Thursday, October 31, 2024

4 Waktu Mengangkat Tangan Ketika Takbir Di Dalam Solat

● MENGANGKAT TANGAN KETIKA TAKBIRATUL IHRAM, SEBELUM DAN SELEPAS RUKU’ ●

:: Hadis 1 ::
dari Ibn Umar,dia berkata,
“Aku telah melihat Nabi ﷺ membuka takbir di dalam solat (iaitu memulakan solat dengan bertakbir), dengan mengangkat kedua tangannya ketika bertakbir sehingga sama pada bahagian bahunya. Ketika bertakbir untuk ruku’ juga baginda melakukan sedemikian dan ketika baginda mengucapkan: ‘Sami’Allahu liman ẖamidah’, baginda melakukan sedemikian juga.”
(HR. Bukhari,no.738. an-Nasaie,no.876)

:: Hadis 2 ::
dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengangkat kedua tangannya hingga ke paras bahu apabila memulakan solat (iaitu ketika takbiratulihram). Dan apabila mengangkat takbir untuk ruku’ dan ketika bangun daripada ruku’, baginda mengangkat kedua-dua tangannya juga, dan mengucapkan: ‘Sami'Allahu liman ẖamidah, robbana wa lakal ẖamd’. Namun baginda tidak melakukannya ketika sujud.”
(HR. Bukhari,no.735. Muslim,no.390)


● MENGANGKAT TANGAN SETELAH BANGUN DARI TASYAHUD (TAHIYAT) AWAL ●

dari Ibn ‘Umar,dia berkata,
“..Apabila (Nabi ﷺ) bangun setelah rakaat kedua, baginda akan mengangkat kedua tangannya.”
(HR. Bukhari,no.739)

NOTA:
Hanya empat (4) waktu ini sahaja disunnahkan untuk mengangkat tangan. Ini pendapat yang dipegang oleh sebahagian ulama’ mazhab asy-Syafi‘i seperti imam Ibnu al-Mundzir, Abu ‘Ali at-Thobari, Abu Bakr al-Baihaqi dan lain-lain (rujuk: imam an-Nawawi,al-Majmu’,3/425-426). Imam al-Bukhari juga meletakkan “Tajuk Bab” khas dalam Kitab Sahih-nya: باب رفع اليدين إذا قام من الركعتين (Bab mengangkat kedua tangan ketika bangkit dari rakaat kedua), ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari juga berpendapat bahawa disunnahkan mengangkat kedua-dua tangan setelah bangun dari Tasyahud Awal. Syaikh Soleh ibn al-‘Utsaimin juga berkata: “Tempat-tempat mengangkat kedua tangan ada empat: ketika takbiratul ihram, ketika ruku’, ketika bangkit dari ruku’, dan apabila berdiri dari tasyahud awal” (rujuk: asy-Syarhu al-Mumti’,3/214).

Bersikap Kasar, Sombong Dan Angkuh Adalah Sifat Ahli Neraka

:: Hadis 1 ::
dari Haritsah bin Wahb,Nabi ﷺ bersabda,
“Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli syurga?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda ﷺ bersabda: ‘Setiap orang yang lemah, yang dipandang rendah. Sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkannya’. Kemudian Baginda bersabda: ‘Mahukah aku beritahu kamu tentang ahli neraka?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Setiap orang yang kasar, sombong dan angkuh’.”
(HR. Bukhari,no.4918. Muslim,no.2853)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Syurga dan neraka saling berdebat. Neraka berkata: ‘Orang-orang sombong dan bengis memasukiku’. Syurga berkata: ‘Sedangkan aku, tiada yang memasukiku selain orang-orang lemah dan hina (pada pandangan manusia)’. Lalu Allah berfirman kepada syurga: ‘Kau adalah rahmat-Ku, denganmu Aku rahmati siapa sahaja yang Aku kehendaki dari hamba-hamba-Ku’. Kemudian Allah berfirman kepada neraka: ‘Kau adalah azab-Ku, denganmu Aku menyiksa sesiapa pun yang Aku kehendaki. Dan masing-masing dari keduanya mempunyai isinya sendiri’. Adapun neraka tidak terisi penuh sehingga Allah meletakkan kaki-Nya, kemudian neraka berkata: ‘Cukup! cukup!’ Saat itulah neraka penuh dan sebahagiannya menindih sebahagian yang lain. Allah tidak menzalimi seorang pun dari makhluk-Nya. Sedangkan syurga, Allah menciptakan penghuninya.”
(HR. Bukhari,no.4850)

Wednesday, October 30, 2024

Doa Mendengar Guruh Atau Petir

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ mendengar guruh atau kilat, baginda akan berkata:
اللَّهُمَّ لَا تَقْتُلْنَا بِغَضَبِكَ وَلَا تُهْلِكْنَا بِعَذَابِكَ وَعَافِنَا قَبْلَ ذَلِكَ
Allahumma Laa Taqtulnaa Bighodhobika Walaa Tuhlikna Bi‘adzaabika Wa ‘Aafina Qobla Dzalik
(Ya Allah, janganlah Engkau membunuh kami dengan kemarahanmu dan janganlah Engkau binasakan kami dengan azab-Mu serta ampunilah kami sebelum daripada itu).”
(HR. at-Tirmidzi,no.3450)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Gharib’ (Dhaif) oleh imam at-Tirmidzi setelah beliau meriwayatkan hadis ini, lalu beliau berkata: “Kami tidak mengetahuinya melainkan dari jalur ini”. Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Adzkar,181), juga dinilai Dhaif oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Dha‘if at-Tirmidzi,3694). Walaupun hadis ini Dhaif, namun doanya boleh dibaca menurut para Ulama’ Hadis, kerana ianya hanya doa dan maknanya juga tidak menyanggahi syariat dengan syarat tidak meyakini bahawa doa ini pasti dari Rasulullah atau menyandarkan secara pasti bahawa hadis ini dari Rasulullah ﷺ.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Amir bin ‘Abdillah,dari ‘Abdullah bin az-Zubair,
“Apabila dia mendengar guruh, dia akan meninggalkan percakapan lalu mengucapkan:
سُبْحَانَ الَّذِي يُسَـبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالمَلاَئِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ
Subẖanalladzi Yusabbiẖur Ro’du Biẖamdihi wal Mala-ikatu Min Khiifatih
(Maha Suci Dia yang guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya).
Kemudian dia berkata: ‘Sesungguhnya ini adalah peringatan yang keras untuk penduduk bumi’.”
(HR. Malik,no.3641. Bukhari [rujuk: al-Adab Al-Mufrad,no.723])

NOTA:
Sanadnya dinilai ‘Sahih’ oleh imam an-Nawawi (rujuk: al-Adzkar,235). Juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,556). Makna dari doa ini juga benar, kerana terdapat di dalam al-Quran tentang guruh dan malaikat bertasbih kepada Allah:

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Guruh bertasbih memuji kebesaran-Nya dan malaikat turut bertasbih kerana takut kepada-Nya. Dia menghantar panahan-panahan petir lalu kena kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Namun, orang kafir masih mempertikaikan keesaan Allah sedangkan Dia amat hebat kekuatan-Nya.”
(ar-Ra’d [13]: ayat 13)

Mengucapkan JazakAllahu Khairan Ketika Berterima Kasih

:: Hadis 1 ::
dari Usamah bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa dilakukan padanya kebaikan lalu dia berkata kepada orang tersebut:
جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا
Jazakallahu khairan
(Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan),
maka sesungguhnya dia telah memberikan sebaik-baik pujian.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2035. an-Nasaie [rujuk: ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah,no.180]. Dinilai ‘Hasan Jayyid Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Urwah bin az-Zubair,dia berkata,
“Dari ‘Aisyah, beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah ﷺ mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwudhu’. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah ﷺ. Lalu Allah menurunkan ayat tayammum. Usaid bin Hudhoir berkata kepada ‘Aisyah:
جَزَاكِ اللَّهُ خَيْرًا
Jazakillahu khairan
(Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan)..”
(HR. Bukhari,no.336. Muslim,no.367)

NOTA:
Sebutan “Jazakallahu” atau “Jazakillahu” adalah bergantung kepada siapa orang yang ingin kita tujukan ucapan terima kasih tersebut. Ini disebut sebagai ‘Dhomir’ (kata ganti), maka jika:

Kamu (Seorang Lelaki) = Jazakallahu khairan
Kamu (Seorang Perempuan) = Jazakillahu khairan
Dia (Seorang Lelaki) = Jazahullahu khairan
Dia (Seorang Perempuan) = Jazahallahu khairan
Kamu (Ramai Lelaki/Perempuan atau Bercampur Lelaki & Perempuan) = Jazakumullahu khairan
Mereka (Ramai Lelaki/Perempuan atau Bercampur Lelaki & Perempuan) = Jazahumullahu khairan

Friday, October 25, 2024

Allah Memberi Harta Kepada Orang Yang Dia Cintai Dan Orang Yang Dia Tidak Cintai

dari ‘Abdullah (bin Mas’ud),dia berkata,
“Sesungguhnya Allah Ta‘ala membahagikan di antara kamu akan akhlak kamu, sebagaimana Allah membahagikan sesama kamu akan rezeki kamu. Sesungguhnya Allah Ta‘ala memberikan harta kepada orang yang Dia cintai dan orang yang Dia tidak cintai. Dan Allah tidak memberikan keimanan melainkan kepada orang yang Dia cintai. Sesiapa yang merasa ada kebakhilan pada hartanya daripada dia menafkahkannya, dan ada merasa takut kepada musuh untuk dia berjihad padanya, dan takut dengan malam sehingga dia tidak dapat tidur padanya, maka hendaklah dia memperbanyakkan ucapan: La ilaha illAllah, wa SubhanAllah, walhamdulillah, wallahuakbar.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.275]. Abu Daud [rujuk: al-Zuhud,no.157]. at-Thabrani [rujuk: al-Mu’jam al-Kabir,9/229]) 

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh imam ad-Daraquthni (rujuk: al-‘Ilal,5/269-271). Juga dinilai Sahih Mauquf oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah al-Ahadis as-Sahihah,6/484)

Thursday, October 17, 2024

Cara Menjawab Azan Dan Kelebihannya

:: Hadis 1 ::
dari ‘Umar al-Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jika muadzzin melaungkan: 
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar,
maka hendaklah seseorang dari kamu menjawab:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Asyhadu alla ilaha illallah,
jawablah:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
Asyhadu alla ilaha illallah.
(Apabila muadzzin) melaungkan:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Asyhadu anna Muẖammadarrasulullah,
jawablah:
أَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Asyhadu anna Muẖammadarrasulullah.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ
H̱ayya ‘alas̄s̄olah,
jawablah:
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
La ẖawla wala quwwata illa billah.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ
H̱ayya ‘alal falaẖ,
jawablah:
لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
La ẖawla wala quwwata illa billah.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar,
jawablah:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ
Allahuakbar, Allahuakbar.
Kemudian (apabila muadzzin) melaungkan:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
La ilaha illallah,
jawablah:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ
La ilaha illallah,
(ikhlas) dari dalam hatinya, maka dia akan masuk syurga.”
(HR. Muslim,no.385)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila kamu mendengar seruan muadzzin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku pastilah dia mendapat syafaat.”
(HR. Muslim,no.384)

:: Hadis 3 ::
dari Jabir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mendengar azan dan berdoa (doa wasilah):
 اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدً الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
Allahumma Robbaha Dzihid Da’watit-Taammah, Was̄ S̄olatil Qoo-imah, Aati Muẖammadanil Wasilata Wal Fadhilah, Wab‘ast-hu Maqoomam-Maẖmuudanil Ladzi Wa ‘Adtah
(Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan).
Luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat.”
(HR. Bukhari,no.614)

NOTA:
Maka, sunnahnya adalah, menjawab azan sebagaimana “Hadis 1”, kemudian baca Doa Wasilah seperti “Hadis 3”. InsyaAllah kita mendapatkan dua ganjaran, pertama masuk syurga, kedua mendapat Syafaat (pertolongan) dari Rasulullah ﷺ di akhirat kelak.

Tuesday, October 15, 2024

Doa Ruqyah Untuk Orang Lain

:: Hadis 1 ::
dari Abu Sa’id,dia berkata,
“Jibril datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Ya Muhammad, apakah engkau sakit?’ Jawab Baginda: ‘Ya’. Lalu Jibril membacakan:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَىْءٍ يُؤْذِيكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكَ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ
Bismillahi arqika, min kulli syai-in yuk-dzika, min syarri kulli nafsin aw ‘aini ẖasidin, Allahu yasyfika, bismillahi arqika
(Dengan nama Allah, aku meruqyahmu dari segala sesuatu yang mengganggumu dari kejahatan setiap jiwa dan pengaruh ‘ain. Dengan nama Allah aku meruqyahmu).”
(HR. Muslim,no.2186)

NOTA:
Jika untuk meruqyah pesakit wanita, maka hendaklah menukar kata ganti namanya menjadi:
بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكِ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكِ مِنْ شَرِّ كُلِّ نَفْسٍ أَوْ عَيْنِ حَاسِدٍ اللَّهُ يَشْفِيكِ بِاسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكِ
Bismillahi arqiki, min kulli syai-in yuk-dziki, min syarri kulli nafsin aw ‘ain ẖasidin, Allahu yasyfiki, bismillahi arqiki.

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Bahawa Rasulullah ﷺ jika sakit, baginda membacakan pada dirinya sendiri al-Mu’awwidzat (al-Ikhlas, al-Falaq & an-Nas) dan meniupkannya. Jika rasa sakitnya bertambah, maka aku yang membacakan kepada baginda dan mengusapkannya dengan tangan baginda dengan mengharap barakahnya.”
(HR. Bukhari,no.5751. Muslim,no.2192)

Thursday, October 3, 2024

Bacaan Ketika I’tidal (Bangkit Dari Ruku’)

:: Hadis 1 ::
اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ
Allahumma Robbana Lakal H̱amd
[Ya Allah, Tuhanku, bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.796. Muslim,no.404. dari Abu Hurairah & Abu Musa al-Asy‘ari)

:: Hadis 2 ::
اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
Allahumma Robbana Wa Lakal H̱amd
[Ya Allah, Tuhanku dan bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.795. dari Abu Hurairah)

:: Hadis 3 ::
رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ
Robbana Lakal H̱amd
[Tuhanku, bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.722. Muslim,no.477. dari Abu Hurairah & Abu Sa‘id al-Khudri)

:: Hadis 4 ::
رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ
Robbana Wa Lakal H̱amd
[Tuhanku, dan bagi-Mu segala puji]

(HR. Bukhari,no.689. Muslim,no.411. dari Anas bin Malik)

Wednesday, October 2, 2024

Pakai Kasut Ketika Solat

dari Abu Maslamah Sa‘id bin Yazid al-Azdi,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Anas bin Malik: ‘Apakah dahulunya Nabi ﷺ pernah solat dengan memakai kasut baginda?’ beliau menjawab: ‘Ya’.”
(HR. Bukhari,no.386. Muslim,no.555)

NOTA:
Imam al-Bukhari letak hadis ini dalam kitab Sahihnya dengan tajuk bab: بَاب الصَّلَاةِ فِي النِّعَالِ (Bab solat menggunakan kasut). Ini menunjukkan bahawa imam al-Bukhari berpendapat boleh solat dengan memakai kasut (sebagai contoh, di kawasan yang ada rumput atau tanah. Adapun jika dalam masjid atau surau seperti zaman sekarang ini,maka tidak perlu memakai kasut untuk menjaga kebersihan masjid atau surau). Syaikh Soleh al-‘Utsaimin juga berkata di dalam fatwanya (12/386): “Solat dengan memakai kasut itu adalah sunnah”.
Wallahua’lam.