Thursday, March 13, 2025

Doa Ketika Kesempitan Rezeki

dari ‘Abdullah (bin Mas‘ud),dia berkata,
“Nabi ﷺ pernah menerima seorang tetamu, lalu baginda mengutus seseorang kepada isteri-isterinya untuk mencari makanan di sisi mereka, tetapi baginda tidak menemui makanan di sisi seorang pun daripada mereka. Maka baginda pun berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ فَإِنَّهُ لَا يَمْلِكُهَا إِلَّا أَنْتَ
Allahumma inni As-aluka Min Fadhlika Wa Roẖmatika, Fa-innahu Laa Yamlikuhaa illaa Anta
(Ya Allah, aku memohon kepada-Mu akan kurnia-Mu dan rahmat-Mu, kerana sesungguhnya tiada yang memiliki keduanya melainkan Engkau).
Kemudian, dihadiahkan kepada baginda seekor kambing yang telah dipanggang. Maka baginda pun bersabda: ‘Ini adalah daripada kurniaan Allah, dan kita sedang menantikan rahmat-Nya’.”
(HR. ath-Thabrani [rujuk: Mu’jam al-Kabir,10/220,no.10379]. Abu Nu‘aim [rujuk: Hilyat al-Awliya',5/36])

NOTA:
Hadis ini diperselisihi kesahihannya di kalangan para ulama’ hadis. Hadis ini dinilai sahih oleh imam al-Haitsami, dengan katanya: “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani, dan perawinya adalah perawi-perawi sahih kecuali Muhammad bin Ziyad al-Barjami, dan beliau seorang yang tsiqah (dipercayai)” (rujuk: Majma’ al-Zawaid,10/159). Juga dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah as-Sahihah,1543. Sahih al-Jami’,1278). Namun imam Abu Nu‘aim sendiri menilainya dhaif (lemah: tidak sahih) setelah meriwayatkan hadis ini, kata beliau: “Ini adalah hadis gharib daripada riwayat Mis‘ar dan Zubaid, yang hanya diriwayatkan secara bersendirian oleh al-Barjami daripada ‘Ubaidullah” (rujuk: Hilyat al-Awliya',5/36). Imam al-Baihaqi juga menilai hadis ini dhaif, kata beliau: “Abu ‘Ali al-Husain bin ‘Ali al-Hafiz berkata: Muhammad bin ‘Abdan al-Ahwazi menceritakan hadis ini kepadaku daripada beliau. Dan yang sahih ialah riwayat daripada Zubaid, yang berkata: ‘Rasulullah ﷺ menerima seorang tetamu’ – dalam bentuk hadis mursal dari perkataan Zubaid. Muhammad bin ‘Abdan al-Ahwazi meriwayatkannya kepada kami, daripada ayahnya, daripada al-Hasan bin al-Harist al-Ahwazi, daripada ‘Ubaidullah bin Musa, daripada Mis‘ar, daripada Zubaid, yang berkata: ‘Rasulullah ﷺ menerima seorang tetamu’ dan menyebutkannya” (rujuk: Dalail an-Nubuwwah,6/128-129). Walaupun hadis ini kemungkinannya dhaif, akan tetapi boleh mengamalkannya, kerana ia hanyalah doa dan maknanya juga baik, dengan syarat tidak meyakini atau mengatakan bahawa doa ini daripada Nabi secara pasti. Wallahua‘lam.

Tuesday, March 11, 2025

Kelebihan Mempunyai Anak Perempuan

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Suatu hari seorang wanita telah datang kepadaku bersama dengan dua orang anak perempuannya untuk meminta sedekah. Aku pada ketika itu tidak mempunyai sesuatu untuk disedekahkan kecuali sebiji tamar sahaja. Lalu aku pun memberikan tamar tersebut kepadanya. Wanita itu pun membahagikan sebiji tamar tersebut kepada dua orang anak perempuannya, dan beliau sendiri tidak memakannya. Kemudian dia pun bangun dan beredar. Setelah itu, Nabi ﷺ masuk ke dalam rumah, lalu aku pun menceritakan kepadanya tentang kejadian tersebut. Kata baginda: ‘Sesiapa yang dikurniakan anak-anak perempuan, kemudian dia menanggung belanja dan keperluan mereka, kelak mereka akan menjadi pelindungnya dari api neraka’.”
(HR. Bukhari,no.1418 & 5995. Muslim,no.2629)

Sunday, March 9, 2025

Orang Miskin Ramai Di Dalam Syurga

:: Hadis 1 ::
dari ‘Imran,Nabi ﷺ bersabda,
“Aku melihat ke dalam syurga, lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang miskin. Dan aku melihat ke dalam neraka, lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.”
(HR. Bukhari,no.6546)

:: Hadis 2 ::
dari Usamah,Nabi ﷺ bersabda,
“Aku berdiri di pintu syurga, lalu aku melihat bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah orang miskin, sedangkan orang-orang kaya ditahan terlebih dahulu, kecuali mereka yang telah diperintahkan untuk masuk ke dalam neraka. Kemudian aku berdiri di pintu neraka, maka aku mendapati bahawa kebanyakan yang memasukinya adalah wanita.”
(HR. Bukhari,no.6547. Muslim,no.2736)

:: Hadis 3 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Orang-orang faqir akan memasuki syurga 500 tahun sebelum orang-orang kaya.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2353. Dinilai hasan sahih oleh imam at-Tirmidzi)

Friday, March 7, 2025

Bacaan Selepas Solat Witir

:: Hadis 1 ::
dari Ubai bin Ka‘ab,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ membaca dalam witirnya (pada rakaat pertama) dengan surah ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah al-A‘la), pada rakaat kedua dengan surah ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah al-Kafirun), dan pada rakaat ketiga dengan surah ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah al-Ikhlas). Baginda tidak memberi salam melainkan pada rakaat yang terakhir dan mengucapkan — yakni selepas memberi salam —:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai dan Maha Suci)
sebanyak 3 kali.”
(HR. an-Nasaie,no.1701. Ahmad,no.21142)

NOTA:
Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Sahih an-Nasaie,no.1728), Syaikh Muqbil al-Wadi‘i (rujuk: as-Sahih al-Musnad,1/34), Syaikh Syu‘aib al-Arnauth dengan katanya: “Isnadnya sahih menurut syarat Muslim” (rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.21142).

:: Hadis 2 ::
dari ‘Abdurrahman bin Abza,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ berwitir dengan membaca ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah Al-A’la), ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah Al-Kafirun), dan ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah Al-Ikhlas). Apabila baginda selesai memberi salam, baginda mengucapkan:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai dan Maha Suci)
sebanyak 3 kali, memanjangkan suaranya pada kali ke-3, kemudian mengangkatnya (meninggikan suara).”
(HR. an-Nasaie [rujuk: Sunan al-Kubra,no.1452]. Ahmad,no.15354. al-Baihaqi [rujuk: ad-Da‘wat al-Kabir,no.435]. Dengan sedikit perbezaan lafaz, dan ini lafaz an-Nasaie. Dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih an-Nasaie,no.1752])

:: Hadis 3 ::
dari ‘Abdurrahman bin Abza,dia berkata,
“Nabi ﷺ berwitir dengan membaca ‘Sabbiẖisma robbikal a‘la’ (Surah Al-A’la), ‘Qul ya ayyuhal kafiruun’ (Surah Al-Kafirun), dan ‘Qul huwallahu aẖad’ (Surah Al-Ikhlas). Apabila baginda ingin selesai daripada solat witir, baginda mengucapkan:
سُبْحَانَ الْمَلِكِ الْقُدُّوسِ
Subẖaanal Malikil Qudduus
(Maha Suci Tuhan yang Maha Menguasai dan Maha Suci)
sebanyak 3 kali, dan baginda meninggikan suaranya pada kali ke-3.”
(HR. Ahmad,no.15361. an-Nasaie,no.1731. Dan ini lafaz Ahmad. Kata Syaikh Syu‘aib al-Arnauth: “Isnadnya sahih menurut syarat asy-Syaikhain” [rujuk: Takhrij Musnad Ahmad,no.15361])

NOTA:
Imam an-Nawawi berkata: “Disunatkan untuk mengucapkan selepas solat witir sebanyak 3 kali: ‘Subhanal Malikil Quddus’.” (rujuk: Majmu’ Syarh Al-Muhadzdzab,4/16. Tuhfatul Muhtaj,2/227). Imam Ibnu Qudamah juga berkata: “Disunatkan untuk mengucapkan selepas solat witir: ‘Subhanal Malikil Quddus’ sebanyak 3 kali, dan memanjangkan suaranya pada kali ketiga.” (rujuk: al-Mughni,2/122). Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga berkata bahawa disunatkan membaca ‘Subhanal Malikil Quddus’ sebanyak 3 kali dengan memanjangkan dan meninggikan suara pada bacaan ke-3 selepas selesai memberi salam ketika solat Witir (rujuk: video). Maka, berdasarkan hadis-hadis dan kenyataan para ulama’ ini,  sunat mengucapkan “Subhanal Malikil Quddus” sebanyak 3 kali, dan pada bacaan ke-3 disunatkan untuk memanjangkan dan menaikkan (menguatkan) suara.

Bacaan Tasyahhud (Tahiyat) Dalam Solat

:: Hadis 1 ::
التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ، وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
Attaẖiyyaatu lillah, was̄ s̄olawatu wath-thoyyibat. Assalaamu‘alaika ayyuhan nabiyyu wa raẖmatullahi wa barokaatuh. Assalaamu‘alainaa wa ‘alaa ‘ibaadillahis̄ s̄olihiin. Asyhadu alla ilaaha illallaah, wa asyhadu anna Muẖammadan ‘abduhu wa rosuuluh.
[Segala penghormatan hanya milik Allah, juga segala pujian dan kebaikan. Semoga kesejahteraan terlimpahkan kepada engkau wahai Nabi, begitu juga rahmat dan berkat-Nya. Semoga kesejahteraan diberikan kepada kami dan kepada hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba dan Rasul-Nya]

(HR. Bukhari,no.831, 1202, 6265 & 7381. Muslim,no.402. dari Ibnu Mas‘ud)

:: Hadis 2 ::
التَّحِيَّاتُ الْمُبَارَكَاتُ الصَّلَوَاتُ الطَّيِّبَاتُ لِلَّهِ السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِىُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
Attaẖiyyaatul mubaarokaatus̄ s̄olawaatuth thoyyibaatu lillah. Assalaamu‘alaika ayyuhan nabiyyu wa raẖmatullahi wa barokaatuh. Assalaamu‘alainaa wa ‘alaa ‘ibaadillahis̄ s̄olihiin. Asyhadu alla ilaaha illallaah, wa asyhadu anna Muẖammadar rosuulullah.
[Segala penghormatan, keberkatan, pujian dan kebaikan adalah milik Allah. Kesejahteraan ke atas engkau wahai Nabi, begitu juga rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Kesejahteraan ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu utusan Allah]

(HR. Muslim,no.403a. dari Ibnu ‘Abbas)

:: Hadis 3 ::
التَّحِيَّاتُ الطَّيِّبَاتُ الصَّلَوَاتُ لِلَّهِ السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ
Attaẖiyyaatuth-thoyyibatus̄ s̄olawaatu lillah. Assalaamu‘alaika ayyuhan nabiyyu wa raẖmatullahi wa barokaatuh. Assalaamu‘alainaa wa ‘alaa ‘ibaadillahis̄ s̄olihiin. Asyhadu alla ilaaha illallaah, wa asyhadu anna Muẖammadan ‘abduhu wa rosuuluh.
[Penghormatan, kebaikan, dan pujian adalah milik Allah. Kesejahteraan ke atas engkau wahai Nabi, begitu juga rahmat Allah dan keberkatan-Nya. Kesejahteraan ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu hamba dan Rasul-Nya]

(HR. Muslim,no.404. dari Abu Musa al-Asy‘ari)

⚠️ PENTING:
Post ini HANYA tentang bacaan Tasyahhud, BUKAN bacaan Selawat (sholawat) dalam Tasyahhud, kerana hadis-hadis bacaan Tasyahhud dan bacaan Selawat (sholawat) dalam Tasyahhud itu tidak sama, ianya berbeza-beza (berbeda-beda). Bacaan Selawat (sholawat) dalam Tasyahhud Akhir mesti dibaca seperti biasa. Adapun tentang bacaan selawat setelah membaca bacaan Tasyahhud, boleh klik dan rujuk di sini:
“Selawat Yang Paling Afdhal: Selawat Ibrahimiyyah”