Sunday, June 11, 2023

Makan Daging Yang Disembelih Oleh Muallaf

 dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Suatu kaum berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Sesungguhnya ada suatu kaum datang kepada kami dengan membawa daging. Kami tidak tahu adakah ketika disembelih, (mereka) menyebut nama Allah atau tidak’. Baginda menjawab: ‘Hendaklah kamu menyebut nama Allah, kemudian makanlah’. Mereka baru sahaja meninggalkan kekufuran (baru masuk islam)”.
(HR. Bukhari,no.5507)

Rasulullah Makan Masakan Yahudi

:: Hadis 1 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Ada seorang wanita Yahudi yang datang menemui Nabi ﷺ dengan membawa seekor kambing yang telah diracun, lalu baginda memakannya. Kemudian wanita itu diringkus dengan bukti daging tersebut dan dikatakan: ‘Tidakkah sebaiknya kita bunuh saja?’ Baginda menjawab: ‘Jangan’. Sejak itu aku sentiasa melihat bekas racun tersebut pada anak lidah Rasulullah ﷺ.”
(HR. Bukhari,no.2617)

:: Hadis 2 ::
dari Anas,dia berkata,
“Seorang wanita Yahudi menghantar daging yang telah dibubuh racun kepada Nabi ﷺ, lalu baginda makan sebahagian. Kemudian wanita itu dipanggil ke hadapan Rasulullah ﷺ, lalu baginda bertanya kepadanya tentang racun itu. Jawabnya: ‘Aku sengaja hendak membunuhmu’. Nabi ﷺ bersabda: ‘Tidak mungkin Allah S.W.T. akan memberi wewenang kepadamu untuk melakukan demikian’. Para sahabat bertanya: ‘Bolehkah kami bunuh wanita itu?’ Jawab baginda: ‘Jangan!’ Kami melihat jelas bekas racun itu kelihatan di leher Rasulullah ﷺ.”
(HR. Muslim,no.2190)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Ketika Khaibar ditakluk, Rasulullah ﷺ diberi hadiah seekor kambing beracun. Rasulullah ﷺ langsung bersabda: ‘Tolong kumpulkan orang-orang Yahudi yang ada di sini’. Maka mereka dikumpulkan di hadapan baginda. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Aku akan bertanya kepada kamu tentang sesuatu, apakah kamu akan menjawab dengan jujur?’. Mereka menjawab: ‘Ya,wahai Abu Qasim (Nabi Muhammad ﷺ)’. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya: ’Siapakah ayah kamu?’ Mereka menjawab: ‘Ayah kami si fulan’. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu bohong! Padahal ayah kamu adalah si fulan’. Mereka menjawab: ‘Engkau benar’. Lalu baginda bersabda kepada mereka: ‘Apakah kamu akan jujur jika aku tanya tentang sesuatu?’ Mereka menjawab: ‘Ya, dan jika kami berbohong (lagi), nescaya engkau mengetahuinya sebagaimana engkau mengetahui ayah-ayah kami’. Rasulullah ﷺ bertanya kepada mereka: ‘Siapakah penghuni neraka?’ Mereka menjawab: ‘Kami berada di dalamnya sebentar dan kemudian engkau menggantikan kami di dalamnya’. Maka Rasulullah ﷺ berkata kepada mereka: ‘Terhinalah kamu di dalamnya, demi Allah S.W.T., kami tidak akan menggantikan kamu di dalamnya selamanya’. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada mereka: ‘Apakah kamu akan berkata jujur terhadap pertanyaan yang akan aku tanyakan kepada kamu?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bersabda: ‘Apakah kamu membubuh racun pada (daging) kambing tersebut?’ Mereka menjawab: ‘Ya’. Baginda bertanya: ‘Apa yang menyebabkan kamu melakukan demikian?’ Mereka menjawab: ‘Kami ingin terbebas jika engkau seorang pembohong. Dan jika engkau benar seorang Nabi, maka (racun itu) tidak akan membahayakanmu’.”
(HR. Bukhari,no.5777)

Rasulullah Pernah Makan Ayam

:: Hadis 1 ::
dari Abu Musa al-Asy‘ari,dia berkata,
“Aku melihat Nabi ﷺ makan (daging) ayam.”
(HR. Bukhari,no.5517)

:: Hadis 2 ::
dari Zahdam,dia berkata,
“Aku pernah bersama Abu Musa al-Asy‘ari, sementara kami dengan kaum tersebut sedang menjalin hubungan persaudaraan. Kemudian kami di jamu dengan jamuan yang terdapat daging ayam. Di kaum tersebut terdapat seorang lelaki berkulit merah sedang duduk menyendiri dan tidak mahu mendekat, lalu Abu Musa berkata: ‘Mendekatlah, kerana aku pernah melihat Rasulullah ﷺ memakannya’..."
(HR. Bukhari,no.5518)

Saturday, June 10, 2023

5 Hari Yang Dilarang Berpuasa

● HARI RAYA AIDILFITRI & AIDILADHA ●

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ melarang puasa dua hari kebesaran iaitu pada Hari Raya Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan pada Hari Raya Aidilfitri (1 Syawal).”
(HR. Muslim,no.1138)


● HARI TASYRIQ ●

dari Nubaisyah al-Hudzali,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Hari-hari Tasyriq (11,12 & 13 Dzulhijjah) adalah hari makan dan minum.”
(HR. Muslim,no.1141)

NOTA:
Larangan berpuasa pada hadis-hadis ini termasuk puasa Qadha (ganti), puasa Nadzar & puasa Kaffarah. Wallahua’lam.

Thursday, June 1, 2023

Wajib Mengikuti Salaf Dan Salaf Adalah Generasi Terbaik

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang Muhajirin dan Ans̄ar, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(at-Taubah [9]: ayat 100)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan sesiapa yang menentang (ajaran) Rasulullah sesudah terang nyata kepadanya kebenaran pertunjuk (yang dibawanya), dan ia pula mengikut jalan yang lain dari jalan orang-orang yang beriman, Kami akan memberikannya kuasa untuk melakukan (kesesatan) yang dipilihnya dan (pada hari akhirat kelak) Kami akan memasukkannya ke dalam neraka jahanam dan neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali”.
(an-Nisa' [4]: ayat 115)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,bahawa Rasulullah ﷺ berkata kepada Fathimah,
“..Aku adalah sebaik-baik Salaf (pendahulu) buat kamu..”
(HR. Bukhari,no.6285,6286. Muslim,no.2450)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu Mas'ud,Nabi ﷺ bersabda,
“Sebaik-baik umatku ada yang kurun yang mana mereka menyertai aku, kemudian orang yang datang selepas mereka kemudian orang yang datang selepas mereka. Kemudian akan datang satu golongan yang mana mendahulukan penyaksian daripada sumpah dan menjadikan sumpahnya sebagai penyaksian (isyarat kepada banyaknya penyaksian dan sumpah yang palsu).”
(HR. Bukhari,no.3650. Muslim,no.2533)

Memfitnah Adalah Dosa Besar

:: Hadis 1 ::
dari Hudzaifah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)”
(HR. Bukhari,no.6056. Muslim,no.105)

:: Hadis 2 ::
dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah melalui dua buah kubur, lalu baginda bersabda: ‘Sesungguhnya dua mayat ini (di dalam kubur ini) sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya (dengan betul dan sempurna), manakala seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba’. Kemudian baginda mengambil pelepah kurma yang masih basah lalu mematahkannya menjadi dua. Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua. Para sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, mengapa engkau melakukan hal sedemikian?’ Maka Rasulullah bersabda: ‘Semoga dengan pelepah ini dapat meringankan seksanya selagimana ia belum kering’.”
(HR. Bukhari,no.216. Muslim,no.439)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdullah bin Mas‘ud,Muhammad ﷺ bersabda,
“Mahukah aku khabarkan kepada kamu apa itu al-‘Adhhu? Itulah perbuatan namimah untuk merosakkan hubungan antara sesama manusia. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis (di sisi Allah) sebagai seorang yang jujur dan yang sentiasa berdusta sehingga dia ditulis sebagai seorang pendusta”
(HR. Muslim,no.2606)

Sahihkah Doa “Allahumma Innaka 'Afuw...”

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Jika ada suatu hari yang aku tahu bahawa malam tersebut adalah Lailatul Qadar, maka apakah doa yang mesti kuucapkan?’ Jawab Nabi ﷺ: ‘Berdoalah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Allahumma innaka ʿAfuwwun Tuẖibbul ʿAfwa,Faʿfuʿanni
(Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka akan keampunan, maka ampunkanlah aku).”
(Ibnu Majah,no.3840. at-Tirmidzi,no.3435. at-Tirmidzi berkata,hadis ini ‘Hasan Sahih’)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam ad-Daraquthni, kerana hadis ini diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin Buraidah dari ‘Aisyah, yg mana dia (Abdullah) tidak mendengar apa-apa daripada ‘Aisyah (rujuk: as-Sunan,4/336). Imam al-Baihaqi juga menukilkan perkataan imam ad-Daraquthni bahawa ‘Abdullah bin Buraidah tidak mendengar daripada ‘Aisyah (rujuk: al-Ma'rifah,10/48). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Khalid al-Hayek di dalam website rasmi beliau (pada 'Soalan' - no.36) ketika ditanya tentang kesahihan hadis ini, dan Syaikh Khalid al-Hayek berkata: “Mursal (sanad terputus)”. Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga menilai hadis ini sebagai Dhaif di dalam video beliau, kerana hadis ini Munqothi’ (sanad terputus) antara ‘Abdullah bin Buraidah dan ‘Aisyah. Namun terdapat sebuah hadis yg Sahih berkenaan Lailatul Qadar dari ‘Aisyah:

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Seandainya aku mengetahui suatu malam, Lailatul Qadar, aku tidak akan meminta kepada Allah di dalamnya melainkan keselamatan”.
(HR. Ibnu Abi Syaibah [rujuk: al-Musonnaf,no.29187]. Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Khalid al-Hayek)

Hijab (Pembatas) Allah Adalah Cahaya

:: Hadis 1 ::
Dari Abu Musa al-Asy‘ari,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah berdiri di hadapan kami dan menyampaikan lima kalimat. Baginda ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya Allah tidak tidur dan tidak layak bagi-Nya tidur. Diangkat kepada-Nya amalan malam sebelum amalan siang. Hijab-Nya adalah cahaya. Sekiranya hijab itu terangkat, nescaya sinaran wajah-Nya akan membakar semua makhluk yang tercapai oleh pandangan-Nya’.”
(HR. Muslim,no.179)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Dzar,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ: ‘Adakah kamu melihat Rabb-mu (ketika peristiwa Mi’raj)?’ Baginda menjawab: ‘Ada cahaya, bagaimana mungkin aku boleh melihat-Nya’.”
(HR. Muslim,no.178)

:: Hadis 3 ::
dari Suhaib,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: ‘Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?’ Mereka menjawab: ‘Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?’ Lalu Allah membuka hijab (membuka pembatas-Nya dan menampakkan diri-Nya), dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘azza wa jalla.”
(HR. Muslim,no.181. Ibnu Majah,no.187)

Bercakap (Berbual) Ketika Makan Adalah Sunnah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Kami pernah bersama Nabi ﷺ dalam sebuah undangan. Kemudian dibawakanlah paha kambing dan baginda menyukainya. Kemudian baginda menggigitnya dengan satu gigitan lalu bersabda: ‘Aku adalah penghulu kaum (manusia) pada hari kiamat...”
(HR. Bukhari,no.3340. Muslim,no.194)

:: Hadis 2 ::
Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Suatu hari aku diajak oleh Rasulullah ﷺ untuk ke rumahnya. Kemudian baginda mengeluarkan sepotong roti. Baginda bertanya kepada isterinya: ‘Apakah ada lauk pauk?’ Mereka menjawab: ‘Tidak ada, kecuali sedikit cuka’. Lalu baginda bersabda: ‘Sesungguhnya cuka adalah sebaik-baik lauk’. Aku menyukai cuka sejak aku mendengarnya dari Nabiyullah ﷺ’.”
(HR. Muslim,no.2052)

NOTA:
Kata imam an-Nawawi, hadis ini menjadi dalil disunatkan bercakap ketika makan kerana menambah kemesraan sesama orang-orang yg makan (rujuk: Syarah ‘ala Sahih Muslim,7/14).

Wednesday, May 31, 2023

Cara Benar Merapatkan Saf

dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Luruskanlah saf kamu, kerana aku melihat kamu dari belakang bahuku.” Terdapat seorang diantara kami yang menempelkan bahunya dengan bahu temannya dan telapak kaki dengan telapak kakinya”.
(HR. Bukhari,no.725)

Isteri Nabi ﷺ Yang Dinikahkan Oleh Allah ﷻ Tanpa Wali

:: Hadis 1 ::
dari Anas,dia berkata,
“Zaid bin Haritsah datang mengadu (sesuatu), lalu Nabi ﷺ bersabda kepadanya: ‘Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan tahanlah isterimu (jangan ceraikan dia)’. Seandainya Rasulullah ﷺ menyembunyikan sesuatu, tentu baginda ﷺ akan menyembunyikan hal (ayat) ini. Ketika itu Zainab merasa bangga terhadap para isteri Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Kamu semua dinikahkan oleh ahli keluarga kamu, sedangkan aku dinikahkan oleh Allah dari atas tujuh langit’. Daripada Tsabit (Firman Allah ﷻ): ‘Sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia’ (Surah al-Ahzab [33]: ayat 37), diturunkan berkenaan dengan perkara ini (yang berlaku antara) Zainab dan Zaid bin Haritsah.”
(HR. Bukhari,no.7420)

:: Hadis 2 ::
Dari Anas,bahawa dia berkata,
“Ayat hijab diturunkan berkenaan dengan Zainab binti Jahsyi, ketika (pernikahannya) itu baginda ﷺ memberi jamuan berupa roti dan daging. Zainab sering berbangga terhadap para isteri Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Sesungguhnya Allah-lah yang menikahkanku di langit.’”
(HR. Bukhari,no.7421)

Boleh Solat Sunat Selepas Solat Witir

dari Sa‘ad,bahawa dia berkata kepada ‘Aisyah,
“..Wahai Ummul Mukminin, beritahu kepadaku tentang witir Rasulullah ﷺ!’ ‘Aisyah menjawab: ‘Kami dulu selalu menyiapkan siwaknya dan bersucinya, setelah itu Allah membangunkannya sekehendaknya untuk bangun malam. Kemudian baginda bersiwak dan berwudhu’ dan solat sembilan rakaat. Baginda tidak duduk dalam kesembilan rakaat itu kecuali pada rakaat kelapan, baginda menyebut nama Allah, memuji-Nya dan berdoa kepada-Nya, kemudian baginda bangkit dan tidak mengucapkan salam. Setelah itu baginda berdiri dan solat untuk rakaat ke sembilan. Kemudian baginda berzikir kepada Allah, memuji-Nya dan berdoa kepada-Nya, lalu baginda mengucapkan salam dengan nyaring agar kami mendengarnya. Setelah itu baginda solat dua rakaat setelah salam sambil duduk, itulah sebelas rakaat wahai anakku...”
(HR. Muslim,no.746)

NOTA:
Kata imam at-Tirmidzi, ini pendapat imam Sufyan ast-Tsauri, imam Malik, imam Ibnu al-Mubarak, imam Syafi'i, imam Ahmad & penduduk Kufah. Dan ini adalah pendapat yang paling sahih (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.470). Imam Ibnu Hazm juga berpendapat bahawa boleh solat sunat selepas solat witir dan tidak perlu mengulangi witir (rujuk: al-Muhalla,2/91).

Monday, May 29, 2023

Jangan Berdoa Agar Allah Membalas Dosa Kita Di Dunia

dari Anas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menziarahi seorang lelaki daripada kaum Muslimin yang tubuhnya semakin lemah umpama anak burung. ‏Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Adakah kamu ada berdoa atau meminta sesuatu daripada Allah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya, aku berdoa dengan menyebut: Ya Allah, hukuman yang Kau mahu jatuhkan kepada ku di akhirat, segerakanlah ia untuk ku di dunia’. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Maha Suci Allah, kamu tidak akan mampu. Kenapa tidak kamu menyebut:
اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma atina fiddunya ẖasanah, wa fil akhirati ẖasanah, wa qina ‘adza bannar
(Ya Allah, berikan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan selamatkan kami daripada azab neraka)’.
Baginda pun mendoakan lelaki itu, lalu Allah menyembuhkannya.”
(HR. Muslim,no.2688)

Monday, April 10, 2023

Rasulullah Suruh Gigit Kemaluan Ayah?

 dari ‘Utay bin Dhamrah,dia berkata,
“Aku melihat disisi Ubay (bin Ka’ab) ada seorang lelaki yang berta’ziah (berslogan) dengan ta’ziah jahiliyyah, maka Ubay menyuruhnya agar menggigit kemaluan (zakar) ayahnya dan tidak bercakap dengan kiasan. Lalu sahabat-sahabatnya melihatnya, maka dia berkata: ‘Seakan-akan kamu mengingkari perbuatanku?’ Lalu dia berkata: ‘Aku tidak takut pada sesiapapun dalam hal ini kerana sesungguhnya aku mendengar Nabi ﷺ bersabda: Sesiapa yang mengucapkan dengan ucapan ta’ziah jahiliyyah, maka suruhlah dia gigit kemaluan ayahnya dan jangan cakap berkias’.”
(HR. al-Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.963])

NOTA:
Hadis ini ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih). Kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama ‘Utaiy bin Dhamrah, yg mana kata imam ‘Ali ibnu al-Madini (tentangnya): “Majhul (tidak dikenali)” (rujuk: Ibnu Hajar,Tahdzib at-Tahdzib,7/104). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau. Syaikh ‘Ustman al-Khamis juga menilai hadis ini Dhaif dalam video beliau.

Monday, January 23, 2023

Doa Nabi Isa

Allah ﷻ berfirman:
“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu, dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(al-Ma'idah [5]: ayat 118)