Thursday, February 15, 2024

Larangan Menulis Hadis

dari Abu Sa'id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah kamu menulis sesuatu daripadaku, sesiapa menulis sesuatu daripadaku selain al-Quran, maka hendaklah ia menghapusnya dan menceritakan dariku, kerana itu tidak ada salahnya.”
(HR. Muslim,no.3004)

NOTA:
Imam al-Bukhari menilai hadis ini Mauquf kepada Abu Sa‘id al-Khudri (rujuk: Ibnu Hajar,Fathul Bari,1/208). Imam Abu Daud juga menilai hadis ini terhenti (mauquf) kepada Abu Sa‘id al-Khudri dengan katanya: “Ianya Munkar, kesilapan terdapat pada (perawi) Hammam..” (rujuk: al-Mizzi,Tuhfat al-Asyraf bi Ma’rifat al-Athraf,3/408). Imam al-Khatib al-Baghdadi juga berkata bahawa yang mahfuzh (terpelihara), hadis ini adalah kata-kata Abu Sa‘id al-Khudri, bukan Marfu’ (kata-kata Nabi ﷺ) (rujuk: Taqyid al-‘ilm,30). Namun terdapat hadis yang lebih sahih dan jelas daripada Nabi ﷺ tentang bolehnya menulis hadis, seperti hadis ini:

:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Ketika Allah membuka Makkah untuk Rasul-Nya, baginda berdiri di antara manusia lalu memuji Allah dan menyanjung-Nya, kemudian bersabda: ‘Sesungguhnya Allah menahan pasukan gajah dari Makkah dan menjadikan rasul-Nya dan orang-orang beriman berkuasa ke atasnya. Sesungguhnya Makkah tidak halal bagi seorang pun sebelumku, dan ia dihalalkan untukku seketika daripada waktu siang. Sesungguhnya ia tidak akan halal bagi seorang pun sesudahku. Tidak boleh diusik binatang buruannya, tidak ditebang pohonnya yang berduri, tidak halal diambil barang temuannya kecuali bagi orang yang ingin mengumumkan, dan barang siapa dibunuh anggota keluarganya, maka dia boleh memilih dua perkara: Mengambil tebusan atau minta ditegakkan syarat’. al-Abbas berkata: ‘Kecuali izkhir, sesungguhnya kita menggunakannya untuk kubur dan rumah’. Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kecuali izkhir’. Abu Syah seorang penduduk Yaman bangkit lalu berkata: ‘Tuliskan untukku, wahai Rasulullah!’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Kamu tolong tuliskan untuk Abu Syah’.”
(HR. Bukhari,no.2434. Muslim,no.1355)
 
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Tidak ada seorang pun dari kalangan sahabat Nabi ﷺ yang lebih banyak meriwayatkan hadis baginda ﷺ berbanding aku kecuali ‘Abdullah bin ‘Amr. Ini kerana dia menulis, sedangkan aku tidak menulis.”
(HR. Bukhari,no.113. at-Tirmidzi,no.3841)

Wednesday, February 14, 2024

Allah Suka Orang Yang Berlemah Lembut Dan Tidak Bersikap Kasar

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
(Ali 'Imran [3]: ayat 159)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.”
(Fussilat [41]: ayat 34 - 35)

:: Hadis ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Sekumpulan orang Yahudi meminta izin kepada Nabi ﷺ dan mengucapkan: ‘Assaamu‘alaika (maut ke atasmu)’. Aku menjawab: ‘Bal ‘alaikum assamu wal la’nah (Bahkan untuk kamu maut dan juga laknat)’. Maka Nabi bersabda: ‘Wahai ‘Aisyah, sesungguhnya Allah itu lunak dan mencintai kelunakkan di dalam semua urusan’. Aku menjawab: ‘Tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?’ Baginda menjawab: ‘Aku menjawab ‘wa‘alaikum (ke atas kamu juga)’.”
(HR. Bukhari,no.6927. Muslim,no.2165)

Tuesday, February 13, 2024

Singgahsana Iblis Di Atas Air (Laut)

dari Jabir,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut) lalu menyeru sekalian tenteranya. Maka di bawahnya ialah tentera yang paling besar pengaruh fitnahnya. Datang seorang daripada mereka menghadap Iblis, seraya berkata: ‘Aku telah berbuat sekian sekian’. Iblis menjawab: ‘Kamu tak buat apa pun’. Kemudian datang seorang lagi tenteranya lalu berkata: ‘Aku tidak akan tinggalkan dia (mangsaku) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya’. Iblis membalas: ‘Kamu hebat!’.”
(HR. Muslim,no.2813)

Monday, February 12, 2024

Berbuat Baik Kepada Tawanan

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): ‘Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, ‘Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut’.”
(al-Insan [76]: ayat 8 - 10)

:: Hadis ::
dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ menghantar pasukan berkuda ke Najd. Lalu mereka datang membawa seorang lelaki daripada bani Hanifah, iaitu Tsumamah bin ‘Utsal. Mereka mengikatnya pada salah satu tiang masjid. Nabi ﷺ keluar dan pergi kepadanya dan bersabda: ‘Apa yang ada padamu wahai Thumamah?’ Dia berkata: ‘Padaku kebaikan wahai Muhammad. Jika engkau membunuhku maka engkau membunuh orang yang terpelihara darahnya dan jika engkau memberi nikmat maka engkau memberi nikmat pada orang yang bersyukur dan jika engkau menginginkan harta maka mintalah daripadanya apa yang engkau sukai’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Thumamah?’ Dia menjawab: ‘Apa yang telah aku katakan kepadamu. Jika engkau memberi nikmat, maka engkau memberi nikmat kepada orang yang bersyukur’. Nabi ﷺ meninggalkannya sehingga keesokan harinya, kemudian baginda bertanya kepadanya: ‘Apa yang ada padamu wahai Thumamah?’ Dia menjawab: ‘Padaku apa yang telah aku katakan kepadamu’. Baginda bersabda: ‘Bebaskanlah Tsumamah’. Dia pergi ke kebun yang dekat dengan masjid dan mandi, kemudian dia masuk masjid. Lalu berkata: ‘Aku bersaksi bahawa tidak ada yang layak disembah melainkan Allah dan Muhammad ialah Rasulullah. Wahai Muhammad, demi Allah tidak ada di atas bumi ini satu wajah yang lebih aku benci daripada wajahmu dan sekarang wajahmu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang lebih aku benci daripada agamamu dan sekarang agamamu menjadi yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada negeri yang paling aku benci daripada negerimu dan sekarang negerimu menjadi yang paling aku cintai. Sesungguhnya pasukan berkuda yang engkau utuskan telah mengambilku dalam keadaan aku hendak mengerjakan umrah, maka apakah pendapatmu?’ Rasulullah ﷺ memberi khabar gembira kepadanya dan memerintahkannya untuk melaksanakan umrah. Ketika dia datang ke Makkah, maka seseorang berkata kepadanya: ‘Engkau telah menukar agama’. Dia berkata: ‘Tidak, tetapi aku masuk Islam bersama Muhammad ﷺ. Demi Allah, tidak akan datang sebiji kurma atau sya‘ir dari Yamamah kepada kamu sehingga Nabi ﷺ mengizinkan’.”
(HR. Bukhari,no.4372. Muslim,no.1764)

Sunday, February 11, 2024

Doa Banyak Rezeki Dan Anak

dari Anas,dia berkata,
“Ummu Sulaim (ibu Anas) pernah berkata kepada Nabi ﷺ: ‘(doakanlah) pembantumu Anas’. Baginda bersabda:
اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ، وَبَارِكْ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتَهُ
Allahumma ak-tsir maa lahu wa waladahu, wa baariklahu fiimaa a'thoy-tahu
(Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anaknya, serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan kepadanya).”
(HR. Bukhari,no.6334. Muslim,2480)

NOTA:
Jika kita mahu menggunakan doa ini untuk diri sendiri, maka lafaznya berubah menjadi:

اللَّهُمَّ أكْثِرْ مَالِي، وَوَلَدِي، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أعْطَيْتَنِي

Allahumma ak-tsir maalii, wa waladii, wa baariklii fiimaa a'thoy-tanii

(Ya Allah, perbanyakkanlah harta dan anakku, serta berkatilah kurniaan yang Engkau berikan kepadaku)

Saturday, February 10, 2024

Jika Baru Teringat Ada Raka'at Tertinggal Setelah Selesai Solat

dari Abu Hurairah,dia berkata,
“Nabi ﷺ mengimamkan solat Zohor atau Asar bersama kami. Kemudian baginda memberi salam. Lalu Dzul Yadain berkata kepada Nabi ﷺ: ‘Solat wahai Rasulullah, adakah kau telah mengurangkannya?’ Maka Nabi ﷺ bersabda: ‘Benarkah apa yang dia katakan?’ Maka para sahabat pun menjawab: ‘Ya’. Lalu Baginda melakukan dua solat yang berbaki, kemudian sujud sebanyak dua kali.”
(HR. Bukhari,no.1227. Muslim,no.573)

NOTA:
Berdasarkan hadis ini, maka hendaklah seseorang itu melaksanakan baki rakaat yang terlupa (tertinggal). Contoh, jika solat Zohor dilakukan hanya 3 rakaat, maka hendaklah bangun semula dan laksanakan 1 rakaat (seperti rakaat ke-4 solat Zohor). Kemudian setelah selesai membaca Tasyahud Akhir, lakukan ‘Sujud Sahwi’ (sujud sebanyak dua kali). Setelah selesai sujud kedua, maka beri salam seperti biasa.
Wallahua’lam.

Doa Selepas Azan Yang Sahih

:: Hadis 1 ::
dari Jabir bin ‘Abdillah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang mendengar azan dan berdoa:
 اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدً الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
Allahumma Robbaha Dzihid Da’watit-Taammah, Was̄ S̄olatil Qoo-imah, Aati Muẖammadanil Wasilata Wal Fadhilah, Wab‘ast-hu Maqoomam-Maẖmuudanil Ladzi Wa ‘Adtah
(Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan).
Luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat.”
(HR. Bukhari,no.614)

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila kamu mendengar seruan muadzin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak sepuluh kali. Kemudian mohonlah kepada Allah wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba Allah, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada Allah wasilah untukku, pastilah dia mendapat syafaat.”
(HR. Muslim,no.384)

Tiada Kematian Dalam Syurga Dan Neraka

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”
(an-Nisa' [4]: ayat 56)

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila penghuni syurga sudah memasuki syurga, dan penghuni neraka sudah memasuki neraka. Dibawakan kematian sehingga diletakkan di antara syurga dan neraka. Kemudian ia disembelih. Kemudian seorang penyeru menyeru: ‘Wahai penghuni syurga, tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, tiada lagi kematian’. Lalu bertambahlah kegembiraan penghuni syurga dan bertambahlah kesedihan penghuni neraka.”
(HR. Bukhari,no.6548. Muslim,no.2850)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Kematian akan dibawa dalam bentuk seekor kibas berwarna hitam bercampur putih. Lalu seorang penyeru akan menyeru: ‘Wahai penghuni syurga’. Lalu penghuni syurga akan mendongak dan melihat. Lalu penyeru tadi berkata: ‘Adakah kamu kenal siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya. Ini adalah kematian’. Kesemua mereka dapat melihatnya. Kemudian diseru: ‘Wahai penghuni neraka’. Lalu penghuni neraka mendongak dan melihat. Lalu penyeru tadi berkata: ‘Adakah kalian kenal siapakah ini?’ Lalu mereka menjawab: ‘Ya. Ini adalah kematian’. Kesemua mereka dapat melihatnya. Lalu kibas tadi disembelih. Kemudian penyeru itu berkata: ‘Wahai penghuni syurga, kekallah kamu dan tiada lagi kematian. Wahai penghuni neraka, kekallah kamu dan tiada lagi kematian’. Kemudian baginda membaca: ‘Berilah peringatan kepada mereka tentang hari Penyesalan tatkala keputusan telah diberikan sedangkan mereka dalam keadaan lalai dan tidak beriman (Maryam [19]: ayat 39)’. Mereka yang dalam keadaan lalai itu ialah penduduk dunia.”
(HR. Bukhari,no.4730)

Friday, February 9, 2024

Doa Perlindungan Dari Musibah / Ujian Yang Berat

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Mintalah perlindungan kepada Allah daripada bala yang berat, hinanya kesengsaraan, takdir yang buruk, dan kegembiraan musuh (terhadap masalah yang menimpa).”
(HR. Bukhari,no.6347 & 6616. Muslim,no.2707)

NOTA:
Jika dijadikan doa, maka lafaz doanya adalah:

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Allahumma inni a‘udzubika min jahdil bala’, wa darokisy-syaqo’, wa su-il qodho’,wa syamaa tatil a’daa’

(Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bala yang berat ,hinanya kesengsaraan, takdir yang buruk dan kegembiraan musuh [terhadap masalah yang menimpa])

Thursday, February 8, 2024

Jenis Perselisihan Pendapat Yang Tidak Boleh Diingkari Antara Satu Sama Lain

 dari Ibnu ‘Umar,dia berkata,
“Nabi ﷺ bersabda kepada kami ketika kembali dari perang Ahzab: ‘Janganlah salah seorang daripada kamu solat asar melainkan apabila tiba di Bani Quraizhah’. Lalu tibalah waktu asar ketika sebahagian daripada mereka dalam perjalanan. Maka berkata sebahagian daripada mereka: ‘Jangan kita solat sehingga kita sampai di Bani Quraizhah’. Adapun telah berkata sebahagian mereka yang lain: ‘Bahkan, kami akan menunaikan solat kerana Nabi ﷺ tidak bermaksud demikian’. Maka kejadian tersebut diceritakan kepada Nabi ﷺ dan baginda ﷺ tidak mencela salah seorang daripada mereka’.”
(HR. Bukhari,no.946 & 4119)

NOTA:
Dari hadis ini dapat difahami bahawa perbezaan pendapat dikalangan para Ulama’ dalam memahami satu dalil yg sahih namun mempunyai cara faham yg berbeza, tidak membuatkan seseorang itu berdosa jika memilih mana-mana pendapat dari salah satu pendapat mereka. Wallahua’lam.

Selawat Sahih Yang Ringkas

dari Zaid bin Kharijah,dia berkata,
“Aku bertanya kepada Rasulullah ﷺ (tentang cara berselawat), maka baginda bersabda: ‘Berselawatlah kepadaku, bersungguhlah dalam berdoa, lalu ucapkanlah:
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Allahumma solli ‘ala Muẖammad, wa ‘ala aali Muẖammad
(Ya Allah, selawatkanlah ke atas Muhammad dan ke atas keluarga Muhammad)’.”
(HR. an-Nasaie,no.1292. Dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih wa Dha‘if Sunan an-Nasaie,no.1293])

Tuesday, February 6, 2024

Larangan Terlalu Banyak Ketawa

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah banyak tertawa kerana banyak tertawa dapat mematikan hati.” 
(HR. Ahmad,no.7748. at-Tirmidzi,no.2305. Ibnu Majah,no.4193. al-Albani [rujuk: Sahih al-Jami’,no.7435])

NOTA:
Hadis ni dinilai ‘Dhaif’ oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis ini dengan katanya: ‘Gharib’. Kata imam at-Tirmidzi, hadis ini diriwayatkan dari (perawi) al-Hasan, dari Abu Hurairah dan al-Hasan tidak mendengar dari Abu Hurairah (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.2305). Hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Larangan Ambil Barang Orang Lain Tanpa Izin

:: al-Quran ::
Allah ﷻ berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”
(an-Nisa' [4]: ayat 29)

:: Hadis 1 ::
dari Yazid bin Sa‘ib,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah salah seorang daripada kamu mengambil barang saudaranya sama ada untuk bergurau senda atau benar-benar (mahu mengambilnya).”
(HR. Ahmad,no.17261. Abu Daud,no.5003. at-Tirmidzi,no.2160. Hadis ini dinilai ‘Hasan’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Irwa’ al-Ghalil,5/350,no.1518])

:: Hadis 2 ::
Anas bin Malik,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Tidak halal mengambil harta seorang muslim kecuali dengan kerelaan dirinya”
(HR. ad-Dailami,no.7635)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau.

Larangan Menjamu Tetamu Di Luar Batas Kemampuan

dari Salman,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Janganlah seseorang memaksa diri (untuk melayani) tetamunya dengan sesuatu yang dia tidak mampu”
(HR. Ibnu ‘Asakir [rujuk: Tarikh Dimasyq,13/126])

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,5/570,no.2440). Kata Syaikh al-Albani, makna hadis ni juga menepati hadis riwayat al-Bukhari:

dari Anas,dia berkata,
“Kami pernah bersama ‘Umar,dia berkata: ‘Kami dilarang dari perbuatan yang memaksa diri’.”
(HR. Bukhari,no.7293)

Sunday, February 4, 2024

Kisah Lelaki Yang Diampuni Dosanya Kerana Seekor Anjing

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Terdapat seorang lelaki sedang berjalan lalu dia berasa haus, maka dia turun ke sebuah perigi dan minum daripadanya. Apabila dia keluar, terdapat seekor anjing yang sedang mengeluarkan lidahnya lalu menjilat tanah kerana kehausan. Maka dia berkata: ‘Anjing ini kehausan sepertimana aku alami sebentar tadi’. Disebabkan itu, dia memenuhkan kasutnya dengan air dan dia memegang kasutnya (yang diisi dengan air) dengan mulutnya. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Dengan itu, dia bersyukur kepada Allah, maka Allah mengampuninya. Mereka (para sahabat) bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah bagi kami ganjaran jika kami berlaku baik pada haiwan?’ Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Dalam setiap hati yang basah, terdapat pahala’.”
(HR. Bukhari,no.2363)

NOTA:
Maksud “dalam setiap hati yang basah terdapat pahala” tu adalah “jika berbuat baik kepada setiap yang bernyawa akan diberi pahala”.