:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Keagungan adalah sarung-Nya dan kesombongan adalah selendang-Nya. (Allah berfirman:) ‘Barangsiapa yang menandingi-Ku (pada kedua sifat ini), maka Aku akan mengazabnya’.”
(HR. Muslim,no.2620)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah ‘azza wa Jalla berfirman: ‘Kesombongan adalah selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku. Siapa yang berusaha merebut salah satunya daripada-Ku, Aku akan mencampakkannya ke dalam neraka’.”
(HR. Abu Daud,no.4090)
NOTA:
Kata imam al-Khattabi: “Makna sabda Nabi ini ialah kebesaran dan keagungan adalah sifat khas bagi Allah S.W.T. yang tidak dikongsi dengan orang lain. Makhluk tidak layak meniru kedua-dua sifat tersebut kerana sifat yang layak bagi makhluk adalah tawadhu’ dan merendah. Perkataan ‘Selendang’ dan ‘Sarung’ disebutkan sebagai kiasan. Allah seolah-olah mengatakan: ‘Sebagaimana seorang manusia tidak berkongsi sarung dan selendang dengan orang lain, makhluk tidak boleh berkongsi kebesaran dan keagungan dengan-Ku’. Wallahua’lam” (rujuk: Ma‘alim al-Sunan,4/196). Kata imam Abu Ya’la ibn al-Farra’: “Diketahui bahawa sabda Nabi ‘Kesombongan adalah selendang-Ku dan keagungan adalah sarung-Ku’ yang dimaksudkan dengannya adalah sesungguhnya demikian sifat dari sifat-Ku, kerana Aku mengkhususkan dengannya bukan untuk selain-Ku. Maka barangsiapa yang mengambil diantara keduanya, mereka angkuh dan bangga terhadap manusia, Aku akan masukkan ia ke dalam neraka. Dan ini sebagaimana yang dikatakan: Sesungguhnya dikatakan kepada fulan yang mempunyai dalam hatinya sebesar biji syair atau zarrah sifat tersebut” (rujuk: Ibthal al-Takwilat,481).
Sunday, August 13, 2023
Firman Allah: Sombong Adalah Selendang-Ku Dan Keagungan Adalah Sarung-Ku
Saturday, August 12, 2023
Yahudi Berkata Tentang Makhluk Yang Berada Di Jari Allah
Friday, August 11, 2023
Solat Sunat Taubat: Hadis Dhaif & Dalil Yang Sahih
dari Abu Bakar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci (berwudhu’) dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini: ‘Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya) (Ali ‘Imran [3]: ayat 135)’.”
(HR. at-Tirmidzi,no.406. Abu Daud,no.1521. Ibnu Majah,no.1395. al-Bazzar,no.9)
NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam al-Bukhari, Yahya ibn Ma‘in dan al-Bazzar. Kerana hadis ini diriwayatkan oleh ‘Ali bin Rabi‘ah dari Asma’ bin al-Hakam, dari ‘Ali bin Abi Thalib, dari Abu Bakar as-Siddiq, yg mana kata imam al-Bukhari: “Asma’ bin al-Hakam al-Fazari mendengar ‘Ali (bin Abi Thalib), dan ‘Ali bin Rabi‘ah meriwayatkan daripadanya, yang termasuk dari al-Kufiyyin (Ahli Kufah)” (rujuk: at-Tarikh al-Kabir,2/54). imam al-Bukhari menyebut “al-Kufiyyin (Ahli Kufah)” kerana diketahui bahawa ahli Kufah secara adatnya (dalam periwayatan hadis) kerapkali mereka meriwayatkan hadis yang Mauquf dengan menjadikannya berstatus Marfu’. Kedua, perawi Asma’ bin al-Hakam dinilai Majhul (tidak dikenali) oleh imam Yahya Ibn Ma‘in, dengan katanya: “Perawi ini tidak dikenali” (rujuk: Sualat al-Junaid,78). Imam al-Bazzar juga berkata tentangnya (Asma’ bin al-Hakam): “Majhul (tidak dikenali), dia tidak meriwayatkan selain yang ini, dan hanya ‘Ali bin Rabi‘ah yang meriwayatkannya” (rujuk: al-Bahr al-Zakhkhar,1/61/8). Malah imam at-Tirmidzi juga menilai hadis ini Dhaif selepas meriwayatkan hadis ini, dengan katanya: “Hadis ‘Ali hadis yang Hasan”. Kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi (dalam video beliau), hadis ini sanadnya ada pertikaian (dari kalangan ulama’ hadis), namun beliau menggunakan dalil umum yang lain sebagai dalil solat sunat taubat:
:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama solat) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”.
(Hud [11]: ayat 114)
Friday, August 4, 2023
Hadis Bithaqah (Kad Kecil)
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada hari kiamat kelak (di padang Mahsyar), akan ada salah seorang dari umatku yang dipanggil (untuk dihisab) di hadapan seluruh makhluk. Lalu dibukakan dan dibentangkan untuknya 99 buku catatan (amal buruknya semasa di dunia), yang mana setiap buku catatan tersebut luasnya sejauh mata memandang. Kemudian Allah ‘azza wa jalla berfirman: ‘Adakah engkau mengingkari sesuatu dari catatan ini?’ Dia menjawab: ‘Tidak wahai Rabb-ku’. Allah bertanya lagi: ‘Adakah Malaikat penulis-Ku menzalimimu? Adakah engkau punya kebaikan?’ Maka dengan rasa takut, orang itu menjawab: ‘Tidak’. Allah berfirman: ‘Ada. Sesungguhnya engkau mempunyai beberapa kebaikan di sisi-Ku. Dan sesungguhnya hari ini,engkau tidak akan dizalimi’. Lalu dikeluarkan sebuah kad (kad kecil) yang tertulis padanya “Asyhadu allaa ilaaha illallaah, wa anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya)”. Lelaki itu berkata: ‘Wahai Rabb-ku, apakah (ertinya) satu kad ini (bila) dibandingkan buku yang besar ini?’ Allah menjawab: ‘Sesungguhnya engkau tidak akan dizalimi’. Lalu buku-buku catatan tersebut diletakkan dalam timbangan, sedangkan kad itu diletakkan pada ujung timbangan yang sama. Maka buku-buku catatan tersebut terangkat dan ternyata kad tersebut lebih berat’. (perawi) Muhammad bin Yahya berkata: ‘al-Bithaqah (kad) itu adalah ar-Ruq‘ah (lembaran dari kertas atau kulit). Dan penduduk Mesir biasa menyebut ar-Ruq‘ah dengan nama al-Bithaqah’.”
(HR. Ibnu Majah,no.4300. at-Tirmidzi,no.2639. Hadis ini dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau)