Friday, February 13, 2026

Membangunkan Keluarga Untuk Solat Sunat

:: Hadis 1 ::
dari ‘Ali bin Abi Thalib bahawa Nabi ﷺ datang pada waktu malam untuk menjenguk Fathimah. Lalu baginda berkata: ‘Adakah kalian tidak mendirikan solat?’ Aku menjawab: ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya diri kami berada di tangan Allah. Jika Dia mahu membangunkan kami, maka Dia akan membangunkan kami’. Baginda ﷺ pun beredar ketika aku menyatakan hal itu. Kemudian aku mendengar baginda menepuk pahanya sambil berkata: ‘Dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya (al-Kahfi [18]: ayat 54)’.”
(HR. Muslim,no.775)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Apabila Rasulullah ﷺ masuk pada sepuluh akhir (Ramadhan), baginda akan menghidupkan malamnya (dengan ibadah), mengejutkan ahli keluarganya, dan memperketatkan kain sarungnya”
(HR. Muslim,no.1174)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Semoga Allah merahmati seorang suami yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan isterinya lalu isterinya juga solat. Jika isterinya enggan maka si suaminya memercik wajah isteri dengan air. Semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun pada waktu malam lalu solat; kemudian dia membangunkan suaminya. Jika suaminya enggan maka si isterinya memercik wajah suami dengan air.”
(HR. Abu Daud,no.1308. an-Nasaie,no.1610. Ibnu Majah,no.1336)

NOTA:
Hadis ini didiamkan oleh imam Abu Daud setelah meriwayatkan hadis ini, dan diamnya imam Abu Daud bermaksud hadis itu ‘Soleh’ (sahih) disisi beliau. Hadis ini juga dinilai sahih oleh imam al-Mundziri, dengan katanya: “(Hadis itu) tidak turun daripada darjat hasan, bahkan boleh jadi ia menepati syarat Sahihain (Bukhari dan Muslim) atau salah satu daripada keduanya” (rujuk: Targhib wa at-Tarhib,1/292), juga dinilai sahih oleh imam an-Nawawi (rujuk: Riyadh as-Solihin,402). Syaikh al-Albani berkata: “Hasan sahih” (rujuk: Sahih Abi Daud,no.1450. Sahih an-Nasaie,no.1609), namun di kitab lain beliau berkata: “Hasan” (rujuk: Sahih at-Targhib,625. Hidayah al-Ruwah,no.1187). Dan hadis ini dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh al-Wadi‘i (rujuk: Sahih al-Musnad,no.1276), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth berkata: “Sanadnya qowi [kuat]” (rujuk: Takhrij Sunan Abi Daud,no.1308. Syarh as-Sunnah,4/96-97), dan juga dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video).

No comments:

Post a Comment