Wednesday, May 31, 2023

Cara Benar Merapatkan Saf

dari Anas bin Malik,Nabi ﷺ bersabda,
“Luruskanlah saf kamu, kerana aku melihat kamu dari belakang bahuku.” Terdapat seorang diantara kami yang menempelkan bahunya dengan bahu temannya dan telapak kaki dengan telapak kakinya”.
(HR. Bukhari,no.725)

Isteri Nabi ﷺ Yang Dinikahkan Oleh Allah ﷻ Tanpa Wali

:: Hadis 1 ::
dari Anas,dia berkata,
“Zaid bin Haritsah datang mengadu (sesuatu), lalu Nabi ﷺ bersabda kepadanya: ‘Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan tahanlah isterimu (jangan ceraikan dia)’. Seandainya Rasulullah ﷺ menyembunyikan sesuatu, tentu baginda ﷺ akan menyembunyikan hal (ayat) ini. Ketika itu Zainab merasa bangga terhadap para isteri Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Kamu semua dinikahkan oleh ahli keluarga kamu, sedangkan aku dinikahkan oleh Allah dari atas tujuh langit’. Daripada Tsabit (Firman Allah ﷻ): ‘Sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia’ (Surah al-Ahzab [33]: ayat 37), diturunkan berkenaan dengan perkara ini (yang berlaku antara) Zainab dan Zaid bin Haritsah.”
(HR. Bukhari,no.7420)

:: Hadis 2 ::
Dari Anas,bahawa dia berkata,
“Ayat hijab diturunkan berkenaan dengan Zainab binti Jahsyi, ketika (pernikahannya) itu baginda ﷺ memberi jamuan berupa roti dan daging. Zainab sering berbangga terhadap para isteri Nabi ﷺ dengan berkata: ‘Sesungguhnya Allah-lah yang menikahkanku di langit.’”
(HR. Bukhari,no.7421)

Boleh Solat Sunat Selepas Solat Witir

dari Sa‘ad,bahawa dia berkata kepada ‘Aisyah,
“..Wahai Ummul Mukminin, beritahu kepadaku tentang witir Rasulullah ﷺ!’ ‘Aisyah menjawab: ‘Kami dulu selalu menyiapkan siwaknya dan bersucinya, setelah itu Allah membangunkannya sekehendaknya untuk bangun malam. Kemudian baginda bersiwak dan berwudhu’ dan solat sembilan rakaat. Baginda tidak duduk dalam kesembilan rakaat itu kecuali pada rakaat kelapan, baginda menyebut nama Allah, memuji-Nya dan berdoa kepada-Nya, kemudian baginda bangkit dan tidak mengucapkan salam. Setelah itu baginda berdiri dan solat untuk rakaat ke sembilan. Kemudian baginda berzikir kepada Allah, memuji-Nya dan berdoa kepada-Nya, lalu baginda mengucapkan salam dengan nyaring agar kami mendengarnya. Setelah itu baginda solat dua rakaat setelah salam sambil duduk, itulah sebelas rakaat wahai anakku...”
(HR. Muslim,no.746)

NOTA:
Kata imam at-Tirmidzi, ini pendapat imam Sufyan ast-Tsauri, imam Malik, imam Ibnu al-Mubarak, imam Syafi'i, imam Ahmad & penduduk Kufah. Dan ini adalah pendapat yang paling sahih (rujuk: Jami’ at-Tirmidzi,no.470). Imam Ibnu Hazm juga berpendapat bahawa boleh solat sunat selepas solat witir dan tidak perlu mengulangi witir (rujuk: al-Muhalla,2/91).

Monday, May 29, 2023

Jangan Berdoa Agar Allah Membalas Dosa Kita Di Dunia

dari Anas,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ menziarahi seorang lelaki daripada kaum Muslimin yang tubuhnya semakin lemah umpama anak burung. ‏Rasulullah ﷺ bertanya: ‘Adakah kamu ada berdoa atau meminta sesuatu daripada Allah?’ Lelaki itu menjawab: ‘Ya, aku berdoa dengan menyebut: Ya Allah, hukuman yang Kau mahu jatuhkan kepada ku di akhirat, segerakanlah ia untuk ku di dunia’. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Maha Suci Allah, kamu tidak akan mampu. Kenapa tidak kamu menyebut:
اللَّهُمَّ آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Allahumma atina fiddunya ẖasanah, wa fil akhirati ẖasanah, wa qina ‘adza bannar
(Ya Allah, berikan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan selamatkan kami daripada azab neraka)’.
Baginda pun mendoakan lelaki itu, lalu Allah menyembuhkannya.”
(HR. Muslim,no.2688)