Thursday, January 16, 2025

Nilai Manusia Berdasarkan Zahir

:: Hadis 1 ::
dari ‘Umar al-Khatthab,dia berkata,
“Sesungguhnya, dahulu manusia (kadangkala) diadili berdasarkan wahyu yang diturunkan semasa hayat Rasulullah ﷺ. Namun kini, sesungguhnya wahyu telah terputus. Maka sekarang, kami hanya menilai kamu berdasarkan apa yang zahir daripada amal perbuatan kamu. Barangsiapa yang menzahirkan kebaikan kepada kami, kami akan mempercayainya dan dekat dengannya. Sedangkan urusan hati batinnya, itu bukan urusan kami, Allah yang akan menghisabnya. Tetapi barangsiapa yang menzahirkan keburukan kepada kami, kami tidak akan mempercayainya dan tidak akan membenarkannya, meskipun dia berkata bahawa niatnya baik.”
(HR. Bukhari,no.2641)

:: Hadis 2 ::
dari Usamah bin Zaid,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengutuskan kami dalam satu pasukan tentera kecil, lalu kami menyerang kawasan al-Huraqat daripada kalangan Juhainah. Aku menjumpai seorang lelaki, dan dia berkata: ‘La ilaha illallah (Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah)’. Namun aku menikamnya. Perbuatan itu membuatkan aku rasa bersalah, lalu aku ceritakan kepada Nabi ﷺ. Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Adakah dia mengucapkan La ilaha illallah kemudian kamu membunuhnya?’ Aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, dia hanya mengucapkannya kerana takutkan senjata’. Baginda bersabda: ‘Mengapa kamu tidak belah dadanya untuk mengetahui adakah dia mengucapkannya dengan ikhlas atau tidak?!’ Baginda terus mengulang-ulang perkara itu kepadaku sehingga aku berharap agar aku baru sahaja memeluk Islam pada hari itu..”
(HR. Muslim,no.96)

Wednesday, January 15, 2025

Penyebab Doa Tidak Dimakbulkan

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.”
(al-Baqarah [2]: ayat 186)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Baik, dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik jua. Sesungguhnya Allah menyuruh orang beriman dengan apa yang pernah disuruh kepada para rasul. Allah berfirman: ‘Wahai para rasul. Makanlah daripada makanan yang baik-baik. Lakukanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kalian lakukan (al-Mukminun [23]: ayat 51)’. Firman Allah lagi: ‘Wahai orang beriman, makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami kurniakan kepada kalian (al-Baqarah [2]: ayat 172)'.” Kemudian baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh. Keadaanya kusut masai dan diselaputi debu. Dia menadah tangannya ke langit dan menyebut: ‘Wahai tuhan, wahai Tuhan’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. Lalu bagaimana mahu diterima (doanya) disebabkan keadaannya itu?”
(HR. Muslim,no.1015)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Doa seorang hamba akan dikabulkan selama dia tidak berdoa untuk sesuatu yang berdosa atau memutuskan silaturahim, dan selama dia tidak tergesa-gesa.” Seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apa maksud tergesa-gesa itu?” Baginda menjawab: “Dia berkata: ‘Aku telah berdoa, tetapi Allah belum mengabulkan doaku’, lalu dia merasa putus asa dan meninggalkan doa.”
(HR. Bukhari,no.6340. Muslim,no.2735c. Ini lafaz Muslim)

Sunday, January 12, 2025

Doa Agar Nikmat Tidak Dihilangkan

dari ‘Abdullah bin ‘Umar,dia berkata,
“Antara doa Rasulullah ﷺ ialah: 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Allahumma innii A‘udzubika Min Zawaali Ni’matika, Wa Taẖawwuli ‘Afiyatika, Wa Fujaa-ati Niqmatika, Wa Jami‘i Sakho-thika
(Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, dari lepasnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, dari siksa-Mu yang datang secara tiba-tiba, dan dari segala kemurkaan-Mu).”
(HR. Muslim,no.2739)

Saturday, January 11, 2025

Dosa Dan Balasan Kerana Tidak Membayar Zakat

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ramai dalam kalangan pendeta Yahudi dan paderi Nasrani itu mereka makan harta orang ramai dengan cara yang batil dan menghalang jalan Allah. Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak tanpa menyedekahkannya ke jalan Allah; maka sampaikanlah khabar gembira buat mereka dengan azab seksa neraka yang amat pedih!”
(at-Taubah [9]: ayat 34)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): ‘Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu’.”
(at-Taubah [9]: ayat 34 - 35)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Unta akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling baik dan sempurna. Apabila dia (pemiliknya) tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka unta tersebut akan memijak-mijak orang itu dengan kakinya. Kambing juga akan datang kepada pemiliknya dalam keadaan yang paling sempurna. Apabila dia tidak memberikan padanya haknya (mengeluarkan zakat), maka kambing itu akan memijak-mijak orang itu dengan kukunya (kakinya) dan menanduknya. Antara haknya juga adalah supaya diperah susunya di kawasan yang ada air. Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor kambing yang mengembek di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: ‘Wahai Muhammad! (dengan niat untuk meminta syafaat dan bantuan)’ Maka aku menjawab: ‘Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu’. Janganlah salah seorang daripada kamu nanti, datang pada hari kiamat dengan membawa seekor unta yang mengeluarkan bunyi di atas tengkuknya, lalu dia pun berkata: ‘Wahai Muhammad!’ Maka aku menjawab: ‘Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu, (kerana) sesungguhnya aku telah sampaikan mengenai perkara itu kepadamu’.”
(HR. Bukhari,no.1402)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang Allah berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: ‘Akulah  hartamu, akulah simpananmu’. Kemudian, baginda membaca (firman Allah): ‘Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka (QS Ali ‘Imran [3]: ayat 180)...”
(HR. Bukhari,no.1403)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tiada seorang pun yang memiliki emas dan perak lalu tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari kiamat akan dibentangkan untuknya kepingan-kepingan daripada api neraka. Kemudian kepingan itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dengannya diselar dahi, sisinya dan punggungnya. Setiap kali kepingan itu sejuk, ia akan dipanaskan semula untuknya dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan unta?’ Baginda menjawab: ‘Dan pemilik unta yang tidak menunaikan haknya (zakatnya) dan sebahagian daripada haknya ialah memberi minum susunya pada hari ia dibawa ke tempat minum, melainkan pada hari kiamat ia akan dibentangkan di atas tanah lapang yang rata. Unta-unta itu dalam keadaan paling gemuk dan tidak ada seekor pun yang hilang daripadanya, termasuk anaknya. Mereka akan memijak tuannya dengan kuku mereka dan menggigitnya dengan mulut mereka. Setiap kali barisan pertama selesai melalui tuannya, barisan terakhir akan kembali semula kepadanya, dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya lagi: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan lembu dan kambing?’ Baginda menjawab: ‘Dan pemilik lembu dan kambing yang tidak menunaikan haknya (zakatnya), melainkan pada hari kiamat ia akan dibentangkan di atas tanah lapang yang rata. Tidak ada satu pun daripadanya yang cacat, tidak bertanduk bengkok, tidak tanduk patah, atau yang kakinya pendek. Mereka akan menanduk tuannya dengan tanduk mereka dan memijaknya dengan kuku mereka. Setiap kali barisan pertama selesai melalui tuannya, barisan terakhir akan kembali semula kepadanya, dalam satu hari yang kadarnya adalah 50,000 tahun, sehingga selesai diadili di kalangan para hamba. Maka dia akan melihat jalannya, sama ada ke syurga atau ke neraka’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan kuda?’ Baginda menjawab: ‘Kuda itu ada tiga jenis: ada yang menjadi beban dosa bagi pemiliknya, ada yang menjadi perlindungan, dan ada yang menjadi pahala. Kuda yang menjadi beban dosa ialah kuda yang dipelihara untuk riak, kebanggaan, dan permusuhan terhadap orang Islam. Kuda yang menjadi perlindungan ialah kuda yang dipelihara untuk berjihad di jalan Allah dengan memenuhi haknya, seperti memberikan makanan dan penjagaan. Kuda yang menjadi pahala ialah kuda yang dipelihara untuk berjihad di jalan Allah bagi orang Islam, lalu apa sahaja yang dimakan oleh kuda itu di padang rumput atau ladang akan menjadi pahala, termasuk najisnya, air kencingnya, dan setiap langkahnya akan menambah pahala pemiliknya’. Ada yang bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana pula dengan keldai?’ Baginda menjawab: ‘Tiada wahyu yang diturunkan kepadaku mengenai keldai, kecuali ayat yang umum ini: ‘(Allah berfirman) Maka sesiapa yang melakukan kebaikan seberat zarah, dia akan melihatnya. Dan sesiapa yang melakukan kejahatan seberat zarah, dia juga akan melihatnya’ (QS. az-Zalzalah [99]: ayat 7 - 8).”
(HR. Muslim,no.987a)

Doa Kebaikan Umum Namun Menyeluruh

:: Hadis 1 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ mengajarnya doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ
Allahumma innii As-aluka Minal Khoiri Kullihi, ‘Ajilihi Wa Ajilihi Maa ‘Alimtu Minhu Wamaa Lam A’lam. Wa A‘udzubika Minasy-Syarri Kullihi, ‘Ajilihi Wa Ajilihi Maa ‘Alimtu Minhu Wamaa Lam A’lam
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang aku ketahui mahupun tidak aku ketahui. Aku berlindung kepada-Mu dari semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, yang aku ketahui mahupun yang tidak aku ketahui)...”
(HR. Ibnu Majah,no.3846. Ahmad,no.25019 & 25139. Ibnu Hibban,no.869)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih al-Jami’,1276. Sahih Ibnu Majah,no.3116. Silsilah as-Sahihah,no.1542), juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.25019 & 25139. Takhrij Sahih Ibnu Hibban,no.869).

:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ pernah berdoa:
اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِيَ الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَاىَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Allahumma As̄liẖ-Li Dinil-Ladzi Huwa ‘is̄matu Amri, Wa As̄liẖ-Li Dun-yayallati Fiha Ma‘asyi, Wa As̄liẖ-Li Akhirotil-Lati Fiha Ma‘adi, Waj‘alil H̱ayata Ziyadatal-Lii Fii Kulli Khoir, Waj‘alil Mauta Roẖatal-Lii Min Kulli Syarr
(Ya Allah, perbaikilah agamaku untukku yang ia merupakan benteng pelindung bagi urusanku. Dan perbaikilah duniaku untukku, yang ia menjadi tempat hidupku. Serta perbaikilah akhiratku yang ia menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagiku dalam setiap kebaikan, serta jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagiku dari segala kejahatan).”
(HR. Muslim,no.2720)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Robbana Atina Fiddun-Ya H̱asanah, Wa Fil Akhiroti H̱asanah, Wa Qina ‘Adza Bannar
(Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka).”
(al-Baqarah [2]: ayat 201)

:: Hadis 3 ::
dari Anas,dia berkata,
“Doa Nabi ﷺ yang paling sering diucapkan ialah:
 اللَّهُمَّ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma Robbana Atina Fiddun-Ya H̱asanah, Wa Fil Akhiroti H̱asanah, Wa Qina ‘Adza Bannar
(Ya Allah, Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka).”
(HR. Bukhari,no.4522 & 6389)

:: Hadis 4 ::
dari Qatadah,dia bertanya kepada Anas,
“Doa apakah yang paling banyak dibaca oleh Nabi ﷺ?’ Anas menjawab: ‘Doa yang paling banyak baginda baca ialah:
اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma Atina Fiddun-Ya H̱asanah, Wa Fil Akhiroti H̱asanah, Wa Qina ‘Adza Bannar
(Ya Allah, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka)’.
Apabila Anas hendak berdoa dengan satu doa, maka dia berdoa dengan doa tersebut. Apabila dia hendak berdoa dengan beberapa doa, maka dia menyertakan doa tersebut di dalamnya.”
(HR. Muslim,no.2690a)

:: Hadis 5
dari Thariq bin Asyyam,dia berkata,
“Apabila masuknya seseorang ke dalam Islam, Nabi ﷺ akan mengajarnya solat, kemudian mengarahnya agar berdoa seperti berikut:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ ليِ وَارْحَمْنِي وَاهْدِنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي
Allahummagh-firli, Warẖamni, Wahdini, Wa‘afini, Warzuqni
(Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, berikanlah hidayah kepadaku, kurniakan kesihatan kepadaku dan berilah aku rezeki).”
(HR. Muslim,no.2697b)

:: Hadis 6 ::
dari Thariq bin Asyyam,dia berkata,
“Nabi ﷺ didatangi oleh seorang lelaki kepada baginda dan bertanya: ‘Wahai Rasulullah, bagaimana harus aku berdoa ketika aku memohon kepada Tuhanku?’ Baginda bersabda: ‘Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي
Allahummagh-firli, Warẖamni, Wa‘afini, Warzuqni
(Ya Allah, ampunkanlah aku, rahmatilah aku, sejahterakan aku, dan berilah aku rezeki)’.
Baginda menghimpunkan jari-jarinya kecuali ibu jari, lalu bersabda: ‘Sesungguhnya doa ini menghimpunkan untukmu urusan dunia dan akhiratmu’.”
(HR. Muslim,no.2697c)

Friday, January 10, 2025

Doa Pengampunan Untuk Diri, Ibu Bapa Dan Umat Islam (Doa Nabi Ibrahim)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Nabi Ibrahim berdoa):
رَبَّنَا ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ ٱلْحِسَابُ
Robbanaaghfirlii, Waliwali-dayya, Walil-Mukminiina Yauma Yaquumul H̱isaab
(Wahai Tuhan kami, ampunkanlah aku, kedua ibu bapaku, dan orang-orang beriman pada hari terjadinya hisab (Hari Perhitungan).”
(Ibrahim [14]: ayat 41)

NOTA:
Boleh juga menggunakan doa Nabi Nuh ‘alaihissalam, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam al-Quran:

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Nabi Nuh berdoa):
رَّبِّ ٱغْفِرْ لِى وَلِوَٰلِدَىَّ وَلِمَن دَخَلَ بَيْتِىَ مُؤْمِنًۭا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ
Robbighfirli Waliwali-dayya, Wa Liman Dakhola Baitiya Mukmininaw Walil-Mukminina Wal-Mukminat
(Tuhanku, ampunkanlah aku, dan kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman)...”
(Nuh [71]: ayat 28)

Doa Agar Allah Memakbulkan Doa-Doa Kita

dari Zaid bin Arqam,dia berkata,
“Aku tidak akan berkata kepada kamu melainkan sebagaimana yang telah Rasulullah ﷺ katakan. Baginda bersabda: ....
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا
Allahumma inni A‘udzubika Min ‘ilmin Laa Yanfa’, Wa Min Qolbin Laa Yakh-sya’, Wa Min Nafsin Laa Tasy-ba’, Wa Min Da’watin Laa Yustajaabu Laha
(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, hati yang tidak khusyuk, jiwa yang tidak pernah puas dan doa yang tidak mustajab).”
(HR. Muslim,no.2722)

Ancaman Beramal Kerana Riya’

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka kecelakaan besar bagi orang yang solat, (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riya’ (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya), dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).”
(al-Ma‘un [107]: ayat 4 - 7)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
(al-Baqarah [2]: ayat 264)

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah menunjukkan kepadanya nikmat-nikmat-Nya, dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah bertanya: ‘Apa yang telah engkau lakukan dengannya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku telah berperang di jalan-Mu sehingga aku mati syahid’. Allah menjawab: ‘Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu’. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka. (kemudian giliran) seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarkan ia, dan membaca al-Quran. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmat-Nya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang telah engkau lakukan dengannya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Aku telah mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu dan membaca al-Quran kerana-Mu’. Allah menjawab: ‘Engkau bohong! Sebaliknya engkau menuntut ilmu untuk dipanggil orang ‘alim, dan engkau membaca al-Quran untuk dipanggil Qari’. Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu’. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka. (kemudian giliran) seorang lelaki yang Allah telah meluaskan kepadanya harta, dan dia memberikan hartanya kesemuanya kepada orang yang berhak. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmat-Nya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya: ‘Apa yang telah engkau lakukan dengannya?’ Lelaki itu menjawab: ‘Tidak aku tinggalkan sedikit pun jalan yang mana Engkau suka untuk harta dibelanjakan padanya melainkan aku membelanjakan harta aku pada jalan itu untuk-Mu’. Allah menjawab: ‘Engkau bohong! Sebaliknya engkau melakukan hal itu untuk dipanggil dermawan. Engkau telah mendapat gelaran itu’. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.”
(HR. Muslim,no.1905)

:: Hadis 2 ::
dari Mahmud bin Labid,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya perkara yang paling aku takutkan untuk kalian adalah syirik kecil. Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Apa itu syirik kecil, wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Riyak. Allah ‘Azza wa Jalla akan berkata kepada mereka pada hari kiamat, ketika manusia diberikan balasan atas amal mereka: ‘Pergilah kepada mereka yang telah kamu riya’kan di dunia, dan lihatlah apakah kamu akan mendapat ganjaran dari mereka?’.”
(HR. Ahmad,no.23630)

NOTA:
Hadis ini dinilai hasan oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.23630). Hadis ini juga dinilai hasan oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video), namun hasannya kerana adanya pelbagai thuruq (jalur) lain yang memperbaiki kekuatan (kesahihan) hadis ini. Wallahua’lam.

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Allah Tabaraka wa Ta‘ala berfirman: ‘Aku tidak memerlukan segala sekutu yang ada pada amalan yang dilakukan di mana seseorang itu mensyirikan-Ku bersama yang lain. Maka Aku akan tinggalkannya dan sekutunya itu’.”
(HR. Muslim,no.2985)

Thursday, January 9, 2025

Doa Agar Dikurniakan Anak (Doa Nabi Zakariyya)

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakariyya, ketika ia merayu kepada Tuhannya dengan berkata:
رَبِّ لَا تَذَرْنِى فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلْوَٰرِثِينَ
Robbi, Laa Ta-Dzarnii Fardan Wa Anta Khoirul Waari-tsiin
(Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi).”
(al-Anbiyaa’ [21]: ayat 89)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Ketika itu Nabi Zakariyya berdoa kepada Tuhannya, katanya:
رَبِّ هَبْ لِى مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةًۭ طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
Robbi Hablii Minal-Ladunka Dzurriyyatan Thoyyibah, innaka Sami’ud Du’a’
(Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan).”
(ali ‘Imran [3]: ayat 38)

NOTA:
Nabi Zakariyya juga berdoa agar anak yang Allah berikan kepadanya nanti anak yang diredhai Allah:

:: al-Quran 3 ::
Allah ﷻ berfirman:
“(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakariyya berdoa kepada tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan. Ia merayu dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku, dan aku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu. Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas agama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub:
وَٱجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّۭا
Wa Aj‘alhu Robbi Rodhiyyaa
(dan jadikanlah dia (zuriatku) seorang yang diredhai).”
(Maryam [19]: ayat 3 - 6)

Doa Masuk Rumah

:: Hadis 1 ::
dari Abu Malik al-Asy‘ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seorang lelaki masuk ke rumahnya, hendaklah dia mengucapkan: 
اللَّهُمَّ ‌إِنِّي ‌أَسْأَلُكَ ‌خَيْرَ ‌الْمَوْلَجِ، ‌وَخَيْرَ ‌الْمَخْرَجِ، ‌بِسْمِ ‌اللَّهِ ‌وَلَجْنَا، ‌وَبِسْمِ ‌اللَّهِ ‌خَرَجْنَا، ‌وَعَلَى ‌اللَّهِ ‌رَبِّنَا ‌تَوَكَّلْنَا
Allahumma inni As-aluka Khoirol Maulaj, Wa Khoirol Makhroj. Bismillahi Walajna, Wa Bismillahi Khorojna, Wa ‘alAllah Robbina Tawakkalna
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan ketika masuk dan kebaikan ketika keluar. Dengan menyebut nama Allah kami masuk dan kami keluar. Dan hanya kepada Rabb kami, kami bertawakal),
Kemudian hendaklah dia memberi salam kepada ahli keluarganya.”
(HR. Abu Daud,no.5096)

NOTA:
Hadis ini Dhaif, kerana hadis ini diriwayatkan dari Syarih bin ‘Ubaid dan Abu Malik, yang mana imam Ibnu Abi Hatim menukilkan perkataan ayahnya (imam Abu Hatim): “Shuraih bin ‘Ubaid al-Hadhrami tidak sempat bertemu dengan Abu Umamah, al-Harith bin al-Harith, dan al-Miqdam. Riwayatnya daripada Abu Malik al-Asy‘ari adalah mursal (terputus sanad)” (rujuk: al-Marasil,60-61). Juga dalam kitab lain bahawa imam Ibnu Hatim berkata: “Syarih bin ‘Ubaid daripada Abu Malik al-Asy‘ari, Mursal (terputus sanad)” (rujuk: at-Tahdzib,4/329). Hadis ini pada mulanya dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,no.225), namun beliau menarik semula dan menilai hadis ini sebagai Dhaif (rujuk: Silsilah al-Ahadis adh-Dhaifah,no.5832). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video), akan tetapi bagi beliau, doa ini boleh diamal kerana maknanya baik. Namun kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau yang lain (rujuk: video), sekiranya seseorang membaca “Bismillah” sahaja, sudah memadai berdasarkan hadis ini:

:: Hadis 2 ::
dari Jabir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Apabila seseorang masuk ke dalam rumah lalu dia menyebut nama Allah ketika masuk, dan ketika makan, maka syaitan akan berkata: ‘Tidak ada tempat menginap dan tidak ada makan malam’. Tapi apabila dia tidak mengingati Allah ketika masuk, maka syaitan berkata: ‘Kalian mendapatkan tempat menginap’.”
(HR. Muslim,no.2018)

Mengapa Allah Mengizinkan Perbezaan Berlaku Dalam Umat Manusia?

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing). Dan kalau Allah menghendaki, nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.”
(al-Maidah [5]: ayat 48)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama Allah yang satu); akan tetapi Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) dan memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak tentang apa yang kamu telah kerjakan.”
(an-Nahl [16]: ayat 93)

Wednesday, January 8, 2025

Ucapan Ketika Terkejut

dari Zainab binti Jahsy berkata bahawa Nabi ﷺ telah masuk menemuinya dengan begitu serius lalu bersabda:
لا إلَهَ إلّا اللَّهُ
Laa ilaha illAllah
(Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah),
celakalah bangsa Arab kerana keburukan yang semakin dekat. Hari ini telah dibuka tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini”. Baginda memberi isyarat bulatan dengan jari telunjuknya dengan jari sebelahnya (ibu jari). Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah kita akan binasa sedangkan bersama-sama kita ramai orang soleh?” Baginda menjawab: “Ya benar, jika keburukan (kemaksiatan) telah bermaharajalela”.
(HR. Bukhari,no.3346. Muslim,no.2880)

Bacaan Ketika Naik Dan Turun Dari Kawasan Tinggi

dari Jabir bin ‘Abdullah,dia berkata,
“Apabila kami mendaki kami bertakbir, dan apabila turun kami bertasbih.”
(HR. Bukhari,no.2993)

NOTA:
Berdasarkan hadis ini, maka disunatkan seseorang untuk bertakbir (mengucapkan: “Allahu Akbar”) ketika bergerak naik ke kawasan tinggi, manakala bertasbih (mengucapkan: “SubẖanAllah”) ketika menuruni kawasan yang rendah. Sebagai contoh, jika kenderaan kita bergerak menaiki kawasan yang sedikit tinggi, maka ucapkan “Allahuakbar”, kemudian jika sudah mula menuruni kawasan tersebut, maka ucapkan “SubẖanAllah”. Wallahua’lam.

Doa Apabila Dipuji

dari ‘Adi bin Arthah,dia berkata,
“Dahulu ada seorang sahabat Nabi ﷺ, yang apabila dia dipuji mengucapkan:
اللَّهُمَّ لاَ تُؤَاخِذْنِي بِمَا يَقُولُونَ، وَاغْفِرْ لِي مَا لا يَعْلَمُونَ
Allahumma Laa Tu-Akhidz-nii Bimaa Yaqulun, Wagh-firli Maa Laa Ya’lamuun
(Ya Allah, jangan Engkau menghukumku disebabkan pujian yang dia ucapkan, ampunilah aku, atas kekurangan yang tidak mereka ketahui).”
(HR. Bukhari [rujuk: al-Adab al-Mufrad,no.761]. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih al-Adab al-Mufrad,no.585])

Tuesday, January 7, 2025

Bacaan Apabila Ada Sesuatu Yang Disukai Atau Tidak Disukai

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ ketika mendapatkan sesuatu yang baginda sukai, baginda mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ
Alẖamdulillahil Ladzii Bini’matihi Tatimus̄ S̄oliẖat
(Segala puji bagi Allah yang dengan segala nikmatnya segala kebaikan menjadi sempurna).
Dan ketika baginda mendapatkan sesuatu yang tidak disukai, baginda mengucapkan:
الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Alẖamdulillahi ‘ala Kulli Hal
(Segala puji bagi Allah atas setiap keadaan).”
(HR. Ibnu Majah,no.3803. Ibnu as-Sunni [rujuk: ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah,no.378]. at-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Ausath,no.6663]. Dengan sedikit perbezaan lafaz)

NOTA:
Hadis ini dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih Ibnu Majah,no.3081). Hadis ini juga dinilai sahih dengan syawahid oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi (rujuk: video) beliau dengan katanya: “Tetapi sanadnya adalah sebuah khabar yang di dalamnya terdapat sedikit kelemahan, namun secara keseluruhan (riwayat tersebut) sahih kerana adanya syawahid (hadis sokongan)”.