Saturday, July 20, 2013

Bercerai Akan Bergegar 'Arasy Allah?

dari ‘Ali bin Abi Thalib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai. Maka sesungguhnya talak (bercerai) itu akan menggegarkan ‘Arasy.”
(HR. al-Khattib [rujuk: Tarikh Baghdad,12/191]. Ibn 'Adiy [rujuk: al-Kamil,5/112])

NOTA:
Hadis ini dinilai Maudhu’ (Palsu) oleh Syaikh al-Albani (rujuk: as-Silsilah ad-Dhaifah,1/278,Riyadh: Maktabah al-Ma'arif), kerana terdapat perawi yg bernama ‘Amr bin Juma‘i, dia seorang pendusta dan perawi yg bernama Juwaibirin, dia seorang yg tersangat Dhaif. Hadis ini juga dinilai tidak sahih oleh Ibn Iraq al-Kinani (rujuk: Tanzih al-Syairah,202/2), as-Suyuthi (rujuk: al-La'aali al-Masnu'ah,151/2), Ibnul Jauzi (rujuk: al-Maudhu'at,277/2), as-Sakhawi (rujuk: al-Maqasid al-Hasanah,49/1), asy-Syaukani (rujuk: al-Fawaid al-Majmu'ah,139/1), as-Saghani (rujuk: al-Maudhu'at,60/1) dan Syaikh al-Huweini (dalam video beliau).

Thursday, July 11, 2013

Zikir Pendek (Dibaca Hanya 3 Kali) Tapi Pahalanya Besar

dari Ibnu ‘Abbas,dari Juwairiyah,
“Nabi ﷺ keluar dari rumahnya pada waktu pagi ketika dia sedang mendirikan solat Subuh di tempat solat dalam rumahnya. Kemudian baginda pulang selepas masuknya waktu Dhuha, dan mendapati Juwairiyah masih di tempat solatnya. Baginda bertanya: ‘Engkau masih lagi dalam keadaan seperti mana aku pergi tadi?’ Juwairiyah menjawab: ‘Ya’. Nabi ﷺ pun bersabda: ‘Sesungguhnya aku telah menyebut empat kalimah sebanyak 3 kali. Seandainya ditimbang kalimah yang aku sebut itu dengan kalimah yang engkau sebut sejak pagi tadi, maka kalimah-kalimah yang aku sebut itu akan mengatasi kalimah-kalimah yang engkau sebut (iaitu):
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Subẖanallah Wa Biẖamdih, ‘Adada Khalqih, Wa Ridho Nafsih, Wa Zinata ‘Arsyih, Wa Midada Kalimatih
(Maha Suci Allah dan pujian untuk-Nya sebanyak jumlah makhluk ciptaan-Nya, mengikut redha-Nya kepada diri-Nya, menurut berat ‘Arasy-Nya, dan sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya)’.”
(HR. Muslim,no.2726)

NOTA:
Namun imam Muslim juga meriwayatkan hadis ini melalui jalur lain, tetapi dengan lafaz yang sedikit berbeza:

:: Hadis 2 ::
Rasulullah ﷺ membaca,
سُبْحَانَ اللَّهِ عَدَدَ خَلْقِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ رِضَا نَفْسِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ زِنَةَ عَرْشِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ مِدَادَ كَلِمَاتِهِ
“..Subhanallahi ‘Adada Khalqih, Subhanallahi Ridho Nafsih, SubhanAllahi Zinata ‘Arsyih, Subhanallahi Midada Kalimatih
(Maha Suci Allah sebanyak makhluk-Nya, Maha Suci Allah mengikut redha-Nya kepada diri-Nya, Maha Suci Allah menurut berat ‘Arasy-Nya, Maha Suci Allah sebanyak tinta kalimah-kalimah-Nya).."
(HR. Muslim,no.2726)

Wednesday, July 10, 2013

Kelebihan Puasa Ramadhan

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah ‘azza wa jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, sesungguhnya ia milik Aku dan Aku yang akan membalasnya. Orang yang berpuasa meninggalkan nafsu syahwat dan makannya kerana-Ku. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan iaitu kegembiraan ketika berbuka puasa dan Kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding kasturi’.”
(HR. Muslim,no.1151)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”
(HR. Bukhari,no.3277. Muslim,no.1079)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu.”
(HR. Bukhari,no.38. Muslim,no.760)

:: Hadis 4 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”
(HR. Bukhari,no.37)

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Qiyam Ramadhan” pada hadis ini bermaksud “Solat Tarawih” (rujuk: Syarh Sahih Muslim,6/39)

:: Hadis 5 ::
dari ‘Aisyah,Nabi ﷺ bersabda,
“Siapa yang mengerjakan ibadah pada Lailatul Qadar (malam qadar) dengan iman dan ikhlas, maka diampuni dosanya yang telah lalu.”
(HR. Bukhari,no.1901. Muslim,no.760)

Pahala Memberi 'Makanan Berbuka' Kepada Orang Yg Berpuasa

:: Hadis 1 ::
dari Salman al-Farisi,Rasulullah ﷺ bersabda,
“...Sesiapa yang memberi makan (untuk berbuka) orang yang berpuasa, maka baginya pengampunan atas dosa-dosanya dan dibebaskan daripada api neraka dan dia mendapatkan pahala yang sama sebagaimana orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang berpuasa...”
(HR. Ibnu Khuzaimah,no.1887)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Ibnu Khuzaimah sendiri dengan katanya: “Sekiranya khabar ini benar” (rujuk: Sahih Ibnu Khuzaimah,3/191). Kata Abu Hatim: “Hadis ini Munkar” (rujuk: al-'ilal,1/249). Kata Ibnu Hajar al-Asqalani: “Jalur utama bagi hadis ini ialah (perawi) ‘Ali bin Zaid, dia merupakan seorang yang Dhaif, manakala (perawi) Yusuf bin Ziyad merupakan seorang yang Dhaif Jiddan (lemah yg bersangatan), manakala (perawi) Iyas bin Abd al-Ghaffar, aku tidak mengenalinya” (rujuk: Ithaf al-Maharah,5/560)

:: Hadis 2 ::
dari Zaid bin Khalid al-Juhani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang memberi makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, dia mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa, tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.”
(HR. at-Tirmizi,no.807. Ibnu Majah,no.1736. Imam at-Tirmidzi menilai hadis ini ‘Hasan Sahih’)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Imam ‘Ali ibnu al-Madini (rujuk: al-‘Ilal,66/no.88), kerana hadis ini diriwayatkan dari ‘Atho bin Abi Rabah dari Zaid bin Khalid al-Juhani, yg mana ‘Atho bin Abi Rabah tidak mendengar hadis daripada Zaid bin Khalid al-Juhani. Akan tetapi, walaupun hadis ini Dhaif, ia boleh dijadikan untuk Fadhail A’mal kerana Dhaifnya adalah ringan (tanpa mempercayai bahawa hadis ini secara ‘pasti’ dari Rasulullah, tanpa memberitahu orang lain dengan berkata “Rasulullah bersabda”, tapi dibolehkan sebut “dikatakan dalam hadis Dhaif,(kemudian sebut hadith ini)”, kerana terdapat hadis Sahih yg lain bahawa Rasulullah ﷺ suka memberi (sedekah) pada bulan Ramadhan:

:: Hadis 3 ::
dari Ibnu ‘Abbas,ia berkata,
“Rasulullah ﷺ adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya di bulan Ramadhan, ketika Jibril bertemu dengan baginda ﷺ. Adapun Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan dan saling bertadarus al-Qur’an dengan baginda. Sungguh, Rasulullah ﷺ sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.”
(HR. Bukhari,no.6,1902,3220,3554 dan 4997)

Friday, July 5, 2013

Doa Cegah Dari Kejahatan Jin, Haiwan Dan Manusia

:: Hadis 1 ::
dari Khawlah binti H̱akim al-Sulamiyyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang singgah pada suatu tempat, kemudian mengucapkan:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A‘udzu Bika-Limatil-Lahit Tammah, Min Syarri Maa Kholaq
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan),
segala sesuatu tidak akan memberi mudarat padanya, sehinggalah dia meninggalkan tempat tersebut.”
(HR. Muslim,no.2708)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Telah datang seorang lelaki kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, ketika aku sedang tidur, ada seekor kala jengking datang menyengatku. Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Jika kamu membaca ketika waktu petang (malam) itu:
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
A‘udzu Bika-Limatil-Lahit-Tammah, Min Syarri Maa Kholaq
(Aku berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan),
nescaya tidak akan berlaku perkara yang memudaratkanmu’.”
(HR. Muslim,no.2709)

Allah Suka Kepada Orang yang Bertaubat

:: Hadis 1 ::
dari Anas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah lebih gembira dengan taubat hamba-Nya melebihi salah seorang dari kamu yang mendapatkan haiwan tunggangannya yang telah hilang di padang yang luas.”
(HR. Bukhari,no.6309)

:: Hadis 2 ::
dari Anas,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah sangat gembira ke atas taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan salah seorang dari kamu yang mendapati haiwan tunggangannya di sebuah padang pasir yang luas, yang mana haiwan tunggangan tersebut sebelumnya terlepas, sementara di atas tunggangannya ada bekal makanan dan minumannya hingga akhirnya dia merasa putus asa untuk menemukannya kembali. Dia pun kemudian mendatangi sebuah pohon dan berehat di bawah naungannya dengan rasa keputus-asaan yang dia alami. Dalam keadaan begitu, tiba-tiba dia mendapati untanya berdiri di sampingnya. Dia pun segera mengambil tali kekangnya dan berkata: ‘Ya Allah, Engkau adalah hambaku dan aku adalah Tuhan-Mu’. Dia tersalah cakap kerana kegembiraannya yang sangat luar biasa.”
(HR. Muslim,no.2747)

:: Hadis 3 ::
dari Anas,dari Nabi ﷺ,bahawa Allah ﷻ berfirman,
“Jika seseorang hamba mendekatkan diri kepada-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekatkan diri kepada-Ku sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Dan jika dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan mendatanginya dengan berlari.”
(HR. Bukhari,no.7536. Muslim,no.2675)

Jangan Meremehkan Amalan Baik

:: Hadis 1 ::
dari Abu Dzar,dia berkata,
“Nabi ﷺ bersabda kepadaku: ‘Janganlah kamu meremehkan apa-apa amalan yang baik, walaupun kebaikan itu dengan sekadar menunjukkan muka yang manis (senyum) ketika bertemu dengan saudaramu’.”
(HR. Muslim,no.2626)

:: Hadis 2 ::

dari ‘Adiy bin Hatim,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jagalah diri kamu dari api neraka, sekalipun dengan (bersedekah) separuh dari buah kurma.”
(HR. Bukhari,no.1417)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Adiy bin Hatim,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah membincangkan tentang neraka, kemudian baginda memalingkan wajahnya dan berlindung diri daripadanya, kemudian baginda membincangkan tentang neraka dan baginda memalingkan wajahnya lalu meminta perlindungan daripadanya, selanjutnya baginda bersabda: ‘Jagalah diri kamu dari neraka, sekalipun dengan (bersedekah) separuh dari buah kurma. Sesiapa yang tidak mendapatkannya, ucapkanlah perkataan baik’.”
(HR. Bukhari,no.6563. Muslim,no.1016)