Thursday, April 4, 2013

Zikir Selepas Solat Yang Menghapuskan Dosa² Kecil

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
”Sesiapa bertasbih (mengucapkan Subhanallah) kepada Allah selepas solat sebanyak 33 kali, dan bertahmid (mengucapkan Alhamdulillah) kepada Allah 33 kali, dan bertakbir (mengucapkan Allahuakbar) kepada Allah 33 kali, hingga semuanya berjumlah 99” dan baginda menambah: “Kesempurnaan 100 adalah membaca: 
لاَ إلَهَ إلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيءٍ قَدِيْرٌ 
La ila ha illallah,wahdahu laa syarikalah,lahul mulku wa lahul hamd,wa huwa 'ala kulli syai-in qodiir 
(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu),
maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”
(HR. Muslim,no.597)

NOTA:
Tasbih : سُبْحَانَ اللَّهِ Subhanallah 
(Maha Suci Allah)
Tahmid : الْحَمْدُ لِلَّهِ Alhamdulillah 
(Segala Puji bagi Allah)
Takbir : اللَّهُ أَكْبَرُ Allahuakbar 
(Allah Maha Besar)

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
La ila ha ilallah wahdahu la syarikalah,lahul mulku wa lahul hamdu,wa huwa 'ala kulli syai-in qodir
(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kekuasaan dan bagi-Nya kepujian, dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)

Larangan Tatu, Cabut Bulu kening, Merenggangkan Gigi & Mengubah Ciptaan Allah

:: Hadis 1 ::
dari Abdullah,dia berkata,
“Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.”
(HR. Bukhari,no.4886)

:: Hadis 2 ::
dari Abdullah,dia berkata,
“Allah melaknat para pembuat tatu dan mereka yang meminta untuk dibuatkan tatu untuknya, para wanita yang mencukur bulu kening serta wanita yang meminta untuk dibuang bulu keningnya, dan orang yang menjarangkan gigi-gigi mereka yang mengubah ciptaan Allah.”
(HR. Muslim,no.2125)

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Syaitan berkata) Dan sesungguhnya akan aku sesatkan mereka, aku perdayakan dengan angan-angan kosongnya, dan aku suruh mereka (memotong telinga-telinga binatang ternak) untuk sembahan (kepada berhala) dan aku suruh mereka mengubah ciptaan Allah (Agama Allah), lantas mereka mengubahnya. Barangsiapa yang menjadikan syaitan sebagai pelindungnya selain Allah, sesungguhnya telah nyata sekali kerugiannya.”
(an-Nisa' [4]: ayat 119)

3 Amalan Yang Tidak Putus Setelah Mati

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.”
(HR. Muslim,no.1631)

Maksud Allah Tidak Mengampuni Dosa Syirik

Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang syirik dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.”
(An-Nisa' [4]: ayat 116)

NOTA:
maksud “Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik” adalah, sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan tidak bertaubat dari dosa syiriknya, maka dosanya tidak diampuni. Akan tetapi, sekiranya dia sempat bertaubat, maka dosanya diampuni, insyaAllah. Ini pendapat Ibnu Katsir (rujuk: Tafsir al-Quran al-'Azhim,3/129) dan Ibnul Jauzi (rujuk: Zad al-Masir,2/103).

Doa Sebelum Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih)

 :: Hadis 1 ::
dari 'Abdullah bin 'Amr,dia berkata,
“Ketika baginda (Nabi ﷺ) hendak makan dan hidangan didekatkan kepada baginda, baginda berdoa:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ

Allahumma Bariklana Fima Rozaqtana Waqina ‘Adza Bannar, Bismillah

(Ya Allah, berkatilah makanan yang telah Engkau kurniakan kepada kami dan jauhkanlah kami dari api neraka, dengan nama Allah)...”
(HR. ath-Thabrani [rujuk: ad-Du'a,no.888. Ibnu Sunni [rujuk: 'Amalul Yaum wal Lailah,no.457]):

NOTA:
Hadis ini ‘Munkar’ (terlalu Dhaif/lemah: tidak sahih) kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Muhammad bin Abi az-Zu'aiziyah yg mana dia dinilai Munkar oleh imam Bukhari, Abu Hatim ar-Razi, Ibnu Hibban & Ibnu Hajar al-Asqalani. Imam Bukhari berkata: “Munkarul Hadisi Jiddan (Terlalu meriwayatkan hadis Munkar)” (rujuk: Tarikh al-Kabir,1/88). Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) tentang Muhammad bin Abi az-Zu'aiziyah,kata Abu Hatim: “La Yustaghlu Bihi, Munkarul Hadis (Tidak perlu sibukkan diri dengan (riwayat)nya, dia perawi hadis² Munkar)” (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,7/261). Juga dinilai Munkar oleh Ibnu Hibban, dengan katanya: “Tergolong dalam perawi² yg meriwayatkan hadis² Munkar daripada perawi² yg Mahsyur, sehinggakan sekiranya orang yg berada di dalam bidang hadis mendengar riwayat²nya, ketahuilah riwayatnya Maqlub (berbolak balik/tertukar). Tidak boleh berhujjah dengannya” (rujuk: al-Majruhin,2/224). Begitu juga Ibnu Hajar (rujuk: Lisan al-Mizan,5/165).

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu A’bud,ia berkata,
“Ali bin Abi Thalib bertanya kepadaku: ‘wahai Ibnu A’bud, apakah engkau tahu apakah hak makanan?’ Aku pun berkata: ‘apa itu wahai Ibnu Abi Thalib?’ Dia menjawab: ‘hendaknya ia berdoa:

 بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا

Bismillah, Allahumma Bariklana Fima Rozaqtana

(Dengan nama Allah. Ya Allah, berkatilah makanan yang telah Engkau kurniakan kepada kami)’...”
(HR. Ahmad,no.1313. al-Baihaqi [rujuk: Syu'abul Iman,no.5640]. Ibnu Abi Syaibah [rujuk: al-Musannaf,no.24509]):

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) kerana perawi ‘Ali bin A'bud (Ibnu A'bud) adalah perawi yg Majhul (tidak dikenali). Kata ‘Ali ibn al-Madini: “Laisa bi Ma’ruf (Tidak dikenali)” (rujuk: al-Mizzi,Tahdzib al-Kamal,20/321). Kata adz-Dzahabi (tentangnya): “La Yu'raf (tidak dikenali)” (rujuk: al-Mughni fi ad-Dhu'afa',81). Ibnu Hajar juga mengatakan perkara yg sama, beliau berkata: “Wa qad la yusamma fil isnad (mungkin dia tidak dinamakan dalam sanad), Majhul (tidak dikenali)” (rujuk: Taqrib at-Tahdzib,2/398).

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu Abbas,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“..Apabila Allah memberi makanan kepada seseorang, maka hendaknya dia berkata:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

Allahumma Bariklana Fih, Wa Ath-'imna Khoiron Minhu

(Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami dalam makanan ini dan berilah kami kebaikan dari makanan tersebut).
Dan barangsiapa yang diberikan minuman susu, maka hendaknya dia berkata:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَزِدْنَا مِنْهُ

Allahumma Bariklana Fih,Wa Zidna Minhu

(Ya Allah, berilah berkat kepada kami dalam minuman ini dan tambahkan untuk kami).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3445. Abu Daud,no.3242. Ahmad,no.2438. Ibnu Majah,no.3313)

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama ‘Ali bin Zaid bin ‘Abdullah bin Jud‘an (Abu al-Hasan), yg mana dia dinilai Dhaif oleh Abu Hatim ar-Razi, dengan katanya: “Laisa bi qowi, yuktabu hadisuhu, la yuhtajju bihi (Tidak kuat, ditulis hadisnya, tidak boleh berhujjah dengannya)” (rujuk: Jarh wa at-Ta'dil,6/186). Ketika imam Ahmad ibn Hanbal ditanya tentangnya: “Laisa bi Syai (Tiada nilai)”. Kata al-'Ajli: “Yuktabu hadisuhu, laisa bi qowi (ditulis hadisnya,dia tidak kuat)” (rujuk: al-Mizzi,Tahdzib al-Kamal,2/434).

ketiga² Hadis di atas tidak sahih dari Nabi ﷺ, tetapi bacaan doa sebelum makan yg ‘Sahih’ adalah dengan mengucapkan ‘Bismillah’ (dengan nama Allah) sahaja, berdasarkan dua hadis:

:: Hadis 4 ::
بِسْمِ اللَّهِ
dari Umar bin Abi Salamah,dia berkata,
“Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi ﷺ, tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi ﷺ berkata kepadaku: ‘Wahai Ghulam (anak), sebut nama Allah (baca ‘Bismillah’), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambillah makanan) yang hampir denganmu”.
(HR. Bukhari,no.5376. Muslim,no.2022)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila salah seorang dari kamu hendak makan makanan, maka ucapkanlah: Bismillah (Dengan nama Allah)...”
(HR. at-Tirmidzi,no.1858. dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh at-Tirmidzi)

NOTA:
Sekalipun doa² 'Allahumma Bariklana..' tidak sahih, akan tetapi tidaklah menjadi masalah untuk sekali sekala membacanya kerana ia hanyalah doa. Hukum berdoa dengan doa yg berasal dari hadis yg tidak sahih (sekalipun Maudhu'/Palsu), tidaklah berdosa, dengan syarat tidak berkata & meyakini bahawa doa tersebut adalah “Sunnah” atau “dari Nabi ﷺ”. Namun melazimi ‘Bismillah’ sebelum makan adalah lebih afdhal (utama) kerana ia Sahih dari Nabi ﷺ dan akan mendapat pahala Sunnah.
Wallahua'lam Bissowab.

adapun Doa selepas makan,rujuk & klik di sini: 'Doa Selepas Makan (Yang Tidak Sahih & Doa Yang Sahih'

Kelebihan Selawat

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad ﷺ); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
(al-Ahzab [33]: ayat 56)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila kamu mendengar muazzin (tukang azan), maka ucapkanlah sepertimana yang sedang diucapkan oleh muazzin. Kemudian berselawatlah kamu ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh (10 kali selawat). Setelah itu, mohonlah (doalah) kepada Allah terhadapku sebagai wasilah kerana ia merupakan salah satu tempat (kedudukan di dalam Syurga) yang mana ia tidak layak untuk sesiapa pun melainkan buat hamba-hamba Allah. Aku mengharapkan agar aku adalah orang tersebut (yang layak di kedudukan tersebut di dalam Syurga kelak). Maka sesiapa yang memohon kepadaku wasilah maka layaklah baginya untuk mendapatkan syafaat (syafaat Nabi ﷺ).”
(HR. Muslim,no.384)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat kepadanya sepuluh kali.”
(HR. Muslim,no.408)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Thalhah,Nabi ﷺ datang dengan wajah yang berseri-seri. Kemudian baginda bersabda,
“Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata: ‘Tidakkah engkau redha wahai Muhammad, seseorang berselawat kepadamu kecuali aku berselawat kepadanya 10 kali? Juga tidak ada lagi seorangpun yang mengucapkan salam kepadamu kecuali aku juga akan mengucapkan salam kepadanya 10 kali”
(HR. an-Nasaie,no.1295. Hadis ni dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek)

:: Hadis 4 ::
dari Anas bin Malik,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat kepadanya 10 selawat, dihapuskan daripadanya 10 dosa dan diangkat dirinya dengan 10 darjat.”
(HR. an-Nasaie,no.1297. Kata Syaikh Khalid al-Hayek dalam facebook rasmi beliau: “Hadis Sahih. Diriwayatkan melalui Anas melalui beberapa jalur, ada yang 'Sahih', ada yg ‘Hasan”)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Abdullah bin Mas'ud,bahawa Rasulullah ﷺ bersabda, 
“Manusia yang paling dekat denganku pada hari kiamat ialah yang paling banyak berselawat ke atasku.”
(HR. at-Tirmidzi,no.484)

NOTA:
Hadis ini diperselisihi tentang kesahihannya. Ada ulama’ yg menilai ‘Sahih’, namun ada yg menilai hadis ini sebagai 'Dhaif' kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Musa bin Ya’qub az-Zam‘i, dimana dia dinilai Dhaif oleh imam an-Nasaie, dengan katanya: “Laisa bi qowi (tidak kuat)”. Juga Ibnul Madini,dia berkata: “Dhaif Munkar al-Hadith” (rujuk: adz-Dzahabi,Mizan al-I'tidal fii Naqdir Rijal,4/8945). Hadis ini juga dinilai 'Dhaif' oleh at-Tirmidzi sendiri selepas meriwayatkan hadis ini,dengan katanya: “Hasan Gharib”. Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga menilai hadis ini sebagai 'Dhaif' di dalam video beliau.

Senyum Itu Sedekah

dari Abu Dzar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Senyummu kepada saudaramu adalah sedekah, kamu melakukan amar makruf dan nahi mungkar juga sedekah, kamu menunjukkan jalan bagi seseorang yg tersesat juga sedekah, kamu memimpin orang yang matanya rabun juga sedekah, menyingkirkan batu, duri dan tulang dari jalan merupakan sedekah dan kamu menuangkan air dari baldimu ke baldi saudaramu juga sedekah.”
(HR. at-Tirmizi,no.1956. at-Tirmidzi menilai hadith ini sebagai ‘Hasan Gharib’ yang bermaksud ‘Dhaif’)

NOTA:
Walaupun hadis ini tidak Sahih (Dhaif), akan tetapi senyum adalah amalan yg baik, kerana terdapat hadis Sahih yg lain tentang galakkannya. Malah Nabi ﷺ orang yg pemurah senyuman:

:: Hadis 1 ::
dari Jarir,dia berkata,
“Sejak aku masuk Islam, Rasulullah ﷺ tidak pernah menghindarkan diri dariku jika aku ingin bertemu dengannya, dan tidak pernah aku melihat baginda kecuali baginda tersenyum padaku....”
(HR. al-Bukhari,no.6089)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Dzar,ia berkata bahawa Nabi ﷺ bersabda kepadaku,
“Janganlah kamu memandang rendah sedikit pun suatu kebajikan, walaupun sekadar kamu bertemu saudaramu dengan wajah berseri-seri.”
(HR. Muslim,no.2626)

Membunuh Orang Islam Dengan Sengaja

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan Sesiapa yang membunuh seorang muslim dengan sengaja, maka balasannya neraka Jahanam. Dia kekal di dalamnya. Allah memurkai dan melaknatnya. Dan Allah menyediakan azab yg amat berat baginya.”
(an-Nisa' [4]: ayat 93)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara’).”
(al-Isra’ [17]: ayat 33)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak halal darah seorang Muslim yang bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan bahawa aku adalah utusan Allah kecuali dengan salah satu dari tiga perkara; nyawa (dibalas) dengan nyawa, orang yang telah berkahwin yang berzina, dan orang yang melepaskan (meninggalkan) diri daripada agamanya serta meninggalkan Jemaah (kaum Muslimin).”
(HR. Bukhari,no.6878. Muslim,no.1676)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kehancuran dunia itu lebih ringan di sisi Allah berbanding pembunuhan seorang lelaki muslim.”
(HR. an-Nasa’ie,no.3998. at-Tirmidzi,no.1395)

NOTA:
Kata imam at-Tirmidzi,hadis ini terdapat dua riwayat. Riwayat pertama memarfu’kan ke atas Nabi ﷺ (menisbahkan kata-kata ini kepada Rasulullah), dan riwayat kedua memauqufkan ke atas ‘Abdullah bin ‘Amru. Riwayat yang mauquf lebih sahih (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.1395).

Memastikan Kesahihan Sesuatu Berita

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa berita, hendaklah kamu periksa dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, maka kamu akan menyesali tindakan kamu itu.”
(al-Hujurat [49]: ayat 6)

:: Hadis ::
dari Hafs̄ bin ‘As̄im,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).”
(HR. Muslim,no.5)

Pahala Membunuh Cicak

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang membunuh cicak dengan pukulan yang pertama, baginya sekian pahala, sesiapa yang membunuhnya pada pukulan kedua, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan pertama, sesiapa yang membunuhnya pada pukulan ketiga, baginya sekian pahala yang kurang daripada pukulan kedua.”
(HR. Muslim,no.2240)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda tentang cicak,
“‘(Ia ialah) binatang perosak’. Tetapi aku tidak mendengar baginda memerintahkan untuk membunuhnya.”
(HR. Bukhari,no.1831)

:: Hadis 3 ::
Sa‘ad bin Abu Waqqas,dia berkata,
“Nabi ﷺ memerintahkan untuk membunuh cicak dan memanggilnya sebagai fuwaisiq (haiwan perosak).”
(HR. Muslim,no.2238)

:: Hadis 4 ::
Ummu Syarik,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ memerintahkan untuk membunuh cicak dan bersabda: ‘Dahulunya cicak meniup api (untuk membakar) Nabi Ibrahim A.S’.”
(HR. Bukhari,no.3359)

Niat Baik Dapat Pahala,Niat Jahat Tidak Dapat Apa-Apa

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
”Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.”
(an-Nisa’ [4]: ayat 40)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
(al-An’am [6]: ayat 160)

:: Hadis ::
dari Ibnu Abbas,Nabi ﷺ bersabda bahawa Allah 'Azza Wa Jalla berfirman:
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan kebaikan dan keburukan, kemudian menjelaskannya. Maka sesiapa yang hendak mengerjakan suatu kebaikan tetapi dia tidak jadi melaksanakannya, maka Allah menetapkan niatnya itu baginya 1 kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Dan jika dia hendak mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya 10 kebaikan sehingga 700 kali ganda, bahkan berkali-kali ganda banyaknya di sisi-Nya. Adapun sesiapa yang merancang untuk melakukan mana-mana keburukan dan dia tidak melaksanakannya, maka Allah menuliskan itu baginya sebagai satu kebaikan yang sempurna di sisi-Nya. Dan jika dia berniat untuk mengerjakannya lalu melaksanakannya, maka Allah menetapkannya sebagai 1 keburukan di sisi-Nya.”
(HR. Bukhari,no.6491. Muslim,no.131)

Maksud 'Fitnah Lebih Besar (Dosanya) Daripada Pembunuhan' Dalam al-Quran

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka,dan usirlah mereka dari tempat yang mereka telah mengusir kamu. Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar masjid al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. Oleh itu, kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang kafir.”
(al-Baqarah [2]: ayat 191)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati. Katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ,(semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian). Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (agama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).”
(al-Baqarah [2]: ayat 217)

NOTA:
Imam ath-Thobari menukilkan pendapat kalangan Salaf tentang makna ‘fitnah’ dalam ayat ini adalah ‘Syirik’, maka ayat ini bermaksud penentangan kaum kafir musyrikin terhadap orang Mukmin sehingga dia kembali menjadi musyrik, adalah lebih dahsyat dan lebih memudaratkan berbanding dia dibunuh dalam keadaan dia tetap berpegang teguh pada agamanya (Islam). Beliau turut menukilkan pandangan Mujahid yang mempunyai maksud yang sama dalam hal ini (rujuk: Jami’ul Bayan fi Ta’wil al-Qur’an,3/565). Menurut Imam al-Qurthubi pula, ayat ini turun berkenaan salah seorang sahabat yang bernama Waqid bin Abdillah at-Tamimi yang telah membunuh ‘Amru bin al-Hadhrami pada akhir bulan Rejab (salah satu bulan haram) dalam satu ekspedisi bersama beberapa orang sahabat yang lain, dalam usaha menangani ancaman musyrikin Quraish di Mekah. Maka, fitnah dalam ayat ini merujuk kepada usaha orang kafir untuk memaksa kaum Muslimin supaya kembali kepada kekufuran, dan ia adalah lebih besar kemudaratannya berbanding usaha balas kaum Muslimin untuk kembali memerangi mereka meskipun pada bulan-bulan haram (rujuk: Tafsir al-Qurthubi,2/351 dan 3/46). Wallahua'lam.

Wednesday, April 3, 2013

Zikir Yang Ringan Dilidah Tapi Berat Dalam Timbangan Mizan

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Dua kalimah yang ringan pada lidah, tetapi berat dalam timbangan mizan, dan disukai oleh Ar-Rahman adalah:
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ 
SubẖanAllah wa biẖamdih,SubẖanAllahil ‘azhim
(Maha Suci Allah dan Segala puji bagi-Nya,Maha Suci Allah yang Maha Agung).”
(HR. Bukhari,no.6682. Muslim,no.2694)

Pahala Membaca Pujian Ini Ketika Bangkit Dari Rukuk

Rifa'ah bin Rafi' al-Zuraqi berkata,
“Kami pernah solat bersama Rasulullah ﷺ, ketika Baginda ﷺ bangun daripada ruku’, baginda ﷺ membaca: ‘Sami'Allahu liman hamidah’. Tiba-tiba ada seorang daripada sahabat yang membaca:
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ حَمْدًا كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ
Rabbana Wa Lakal Hamd, Hamdan Katsiran Thoyyiban Mubarokan Fiih (Wahai Tuhan kami, bagi-Mu segala pujian, aku memuji-Mu dengan pujian yang banyak, yang baik dan penuh dengan barakah). Selepas selesai solat, Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Siapa yang mengucapkan kalimah itu?’ Sahabat itu berkata: ‘Aku’. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Aku melihat lebih 30 malaikat berebut untuk menjadi yang pertama pada mencatatnya (pahalanya)’.”
(HR. Bukhari,no.799)

Allah Tidak Menguji Hamba-Nya Diluar Kemampuan Hamba-Nya

Allah ﷻ berfirman:
“..Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan (kekuatan) yang diberikan Allah kepadanya..”
(at-Thalaq [65]: ayat 7)