Monday, January 30, 2017

Rasulullah Mimpi Melihat Nabi Isa & Dajjal

dari ‘Abdullah bin ‘Umar,Rasulullah ﷺ bersabda,
“Ketika aku sedang tidur, aku melihat (di dalam mimpi) bahawa diriku sedang melakukan thawaf di sekitar Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus, berada di tengah-tengah antara dua orang lelaki, dalam keadaan rambutnya menitiskan air, lalu aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab: ‘Anak lelaki kepada Maryam (Nabi ‘Isa).’ Kemudian aku pergi dan aku menoleh, tiba-tiba ada seorang lelaki berkulit kemerah-merahan, bertubuh gemuk, berambut keriting, dan mata kanannya buta seakan-akan matanya itu seperti anggur yang tersembul, (lalu) aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Mereka menjawab: ‘Itu ialah Dajjal’. Manusia yang paling mirip dengannya ialah Ibn Qathan. Dan Ibn Qathan ialah seorang lelaki dari Bani Mus̄thaliq dari puak Khuza‘ah.”
(HR. Bukhari,no.7026. Muslim,no.171)

Orang Beriman Boleh Jadi Penakut, Kedekut (Bakhil), Kecuali Pendusta?

dari S̄ofwan bin Sulaim,dia berkata,
“Rasulullah ﷺ ditanya: ‘Mungkinkah orang mukmin boleh jadi penakut?’ Baginda jawab: ‘Ya’. Kemudian ditanya lagi: ‘Mungkinkah seorang mukmin itu kedekut?’ Baginda jawab: ‘Ya’. Ditanya lagi: ‘Mungkinkah seorang mukmin itu menjadi pendusta?’ Baginda jawab: ‘Tidak mungkin’.”
(HR. Malik,no.1832. al-Baihaqi [rujuk: Syu‘ab al-Iman,4812])

NOTA:
hadis ini dinilai ‘Dhaif’ (lemah: tidak sahih) oleh Ibnu Hajar al-Asqalani (rujuk: Takhrij al-Mishkat al-Masabih,4/389) dan Syaikh al-Albani (rujuk: Dhaif at-Targhib wa al-Tarhib,1752), kerana hadis ini mursal (sanad terputus, dari tabi‘in terus diriwayatkan ke atas Nabi tanpa melalui dari mana² Sahabat). Syaikh Musthofa al-‘Adawi juga ketika menyebut tentang hadis ini dalam video beliau, beliau mengatakan: “La Yasih (tidak sahih)”.