Friday, October 25, 2013

Rasulullah Memohon Ampun Lebih 70 kali Sehari

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali.”
(HR. Bukhari,no.6307)

:: Hadis 2 ::
dari al-Aghar al-Muzani,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku beristighfar (memohon ampun) kepada Allah, sehari 100 kali.”
(HR. Muslim,no.7033)

Hadis Cendawan

dari Sa'id bin Zaid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“al-Kam’ah (Cendawan) itu berasal dari ‘Manna’ (yang Allah turunkan kepada orang bani Israel) dan airnya penyembuh sakit mata.”
(HR. Bukhari,no.5708. Muslim,no.5463)

NOTA:
Disebabkan cendawan mempunyai banyak jenis, maka tidak dapat dipastikan cendawan yang dimaksudkan oleh Rasulullah ﷺ.
Wallahua'lam.

Tuesday, October 15, 2013

Sederhana Dalam Beribadah

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amru,ia berkata,
“Disampaikan kepada Rasulullah ﷺ, bahawa ada seseorang (aku) mengatakan: ‘Sesungguhnya, aku akan solat sepanjang malam, dan puasa sepanjang hari selama hidupku’. maka Rasulullah bertanya: ‘Benarkah kamu yang berkata begitu?’ Aku menjawab: ‘Benar, wahai Rasulullah’. Rasulullah bersabda: ‘Kamu tidak mampu melakukannya. Kamu berpuasalah sehari dan berbukalah sehari. Kamu tidur dan bangunlah solat (malam). Puasalah tiga hari dalam sebulan. Kerana setiap perbuatan baik dibalas sepuluh kali ganda, oleh itu puasa tiga hari sebulan seperti berpuasa sepanjang masa’. Aku berkata: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah menjawab: ‘Sekiranya begitu, puasalah sehari dan berbukalah dua hari’. Aku berkata lagi: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah menjawab: ‘Sekiranya begitu puasalah sehari dan berbukalah sehari. Itulah puasa Nabi Daud dan itulah puasa yang paling baik’. Aku berkata lagi: ‘Aku mampu buat lebih daripada itu’. Rasulullah pun menjelaskan: ‘Tidak ada yang lebih baik daripada itu’. (Apabila ‘Abdullah bin ‘Amru sudah tua), aku berkata: ‘Andainya aku menerima anjuran supaya berpuasa tiga hari sebulan yang disebut oleh Rasulullah dahulu, itu aku lebih suka berbanding keluarga dan hartaku’.”
(HR. Muslim,no.1962)

:: Hadis 2 ::
dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Ada tiga orang mendatangi rumah isteri-isteri Nabi ﷺ dan bertanya tentang ibadah Nabi ﷺ. Dan setelah dikhabarkan kepada mereka, merekapun merasakan yang ibadah mereka terlalu sedikit berbanding ibadah Nabi. Mereka berkata: ‘Ibadah kita tidak ada apa-apanya dibanding Rasulullah ﷺ, bukankah baginda sudah diampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan juga yang akan datang?’ Salah seorang dari mereka berkata: ‘Sungguh, aku akan melaksanakan solat malam selama-lamanya’. Kemudian yang lain berkata: ‘Kalau aku, maka sungguh, aku akan berpuasa Dahr (setahun penuh) dan aku tidak akan berbuka (berpuasa setiap hari sepanjang tahun)’. Dan yang lain lagi berkata: ‘Aku akan menjauhi wanita dan tidak akan bernikah selama-lamanya’. Kemudian datanglah Rasulullah ﷺ kepada mereka seraya bertanya: ‘Kamu berkata begini dan begitu. Ada pun aku, demi Allah, adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kamu, dan juga yang paling bertakwa. Aku berpuasa dan juga berbuka, aku solat dan juga tidur serta menikahi wanita. Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka ia bukanlah dari golonganku’.”
(HR. Bukhari,no.5063. Muslim,no.1401)

:: Hadis 3 ::
dari ‘Aisyah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun ia sedikit.”
(HR. Bukhari,no.6465. Muslim,no.783)

Saturday, October 12, 2013

Mimpi Melihat Rasulullah

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka sememangnya dia melihatku, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupai rupaku.”
(HR. Bukhari,no.6993. Muslim,no.2266)

Pahala Mengucapkan Salam

dari ‘Imran bin Hus̄ain,ia berkata,
“Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assalaamu‘alaikum’. Maka dijawab oleh Nabi ﷺ kemudian ia duduk. Nabi ﷺ bersabda: ‘Sepuluh (pahala)’. Kemudian datang lagi orang yang kedua, memberi salam: ‘Assalaamu‘alaikum wa Rahmatullaah.’ Setelah dijawab oleh Nabi ﷺ ia pun duduk. Nabi ﷺ bersabda: ‘Dua puluh (pahala)’. Kemudian datang orang ketiga dan mengucapkan salam: ‘Assalaamu‘alaikum wa rahmatullaahi wa baraakaatuh’. Maka dijawab oleh Nabi ﷺ kemudian ia pun duduk dan Nabi ﷺ bersabda: ‘Tiga puluh (pahala)’.”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adabul Mufrad,no.986]. Abu Daud no.5195. at-Tirmidzi,no.2689. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi)

Rezeki Kepada Orang Yang Bertawakkal

dari ‘Umar bin Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal, nescaya Allah akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung yang keluar di pagi hari dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dalam keadaan kenyang.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2344. Ibnu Majah,no.4164. Hadis ini dinilai ‘Hasan Sahih’ oleh imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini tidak sahih menurut Syaikh Musthofa al-‘Adawi (dalam video beliau) kerana ‘sanadnya Dhaif’. Akan tetapi, hadis ini maknanya benar, kerana di dalam al-Quran,Allah ﷻ berfirman:

“..Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakkal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)..”
(at-Thalaq [65]: ayat 2-3)

Ingatlah Allah Supaya Allah mengingat Kita

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka ingatilah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan syukurilah nikmat-Ku dan jangan sekali-kali kamu kufur (lupakan budi-Ku).”
(al-Baqarah [2]: ayat 152)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah Ta’ala berfirman: ‘Aku bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Barangsiapa mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku ingat dia dalam diri-Ku. Barang siapa mengingat-Ku dalam kumpulan orang, Aku mengingatnya dalam kumpulan yang lebih baik darinya. Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sejengkal, Aku akan dekat kepadanya sehasta. Jika dia (hamba-Ku) dekat kepada-Ku sehasta, Aku dekat kepadanya sedepa. Jika dia (hamba-Ku) datang kepada-Ku dengan berjalan (biasa), maka Aku mendatanginya dengan berjalan cepat’.”
(HR. Bukhari,no.7405,7505 & 7537. Muslim,no.2675)