dari Ibnu ‘Abbas,dia berkata,
“Seorang lelaki akan diheret ke neraka. Namun, neraka malah menjauhkan diri dan bahagian-bahagiannya mengecut antara satu sama yang lain. Allah Yang Maha Pengasih bertanya kepada neraka: ‘Apa yang terjadi padamu?’ Neraka menjawab: ‘Lelaki itu selalu memohon perlindungan (pada-Mu) agar selamat dariku’. Kemudian, Allah berfirman kepada para malaikat: ‘Bebaskanlah hamba-Ku itu’. Selanjutnya, ada lagi lelaki yang tengah diheret ke neraka. Ketika diheret, dia berkata: ‘Wahai Tuhanku, bukankah ini prasangka (baik) pada-Mu’. Allah lalu bertanya: ‘Apa prasangka baikmu?’ Dia menjawab: ‘Rahmat-Mu akan meliputiku’. Maka Allah kembali berfirman kepada para malaikat: ‘Bebaskanlah hamba-Ku’. Terakhir, ada lagi lelaki yang diheret ke neraka, akan tetapi neraka berteriak kepadanya seakan-akan seperti tarikan baghal ketika melihat gandum, lalu berbunyi dengan kuat tatkala semua orang di sana ketakutan.”
(HR. at-Thobari [rujuk: Tafsir at-Thobari,19/244]. Ibnu Katsir [rujuk: Tafsir Ibnu Katsir,6/97]. Kata Ibnu Katsir: “Ini adalah sanad yang Sahih”)
Wednesday, July 26, 2023
Kisah 3 Lelaki Yang Diheret Ke Neraka Namun Dibebaskan
Tuesday, July 25, 2023
Rintihan Rasulullah ﷺ Ketika Berada Di Thaif
dari ‘Abdullah bin Ja’far,dia berkata,
“Apabila meninggalnya Abu Talib,nabi ﷺ keluar menuju ke Thaif dengan berjalan kaki. Baginda ﷺ menyeru penduduk di sana untuk memeluk Islam,akan tetapi penduduk di sana tidak menerima dakwah nabi ﷺ. Lalu nabi ﷺ pun beredar sehinggalah tiba di sebatang pokok. Baginda ﷺ mendirikan solat dua rakaat kemudian berdoa:
اللَّهمّ إلَيْكَ أَشْكُو ضَعْفَ قُوَّتِي، وَقِلَّةَ حِيلَتِي، وَهَوَانِي عَلَى النَّاسِ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، أَنْتَ رَبُّ" الْمُسْتَضْعَفِينَ، وَأَنْتَ رَبِّي، إلَى مَنْ تَكِلُنِي؟ إلَى بَعِيدٍ يَتَجَهَّمُنِي؟ أَمْ إلَى عَدُوٍّ مَلَّكْتَهُ أَمْرِي؟ إنْ لَمْ يَكُنْ بِكَ عَلَيَّ غَضَبٌ فَلَا أُبَالِي، وَلَكِنَّ عَافِيَتَكَ هِيَ أَوْسَعُ لِي، أَعُوذُ بِنُورِ وَجْهِكَ الَّذِي أَشْرَقَتْ لَهُ الظُّلُمَاتُ، وَصَلُحَ عَلَيْهِ أَمْرُ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ مِنْ أَنْ تُنْزِلَ بِي غَضَبَكَ، أَوْ يَحِلَّ عَلَيَّ سُخْطُكَ، لَكَ الْعُتْبَى حَتَّى تَرْضَى، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إلَّا بِكَ
(Ya Allah, kepada-Mu aku mengadu lemahnya kekuatanku, sedikitnya dayaku dan kehinaanku di hadapan manusia. Wahai yang Maha Pengasih di kalangan yang pengasih! Engkau Tuhan orang-orang yang lemah (ditindas) dan Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku? Kepada orang yang jauh yang bermasam muka terhadapku atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Hal itu tidak aku risaukan, jika Engkau tidak murka kepadaku. Namun, rahmat-Mu bagiku amat luas. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menerangi kegelapan dan dibaiki urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung dari murka-Mu atau halalkan ke atasku marah-Mu. Aku sentiasa memohon redha-Mu dan tidak ada daya upaya melainkan Engkau).”
(HR. at-Thabrani [rujuk: ad-Du‘a,315]. Ibn ‘Adiy [rujuk: al-Kamil,6/111]. Khatib al-Baghdadi [rujuk: al-Jami’ Li-Akhlaq al-Rawi,2/275]).
NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh Syaikh al-Albani (rujuk: Silsilah Ahadith ad-Dha'ifah,no.2933). Imam al-Haitsami berkata: “Diriwayatkan oleh at-Thabrani. Dan di dalam riwayat ini terdapat (perawi) Ibn Ishak, dia seorang Mudallis yg tsiqah. Perawi yg lain kesemuanya tsiqah.” (rujuk: Majma’ az-Zawaid,6/35)
Wednesday, July 19, 2023
Masuk Neraka Kerana Berkata ‘Allah Tidak Akan Mengampunimu’
:: Hadis 1 ::
dari Jundab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya ada seorang lelaki berkata: ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni si Fulan!’ Maka Allah berfirman: ‘Siapakah yang bersumpah mendahului-Ku bahawa Aku tidak akan mengampuni si Fulan? Sungguh, Aku telah mengampuninya dan menghapuskan amalmu!’.”
(HR. Muslim,no.2621)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ada dua orang lelaki bersaudara daripada Bani Israel. Salah seorang sering melakukan dosa dan seorang lagi bersungguh-sungguh beribadah. Lelaki yang bersungguh-sungguh dalam ibadah ini setiap kali dia melihat saudaranya melakukan dosa dia akan berkata: ‘Tinggalkanlah dosa ini’. Pada suatu hari, dia mendapati saudaranya sedang melakukan dosa, lalu dia berkata: ‘Tinggalkanlah dosa ini’. Lalu saudaranya menjawab: ‘Biarkan aku dan Tuhan ku. Adakah engkau diutuskan kepada ku untuk menjadi pemerhati ke atas ku?’ Saudaranya menjawab: ‘Demi Allah, Allah tidak akan mengampuni engkau, Dia tidak akan memasukkan engkau ke dalam syurga’. Lalu Allah mencabut nyawa mereka dan mereka berkumpul di hadapan Tuhan sekalian alam. Allah berkata kepada lelaki yang kuat beribadah: ‘Adakah engkau tahu apa yang Aku tahu? Adakah engkau berkuasa atas apa yang ada pada Tangan-Ku?’ Allah berkata kepada yang sering berdosa: ‘Pergilah, masuklah ke dalam syurga dengan rahmat-Ku’. Allah berkata kepada yang lain pula: ‘Pergilah bersamanya (iaitu lelaki yang rajin beribadah itu) ke neraka’. Abu Hurairah berkata: ‘Demi tuhan yang diri ku di Tangan-Nya, lelaki itu (yang kuat beribadah itu) berkata dengan satu perkataan yang memusnahkan dunia dan akhiratnya’.”
(HR. Abu Daud,no.4901. Dinilai ‘Sahih’ oleh Syaikh al-Albani [rujuk: Sahih wa Dha'if Sunan Abi Daud,3/926,no.4097])
Tuesday, July 18, 2023
Anjuran Memperbanyakkan Puasa Sunat Pada Bulan Muharram Dan Puasa Asyura
Friday, July 7, 2023
Ganjaran Bagi Orang Yang Selalu Berpuasa Sunat
:: Hadis 1 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap amalan anak Adam akan digandakan, 1 kebaikan digandakan dengan 10 kali sehingga 700 kali ganda. Allah ‘azza wa jalla berkata: ‘Kecuali puasa. Sesungguhnya ia milik Aku. Aku lah yang akan membahagi-bahagikan ganjaran pahalanya. Orang yang berpuasa itu telah meninggalkan nafsu syahwat dan makan minum kerana Aku’. Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi daripada wangian kasturi.”
(HR. Muslim,no.1151)
NOTA:
Tentang sabdaan Nabi ﷺ “Semua amalan digandakan 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda, kecuali puasa”, imam Ibnu Rajab al-Hanbali berpendapat bahawa ia bermaksud bilangan pahalanya tidak terhad kepada bilangan itu, malah Allah melipatgandakan pahalanya tanpa batas. Kerana puasa itu sebahagian daripada kesabaran, dan Allah ﷻ berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira” (Surah az-Zumar [39]: ayat 10). (rujuk: Lathaif al-Ma‘arif,283-284). Imam al-Munawi berkata: “Orang yang berpuasa, Aku (Allah) memberinya balasan pahala yang banyak. Aku yang menguruskan balasan pahala itu tanpa diwakilkan kepada malaikat yang paling dekat atau makhluk-makhluk lain kerana puasa itu rahsia antara-Ku dengan hamba-Ku. Ini kerana apabila ditahan dirinya daripada nafsu syahwat maka ia diberi pahala dengan pengawasan Allah.” (rujuk: Faidh al-Qadir,4/250)
:: Hadis 2 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
Allah berfirman: “Semua amal perbuatan anak Adam (manusia) adalah untuknya melainkan puasa, kerana sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran (pahala). Puasa itu adalah merupakan perisai. Oleh itu,janganlah berkata keji dan jangan pula berteriak-teriak. Sekiranya ada seseorang mencelanya atau memeranginya, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku berpuasa’. Demi Dia (Allah) yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada aroma minyak kasturi. Orang yang berpuasa itu memiliki dua kegembiraan, dia berasa gembira dengan dua perkara, iaitu apabila berbuka dia berasa gembira dan apabila bertemu Tuhannya, dia berasa gembira dengan puasanya.”
(HR. Bukhari,no.1904)
NOTA:
Namun harus diingat, untuk mendapatkan gandaan pahala ini juga memerlukan syarat lain yg perlu dituruti. Jika mengabaikannya, maka pahala puasanya boleh berkurang, malah tidak mendapat pahala walau sedikitpun, berdasarkan sebuah hadis:
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”.
(HR. Bukhari,no.6057)
:: Hadis 3 ::
dari Abu Sa‘id al-Khudri,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa yang berpuasa satu hari di jalan Allah, maka Allah akan menjauhkan wajahnya dari neraka sejauh 70 musim”
(HR. Bukhari,no.2840. Muslim,no.1153)
NOTA:
Kata imam Ibnu Hajar al-Asqalani, maksud “70 musim” dalam hadis ini ialah “70 tahun perjalanan” (rujuk: Fathul Bari,6/48)
:: Hadis 4 ::
dari Sahl,bahawa Nabi ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya di dalam syurga terdapat pintu yang dinamakan ar-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya (pintu tersebut) pada hari kiamat, serta tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Ditanyakan: ‘Dimanakah orang-orang yang berpuasa?’ Lalu mereka pun berdiri. Tidak ada seorang pun selain daripada mereka yang akan masuk melaluinya (pintu itu). Apabila mereka telah masuk, pintu itu ditutup dan tidak ada seorang pun yang masuk (lagi) melaluinya.”
(HR. Bukhari,no.1896. Muslim,no.1152)
:: Hadis 5 ::
dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah, maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga: ‘Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan’. Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat, maka akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa, akan diseru daripada pintu ar-Rayyan, dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah, akan diseru daripada pintu sedekah”. Setelah itu, Abu Bakar bertanya: “Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?” Baginda menjawab: “Ya, dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.”
(HR. Bukhari,no.1897)