:: Hadis 1 ::
dari Ubai bin Ka‘ab,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ membaca dalam witirnya (pada rakaat pertama) dengan surah ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah al-A‘la), pada rakaat kedua dengan surah ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah al-Kafirun), dan pada rakaat ketiga dengan surah ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah al-Ikhlas). Baginda tidak memberi salam melainkan pada rakaat yang terakhir dan mengucapkan — yakni selepas memberi salam —:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai lagi Maha Suci)
sebanyak 3 kali.”
(HR. an-Nasaie,no.1701. Ahmad,no.21142)
NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih an-Nasaie,no.1728), Syaikh Muqbil al-Wadi‘i (rujuk: as-Sahih al-Musnad,1/34), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth dengan katanya: “Isnadnya sahih menurut syarat Muslim” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.21142).
:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdurrahman bin Abza,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ berwitir dengan membaca ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah Al-A’la), ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah Al-Kafirun), dan ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah Al-Ikhlas). Apabila baginda selesai memberi salam, baginda mengucapkan:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai lagi Maha Suci)
sebanyak 3 kali, memanjangkan suaranya pada kali ke-3, kemudian mengangkatnya (meninggikan suara).”
(HR. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.1452]. Ahmad,no.15354. al-Baihaqi [rujuk: ad-Da‘wat al-Kabir,no.435]. Dengan sedikit perbezaan lafaz, dan ini lafaz an-Nasaie)
NOTA:
Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih an-Nasaie,no.1752) dan Syaikh Syu‘aib al-Arnauth (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.15354)
:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdurrahman bin Abza, dia berkata:
“Baginda membaca dalam witirnya ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah al-A‘la), ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah al-Kafirun), dan ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah al-Ikhlas). Dan apabila baginda memberi salam, baginda mengucapkan:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai lagi Maha Suci)
sebanyak tiga kali, dengan memanjangkannya (bacaan tersebut).”
(HR. an-Nasaie,no.1731. Ahmad,no.15355. Dan ini lafaz Ahmad)
NOTA:
Dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, dengan katanya: “Sanadnya sahih atas syarat Muslim” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.15355).
:: Hadis 4 ::
dari ‘Abdurrahman bin Abza, dia berkata:
“Sesungguhnya baginda membaca dalam solat witir dengan (Surah) ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah al-A‘la), ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah al-Kafirun), dan ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah al-Ikhlas). Apabila baginda memberi salam, baginda mengucapkan:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ، سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus, Subẖaanal Malikil Qudduus, Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai lagi Maha Suci),
dan baginda mengangkat (meninggikan) suaranya dengannya.”
(HR. Ahmad,no.15354)
NOTA:
Dinilai sahih oleh Syaikh al-Wadi‘i dengan katanya: “Sahih, rijalnya rijal al-Syaikhain (Bukhari & Muslim)” (rujuk: al-Sahih al-Musnad,890). Juga dinilai sahih oleh Syaikh Syu‘aib al-Arnauth, dengan katanya: “Sanadnya sahih atas syarat Syaikhain (Bukhari & Muslim)” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.15354).
NOTA (2):
Imam an-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengucapkan selepas solat witir sebanyak 3 kali: ‘Subhanal Malikil Quddus’.” (rujuk: Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab,4/16. Tuhfatul Muhtaj,2/227). Imam Ibnu Qudamah juga berkata: “Disunatkan untuk mengucapkan selepas solat witir: ‘Subhanal Malikil Quddus’ sebanyak 3 kali, dan memanjangkan suaranya pada kali ketiga.” (rujuk: al-Mughni,2/122). Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga berkata bahawa disunatkan membaca ‘Subhanal Malikil Quddus’ sebanyak 3 kali dengan memanjangkan dan meninggikan suara pada bacaan ke-3 selepas selesai memberi salam ketika solat Witir (rujuk: video). Maka, berdasarkan hadis-hadis dan kenyataan para ulama’ ini, sunat mengucapkan “Subhanal Malikil Quddus” sebanyak 3 kali, dan pada bacaan ke-3 disunatkan untuk memanjangkan dan menaikkan (menguatkan) suara.
No comments:
Post a Comment