Sunday, November 23, 2025

Larangan Menoleh Ketika Solat

dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Aku bertanya Rasulullah ﷺ mengenai berpaling (menoleh) dalam solat. Lalu baginda menjawab: ‘Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba’.”
(HR. Bukhari,no.751)

NOTA:
Imam al-Mawardi menyebutkan, bahawa menoleh ketika solat adalah makruh dalam setiap keadaan (rujuk: al-Hawi al-Kabir,2/188). Disebutkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah: “Tidak ada perbezaan pendapat di antara fuqaha’ mengenai makruhnya berpaling (menoleh) dalam solat, berdasarkan hadis daripada ‘Aisyah, katanya: ‘Aku bertanya Rasulullah ﷺ mengenai berpaling (menoleh) dalam solat’. Lalu baginda menjawab: ‘Itu ialah pencurian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seorang hamba’. Keadaan makruh ini tertakluk kepada ketiadaan keperluan atau keuzuran. Namun, jika terdapat keperluan, seperti ketakutan terhadap diri sendiri atau harta, maka ia tidak makruh” (rujuk: al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah,27/109).

Thursday, November 13, 2025

Solat Sunat 4 Rakaat Selepas Solat ‘Isyak: Pahalanya Seperti Lailatul Qadar

:: Hadis ::
dari Ibn ‘Abbas,dia berkata,
“Aku bermalam di rumah ibu saudaraku, Maimunah binti al-Harith, isteri Nabi ﷺ. Pada malam itu, Nabi ﷺ berada di sisinya. Maka Nabi ﷺ menunaikan solat ‘Isyak, kemudian baginda pulang ke rumahnya dan menunaikan solat (sunat) empat rakaat...”
(HR. Bukhari,no.117)

:: Atsar 1 ::
dari ‘Abdullah bin ‘Amr,dia berkata,
“Barangsiapa yang menunaikan empat rakaat selepas solat ‘Isyak, maka (pahalanya) seakan-akan setara dengan (amal pada) malam Lailatul Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7273)

:: Atsar 2 ::
dari ‘Aisyah,dia berkata,
“Empat rakaat selepas solat ‘Isyak menyamai (pahala solat) pada malam Lailatul Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7274)

:: Atsar 3 ::
dari ‘Abdullah (Ibn Mas‘ud),dia berkata,
“Barangsiapa yang solat empat rakaat selepas ‘Isyak tanpa memisahkan antara rakaat-rakaat itu dengan salam, seolah-olah mereka melakukannya di malam al-Qadr.”
(HR. Ibnu Abi Syaibah,no.7275)

NOTA:
Ketiga-tiga Atsar tersebut dinilai sahih mauquf (sebagai kata-kata sahabat) oleh Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Thorifi (rujuk: video). Kata Syaikh ‘Abdul ‘Aziz ath-Thorifi, solat ini dilakukan dengan 4 rakaat, 1 salam. Namun kata beliau, berlaku khilaf (perbezaan pendapat) dikalangan ulama’ sama ada solat sunat 4 rakaat dilakukan dengan dua tasyahud (mempunyai tahiyat awal dan tahiyat akhir) seperti solat Zohor dan ‘Asar, atau hanya satu tasyahud (tanpa tahiyat awal). Kata beliau, dalam bab ini ada keluasan dan kelonggaran sama ada mahu melakukkannya dengan dua tasyahud atau satu tasyahud. Adapun tentang kategori jenis solat ini, solat ini termasuk dalam solat sunat malam (solat Qiyamullail), bukan solat Rawatib. Wallahua‘lam.