Monday, April 15, 2013

Allah Turun Satu Pertiga Malam Untuk Makbulkan Doa

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia ketika berbaki sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: ‘Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku akan mengabulkannya. Sesiapa yang memohon kepada-Ku nescaya Aku akan memberinya, sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku nescaya Aku akan mengampuninya’.”
(HR. Bukhari,no.1145. Muslim,no.758)

Friday, April 12, 2013

Semua Manusia Melakukan Dosa Dan Yang Bertaubat Adalah Sebaik-baik Pelaku Dosa?

dari Anas,Nabi ﷺ bersabda,
“Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan yang terbaik dari kalangan yang melakukan kesalahan itu adalah yang bertaubat.”
(HR. at-Tirmidzi,no.2499. Ahmad,no.12576. Ibnu Majah,no.4251)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Gharib’ oleh imam at-Tirmidzi setelah meriwayatkan hadis ini dalam Kitab Jami’-nya. Gharib di sisi imam at-Tirmidzi, bermaksud hadis itu Dhaif, tidak sahih. Hadis ini Dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama ‘Ali bin Mas‘adah, yg mana dia dinilai Dhaif oleh Ibn ‘Adiy (rujuk: al-Kamil,5/207), Ibnu Hibban (rujuk: al-Majruhin,2/111). Kata al-Khallal, bahawa imam Ahmad berkata: “Hadis ini Munkar” (rujuk: al-Muntakhab min al-'ilal,92). Kata al-Ajurri, dia bertanya kepada Abu Daud tentang ‘Ali bin Mas‘adah, kata Abu Daud: “Dia lemah (Dhaif)”. Kata an-Nasaie: “Laisa bi Qowi (dia tidak kuat)” (rujuk: Sualat Abu ‘Ubaid al-Ajurri Li Abi Daud,305). Hadis ini juga dinilai Dhaif & dihurai secara terperinci oleh Syaikh Khalid al-Hayek dalam website rasmi beliau, malah beliau turut mengkritik penilaian Syaikh al-Albani terhadap hadis ini. Sanad hadis ini juga dinilai Dhaif oleh Syaikh Musthofa al-‘Adawi dalam video beliau. Akan tetapi, kata Syaikh Musthofa al-‘Adawi, makna hadis ini benar, kerana terdapat hadis Sahih yg lain yg menyebut:

dari Abu Hurairah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sekiranya kamu semua tidak berbuat dosa, nescaya Allah akan menghilangkan (mematikan) kamu dan Allah akan mendatangkan satu kaum yang berbuat dosa, lalu mereka beristighfar (memohon ampun) kepada Allah dan Dia akan mengampunkan mereka.”
(HR. Muslim,no.2749)

Tuesday, April 9, 2013

Orang Yang Diuji Mendapat Rahmat Allah

Allah ﷻ berfirman:
“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan: “Inna lillaahi wa inna ilaihi rooji'uun”. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(al-Baqarah [2]: ayat 155-157)

Dibolehkan Menangis Atas Kematian Orang Yang Kita Sayang

dari Anas bin Malik,dia berkata,
“Kami pergi bersama Rasulullah ﷺ menemui tukang besi bernama Abu Saif, dan dia ialah suami kepada ibu susu Ibrahim (anak Nabi). Rasulullah ﷺ mengambil Ibrahim dan menciumnya serta mencium baunya dan kemudian kami memasuki rumah Abu Saif selepas itu. Pada masa itu Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir, lalu mata Rasulullah ﷺ mulai bergenangan. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf berkata kepada Baginda: ‘Tuan menangis wahai Rasulullah?’ Baginda ﷺ bersabda: ‘Wahai Ibn ‘Auf, ini ialah rahmat’. Kemudian air mata baginda mengalir lagi. Sabda Baginda: ‘Sesungguhnya mata menangis dan hati bersedih, kami tidak akan mengucapkan sesuatu melainkan apa yang Tuhan kami redha. Wahai Ibrahim! Sesungguhnya kami bersedih dengan perpisahanmu’.”
(HR. Bukhari,no.1303)

Friday, April 5, 2013

Kadang² Sesuatu Yang Kita Suka Tidak Baik Untuk Kita

:: al-Quran 1 ::
Allah ﷻ berfirman:
“Diwajibkan kamu berperang padahal berperang itu berat bagi kamu (tidak disukai). Boleh jadi yang kamu benci itu ada kebaikan bagimu. Boleh jadi (juga) yang kamu sukai itu (akibatnya adalah) buruk bagimu. Allah jua yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya.”
(al-Baqarah [2]: ayat 216)

:: al-Quran 2 ::
Allah ﷻ berfirman:
“...Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).”
(an-Nisa' [4]: ayat 19)

Kelebihan Memulakan Salam

dari Abu Umamah,dia berkata,
“Wahai Rasulullah, jika ada dua orang yang bertemu, siapakah yang patut memulakan salam?” Baginda menjawab: “yang paling dekat dengan (rahmat) Allah di antara keduanya (yang memulakan salam)”.
(HR. at-Tirmidzi,no.2694. Hadis ini ‘Hasan’ oleh Imam at-Tirmidzi)

NOTA:
Hadis ini dinilai ‘Dhaif’ oleh imam at-Tirmidzi sendiri selepas meriwayatkannya, kerana ‘Hasan’ di sisi at-Tirmidzi, kebanyakkannya bermaksud Dhaif. Hadis ini Dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat perawi yg bernama Abu Farwah Yazid bin Sinan, yg mana ad-Daraquthni menilainya Dhaif (rujuk: ad-Dhu'afa' wal Matrukin,589), malah di kitab lain, beliau berkata: “Matruk (ditinggalkan riwayatnya)” (rujuk: Su'alat al-Barqani,560). Dia juga dinilai Dhaif oleh imam Ahmad ibn Hanbal (rujuk: al-Kamil,9/152-153. Tahdzib al-Kamal,32/156). Ibnu Abi Hatim bertanya kepada ayahnya (Abu Hatim) tentangnya,kata Abu Hatim: “Mahalahu soduq (orang yg berstatus jujur), tapi dia diatasi oleh kecuaian/kelalaian, hadisnya ditulis namun tidak boleh berhujjah dengannya”. Kata Yahya Ibn Ma'in: “Laisa bi syai (tiada nilai)” dan kata ‘Ali Ibnu al-Madini: “Dhaif al-Hadis (hadisnya Dhaif)” (rujuk: Ibnu Abi Hatim,Jarh wa at-Ta'dil,9/266-267).
Walaupun hadis ini Dhaif, namun amalan memberi salam adalah amalan yang sangat mulia dan dianjurkan sepertimana yang terdapat dalam hadith² Sahih yg lain:

:: Hadis 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,dia berkata,
“Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah ﷺ: ‘Islam manakah yang paling baik?’ Nabi ﷺ bersabda: ‘Kamu memberi makan, mengucapkan salam kepada orang yang kamu kenal dan yang tidak kamu kenal’.”
(HR. Bukhari,no.12. Muslim,no.39)

:: Hadis 2 ::
dari al-Bara' bin ‘Azib,dia berkata,
“Nabi ﷺ memerintahkan kami tentang tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara pula. Baginda memerintahkan kami untuk mengiringi jenazah, melawat orang yang sakit, memenuhi jemputan, menolong orang yang dizalimi, berbuat adil dalam pembahagian, menjawab salam dan mendoakan orang yang bersin. Dan baginda melarang kami dari menggunakan bekas terbuat dari perak, memakai cincin emas, memakai kain sutera kasar, sutera halus, baju bersulam sutera dan sutera tebal”.
(HR. Bukhari,no.1239)

Berbuat Baik Kepada Musuh & Bukan Islam

Allah ﷻ berfirman:
“Dan sekiranya musuhmu cenderung untuk berdamai, maka hendaklah kamu cenderung pula pada perdamaian itu. Dan bertawakallah terhadap Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”
(al-Anfal [8]: ayat 61)

Galakkan Solat Tahajjud

Allah ﷻ berfirman:
“Dirikanlah solat sesudah matahari tergelincir (Zohor dan 'asar) sampai gelap malam, (maghrib dan 'isyak). Dan dirikan pula solat subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan malaikat. Dan pada sebahagian malam hendaklah kamu solat tahajjud (solat sesudah tidur) sebagai ibadah sunnah (tambahan) bagi kamu. Mudah-mudahan (dengan solat tahajjud itu) Tuhan mengangkat engkau ke tempat yang terpuji.”
(al-Isra' [17]: ayat 78-79)

Baca 3 Qul Sebelum Tidur

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Sesungguhnya Nabi ﷺ jika baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, baginda akan menadah tangan kemudian menghembuskan ke kedua tapak tangannya. Lalu baginda membaca: Qul Huwallahu Ahad, Qul A‘udzu Birabil Falaq dan Qul A’udzu birabbinnas. Kemudian baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.”
(HR. Bukhari,no.5017)

Nama-Nama Rasulullah

:: Hadis 1 ::
dari Muth’im,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Aku mempunyai lima nama iaitu Muhammad, Ahmad, aku juga al-Mahiy (penghapus) yang mana Allah menghapuskan kekufuran denganku, aku al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan berhimpun di bawah kakiku dan aku juga al-‘Aqib (nabi terakhir).”
(HR. Bukhari,no.3532)

:: Hadis 2 ::
dari Abu Musa al-‘Asy’ari,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Aku adalah Muhammad, Ahmad, al-Muqaffi (Nabi yang terakhir), al-Hasyir (penghimpun), Nabiyyut-Taubah (nabi yang mengajar taubat) dan Nabiyyur-Rahmah (nabi yang membawa rahmat).”
(HR. Muslim,no.2355)

Dosa Besar Mengaku Orang Lain Sebagai Ayahnya Dan Mengaku Bermimpi Sesuatu Padahal Tidak (Bermimpi)

dari Watsilah bin al-Asyqa',Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya sebesar-besar dusta adalah apabila seseorang (anak) mengaku orang lain sebagai ayahnya, ataupun dia mengaku bermimpi melihat sesuatu sedangkan dia tidak pernah bermimpi demikian, ataupun dia mengatakan sesuatu atas nama Rasulullah ﷺ yang tidak pernah baginda mengatakannya.”
(HR. Bukhari,no.3509)

Orang Yang Bunuh Diri Lama Di Dalam Neraka

dari Jundab bin Abdullah,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: ‘Hamba-Ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”
(HR. Bukhari,no.3463)

Larangan Menggunakan Tangan Kanan Ketika Memegang Kemaluan Saat Kencing, Beristinjak Dan Larangan Bernafas Dalam Gelas Ketika Minum

dari Abu Qatadah,Nabi ﷺ bersabda,
“Apabila seseorang daripada kamu kencing maka janganlah sekali-kali dia memegang kemaluannya dengan tangan kanan. Janganlah juga beristinjak dengan tangan kanannya dan jangan bernafas didalam bekas minuman.”
(HR. Bukhari,no.154. Muslim,no.267)

Amal Bergantung Pada Niat

dari ‘Umar bin al-Khattab,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan sesiapa yang hijrahnya kerana dunia yang ingin diperolehi atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahi, maka hijrahnya adalah berdasarkan kepada apa yang diniatkan.”
(HR. Bukhari,no.1. Muslim,no.1907)

Tidak Sengaja Makan Atau Minum Ketika Berpuasa Kerana Lupa

dari Abu Hurairah,Nabi ﷺ bersabda,
“Sekiranya seseorang itu terlupa (bahawa dia sedang berpuasa), lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempurnakan puasanya, kerana sesungguhnya Allah yang telah memberinya makan dan minum.”
(HR. Bukhari,no.1933. Muslim,no.1155)