu yang dia tidak mampu”
(HR. Ibnu ‘Asakir [rujuk: Tarikh Dimasyq,13/126])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,5/570,no.2440). Kata Syaikh al-Albani, makna hadis ni juga menepati hadis riwayat al-Bukhari:

dari Anas,dia berkata,
“Kami pernah bersama ‘Umar,dia berkata: ‘Kami dilarang dari perbuatan yang memaksa diri’.”
(HR. Bukhari,no.7293)

Sunday, February 4, 2024

Kisah Lelaki Yang Diampuni Dosanya Kerana Seekor Anjing

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus, maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: ‘Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi’. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah, maka Allah mengampuninya. Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Dalam setiap hati yang basah, terdapat pahala’.”
(HR. Bukhari,no.2363)

NOTA:
Maksud “dalam setiap hati yang basah terdapat pahala” tu adalah “jika berbuat baik kepada setiap yang bernyawa akan diberi pahala”.

Allah ﷻ Tuhan Yang Maha Penyabar

dari Abu Musa al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada orang yang lebih penyabar daripada Allah apabila mendengar sesuatu yang tidak disukai, mereka mendakwa Allah mempunyai anak, namun Allah masih memberi kesihatan kepada mereka dan memberi rezeki kepada mereka”
(HR. Bukhari,no.7378. Muslim,no.2804)

Thursday, February 1, 2024

Jarak Yang Membolehkan Jamak Qasar Menurut Imam Ibnu Hajar

dari Yahya bin Yazid al-Hunaiy,dia berkata,
“Aku pernah bertanya pada Anas bin Malik mengenai qasar solat. Anas menyebutkan: ‘Rasulullah ﷺ pernah menempuh jarak 3 mil atau 3 farsakh (Syu’bah ragu tentang penyebutan hal ini), lalu baginda melaksanakan solat dua raka‘at (qasar solat)’.”
(HR. Muslim no.691)

NOTA:
Ibnu Hajar berkata: “Ini merupakan hadis yang paling sahih dan tegas dalam menjelaskan hal tersebut (jarak yang diperbolehkan mengqasar solat). Namun para ulama’ yang tidak sependapat memahami bahawa yang dimaksudkan adalah batas dimulainya baginda mengqasarkan solat dan bukan batas jarak akhir perjalanan. Akan tetapi sangat jelas betapa pemahaman ini sangat jauh dari kebenaran. Sementara imam al-Baihaqi telah menyebutkan dalam riwayatnya melalui jalur ini bahawa Yahya bin Yazid radhiallahu‘anhu berkata: “Aku bertanya kepada Anas tentang mengqasarkan solat dan saat itu aku akan keluar menuju Kufah (iaitu dari Bas̄rah), apakah aku solat dua rakaat dua rakaat hingga kembali.” Anas lalu menyebut hadis ini. Nampak dari sini bahawa beliau (Yahya bin Yazid) bertanya kepada Anas tentang bolehnya mengqasarkan solat ketika safar, bukan tentang tempat di mana harus dimulakan mengqasarkan solat”.
(rujuk: Fath al-Bari,2/467 - 468)

Jamak Solat Di Rumah (Tanpa Qasar) Sebelum Keluar Bermusafir

dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id, mengapa Rasulullah ﷺ berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibnu ‘Abbas seperti mana engkau bertanya padaku, jawab Ibnu ‘Abbas: “Baginda tidak mahu membebankan seorang pun umatnya.”
(HR. Muslim,no.705)

NOTA:
Kata Imam an-Nawawi: “Sejumlah para imam (ulama) berpendapat boleh menjamakkan solat ketika di tempat tinggal (tidak bermusafir) jika ada keperluan bagi sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini merupakan pendapat (Muhammad) Ibn Sirin, Asyhab (bin ‘Abd al-‘Aziz) dari murid-murid Malik (bin Anas). Juga al-Khattabi menyebut pendapat ini daripada al-Qaffal (al-Marwazi) dan al-Shashi al-Kabir (Muhammad bin ‘Ali) kalangan tokoh ulama Mazhab asy-Syafi'i, daripada Abi Ishaq al-Marwazi, daripada sejumlah ahli hadis. Ibn al-Mundzir memilih pendapat ini dan ia disokong oleh apa yang zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas “Baginda tidak mahu membebankan seorang pun umatnya”. Beliau (Ibn ‘Abbas) tidak memberikan alasan sakit atau selainnya”.
(rujuk: Syarh Sahih Muslim,5/219)

Wednesday, January 31, 2024

Doa Keampunan Anak Mampu Mengangkat Darjat Syurga Ibu Bapanya

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat bagi seseorang hamba yang soleh di syurga. Maka dia berkata: ‘Wahai Tuhan, dari mana yang aku dapat ini?’ Allah berfirman: ‘dengan istighfar anakmu kepadamu’.”
(HR. Ahmad,no.10202. Ibnu Majah,no.3660)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Sunday, January 21, 2024

Allah Membesarkan Sedekah Hingga Sebesar Gunung

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Perbandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas kurniaan-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”
(al-Baqarah [2]: ayat 261)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang bersedekah dengan separuh biji kurma dari usaha yang baik (halal), dan tidak ada yang naik kepada Allah kecuali yang baik, maka Allah akan menerimanya dengan tangan kanan-Nya,kemudian mengembangkannya untuk pemiliknya seperti seorang di antara kamu memelihara anak kuda sehingga sedekah tersebut menjadi besar seperti gunung.”
(HR. Bukhari,no.7430)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidaklah seseorang bersedekah dengan sebutir kurma dari hasil kerjanya yang halal, melainkan Allah akan mengambil sedekah tersebut dengan tangan kanan-Nya lalu Dia membesarkannya sebagaimana ia membesarkan anak kuda atau anak unta betinanya hingga sampai semisal gunung atau lebih besar dari itu”
(HR. Muslim,no.1014)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Allah menerima amalan sedekah dan mengambilnya dengan tangan kanan-Nya. Lalu Allah mengembangkan pahalanya untuk salah seorang dari kamu, sebagaimana kamu membiakkan seekor anak kuda. Sehingga sedekah yang hanya sebiji boleh berkembang hingga sebesar gunung Uhud.”
(HR. at-Tirmidzi,no.662. Dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

Thursday, December 7, 2023

Berapa Hari Dibolehkan Untuk Qasar Solat Menurut Imam al-Bukhari

dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah berada dalam safar selama 19 hari dengan mengqasar (meringkas) solatnya. Maka kami bila safar selama 19 hari mengqasar solat. Jika lebih dari itu, kami menyempurnakan solat (tidak qasar solat)”.
(HR. Bukhari,no.1080)

NOTA:
Ini adalah pendapat imam al-Bukhari. Ia dapat dilihat berdasarkan tajuk bab yang imam al-Bukhari tulis dalam kitab Sahih-nya. Hadis ni beliau letak dalam tajuk bab: باب ما جاء في التقصير وكم يقيم حتى يقصر (Bab: Tentang mengqasar solat dan berapa lama yg dibolehkan mengqasar solat). Seperti sedia maklum, tajuk bab dalam kitab Sahih al-Bukhari adalah merujuk kepada fiqh imam al-Bukhari. Wallahua’lam.